Monday, 14 April 2014

UMNO DAH JUMPA SENJATA BARU LAWAN PAKATAN RAKYAT







'Elemen Islam' jadi perisai lawan PAS

Jika Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei 2014 bagi membantah perlaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) atau lain-lain isu yang berkaitan pembelaan terhadap hak rakyat, maka kemungkinan yang tidak dapat disangkal ialah kerajaan BN akan menganjurkan program keagamaan bagi menyainginya. Ia mungkin program Cinta Rasul, Salawat Perdana atau forum keagamaan yang mengundang tokoh-tokoh hebat.
Baru-baru ini PAS Kedah menganjurkan Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0. Himpunan dirancang kira-kira dua bulan lalu. Tak semena-mena dalam masa tidak sampai dua minggu, Umno menganjurkan program Cinta Rasul juga di Baling walaupun lokasi berbeza. Program kilat itu mengundang habib kecil untuk memimpin salawat ke atas junjungan nabi SAW serta penceramah pro Umno. Atas rasa ketidakyakinan bahawa program tersebut mendapat sambutan, mereka mengadakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motorsikal baharu.
Sewaktu Pakatan mengadakan himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang bulan lalu, Umno pula mengadakan program salawat perdana di Putrajaya yang mengundang habib besar sebagai penarik kehadiran orang ramai. Trend terkini, program-program berselawat sebegitu mendapat sokongan besar dari umat Islam khususnya yang mencintai agama. Mereka yang membanjirinya bukan anak-anak muda perempit atau yang ghairah menghadiri konsert maksiat tetapi golongan muda yang ikhlas mencintai Rasulullah SAW serta perjuangan yang dibawanya. Golongan ini lebih selesa mengenakan jubah, serban dan ridak.

Maka para pemimpin Umno hadir ‘tumpang tui’ program sebegitu juga dengan watak golongan yang mencintai agama Allah. Perdana Menteri, menteri, menteri besar dan exco turut berjubah dan beridak, malah ada menteri besar yang turut berserban. Isteri Perdana Menteri yang hadir juga kelihatan menutup aurat dengan sempurna.



Dahulu suasana seperti ini tidak pernah kelihatan. Imej Islam bagi para pemimpin Umno digambarkan melalui sepasang baju Melayu dan songkok hitam. Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, Tun Mahathir hampir tidak pernah dilihat berjubah. Hanya sekali beliau dikesan berkopiah putih apabila hadir bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor di satu program yang diadakan di Darul Aitam Walmasakin, Alor Setar. Beliau dipaksakan memakai kopiah oleh penganjur.
Suasana berubah kini. Jubah dan serban yang dianggap symbol ekstrimis Islam suatu masa dahulu kini dipakai dengan selesa oleh para pemimpin parti sekular Umno termasuk anak Tun Mahathir sendiri. Biar apa pun niat yang terkandung dalam hati kecil sipemakai maka bukan tugas kita untuk mentafsirkannya kerana andai terselit niat untuk mengejeknya ia semacam menghina sunnah Rasulullah SAW, sedang orang yang menghina sunnah Rasulullah tempat yang layak baginya adalah neraka, waliyazubillah.
Cuma yang membuka persoalan di sebalik pakaian sunnah bahkan program-program berbentuk keIslaman itu ialah sikap istiqomah mereka. Hadir dalam program sebegitu dengan pakaian sunnah dan isteri menutup aurat, selepas itu hadir pula dalam program lain dengan anak perempuan dan isteri bertelanjang rambut. Hadir program cinta Rasul, selepas itu benarkan pula penganjuran program anti Rasul. Dalam program cinta Rasul, luar program cinta rasuah – khazanah kekayaan negara dirembat semahunya untuk kroni dan sanak saudara. Isteri kenamaan dapat memakai cincin, jam tangan dan beg tangan yang mahal-mahal. Memegang jawatan dalam parti yang memerintah adalah lesen untuk membina empayar kekayaan. Rakyat dhaif dan marhaen terpaksa membayar kos yang tinggi apabila harga pengurusan negara dinaikkan dengan tidak munasabah demi untuk mendapat lebihan wang bagi disalurkan kepada para penyamun berlesen. Istilah lunaknya disebut ketirisan dan ungkapan kasarnya, rasuah! Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar menganggarkan RM30 billion wang rakyat hilang akibat ketirisan. Adakah ini perangai golongan cinta Rasul?
Separuh abad PAS yang membawa perjuangan Islam dicop sebagai golongan yang memperalatkan agama untuk tujuan politik, sekalipun PAS dan elemen Islam adalah sinonim dan tulen. PAS tidak pernah berlakon dengan amalan Islam. Apabila tiba-tiba Umno sebuah parti sekular yang memperjuangkan nasionalisme Melayu sempit mempamerkan elemen Islam, maka apakah mereka sebenarnya yang memperalatkan Islam untuk tujuan politik?
Sokongan majoriti masyarakat bukan Melayu/Islam terhadap Pakatan kini sangatlah jelas. Sukar untuk dipecahkan lagi. Umno sedar hal tersebut. Pilihan yang ada bagi Umno ialah menguat serta menambahkan sokongan orang Melayu terhadap mereka. Dahulu Umno agak takut dengan serban dan jubah kerana ia simbol ekstremisme. Kini bagi bagi Umno, kalau PAS yang berserban dan berjubah pun boleh diterima oleh masyarakat bukan Islam sudah tentu Umno yang berketayap dan berjubah lebih-lebih lagi akan disukai oleh orang Melayu yang berjiwa Islam.
Tiada salahnya bagi umat Islam menyanjungi para pemimpin Umno yang mengenakan pakaian sunnah dan menganjurkan program cinta rasul tetapi yang salahnya ialah cepat sangat mempercayai Umno hanya kerana perubahan luarannya. Jangan terpedaya, Umno tetap Umno.
Kalau dahulu BN/Umno menghadapi program besar Pakatan dengan pancutan air kimia dan gas pemedih mata kini tindakan tidak bertamadun itu bukan pendekatan terbaik bagi parti tua yang memerintah negara itu. Berkali-kali tembakan gas mereka hanya mampu membawa sokongan 47 peratus dalam PRU13.

Pendekatan kini ialah bersaing dengan Pakatan melalui penganjuran program berimej Islam. Saya percaya kaedah ini akan digunakan oleh BN sehingga PRU14 nanti.
Dalam perang Siffin antara dua kumpulan sahabat, satu kumpulan yang dikatakan hampir kalah menjulang Al-Quran untuk menghentikan pertempuran. Apapun tindakan dibuat mereka adalah betul kerana berijtihad. Kita yang sudah terlalu jauh dengan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak berhak menilai pertikaian mereka.
Hari ini, jelas pemerintah yang batil sedang berhadapan dengan golongan rakyat yang menuntut hak dan keadilan. Dalam keadaan tenat dan hampir kalah tiba-tiba mereka menjadikan elemen Islam sebagai perisai maka golongan yang cerdik jangan tertipu.

notautara via kedahlanie

No comments:

Post a Comment