Dek keceluparan dan kesombongan seorang perempuan keturunan India Muslim, beberapa pihak terkena tempiasnya termasuk UMNO, Barisan Nasional, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan tidak terlepas mereka yang bergelar 'Sharifah' atau 'Syarifah' ikut ejaan baku Bahasa Melayu.
Wanita yang pernah memegang jawatan timbalan ketua wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu bernama Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Namanya itu membawa masalah kepada Sharifah atau Syarifah yang bernasab kepada Sayidina Hussein r.a.
Sharifah/Syarifah berkenaan terkena tempias itu semata-mata kerana nama sedangkan ia tiada kaitan sama sekali. Mungkin ada yang berkata apa ada pada nama dan gelaran atau nama Sharifah/Syarifah kerana ia bukan hak mutlak sesuatu kaum atau keturunan. Benar, ia bukan ekslusif tetapi lazimnya ia dikaitkan dengan nasab atau silsilh/salasilah perempuan keturunan Sayidina Hussein r.a.
Yang pasti, Sharifah Zohra Jabeen bukan keturunan Arab tetapi India Muslim dan kita sedar ada India Muslim yang mempunyai nama bermula dengan "Syed" walaupun bukan bernasab kepada Sayidina Hussein r.a.. Mungkin ada sebab atau alasan tertentu yang mereka berbuat demikian.
Presiden KIMMA yang juga penyokong kuat UMNO/BN juga berpangkalkan nama "Syed" iaitu Senator Datuk Syed Ibrahim Kader begitu juga dengan seorang lagi Ahli Dewan Negara, Syed Akbar Ali. Tidak pula timbul masalah kerana di Indiapun ramai yang bergelar "Syed" sedangkan tidak bernasab kepada Sayidina Hussein r.a.
Di Pulau Pinang, umum mengetahui bahawa di kalangan India Muslim atau Keling, ada yang menamakan anak lelaki "Syed" apabila dilahirkan pada hari Jumaat. Yang membezakan mereka dengan "Syed" keturunan Arab ialah nasab dan nama keluarga. Itu saja.
Mungkin ada pihak yang akan melenting apabila saya guna perkataan "Keling".
Kepada mereka saya tegaskan bahawa perkataan itu bukan asing kepada orang Pulau Pinang dan Utara Tanah Melayu. Jika ia satu perkataan yang jijik dan hina, sudah tentu umat Islam terutama yang berasal dari benua kecil India membantah sebuah masjid yang pernah berperanan sebagai masjid negeri Pulau Pinang dinamakan Masjid Kapitan Keling.
Gelaran "Kapitan Keling" diwujudkan semasa pentadbiran Inggeris (Francis Light). Ia adalah jawatan tertinggi bertaraf ketua yang dilantik mewakili masyarakat India Muslim/Chulia sama seperti jawatan atau gelaran "Kapitan Cina" untuk masyarakat Cina.
Saya minta ma'af kerana terbawa-bawa hingga ke zaman Francis Light tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana sayapun terkena tempias keceluparan dan kesombongan seorang perempuan India Muslim bernama Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin.
Saya ucap tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin kerana begitu cepat menafi kaitan Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) yang diketuai Sharifah Zohra Jabeen dengan UMNO atau BN. Khairy sedar bahana yang boleh berlaku sebaliknya.
Naib Canselor UUM pun menafikan ia menjemput Sharifah Zohra atau SW1M tetapi hanya membenar penggunaan dewan dalam kampusnya. Bayangkan sebaliknya, iaitu jika apa yang berlaku itu memberi manfaat kepada UUM, UMNO atau BN, apa pula yang akan dikata oleh Naib Canselor.
Pendek kata, seorang perempuan bernama Sharifah Zohra Jabeen benar-benar mencetuskan masalah kepada banyak pihak. Dia lebih hebat daripada Umi Hafilda Ali.