Saturday, 8 February 2014

BALAI POLIS DIBALING BAHAN LETUPAN

BUKIT MERTAJAM: Sebahagian kawasan pintu masuk dan pos pengawal di Balai Polis Bukit Tengah, di sini rosak selepas beberapa suspek yang tidak dikenali melontar sejumlah bahan letupan dipercayai mercun, awal hari ini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh, berkata dalam kejadian 4.50 pagi itu empat anggota polis yang sedang bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan. 
"Dua anggota berada dalam balai polis manakala dua lagi sedang buat rondaan di kawasan balai. Mereka hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian pintu masuk balai.

"Mereka bergegas melihat kawasan kejadian dan mendapati beberapa cermin tingkap dan siling di pintu masuk balai polis itu pecah manakala pos pengawal berhampiran pagar juga rosak akibat letupan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Katanya, kerugian akibat kejadian itu dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000. 

"Berdasarkan siasatan awal, beberapa suspek yang dipercayai menaiki motosikal membaling mercun bola yang diikat dalam jumlah yang banyak ke arah pintu hadapan balai berkenaan dan melarikan diri sebaik berbuat demikian. 

Kejadian itu berlaku dengan pantas, kata Nasir. 
Setakat ini polis belum mengetahui motif sebenar kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. 

"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di balai berkenaan tetapi kita akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan berhampiran bagi mengenal pasti suspek terbabit," katanya. 

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 5 Akta Bahan-bahan Hakisan dan letupan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Deputi Superintendan Aziz Ahmad di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan. - BERNAMA

Monday, 27 January 2014

HAPPY CHINESE NEW YEAR � SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA


IMAG0553-1
Kepada kawan-kawan dan rakan senegara dan masyarakat Cina di mana saja anda berada, terimalah ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru dengan harapan semoga tahun baru ini akan membawa rahmat dan kemakmuran kepada kita semua.
Semoga kita, warganegara Malaysia khasnya, akan terus hidup dalam suasana aman damai dan bersatu padu demi masa depan anak cucu kita.
Kita tidak mampu untuk berpecah-belah dan bertelagah dek permainan politik kotor oleh mana-mana pihak, tak kira yang mendokong atau menentang kerajaan.
Orang berkepentingan politik harus sedar bahawa negara ini bukan milik mereka semata-mata, Dalam apa jua perbuatan dan tindakan yang hendak atau bakal diambil, mereka kenalah menimbang kepentingan dan hak orang lain yang inginkan kehidupan aman, bahagia dan selamat.
Usah takut-takutkan orang ramai dengan ugutan rusuhan dan sebagainya. Itu bukan budaya masyarakat yang bertamadun.