Saturday, 19 October 2013

Zahid, Shafie dan Hishammuddin Kekal Jawatan Naib Presiden UMNO

Zahid, Shafie dan Hishammuddin Kekal Jawatan Naib Presiden UMNO

Tahniah kepada tiga naib presiden yang terus mendapat kepercayaan ahli parti. Namun begitu, kemenangan Hishammuddin Hussein yang memperolehi sembilan undi melebihi Mukhriz Mahathir (100 dan 91) tidak lah sehebat mana. Tanpa sokongan bahagian-bahagian UMNO Johor, Hisham pasti gagal.

Hisham dilihat sebagai penyandang paling lemah di kalangan ketiga-tiga naib presiden. Pemilihan kali ini mungkin yang terakhir baginya. Selain bergantung kepada UMNO Johor, Hisham juga 'menumpang' kekuatan sepupunya, Najib Tun Razak atas sifat sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Tanpa Najib, anak almarhum Tun Hussein Onn ini mungkin sudah  tumbang. 

Kepada Mukhriz, anggaplah percubaan pertama anda sebagai satu kemenangan. Jumlah sokongan yang diperolehi daripada 91  bahagian parti bukanlah kecil. Lihat saja undi yang diperolehi dua tokoh veteran, Isa Samad dan Ali Rustam, dan bandingkan dengan undi untuk Mukhriz. Masa depannya dalam gelanggang politik tanah air adalah cerah.

Thursday, 17 October 2013

Pemilihan sayap di UMNO Bahagian Jelutong mencurigakan

Pemilihan peringkat sayap UMNO sudah berlalu. Walaupun pihak tertentu menyatakan tiada unsur 'rasuah politik' atau 'politik wang' dilaporkan berlaku, namun kenyataannya adalah sebaliknya. Politik wang masih berlaku. Selain politik wang, ada pula perbuatan atau tindakan yang tidak sepatutnya berlaku tetapi dilakukan. Umpamanya, melihat anggota perwakilan mengundi atau memberi 'arahan' untuk mengundi calon tertentu. 

Foto berikut yang dirakam semasa perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jelutong mengadakan pemilihan menunjukkan 'pemantau' yang dilantik ketua bahagian, Abdul Razak, jelas kelihatan melihat dari belakang anggota perwakilan mengundi. Ada maklumat yang menyatakan pemantau turut memberi arahan atau 'tunjuk ajar' untuk mengundi calon tertentu. Perkara serupa berlaku pada pemilihan Pemuda dan Puteri bahagian yang sama. Ibu Pejabat UMNO semestinya menyiasat apa yang berlaku di bahagian Jelutong dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar. Ketelusan dan integriti UMNO mesti dipertahankan jika pucuk pimpinan parti ingin melihat kelangsungan parti itu.