Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts

Saturday, 24 January 2009

MALAYSIA KETANDUSAN DIPLOMAT?

Adakah Malaysia, sebuah negara yang mempunyai sebegitu banyak universiti dan warga negara yang terpelajar sama ada dari dalam atau luar negara, ketandusan calon untuk dilantik sebagai duta (diplomat)?

Inilah yang boleh dikatakan kedudukan semasa apabila dua jawatan penting di kedutaan besar Malaysia di Washington dan di Jakarta masih belum dipenuhi atau bakal diplomat dilantik.

Perkara ini didedahkan oleh akhbar The Star hari ini melalui berita bertajuk: Long wait to fill Washington, Jakarta diplomat posts".

Laporan itu menyebut bahawa kedua-dua jawatan penting itu belum dapat dimuktamatkan berikutan campur tangan politik dan perbuatan melobi untuk jawatan duta besar oleh mantan menteri.

Jawatan Duta Besar ke Washington, salah satu jawatan diplomatik yang kanan, telah kosong sejak Jun tahun lepas berikutan persaraan Datuk Rajmah Hussain manakala Duta Besar ke Jakarta, Datuk Zainal Abidin Zain, dijadual bersara pertengahan bulan depan.

Menurut laporan Washington Times, kerajaan Malaysia telah mengemukakan nama mantan duta besar ke Washington, Tan Sri Ghazzali Sheikh Khalid (1999-2006) untuk mengisi kekosongan itu. Ini bermakna Ghazzali, jika dipesetujui oleh pentadbiran Obama, akan berkhidmat buat kali kedua di sana. Setakat ini Washington belum memberi jawapan dan nampaknya Malaysia terpaksa mengemukakan nama lain untuk mengisi kekosongan di ibu negara Amerika Syarikat itu.

Menurut laporan The Star, nama Ghazzali telah dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri (Pak Lah) sedangkan Wisma Putra yang dipimpin oleh Dr Rais Yatim mempunyai calon lain.

Kita sedar bahawa Perdana Menteri mempunyai kata pemutus dalam pelantikan diplomat, tetapi dalam hubungan ini, dia perlu mendengar dan menerima nasihat Wisma Putra.

Bagi jawatan duta besar ke Jakarta, perebutan dikatakan antara dua orang mantan menteri yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya umum lepas. Nampaknya kedua-dua mereka masih ghairah untuk merebut jawatan. Kedua-dua orang mantan menteri itu sedang kuat melobi jawatan itu dengan Wisma Putra.

Kerajaan seharusnya bertindak tegas dan pragmatik dalam melantik diplomat terutama sekali untuk mengetuai pejabat perwakilan di luar negara.

Apakah Malaysia ketandusan orang atau begitu susah untuk mendapatkan calon yang layak bagi mengisi kekosongan di Washington dan Jakarta (mulai pertengahan bulan depan) sehingga terpaksa melantik semula mantan diplomat (Ghazzali kini Duta Berkelana).

Apakah negara kekurangan pegawai yang layak dari kalangan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) sehingga terpaksa mencari di kalangan orang politik yang kalah dalam pilihan raya atau orang politik yang sudah pencen untuk menjadi duta?

Antara dua orang mantan menteri yang kalah dalam pilihan raya lepas yang sedang melobi untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta, seorang daripadanya pernah mengguris perasaan rakyat Indonesia terutama kalangan wartawan apabila dia mengeluarkan kata-kata "tidak diplomatik" terhadap seorang wartawan wanita Indonesia. Adakah orang yang sedemikian rupa sesuai untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta? Nanti kena ganyang Pak!

Wisma Putra seboleh-bolehnya hendaklah mengutamakan pegawai diplomatik atau "career diplomat" untuk mengisi sebarang kekosongan di pejabat perwakilan negara di luar negeri. Kerajaan juga boleh melantik sama ada pegawai kanan kerajaan yang bersara, pegawai kanan Angkatan Tentera atau Polis, ataupun tokoh-tokoh profesional bukan politik untuk mengisi kekosongan jawatan duta atau persuruhjaya tinggi. Elakkan pelantikan orang politik.

Orang politik elok sajalah bersilat, berkuntau, bertomoi dan bersalambam serta berpolitik wang dalam gelanggang politik tempatan. Di situlah tempat yang paling sesuai untuk mereka. Bukan di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negeri.

Kepada dua orang mantan menteri yang bercita-cita nak jadi diplomat, cerminlah diri terlebih dahulu sebelum melobi untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Jakarta. Pokonnya .... di Putrajaya enggak bisa diatur Pak....!


TERKINI: Menurut laporan SINAR HARIAN, Ahad 25 Januari - mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin membuat penafian bahawa dia adalah antara dua orang mantan menteri yang melobi jawatan duta besar ke Indonesia.

Walaubagaimanapun, dia mengaku bahawa ura-ura pelantikannya itu pernah dibincangkan dengan PM Pak Lah, TPM Najib dan Rais Yatim.

Nama mantan menteri penerangan itu heboh diperkatakan sebagai salah seorang yang sedang melobi untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta, Indonesia. Beliau mengakui yang dia telah dihubungi banyak pihak yang inginkan penjelasan mengenai berita tersebut, lapor Sinar Harian.