Thursday, 3 July 2014
MENTERI WILAYAH DIJEMPUT TUMPANG SEKAKI
KENYATAAN MEDIA
3 JULAI 2014
DAPUR JALANAN KUALA LUMPUR TETAP AKAN MENJALANKAN AKTIVITI BERKONGSI MAKANAN
Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur tetap akan berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah. Pada bulan Ramadhan ini aktiviti berkongsi makanan kami dijalankan jam 10 malam setiap hari Sabtu. Kami menjemput semua untuk menyertai aktiviti kami.
Seperti kenyataan kami semalam, kami turut menjemput Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor untuk turun sendiri melihat keadaan sebenar golongan miskin kota dan warga tak berumah.
Sebagai warga yang bertanggungjawab kami senantiasa memastikan tahap kebersihan yang tinggi sewaktu dan selepas aktiviti kami. Pada hari Sabtu ini Tengku Adnan boleh melihat sendiri dan menilai tahap kebersihan aktiviti kami serta yang lebih penting menilai sama ada aktiviti berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah benar- benar menjejaskan imej bandaraya Kuala Lumpur.
Dapur Jalanan Kuala Lumpur juga berpendirian bahawa Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar dan DBKL tidak berhak menetapkan jarak atau kawasan manakah yang dibenarkan bagi mana-mana organisasi untuk memberikan makanan percuma kerana aktiviti kami tidak menggunakan dana dari kementerian mahupun DBKL. Maka kami berhak untuk menentukan tempat untuk kami menjalankan aktiviti kami.
Sama bantu, sama rasa
Dapur Jalanan Kuala Lumpur
3 Julai 2014
-MAKANAN ADALAH HAK UNTUK SEMUA BANGSA-
DJKL
Subscribe to:
Posts (Atom)