Sunday 3 March 2013

Jangan ulangi kesilapan kes Batu Puteh

Pencerobohan apa yang didakwa sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu di Sabah telah membangkitkan semula hasrat pentadbiran Filipina di Manila untuk membawa kes tuntutan republik itu ke atas Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.  

Kita sedar bahawa pihak Manila mengambil kesempatan daripada pencerobohan pengganas dari bekas kesultanan itu untuk menghidupkan kes tuntutan mereka. Kita harap kerajaan Malaysia tidak akan tunduk dan akur dengan muslihat Manila itu.

Apa yang difahami ialah sebarang tuntutan atau kes yang hendak di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa  mesti mendapat persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Filipina tidak boleh membawa kes itu tanpa persetujuan kerajaan Malaysia.

Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan apabila bersetuju dengan kehendak pentadbiran Singapura membawa kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan penuh keyakinan bahawa kita akan menang. Apa yang berlaku sebaliknya, Malaysia kehilangan Batu Puteh dan hanya diberi dua 'ketul' batu besar yang hanya dapat dilihat dengan mata kasar apabila air surut.

Isu tuntutan ke atas Sabah oleh sama ada pentadbiran Filipina di Manila atau mereka yang mengaku waris kesultanan Sulu sebenarnya tidak timbul setelah rakyat Sabah sendiri memilih untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Ianya disahkan oleh Suruhanjaya Cobbold yang ditubuh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf oleh dunia. 

Kita pun boleh mempertikai siapa sebenarnya waris kesultanan Sulu kerana ada beberapa pihak yang mengaku mewarisi kesultanan yang tidak lagi wujud.  Asal usul kesultanan itu, yang dikatakan bermula pada tahun 1450 pun boleh dipertikaikan.

"Pajakan" yang dibayar kepada waris sultan Sulu juga boleh dipertikaikan, jika kita mahu. 

Walau apapun, Malaysia tidak boleh sama sekali bersetuju untuk membawa kes tuntutan ke atas Sabah, yang diiktiraf dunia sebagai  sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, ke pihak ketiga termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Kita tidak perlu berbuat demikian kerana rakyat Sabah sendiri memilih Malaysia, mereka tidak memilih  Filipina ataupun Sulu.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas ruh semua pahlawan negara yang gugur mempertahankan kedaulatan Malaysia, khasnya Sabah. Jangan persia-siakan pengorbanan mereka.

    




Friday 1 March 2013

Pencerobohan di Lahad Datu bukan sandiwara

Nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Inilah yang dapat dikatakan apabila membaca ulasan ahli politik Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang merujuk kepada insiden pencerobohan warga asing di Lahad Datu, Sabah.

Dua orang anggota VAT 69 Polis Diraja Malaysia hilang nyawa kerana bertugas mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu. Adakah ini satu sandiwara seperti yang dinyatakan oleh naib presiden PKR itu?

Apakah jadahnya bagi Tian Chua untuk menyatakan peristiwa yang berlaku di Lahad Datu  itu sebagai sesuatu yang didalangi kerajaan atau UMNO semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada perkara yang tidak munasabah? 

Apakah Tian Chua akan tetap menuduh ianya satu sandiwara setelah melihat nasib malang yang menimpa keluarga dua orang anggota VAT 69 itu? Di mana letaknya kewarasan Tian Chua dan apakah jawaban yang boleh diberikannya kepada anak-anak yang dengan sekelip mata menjadi anak yatim itu? 

Apa yang berlaku di Lahad Datu bukan soal politik, bukan soal pilihan raya dan bukan soal sesiapapun yang cuba nak alih perhatian daripada satu perkara kepada perkara lain. Ia adalah soal kedaulatan, soal maruah dan soal keselamatan negara.

Benar, kerajaan lambat bertindak dan sempadan laut negara antara Sabah dan selatan Filipina begitu mudah dibolosi dan tindakan segera mesti diambil untuk memperbetulkannya.

Rakyat, khususnya di Sabah, sudah pasti kurang senang melihat gerombolan orang asing bersenjata api termasuk 'mortar' atau meriam katak dengan mudah memasuki negeri di bawah bayu itu dan menduduki sebuah perkampungan. 

Sepatutnya kerajaan melalui agensi keselamatan segera bertindak sama ada mengusir atau menghapuskan ancaman bersenjata itu bukan 'berunding' sedangkan kedaulatan negara dicerobohi.

Ia adalah sesuatu yang amat serius dan bukan satu sandiwara.

Kerajaan, khususnya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn dan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana nyawa dua orang anggota keselamatan menjadi korban semata-mata kerana sikap berlembut yang diamil oleh kerajaan. 

Tian Chua pula harus diambil tindakan kerana melempar tuduhan bahawa apa yang berlaku adalah satu sandiwara.