Wednesday, 21 July 2010

Air sememangnya dari langit!

Tengkarah mengenai kecukupan bekalan air untuk negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, terutama antara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, telah reda berikutan timbulnya isu lombong pasir.

Jika diteliti secara halus, isu lombong pasir lebih merupakan 'perebutan' antara dua orang tokoh Umno Selangor yang bercita-cita menjadi Menteri Bessar, itupun jika BN/Umno menang pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Daripada dua isu berkenaan, isu bekalan air jauh mengatasi isu melombong pasir kerana ia (air) adalah keperluan hidup manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ketiga-tiga makhluk tuhan itu akan mati jika tiada air. Begitulah penting dan gentingnya isu air.

Bercakap mengenai isu bekalan air, saya tertarik melihat sebuah arca paip besar atau paip gergasi di atas sebuah tangki air di Cheras yang dapat dilihat dari Jalan Lingkaran Tengah Dua atau MRR2.

Paip gerasi yang kelihatan seolah-olah mendapat bekalan air dari langit untuk disalurkan ke dalam tangki berkenaan, memberi ingatan bahawa air datangnya dari langit (awan).

Apa yang perlu diingati ialah air yang diturunkan dari langit (hujan) akan hilang sekiranya air yang ada dibumi menjadi kering kontang. Oleh itu, putaran alam seperti yang sedia kala perlu dijaga, dilindungi dan dipertahankan untuk menjamin putarannya tidak terhenti.

Oleh itu, isu lombong pasir, isu menarah bukit dan menebang pokok di hutan mesti dikawal dan diselia agar ia tidak menjejas putaran alam yang boleh mengakibatkan berkurangnya hujan yang membekal air untuk kehidupan.



No comments:

Post a Comment