Wednesday, 16 February 2011

UMNO ketandusan penceramah hebat, sering lakukan kesilapan

Dalam usahanya untuk memenangi semula sokongan rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, Barisan Nasional atau BN, terutamanya UMNO, mula mengadakan ceramah dan taklimat politik atau yang mereka lebih suka menyebutnya sebagai 'road show'.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat atau PR yang menurunkan barisan peneraju-peneraju PAS, DAP dan PKR untuk berceramah mengenai kedudukan semasa. Kedua-dua pihak berbuat demikian dengan alasan untuk memberi 'penerangan sebenar' mengenai apa yang sedang berlaku dalam kancah politik tanah air.

Dua hari lepas, Pemuda UMNO mengadakan ceramah di Bukit Gadong, Sungai Ara, Pulau Pinang. Ceramah tersebut diadakan di bawah tajuk 'Ayat-ayat Cinta Pakatan Rakyat' dan penceramah utamanya ialah Lokman Nor Adam.  

Lokman ialah mantan setiausaha Angkatan Muda Keadilan yang melompat parti ke UMNO. Dia kemudian diserap ke dalam  jabatan ehwal khas dan dilantik sebagai ketua untuk melatih penceramah-penceramah UMNO.

Atas pelantikannya itu, kita boleh kata yang  Lokman adalah seorang yang hebat sehingga UMNO mendapati dia cukup layak untuk diletakkan dalam bahagian khas dan diberi amanah melatih bakal-bakal penceramah parti. Jika begitu, amat rugilah PKR.

Sejauh mana kehebatan Lokman selaku penceramah boleh dinilai daripada apa yang dibangkitkannya  semasa 'berpidato' di Bukit Gadong.  

Antara lain, Lokman membangkitkan  perkara yang begitu remeh, iaitu gaya hidup presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kepada Lokman, soal peribadi Wan Azizah  lebih penting daripada soal kehidupan hari-hari rakyat, soal ekonomi, soal kesihatan dan soal kebajikan.

Lokman 'mendedahkan' kepada kira-kira 80 orang yang hadir pada majlis ceramah itu yang hampir separuh daripada mereka adalah ahli parti-parti komponen BN dari luar kawasan Bukit Gadong,  bahawa semasa Anwar Ibrahim  menjadi Timbalan PM, Wan Azizah membelanjakan sehingga RM8,000 untuk sepasang pakaian. Dalam setahun Wan Azizah menempah 20 pasang pakaian.

Kepada Lokman, pendedahannya itu semestinya hebat dan boleh menumbangkan pentadbiran 'pembangkang' di Pulau Pinang berbanding dengan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang, tak kira sama ada Melayu, Cina ataupun India.

Saya tertanya-tanya adakah ini yang seharusnya dibangkitkan dalam ceramah-ceramah UMNO ataupun BN untuk memenangi hati dan sokongan rakyat? Tentu tidak!

Apakah Lokman tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu bahawa  pihak 'lawan' boleh dengan mudah menangkis serangan peribadi itu dengan menghumbankan balik ke gelanggang BN atau UMNO  soal yang sama?

Saya pernah berkhidmat di JPM  sebagai salah seorang pegawai menteri dan saya tahu bahawa semua isteri menteri, dari PM hinggalah ke timbalan menteri, mengamalkan gaya hidup yang serupa seperti Wan Azizah, merekapun menempah pakaian mahal dan berjenama. Ia tidak menjadi persoalan atau satu kesalahan. Oleh itu, kenapa ia harus dibangkitkan dalam ceramah sedangkan ia adalah perkara biasa di kalangan isteri orang-orang kenamaan termasuk menteri?

Banyak pihak melihat tindakan Lokman membangkitkan soal gaya hidup Wan Azizah sebagai 'serangan peribadi' dan saya difahamkan bahawa Wan Azizah telah merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya, jika perlu.

Lokman harus sedar bahawa pihak lain boleh membangkitkan banyak persoalan berkaitan isteri PM  atau  isteri TPM  dan isteri para menteri lain sama seperti yang dibangkitkan olehnya. Umpamanya, berapa harga kalung mutiara yang sering dipakai oleh isteri PM? Berapa harga pakaian yang ditempahnya untuk ke majlis-majlis di dalam dan luar negeri? dan banyak lagi soalan berkaitan gaya hidup.

Saya tidak tahu sama ada itulah strategi yang diguna pakai oleh UMNO dan oleh Lokman sendiri selaku 'ketua pengajar atau pelatih' bakal penceramah parti untuk melemahkan lawan dan mendapat sokongan rakyat. jika benar, maka ia adalah satu kesilapan besar.

Jika UMNO mahupun BN ingin mendapat semula sokongan rakyat terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh PR, ubahlah strategi dan pendekatan. Carilah isu yang benar-benar penting yang  memerlukan  pembelaan, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh Lokman.

Masalah besar yang dihadapi UMNO, terutamanya, ialah penceramah-penceramah yang handal dan hebat yang mampu membuatkan rakyat berfikir dan akhirnya kembali menyokong mereka. Bukan penceramah yang hanya pandai bermain kata-kata mempersenda pihak lawan, memburuk-burukkan  lawan dan mengungkit-ungkit hal-ehwal peribadi pihak lain. Itu bukan caranya untuk mendapat sokongan rakyat.

UMNO perlu mencari pemidato-pemidato hebat yang dapat memukau  khalayak dengan ucapan-ucapan berfakta, bersemangat dan yang mampu menyemai kesedaran dan keinsafan berkaitan isu-isu semasa dan kehidupan rakyat. UMNO perlu mencari pengganti almarhum Syed Jaafar Albar dan almarhum Ustaz Othman Abdullah,  kerana pada hakikatnya, UMNO ketandusan penceramah hebat.







Monday, 14 February 2011

Benar, kata Najib Malaysia bukan Mesir, tetapi,,,,

Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak dengan tegas dan penuh yakin berkata Malaysia bukan seperti Mesir yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat menumbangkan pemimpinnya. Keadaan di Malaysia tidak sama dengan Mesir, antara sebabnya kita ada 1Malaysia.

Kata-kata Najib pantas disokong oleh Menteri Di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon dan beberapa lagi rakannya dalam Kabinet.

Betul, Malaysia bukan Mesir ataupun Tunisia dan negara-negara Arab lain yang dipimpin secara autokrasi atau diktator. Benar, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi ala England.

Walaupun demikian, kita tidak boleh terlalu yakin yang kebangkitan rakyat seperti yang sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara kita. Kita seharusnya belajar dan selidiki sebab-musebab kenapa ianya berlaku.

Kita, yakni pentadbir negara, tidak boleh terlalu yakin yang semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka di negara ini. Mereka perlu melihat sama ada wujud persamaan punca-punca yang memberi kekuatan kepada rakyat Tunisia dan Mesir serta yang sedang berlaku di Algeria, Yeman, Bahrain dan Jordan.

Pemimpin-pemimpin negara berkenaan mengawal media agar menyokong pentadbiran, memutar-belit berita dan menyekat kebebasan bersuara, mereka menahan dan menghumban ke dalam penjara penentang politik, mereka mengamalkan pilih kasih atau kronisme yang jelas memperkayakan keluarga  dan pak-pak turut yang mengampu mereka, rasuah dan penyelewengan kuasa menjadi amalan biasa.

Itulah antara punca kebangkitan rakyat di dunia Arab yang sejak berpuluh tahun apabila pemimpin-pemimpin autokrasi dan kuku besi berkuasa.

Pemimpin di Malaysia perlu melihat sama ada wujud perkara-perkara tersebut di negara ini.  Telitilah dengan jujur, tulus dan ikhlas. 

Lihat kepada peranan media yang dikawal terutama media elektronik, lihak kembali kepada sekatan dan kekangan terhadap kegiatan politik, lihat kepada sekatan ke atas rakyat untuk bersuara walaupun dijamin oleh Perlembagaan tetapi dikawal pula oleh Akta Polis, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan sebagainya.  

Dari sudut pelaksanaan dasar, adakah ia dilaksana dengan betul, adil dan saksama kepada Ali yang bukan ahli parti politik tertentu, kepada kaum kerabat Ah Keong, kepada komuniti Raju, kepada suku kaum Tawi Seli, Langkau dan Bariang di Sarawak, kepada anak buah Kitingan, Bangkoi mahupun Datu Suluk di Sabah, kepada masyarakat pimpinan tok-tok batin di pinggir belantara.

Benar, Malaysia tidak sama Mesir. Bumi Anbia itu adalah negara yang hampir 100 peratus dihuni oleh bangsa Arab sedangkan Malaysia berbilang bangsa. Benar, rakyat Mesir mudah bersatu atas fakta satu bangsa sedangkan di Malaysia masih terikat dengan faktor kaum. Benar, dari sudut itu tidak wujud persamaan.  Tetapi dari sudut lain, banyak persamaan.

Walaupun begitu, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan yakin yang kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak mungkin berlaku. Kerajaan semestinya belajar dan jadikan iktibar akan peristiwa bersejarah di Tunisia dan Mesir. Lakukan perubahan dimana perlu, perbetulkan kesilapan, mansuhkan undang-undang dan peraturan yang dilapukkan oleh kemajuan Internet, pendek kata ubah sebelum diubah.