Sunday, 20 April 2014

PESAWAT MH192 BERPATAH BALIK DAN MENDARAT CEMAS

21 APR 14 : Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.09 malam Ahad menuju ke Bangalore, India, telah membuat ‘air turn back’ berpatah balik ke KLIA.

Difahamkan MH192 mengalami masalah dengan peralatan pendaratan (landing gear) apabila tayarnya dikatakan meletup ketika berlepas.

Sehubungan itu pesawat jenis Boeing 737-800 itu dikatakan berlegar di ruang udara Selat Melaka bagi mengurangkan bekalan bahan bakarnya sebelum membuat pendaratan cemas di KLIA.

MAS dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan jam 1.35 pagi Isnin mengesahkan penerbangan MH192 yang berlepas dari KLIA pada jam 10.09 malam menuju ke Bangalore telah membuat pusingan udara ke arah Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan MAS itu, peralatan pendaratan di bahagian kanan pesawat berkenaan didapati tidak berfungsi ketika berlepas dan ia membuat pendaratan cemas di KLIA pada kira-kira jam 1.56 pagi, hari ini (Isnin).

Penerbangan MH192 yang beroperasi menggunakan pesawat Boieng 737-800, dijadualkan tiba di Bangalore pada 11.35 malam hari yang sama (Ahad).

Penerbangan itu membawa seramai 166 orang, terdiri daripada 159 penumpang dan 7 anak kapal.




LAGI KEMALANGAN BAS EKSPRES



PEKAN: Sebuah lagi bas terbabit dalam kemalangan di Pahang dalam tempoh seminggu. Sebelum ini kita dikejutkan dengan kemalangan bas ekspres di Lipis yang mengakibatkan dua kematian.
Semalam pula, sebuah bas ekspres kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Temerloh yang menyebabkan ramai mangsa cedera parah.
Hari ini, sebuah lagi bas terbabit dengan kemalangan dan kali ini ia berlaku di daerah Pekan pula.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.30 petang tadi. Bas dua tingkat yang membawa pelancong asing dari Pulau Redang, Terengganu ke Singapura dipercayai terbabas di kawasan Ladang Sungai Jernih, Paloh Hinai berhampiran simpang Felda Chini  dekat sini.
Difahamkan, bas itu turut membawa pelancong dari United Kingdom dan Amerika Syarikat. Seorang peelancong dipercayai telah meninggal dunia dalam kejadian terbaru ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pekan ketika dihubungi mengesahkan menerima panggilan jam 4.25 petang dan sudah menghantar jentera ke lokasi kejadian. PDO