Thursday, 21 August 2014

KISAH GAGAK,KAKAK TUA,ANGSA DAN MERAK


Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Seekor gagak yang tinggal di hutan sangat berpuas hati dengan kehidupannya sehingga ia terjumpa seekor angsa. “Putihnya angsa. Saya hitam sangat. Angsa mesti burung yang paling gembira di dunia,” katanya.

Angsa yang tinggal di kolam berkata kepada burung gagak bahawa ia pun fikir begitu satu ketika dulu sehingga ia terjumpa burung kakak tua.

“Saya satu warna sahaja. Burung kakak tua ada dua warna. Burung kakak tua barulah burung yang paling gembira di dunia,” kata angsa itu kepada burung gagak.

Burung gagak itu mencari burung kakak tua dan memberitahu apa yang dikatakan angsa itu.

Burung kakak tua pun menjawab, “Wahai gagak sahabatku! Aku pun fikir begitu dulu aku paling hebat… tapi sehinggalah aku terjumpa burung merak. Dia ada pelbagai warna.”

Burung gagak pun pergi ke zoo dan melihat kehebatan burung merak.

“Wahai burung merak! Cantiknya kamu. Setiap hari beribu manusia datang menjengukmu. Bila mereka melihat saya, mereka halau saya. Kamulah burung yang paling bahagia di dunia,” kata burung gagak.

Burung merak pun menjawab, “Aku selalu rasa akulah paling cantik dan gembira di dunia ini. Tapi kerana kecantikan aku, aku dikurung di dalam zoo ini. Aku telah melihat sekitar zoo ini, hanya burung gagaklah yang tak terkurung di zoo ini. Kalau aku ialah burung gagak, aku rasa aku paling gembira kerana dapat bergerak sana sini.”

Wahai anakku,
Di kalangan manusia, kamu juga akan saling membanding. Sebenarnya ia tidak perlu kerana ia menimbulkan tekanan dan kesedihan. Membanding bermakna kamu tidak menghormati apa yang diberi Allah. Kamu berasa Allah tidak adil. Kamu berasa diri malang.

Wahai anak kesayanganku,
Fokuslah pada apa yang ada di tangan. Setiap manusia ada benda lebih dan benda kurang. Tapi Allah Maha Adil – sesiapa yang tahu bersyukur dengan apa yang ada, dialah manusia yang paling gembira. Adakah kamu salah seorang itu?

Senyum


DD


No comments:

Post a Comment