Monday, 9 February 2009

Pilihan raya kecil di Kedah



Adakah Malaysia akan menyaksikan teori domino - di mana satu persatu pilihan raya kecil berlaku? Mungkin.

Kita akan menyaksikan satu pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat kawasan Bukit Gantang, Perak berikutan pulangnya ke Rahmatullah Haji Roslan Shaharum.

Belumpun reda berita itu, kita dikejutkan pula dengan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) kawasan Bukit Selambau, V. Arumugam, 54. Beberapa jam sebelum itu, Arumugam meletak jawatan selaku ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Perletakan jawatan Arumugam, ahli Parti KeAdilan Rakyat (PKR) diumumkn oleh Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak.

Kekosongan kerusi Bukit Gantang, Perak tidak menimbulkan apa-apa persoalan tetapi bagi kerusi DUN Bukit Selambau, banyak persoalan timbul.

Sebelum ini, Arumugam telah mendedahkan mengenai ugutan ke atas dirinya dan tentang dia cuba dipaksa melompat parti. Dia juga membangkitkan soal keselamatan bukan sahaja atas dirinya tetapi keluarganya. Arumugam juga dikatakan terlibat dalam skandal dengan seorang wanita.


Adakah satu kebetulan bahawa nama kedua-dua kawasan terlibat bermula dengan perkataan "bukit" - iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau?

Sunday, 8 February 2009

Ahli Parlimen Bkt Gantang meninggal dunia


(Foto The Star)

Al-Fatihah.

Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) kawasan Bukit Gantang, YB Haji Roslan Shaharum pulang ke Rahmatullah pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah, Perak.

Roslan, 50, adalah mantan Pengarah Sumber Manusia di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak dan pengerusi Yayasan Perak, sebuah yayasan pendidikan.

Allahyarham dikatakan terjatuh akibat serangan jantung semasa menunggang basikal dekat rumahnya di Changkat Lalang, Batu Gajah.

Pada pilihan raya lepas, Allahyarham menewaskan calon BN yang juga bendahari UMNO, Abdul Azim Mohamad Zabidi dan seorang calon bebas.

Pemergiannya pada ketika negeri Perak berdepan dengan kemelut "dua orang Menteri Besar" sudah tentu meninggal kesan besar kepada Pakatan Rakyat terutama PAS, parti yang diwakili oleh Allahyarham.

Nampaknya, satu pilihan raya kecil perlu diadakan. Pasti panas dan hebat serta menelan perbelanjaan besar.