Wednesday, 11 August 2010

Perbezaan ketara antara dua buah kampung di Jelebu

Rancangan popular terbitan TV3, Aduan Rakyat, malam tadi memaparkan sesuatu yang menarik parhatian saya, iaitu berkaitan ketakseimbangan pembangunan di Jelebu, Negeri Sembilan, khususnya dalam Mukim Ulu Teriang.

Apa yang didedahkan oleh TV3 cukup menarik kerana ia membabitkan keperluan asas untuk hidup, iaitu air.

Aduan Rakyat membandingkan pembangunan dan kemudahan asas yang ada di Kampung Gagu dengan jirannya Kampung Durian Gasing. Perbezaannya amat ketara.



Kampung Gagu mempunyai prasarana yang lengkap - jalan yang berturap, bekalan air bersih dan semua penduduk perolehi bekalan elektrik dan terkini khidmat jalur lebar. Tempat saya di Ampang masih belum mempunyai perkhidmatan jalur lebar (kerja-kerja pemasangan masih dijalankan).

Di Kampung Durian Gasing, jiran Kampung Gagu, juga wujud prasarana asas tetapi 10 buah rumah masih belum menerima bekalan air bersih. Ada yang mengguna air perigi untuk semua urusan kehidupan.

Persoalannya kenapa penduduk Kampung Gagu seramai 349 orang, iaitu 70 peratus menjalankan kegiatan pertanian -  tanaman getah dan bersawah padi,  mendapat keperluan tersebut sedangkan jiran mereka masih ada yang belum menikmati bekalan air bersih.

Apakah perkhidmatan jalur lebar yang hanya memberi faedah kepada segelintir penduduk lebih penting dan terdesak daripada bekalan air bersih?

Mungkin itulah yang cuba diketengahkan oleh TV3 melalui rancangan Aduan Rakyat dan saya menghormati dan tabek spring kepada mereka kerana "berani" mendedahkan ketaksamarataan dalam pembanguann dan kemajuan antara dua buah kampung bersebelahan itu. Syabas TV3.

Oh ya, pada awal tadi saya menyatakan apa yang dibangkitkan oleh TV3 menarik minat saya kerana wakil rakyatnya yang juga seorang menteri Persekutuan, Dr Rais Yatim adalah mantan bos saya.

Selaku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan beliau bertanggungjawab kepada sektor komunikasi yang merangkumi industri telekomunikasi dan jalur lebar beroptik fiber termasuk dalam kategori tersebut. Tidak tahu pula saya sama ada kemudahan jalur lebar diperkenalkan di Kampung Gagu atas faktor kedudukan wakil rakyatnya atau atas pertimbangan keperluan sebenar oleh Telekom Malaysia.

Pembaca boleh membuat tafsiran dan andaian sendiri.

Tuesday, 10 August 2010

SELAMAT MENYEMPURNAKAN IBADAH PUASA

Kepada umat Islam di mana saja anda berada, selamat melaksana dan menyempurnakan ibadah puasa. Rasulullah s.a.w. tidak mengakui puasa yang hanya meninggalkan makan dan minum tetapi masih mengeluarkan kata dusta, amalan sia-sia, perbuatan keji dan sebagainya. Hakikat ini tergambar jelas di dalam sabdanya, yang bermaksud:

"Bukanlah puasa (hanya menahan) dari makan dan minum, sesungguhnya puasa (juga menahan) dari perbuatan sia-sia dan perkataan lucah. (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, Al-Hakim)