Saturday 15 May 2010

SELAMAT HARI GURU

Kepada semua guru, iaitu semua insan yang bergelar "guru" dalam apa jua bidang selain guru sekolah, saya rakamkan ucapan Selamat Hari Guru.

Ingatan saya kembali ke tahun 1956 apabila mula menjejak kaki di bangku sekolah, iaitu Sekolah Melayu Kelawai, George Town, Pulau Pinang, hingga tahun 1959. Malangnya, sekolah berkenaan terpaksa ditutup awal tahun 1970-an berikutan kekurangan murid. Di tapak sekolah di Jalan Kelawai kini terdiri sebuah pangsapuri 15 tingkat bernama Menara Yayasan.

Pada tahun 1960, saya memasuki sekolah Inggeris, Westland's Primary, setelah lulus peperiksaan untuk ke Special Malay Class.

Saya masih ingat akan pengorbanan insan bernama guru yang memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada bidang yang diceburi. Guru pada masa itu amat berdedikasi. Semasa belajar di Sekolah Melayu Kelawai, saya masih ingat allahyarham Cik Gu Omar dan allahyarham Cik Gu Ridzuan yang mengayuh basikal ke sekolah.

Ketekunan dan tumpuan mereka terhadap pengajaran amat dihargai kerana mereka bukan sahaja bertindak selaku guru tetapi lebih daripada itu. Cik Gu Omar, Cik Gu Ridzuan, Cik Gu Zaiton dan Master Rahman, guru bahasa Inggeris, juga bertindak selaku ibu dan bapa dan mengambil berat tentang kebajikan anak murid mereka, sesuatu yang jarang berlaku sekarang.

Semasa di sekolah menengah, iaitu sebuah sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh Katolik, saya dapati guru yang berjubah putih yang digelar "Brother" mengajar dengan penuh dedikasi tanpa mengira agama dan bangsa.

Guru pada masa itu menjadi guru kerana minat, bukan kerana "terpaksa" kerana tidak mendapat kerja lain. Itulah yang menjadikan mereka begitu dedikasi terhadap kerjaya yang diceburi.

Zaman telah berubah dan kerjaya perguruan turut berubah. Tidak kurang banyaknya guru yang ada sekarang "terpaksa" menjadi guru kerana kerjaya itu bukan pilihan utama tetapi tiada pilihan lain dan mereka perlu bekerja untuk menampung keperluan hidup. Ini tidak bermakna yang mereka tidak bagus, ramai yang terbukti menjadi guru yang bagus dan berdedikasi.

Guru masa kini menghadapi banyak cabaran dan dugaan termasuk ledakan teknologi maklumat atau Internet. Guru kena setapak lebih dahulu daripada murid kerana sering kali murid lebih dahulu mencapai maklumat dari Internet. Guru mesti celik komputer dan celik Internet.

Pada zaman sekolah mengejar keputusan peperiksaan atau kecemerlangan akademik, guru menghadapi tekanan pihak-pihak berkenaan untuk memastikan sekolah mereka mencatat keputusan cemerlang. Guru terpaksa bekerja lebih masa dan pada hujung minggu untuk mengejar kecemerlangan akademik untuk sekolah.

Pengenalan sekolah berprestasi tinggi turut memberi tekanan kepada sekolah untuk mengekal atau memperbaiki prestasi keseluruhan sekolah. Ini juga memberi tekanan dan beban tambahan kepada guru. Untuk menjaga kedudukan sekolah berprestasi tinggi, kita tidak mahu pihak sekolah menyalah guna kebebasan atau autonomi yang diberikan semata-mata untuk mempertahankan taraf itu.

Walau apapun, kita ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru sekolah, guru yang mengajar membaca Al-Quran, guru silat, guru muzik, guru tarian dan guru yang mengajar ilmu-ilmu tertentu di mana sahaja mereka berada.

No comments:

Post a Comment