Friday, 21 February 2014

ADIK DICAMPAK KE LAUT


Seberang Jaya: “Masih terngiang-ngiang suara adik merayu sambil menangis kelaparan sehingga dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya.

“Lebih menyedihkan, mayatnya dicampak ke laut begitu saja di depan mata saya kerana kapal yang kami naiki tak boleh berpatah balik,” kata Salamatullah Zaitusong, 12, antara kanak-kanak pelarian Rohingya yang melarikan diri ke negara ini dari kampung halamannya di Rakhine (Arakan), Myanmar, tiga bulan lalu.
Gambar SALAMATULLAH ZAITUSONG

Menurutnya, adik lelakinya yang berusia tujuh tahun itu meninggal dunia disebabkan kelaparan pada hari keenam pelayaran berikutan mereka tidak membawa makanan mencukupi akibat kesempitan wang.

Katanya, sebelum bertolak, mereka berdua yang mengikuti bapa saudara ke negara ini hanya membawa sebotol air mineral dan tiga bungkus roti sebagai bekalan sepanjang perjalanan yang memakan masa selama 12 hari.

Salamatullah berkata, sepanjang perjalanan menaiki kapal yang membawa kira-kira 100 orang itu, dia dan adiknya hanya meminum satu tudung botol air mineral sehari serta menikmati sedikit roti yang dibawa sebagai ‘alas perut’.

HM


MENINGGAL DALAM KEADAAN TERSENYUM KETIKA SOLAT

Pasir Mas: “Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini.
“Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya.

Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.Foto
JEMAAH Masjid Beijing melihat anggota polis mengangkat jenazah Mahama yang meninggal dunia ketika solat Isyak, malam kelmarin.

Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh.

MK