Friday, 3 January 2014

PDRM akan lakukan rombakan dan kenaikan pangkat peringkat Bukit Aman dan Kontinjen

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan rombakan peringkat tertinggi membabitkan sekurang-kurangnya tiga orang Pesuruhjaya Polis (CP) yang mengetuai jabatan-jabatan tertentu di Bukit Aman.

Rombakan dan kenaikan pangkat itu perlu dilakukan berikutan persaraan empat pegawai tinggi bermula bulan Januari ini.

Mendahului senarai pegawai tinggi yang akan bersara wajib ialah Timbalan Ketua Polis Negara (DIG) Datuk Seri Mohamad Bakri Mohamad Zinin. Ini bermakna salah seorang daripada CP berjawatan pengarah akan dinaik pangkat ke DIG atau Deputi Inspektor-Jeneral Polis.

Nama tiga orang CP berikut terkeluar daripada senarai calon yang bakal dilantik DIG kerana mereka pun akan turut bersara. Mereka ialah Dato' Wira Syed Ismail Syed Azizan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil; Dato' Wira Ayob Yaakob, Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah dan Dato' Hadi Ho Abdullah, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Persaraan ketiga-tiga CP itu bermakna tiga orang pegawai kanan berpangkat  Timbalan Pesuruhjaya Kanan yang majoritinya mengetuai kontinjen-kontinjen polis, akan dinaik pangkat ke jawatan CP untuk mengisi kekosongan tersebut.

Rombakan dan kenaikan pangkat kali ini diharap dapat membawa pembaharuan dan semangat baru di kalangan pegawai dan anggota PDRM.

Rakyat ingin melihat PDRM bersikap profesional 100 peratus dengan menjalankan tugas yang diamanahkan demi kepentingan rakyat dan negara, bukan mengikut telunjuk atau kepentingan politik. PDRM semestinya mesra rakyat, melindungi hak dan kepentingan rakyat dan menjadi pelindung demi keselamatan dan keamanan.

No comments:

Post a Comment