Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib menafikan dakwaan bekas isterinya bahawa beliau mempunyai hubungan sulit dengan banyak wanita di seluruh dunia sebagai faktor keretakan rumah tangga mereka.
Ketika memberi keterangan di mahkamah pada 2 Sept tahun lepas, Shahnaz Abdul Majid turut mendakwa bekas suaminya itu mempunyai hubungan dengan beberapa wanita bukan muhrim termasuk dari Latvia dan Rusia.
"Saya hanya mengenali seorang gadis mualaf dari Australia yang menyertai kursus agama di Singapura pada 1999," kata Mahmud Abu Bekir ketika disoal balas peguam Akbardin Abdul Kadir yang mewakili Shahnaz.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa punca kegagalan rumah tangganya adalah disebabkan sikapnya yang dianggap 'playboy', curang dan panas baran.
Mahmud Abu Bekir turut menyifatkan keterangan bekas isterinya itu mengenai beberapa insiden termasuk pukul dan tidak bertanggungjawab dalam tempoh tahun 1994 sehingga 1999 adalah rekaan semata-mata.
Mahmud Abu Bakar berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes tuntutan mutaah yang difailkan Shahnaz, kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid, berjumlah RM100 juta.
Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Jan 1992 dan dikurnia seorang anak lelaki, Raden Murya, 21.
Pada 2 Sept tahun lepas, Shahnaz ketika memberi keterangan di mahkamah mendakwa bekas suaminya itu sering keluar dan menghilangkan diri tanpa memberitahu lokasi dirinya sehingga berminggu lamanya.
Shahnaz berkata bekas suaminya itu bukan sahaja bertindak sedemikian tetapi sering memukul, menendang dan menumbuknya tanpa sebab yang munasabah sehingga menyebabkan dirinya cedera.
Bekas isteri yang dikenali sejak Tingkatan 3 itu mendakwa Mahmud Abu Bekir mula berubah selepas kelahiran anak lelaki mereka, Raden Murya, pada akhir 1993.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 21 Jan depan. Mahmud Abu Bekir akan menyambung keterangannya pada hari itu.
- Bernama
MK
No comments:
Post a Comment