Tuesday, 17 August 2010

RTM dan 'goreng pisang' - sampai bila?

Petang 17 Ogos, saya menonton berita yang dipancarkan oleh  TV1 (RTM). Antara 'berita menarik' yang disiarkan adalah mengenai pasar Ramadhan, kali ini di Pulau Pinang. Nampaknya, cerita mengenai pasar Ramadhan menjadi satu kemestian dalam siaran berita RTM dan stesen-stesen tv swasta.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai cerita seorang Mamak yang menjual 'goreng pisang' istimewa di salah satu pasar Ramadhan di Pulau Pinang. Hebat sungguh juadah yang dijual itu.

Sebagai sebuah stesen penyiaran milik kerajaan, sudah tentunya RTM menggunakan istilah dan perkataan yang betul dalam laporannya. Perkara ini tidak boleh ditolak-ansur kerana RTM berperanan penting dalam penggunaan dan pendaulatan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan

Malangnya, ia tidak sedemikian apabila dalam laporan tersebut, pembaca atau penyampai berita merujuk kepada juadah tersebut sebagai 'goreng pisang'. Semua orang yang faham akan Bahasa Melayu tahu ianya salah. Yang betul ialah pisang goreng, bukan 'goreng pisang.'

Saya ingin bertanya  mana satu yang betul - nasi goreng atau goreng nasi, mi goreng atau goreng mi dan ayam goreng atau goreng ayam?

Saya yakin semua orang akan memberi jawapan yang betul iaitu nasi goreng, mi goreng dan ayam goreng.

Jadi, kenapa kepada pisang disebut goreng pisang?

Apa kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang juga seorang wartawan?
 

 

Monday, 16 August 2010

Sejak bila bendera kita berubah

Ini sudah melampau...Jalur Gemilang tidak boleh diubah sesuka hati tanpa dipinda Perlembagaan oleh Parlimen.
Kalau nak promosi 1Malaysia, iaitu satu slogan politik, janganlah sampai menodai Jalur Gemilang. Ia adalah satu perbuatan yang bukan sahaja menghina tetapi biadab!

Sejak bila bendera kita berubah