Wednesday 29 December 2010

Tahniah kepada pasukan bolasepak Malaysia, takziah kepada penonton Indonesia

Sekalung tahniah untuk pasukan bolasepak Malaysia atas kecemerlangan memenangi Piala Suzuki, piala rebutan negara-negara ASEAN, buat julung kalinya.

Kemenangan pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda itu sudah pasti akan membangkitkan semula semangat dan sokongan rakyat Malaysia kepada pasukan bolasepak negara yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi bahan cemuhan dan kutukan.

Kemenangan yang dicatatkan menerusi perlawanan akhir pusingan kedua di Jakarta malam tadi, walaupun kalah 1-2 tetapi menang dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 pada perlawanan akhir pusingan pertama di Bukit Jalil, disambut dengan pengumuman cuti pada hari Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak.

Kita tidak lupa mengucap tahniah dan syabas kepada pasukan Indonesia kerana memperlihatkan semangat kesukanan dan persahabatan atas padang permainan. Kedua-dua pasukan bermain bersungguh-sungguh tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Inilah semangat yang seharusnya diperlihatkan dalam mana-mana acara sukan.

Perkara yang sama tidak boleh diucapkan kepada sebilangan besar penonton Indonesia. Sebaliknya kita merakamkan ucapan takziah atas kehilangan semangat kesukanan, persahabatan dan setiakawan ASEAN. Sukan telah dijadikan bahan dan pelantar untuk mengutuk, menghina dan mencemari Jalur Gemilang, bendera kebangsaan Malaysia.

Nama negara Malaysia juga dipermain-mainkan dan dihina dengan sebutan 'malingsia' dalam sepanduk yang dibawa ke dalam stadium. Ke mana hilangnya budi bahasa dan rasa hormat sebagai tuan rumah kepada tetamu menjadi tanda tanya.

Kepada pembaca yang tidak tahu apa ertinya 'maling' dan oleh itu tidak menghiraukannya, termasuk media Malaysia yang membuat liputan perlawanan akhir itu, elok juga diterangkan  maknanya. 'Maling' membawa maksud pencuri dan jika negara kita di sebut sebagai 'malingsia' ia membawa maksud 'negara pencuri'.

Kononnya Malaysia mencuri lagu Terang Bulan untuk dijadikan lagu kebangsaan kita, Negara Ku, kita juga dituduh mencuri rekaan batik dan beberapa jenis tarian, budaya dan makanan  mereka. Oleh itu negara kita dikatakan sebagai sebuah negara yang mencuri banyak benda daripada mereka.

Ketibaan pasukan bolasepak kita di Jakarta juga disambut dengan kata-kata caci-hamun sehingga Rajagobal dan anak-anak buahnya tidak dapat berlatih di stadium  Senayan seperti yang dipersetujui.

Mereka turut membakar Jalur Gemilang dan yang lebih bodoh lagi, mengotori anak patung Upin dan Ipin sebagai tanda penghinaan kepada kita. Alangkah rendahnya pemikiran sedemikian.

Rakyat Malaysia sewajarnya bangga kerana kita tidak berkelakuan biadab seperti itu dan kita tidak sama sekali mengganggu apatah lagi menghina pasukan Indonesia semasa berada di negara bertuah ini. Syabas kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan budi pekerti mulia terutama kepada tetamu.

Apa nak dikatakan kerana jika itulah budaya mereka yang berkelakuan bodoh itu, kita akur sahaja. Lagi pun, bukankah kita menerima berjuta babu dan buruh dari Indonesia yang mencari nafkah hidup di Malaysia. Mereka sering berkata bahawa jika pekerja mereka tidak ke sini, Malaysia akan menghadapi masalah. Jawapannya tidak sama sekali. Sebagai sebuah negara yang bertaraf majikan, Malaysia boleh mendapatkan pekerja dari negara lain dan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada Indonesia.

Sebagai sebuah negara yang bertaraf  'tuan'  dan bukan pengeksport babu dan buruh kasar, kita memahami akan tahap dan setinggi mana minda mereka yang tidak tahu menghormati tetamu, menghormati lambang dan lagu kebangsaan kita.

Sekali lagi, takziah kepada sebilangan besar penonton di Gelora Bung Karno yang bersikap dan berperangai buruk, kita akui bukan semua tetapi dek setitik nila, rosak susu sebelanga.

Tuesday 28 December 2010

Cerita rogol perkara serius

Seorang hamba Allah bertanya saya mengenai cerita kononnya seorang menteri merogol pembantu rumahnya. Pembantu itu dikatakan telah dihantar pulang ke Indonesia setelah dibayar ganjaran sewajarnya.

Jawapan saya ringkas. Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik tidur seseorang atau di mana sekalipun.

Kita harus sedar bahawa cerita berkenaan disebar luas dalam alam maya. Ia tidak semestinya betul dan kita sendiri tidak tahu akan kebenarannya melainkan kita sendiri melihatnya.

Rogol bukan perkara kecil. Ia satu kesalahan yang jika disabitkan, akan dikenakan hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan.

Jika cerita itu tidak benar, maka sesiapa yang menyebarnya melakukan fitnah. Hukuman fitnah dari sudut Islam adalah sama beratnya seperti hukum berzina.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam memperkatakan sesuatu yang seberat rogol kerana jika ianya tidak berlaku, kita sebenarnya menyebar fitnah.