Kerana tertarik dengan tajuk perbincangan, 'Pembantu dari neraka', maka saya terus menonton rancangan 'Nasi Lemak Kopi O' terbitan TV9 hari ini.
Terlebih dahulu tahniah kepada TV9 kerana mengutarakan perkara yang penting tetapi jarang dilaporkan, iaitu penderaan ke atas kanak-kanak oleh pembanu rumah yang disifatkan oleh stesen tv milik Media Prima itu sebagai 'pembanu dari neraka'.
Beberapa klip video yang dirakam melalui sistem CCTV yang dimuat naik dalam Youtube juga dipertontonkan dalam rancangan itu. Turut diundang sebagai tetamu dua orang majikan yang melalui pengalaman pahit dengan pembantu rumah masing-masing, iaitu Linda Helmi dan Wardiana.
Negara kita sering diherdak, dikritik dan dikutuk kerana penderaan yang dilakukan oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan ke atas pembantu rumah sehingga ada yang meninggal dunia. Kita akui hakikat tersebut dan kita mengutuk sekeras-keranya perbuatan zalim itu, walaupun jumlahnya kecil berbanding dengan jumlah pembantu rumah di negara ini..
Dalam nada yang sama, kita juga mengutuk perbuatan pembantu rumah yang mendera, menganiaya dan menzalami anak kecil majikan mereka sehingga ada yang meninggal dunia. Kita seharusnya marah kepada sesiapa sahaja, terutama seorang wanita yang bergelar ibu atau yang akan bergelar ibu yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah atau babu, bertindak diluar batas kemanusiaan dengan mendera kanak-kanak termasuk bayi yang tidak berdosa.
Kepada ibu mahupun bapa yang menggaji seorang atau dua orang pembantu rumah, bersyukurlah sekiranya anda memperolehi pembantu yang bertangungjawab dan pandai menjaga anak anda. Bukan mudah untuk mendapat seorang pembantu yang sedemikian rupa.
Kita mungkin tertanya-tanya kenapa perkara sedemikian, iaitu mendera kanak-kanak oleh pembantu rumah berlaku?
Jawapannya atau jawabannya kata orang Indonesia berada di pihak kita, iaitu majikan yang mengambil bekerja seorang pembantu dari negara jiran dengan begitu mudah, mungkin kerana terdesak.
Kita tidak kisah sama ada pembantu yang diambil bekerja itu benar-benar layak dan berkemampuan untuk menjaga anak kecil kita. Saya tumpukan kepada penjagaan anak kerana inilah masalah yang dibangkitkan dalam rancangan 'Nasi Lemak Kopi O' oleh TV9.
Kebanyakan ibu bapa tidak menghiraukan sama ada pembantu itu berpelajaran atau tidak, berpengalaman atau telah melalui latihan khusus untuk menjaga anak-anak kecil dan sama ada layak dari segi kesihatan termasuk kesihatan mental untuk diberi tangungjawab berat itu. Jarang sekali kita memberi perhatian serius kepada perkara-perkara tersebut.
Saya pernah menemui beberapa kes dimana pembantu rumah yang diambil bekerja tiada pelajaran formal sama sekali, pendek kata buta huruf, iaitu tidak tahu membaca atau menulis. Bagaimana mereka boleh terlepas masuk dan diluluskan untuk bekerja di sini? Besar kemungkinan kerana berlaku amalan rasuah di kalangan pihak tertentu, itu yang dapat dirumuskan.
Di Malaysia, majikan mensyaratkan kelulusan minima untuk membolehkan seseorang itu bekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, kecuali dia bekerja sendiri atau memilih untuk tidak mahu bekerja dan merempat di kaki-kaki lima, kompleks membeli belah atau di lorong-lorong belakang di bandar-bandar besar.
Kita ada had pelajaran minima untuk mengambil orang bekerja. Oleh itu, kenapa kita boleh menerima pembantu rumah dari negara jiran yang tiada pelajaran sama sekali? Bayangkan orang seperti ini ditugaskan untuk menjaga anak kita. Ada dikalangan anak kita yang bertutur mengikut loghat pembantu rumah kerana ibu bapa menyerah sepenuhnya beban menjaga dan mengasuh anak kepada pembantu rumah. Jika pembantu berpelajaran tidak mengapa tetapi jika sebaliknya?
Dalam hubungan ini, kita harus mencontohi negara jiran Singapura yang mengenakan syarat kelayakan ketat dalam pengambilan pembantu rumah. Hampir semua pembantu rumah yang diambil bekerja adalah dari Filipina walaupun ada yang dari Indonesia. Syaratnya, mesti memiliki kelulusan setimpal dan kebanyakan yang diambil dari Filipina memiliki ijazah atau golongan profesional seperti jururawat.
Malaysia seharusnya mengenakan syarat kelayakan minima untuk warga asing bekerja sebagai pembantu rumah atau dalam sektor-sektor lain seperti perhotelan dan restoran.
Salah satu kelemahan ketara di negara ini ialah penguatkuasaan yang lemah. Kita ada undang-undang dan peraturan yang bagus, tetapi pelaksanaan atau penguatkuasaan tidak selari. Sebagai contoh, warga asing boleh memandu teksi sedangkan tidak memiliki lesen atau permit, warga asing boleh menjaja di pasar awam dan pasar malam sedangkan tiada lesen dan warga asing boleh bekerja secara terbuka di restoran.
Oleh kerana begitu mudah bagi warga asing untuk bekerja di Malaysia, maka berduyun-duyunlah mereka memasuki negara kita dari sejauh benua Afrika, Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Warga negara jiran sanggup bergadai nyawa menaiki bot-bot kecil atau sampan menyeberangi samudera semata-mata untuk menjijak kaki di bumi bertuah bernama Malaysia kerana di sini semuanya boleh!