Thursday, 2 April 2009

Pak Lah kini bergelar "Tun"

Sekalung tahniah kepada Abdullah bin Ahmad (Pak Lah) yang kini bergelar Tun Abdullah.

Mantan Perdana Menteri dan anak kelahiran Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menerima anugerah tertinggi negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sejurus selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak.

Isteri Tun Abdullah, Jeanne (Danker) Abdullah turut menerima gelaran Tun apabila dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM). Bertuah sungguh insan bernama Jeanne ini kerana sebegitu cepat diberi penghargaan tersebut. Sama ada dia layak atau tidak diberi anugerah itu boleh diperdebatkan.

Teringat saya akan jasa, sumbangan dan khidmat bakti tokoh-tokoh wanita negara yang "terlepas pandang" untuk diberi anugerah bintang kebesaran seperti itu. Antara nama yang terlintas ialah Tan Sri Aishah Ghani dan P.G. Lim.


Biarlah Pak Lah bersara dalam keadaan tenang

Sudahlah. Inilah yang dapat dikatakan apabila saya ditanya mengenai kritikan dan kutukan berterusan ke atas mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad oleh mantan PM sebelumnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjuangan Tun Mahathir untuk melihat Pak Lah letak jawatan dah tercapai. Hasrat Tun Mahathir nak lihat Datuk Seri Najib Tun Razak jadi PM akan tercapai. Hendak apa lagi Tun?

Saya pun ingin melihat Pak Lah letak jawatan atas sebab yang tidak sama dengan Tun. Pak Lah dah letak jawatan. Saya hormati tindakannya itu.

Pak Lah, Tun Mahathir dan kita semua adalah manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuk melakukan dosa.

Tun Mahathir bukan malaikat. Tun Mahathir pun banyak melakukan kesilapan tetapi kita tidak ingin mendedahkannya satu persatu kerana kita menghormati Tun sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

Kita pohon kepada Tun Mahathir supaya hentikanlah kritikan dan kutukan secara terbuka ke atas Pak Lah. Insaflah yang kita adalah insan yang terlalu kerdil untuk menganggap kita saja yang betul dan orang lain semuanya tak betul.

Jika dunia dianggap berharga,
maka negeri balasan Allah lebih tinggi dan mulia.

Setiap orang mampu melenyapkan permusuhan dengan merenungkan apa yang akan diperolehi jika menang. Adakah manfaat yang diperolehi atau kepuasan hawa nafsu berlandaskan perasaan hasad dan dengki?

Permusuhan amat berbahaya kerana ia membangkitkan berbagai keburukan. Adakah ini yang diperjuangkan? Apakah ini yang dikatakan perjuangan yang belum selesai?

Cukuplah. Biarkanlah Pak Lah dan isteri menikmati sisa-sisa hidup dalam suasana aman, damai dan penuh dengan ketenangan. Pak Lah dah buat apa yang didesak dan diminta. Sama-samalah kita hormatinya.

Ulama Hadhramaut Habib Abdullah Bin Alwi Al-Haddad ada berpesan: "Secara umum, pada awalnya kebaikan itu berat untuk dilakukan, tetapi akhirnya penuh dengan kenikmatan. Orang yang berbuat baik ibarat seorang pendaki gunung. Ia tidak akan merasa tenang sebelum sampai ke puncaknya. Sedangkan keburukan awalnya manis dan akhirnya kelak pahit. Orang yang melakukan perbuatan buruk adalah ibarat seorang yang jatuh dari puncak gunung atau atap sebuah rumah. Ia baru akan merasa kesakitan setelah mendarat di tanah".

Kepada Pak Lah kita ucapkan "Selamat bersara dan semoga Allah menganugerahkan nikmat kesihatan dan ketenangan hingga ke akhir hayat".