Friday, 7 March 2014

PESAWAT MAS MH370 HILANG DI RUANG UDARA VIETNAM


Ahli keluarga penumpang pesawat MAS yang hilang menanti dengan tangisan di Lapangan Terbang Beijing, China hari ini. – Gambar Reuters, 8 Mac, 2014.

Malaysia Airlines (MAS) mula menghubungi ahli keluarga terdekat dan anak kapal pesawat MH370 selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara awal pagi ini.

"Hati dan doa kami bersama dengan penumpang, anak kapal dan ahli keluarga mereka," kata ketua pengurus eksekutif kumpulan MAS, Ahmad Jauhari, dalam satu kenyataan.

Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal, iaitu 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal, dan terdiri daripada 13 warganegara berbeza, kata MAS. Menurut agensi berita China, Xinhua, seramai 160 warga China menaiki pesawat tersebut.


Perhubungan radar dengan pesawat MAS MH370 yang hilang pagi ini terputus di udara yang dikawal Vietnam awal pagi ini, lapor Xinhua.

MAS dalam kenyataannya mengesahkan penumpang pesawat tersebut terdiri daripada warganegara China 152 orang termasuk seorang bayi, Malaysia 38 orang, Indonesia 12 orang, Australia 7 orang, Perancis 3 orang, Amerika Syarikat 3 orang termasuk seorang bayi, New Zealand 2 orang, Ukraine 2 orang, CKanada 2 orang, Russia 1 orang, Itali 1 orang, Taiwan 1 orang, Belanda 1 orang dan Austria 1 orang.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter, menggesa ahli keluarga penumpang dan anak kapal bertenang.

"Kepada ahli keluarga penumpang dalam pesawat, bertenang dan dapatkan maklumat yang sahih. Kami akan maklumkan. Doa untuk semua," tulis beliau.

Pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan menyelamat selepas pesawat yang menuju Beijing itu dilaporkan terputus hubungan dengan Menara Kawalan Udara Subang pada 2.40 pagi tadi.

Pesawat B777-200 itu meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.31 pagi dan sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi tadi.

"Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang memulakan operasi mencari dan menyelamat untuk mencari pesawat," kata syarikat penerbangan itu.

MAS berkata ia akan menyediakan laporan terkini dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat.

Ahli keluarga penumpang dan anak kapal disarankan berkumpul di Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA. Untuk maklumat, hubungi 03-8787 1269.

Orang ramai juga boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk maklumat lanjut.

Beberapa nahas kapal terbang melibatkan MAS berlaku sebelum ini.

Pada 10 Oktober, 2013, dua orang terbunuh, termasuk pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, dan penumpang Tan Ah Chai, 96, selepas penerbangan MASwings dari Kota Kinabalu ke Kudat terhempas akibat terlepas landasan ketika mendarat.

Pada 15 September, 1995, 34 orang terbunuh dan 19 terselamat selepas pesawat MAS terhempas berhampiran Tawau. Kemalangan tersebut didapati berpunca daripada juruterbang yang tidak mematuhi prosedur piawaian operasi (SOP).

Kemalangan paling buruk dalam sejarah penerbangan Malaysia adalah di Tanjung Kupang pada 4 Disember, 1977, apabila 100 orang di dalam pesawat MAS terkorban selepas ia dirampas ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Subang.

Beberapa orang kenamaan, termasuk menteri pertanian Datuk Ali Ahmad, pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Mahfuz Khalid dan duta Cuba ke Jepun, Mario GarcĂ­a, juga berada di atas pesawat. – 8 Mac, 2014.

TMI


ANWAR DIHUKUM 5 TAHUN PENJARA

Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II bersambung hari ini dengan peguam Ram Karpal meneruskan penghujahannya mengenai sampel air mani yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ram membayangkan kepada mahkamah semalam bahawa beliau memerlukan dua jam lagi untuk mengakhiri hujahnya. Beliau dijangka menyediakan hujah selanjutnya mengenai isu integriti sampel air mani itu dan kemungkinan sampel itu telah diganggu.

Tumpuan utama pihak pendakwa dan pembela bergantung ialah integriti sampel itu kerana hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah semasa membebaskan Anwar, mendapati ia tidak selamat untuk membuat sabitan kerana sampel itu mungkin telah diganggu.

Ia telah didedah di mahkamah bahawa pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira telah membuka beg plastik yang tertutup dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan meletakkan 12 sampel dalam sampul surat berasingan sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia untuk dianalisis.

Walaupun peguam yang dilantik kerajaan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah bertegaskan bahawa rantaian bukti tidak terjejas walaupun beg plastik dari HKL dibuka, Ram pula menyatakan sebaliknya berkaitan "keaslian" sampel air mani, walaupun diperiksa empat hari selepas kejadian yang dikatakan itu.

Selepas kejadian liwat yang dikatakan pada 26 Jun 2008 di kondominium Desa Damansara, Saiful memberi keterangan bahawa dia tidak mandi dan tidak membasuhnya dalam usaha "untuk menyimpan bukti". Dia membuat laporan polis dua hari kemudian dan sampel itu diambil pada malam 28 Jun dan awal pagi 29 Jun.

Sampel itu kemudiannya disimpan oleh Pereira, bukan dalam peti sejuk seperti yang diarahkan oleh doktor HKL, tetapi dalam kabinet logam di pejabatnya dan kemudian diserahkan kepada ahli kimia pada malam 30 Jun.
                                    
Shafee juga telah membuat hujah teknikal bahawa ujian mahkamah hendaklah di atas imbangan kebarangkalian, manakala peguam kanan Karpal Singh berkata itu salah kerana mahkamah perlu menerima pakai pendekatan 'melampaui keraguan yang munasabah'.

Dalam prosiding jenayah, pihak pendakwaan sering diperlukan untuk
membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah manakala imbangan kebarangkalian biasanya diguna pakai dalam kes-kes sivil.

Selepas penghujahan pihak pembela pagi ini, Shafee akan meneruskan penghujahan balas. Beliau mengambil dua setengah jam dalam berhujah kes pendakwaan semalam.

Adalah menarik untuk melihat sama ada panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, akan menyampaikan keputusannya hari ini atau sebaliknya mengumumkannya pada tarikh yang lain.

Bagi Anwar, keputusan itu boleh menjejaskan usahanya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang di mana tarikh pencalonan telah ditetapkan pada Selasa depan.

Malaysiakini membuat laporan langsung hari kedua prosiding rayuan pendakwa terhadap penghakiman dalam Liwat II.

Malaysiakini