Sunday, 28 September 2014

NGERI: TUBUH WANITA HAMIL BERKECAI DIGILIS KERETAPI



ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seorang wanita hamil tujuh bulan sempat memohon maaf sebelum ditemui maut di lintasan kereta api berhampiran Kampung Kuala Alor, Alor Merah, dekat sini, pagi tadi.

Ku Nurul Shuhada Ku Rosli, 28, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila serpihan anggota badannya ditemui dan dipercayai dilanggar kereta api.

Wanita itu dipercayai diseret kereta api barang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Pulau Pinang sejauh 300 meter sebelum ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi.

Suami mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Saiful, 43, berkata, isterinya keluar ke kedai berhampiran kira-kira jam 8 pagi namun masih tidak pulang sejam kemudian.

"Selalunya, isteri ke kedai dalam tempoh 10 minit sahaja, namun dia didapati tidak pulang ke kediaman seperti kebiasaannya meskipun sudah jam 9 pagi.

"Lalu, saya dan bapa mertua keluar mencarinya sekitar kampung, namun masih gagal sebelum pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.

Namun, rakannya memaklumkan ada orang digilis kereta api sebaik mereka tiba di rumah sekitar jam 10 pagi menyebabkannya bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau terkejut apabila mengenal pasti mayat itu adalah isterinya melalui pakaian dan kunci miliknya.

Menurut suami mangsa lagi, mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun setengah dan sedang menunggu kelahiran anak kedua dijangka dua bulan lagi.

Beliau berkata, isterinya sempat memohon maaf kepadanya dan kedua ibu bapa Allahyarham pada malam sebelum kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Al-Fatihah.

Ini berita susulan:

Keluarga berusaha rawati masalah kemurungan mangsa

ALOR SETAR - Keluarga Allahyarham Ku Nurul Shuhada Ku Rosli, 28, melakukan pelbagai usaha untuk merawati masalah kemurungannya termasuk perubatan moden dan tradisional.

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful berkata, masalah berlaku sejak awal kehamilan anak kedua mereka apabila isterinya lebih suka menyendiri seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.

"Sejak berdepan masalah itu, dia mudah lupa dengan apa yang sedang dilakukannya. Bimbang keadaan menjadi semakin serius kami membawanya berjumpa doktor dan pada masa sama turut berikhtiar menemui pengamal perubatan tradisional.

"Setelah beberapa bulan berusaha tahap kesihatannya semakin baik namun sejak dua minggu kebelakangan ini kembali merosot," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Allahyarham Ku Nurul Shuhada maut dirempuh kereta api berhampiran Kampung Kuala Alor, Alor Merah dan mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh wanita hamil berkecai digilis kereta api]

Sementara itu, Saiful turut menafikan desas desus bahawa isterinya cuba membunuh diri sebaliknya wanita itu berdepan dengan masalah kesihatan.

"Sepanjang menjalani rawatan, anak kami yang berusia setahun setengah dijaga oleh datuknya dan lebih rapat dengan saya berbanding Allahyarham.

"Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 7 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Alor Merah," katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu beliau akan tinggal bersama keluarga mertuanya sebelum kembali ke Pulau Pinang.

SinarHarian



Gambar: terengganutimes


TINDAKAN KEJAM DBKL UNDANG RESPON NEGATIF PENGGUNA MEDIA SOSIAL








Kenyataan Media


Tindakan Kejam DBKL Undang Respon Negetif Pengguna Media Sosial

Telah tersebar secara meluas di laman sosial, sebuah klip footage berdurasi hampir 3 minit yang menunjukkan bagaimana kejamnya pendekatan penguasa DBKL ketika menjalankan tugas. Klip tersebut memperlihatkan penguasa DBKL merampas barang peniaga untuk tujuan disita hingga menimbulkan pergelutan antara penguasa dan orang awam.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memandang serius cara yang sangat tidak beretika pihak DBKL menangani peniaga kecilan yang juga merupakan rakyat tempatan. Apakah DBKL tidak mempunyai perasaan dan hati perut?

Harus diingat, rakyat Malaysia ketika ini menghadapi kemelut kewangan yang parah. Fakta menunjukkan nisbah hutang isi rumah telah mencecah 854 bilion bersamaan 86.8% Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK). Hampir 80% rakyat Malaysia tidak mampu menyimpan (saving) di atas kesempitan hidup dengan kenaikan harga barang/perkhidmatan yang tidak terkawal.

Justeru, berniaga secara kecil-kecilan menjadi trend rakyat Malaysia untuk menampung keperluan bulanan selain kerja tetap. Dalam masa sama, peluang untuk mendapat ruang perniagaan telah dimonopoli oleh golongan tertentu termasuklah warga asing. Ini yang berlaku dalam negara dan ia tidak dapat dikawal.

Sebagai contoh, wujud pasar kemboja, pasar vietnam di merata ceruk. Pusat perniagaan Chow Kit pula telah dikuasai warga asing manakala pusat perniagaan barang tiruan terbesar negara iaitu Petaling Street telah diiktiraf sejak sekian lama. Malah, Petaling Street dibangunkan dengan bumbung dan pintu gerbang yang menelan perbelanjaan besar serta mendapat layanan istimewa dari penguasa.

Mengapa wujud perbezaan layanan seperti ini? Apakah kerana rakyat tempatan yang baru hendak mulakan perniagaan tidak mampu membayar 'wang perlindungan' maka perniagaan halal mereka diberkas?

Persoalan ini turut diluahkan oleh ramai pengguna laman sosial yang telah menonton klip tersebut. Orang ramai berpendapat DBKL tidak berani mengambil tindakan terhadap warga asing yang berniaga di merata tempat tetapi bertindak kasar dengan warga tempatan. Ini bukan kes pertama DBKL bertindak buas dan tidak berperi kemanusiaan, banyak lagi gerai rakyat tempatan diroboh penguasa DBKL telah dilaporkan.

SAMM memberi amaran kepada DBKL supaya tidak menguji kesabaran rakyat. Janganlah bertindak seperti zionis terhadap rakyat sendiri, malah zionis Israel tidak pernah menindas rakyatnya sendiri.

SAMM juga mencadangkan supaya diwujudkan mekanisma pengeluaran permit 'on the spot' kepada peniaga tempatan, dengan syarat-syarat tertentu seperti tahap kebersihan jualan (jika berbentuk hidangan) dan persekitaran.

Pokoknya, soal peniaga kecilan ini wajar diselesaikan cara yang berhemah dan tiada keperluan untuk bertindak kasar khususnya terhadap warga tempatan.

"Rakyat bersatu tidak dapat dikalahkan"

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)