Monday, 7 July 2014

PESAWAT AIRASIA TERGELINCIR KETIKA MENDARAT


BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Sebuah pesawat AirAsia dilapor tergelincir ketika sedang melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei petang tadi.

Memetik laporan sebuah portal, kejadian tersebut telah disahkan oleh AirAsia.

Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata, insiden membabitkan Penerbangan AK 278 kira-kira 4 petang dan tiada sebarang kecederaan berlaku.

Menurut kenyataan itu lagi, semua penumpang dan kru pesawat berkenaan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Semasa kejadian terdapat seramai 102 penumpang dan tujuh kru di dalam pesawat.

AirAsia menambah, kakitangannya di lapangan terbang tersebut sedang melakukan apa yang perlu bagi membantu semua penumpang terlibat.

Pada masa sama, pihaknya turut bekerja sama dengan semua pihak berkuasa bagi mengenalpasti apakan punca kejadian berkenaan.

AirAsia juga akan memaklumkan maklumat terkini mengenai kejadian berkenaan jika perlu.

SH


Sunday, 6 July 2014

PENGANTIN BAHARU DIBAKAR SUAMI



KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.

Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.

“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.

Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.

“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.

Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih.

SH