Showing posts with label Media. Show all posts
Showing posts with label Media. Show all posts

Wednesday, 9 October 2013

Antara "running dogs" dan anjing yang sedang berlari

Terlebih dahulu saya mohon ma'af kepada para pembaca dan pengikut blog ini kerana agak lama tidak mengemas kini. Saya terima banyak pertanyaan daripada kawan-kawan dan pengikut yang ingin tahu kenapa dan mengapa. Sebenarnya saya sengaja tidak berbuat demikian walaupun banyak isu dan persoalan yang boleh dihurai atau diulas.

Namun begitu, saya terpanggil untuk mengulas mengenai isu "running dogs" yang disebut oleh ketua publisiti Partai Tindakan Demokratik (DAP), YB Tony Pua.  Walaupun "running dogs" hanyalah satu peribahasa atau perumpamaan dalam bahasa Inggeris, banyak pihak yang kurang arif membuat andaian dan tanggapan salah. Tidak kurang juga yang membuat laporan polis dan ini mengheret timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Bakri Zinin  membuat ulasan untuk menyiasat mengikut undang-undang tertentu. 

Saya bukan menyokong tuduhan Tony Pua yang menyatakan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan adalah "running dogs of UMNO" tetapi cuba membetulkan andaian dan tanggapan yang salah. Kita tidak seharusnya menterjemah perkataan atau ayat dalam bahasa Inggeris secara langsung kerana maksud dan pengertiannya tidak semestinya sama. Sebagai contoh, "fire" boleh bermaksud api,  tembak dan pecat, oleh itu ia tidak boleh diterjemah tanpa memahami maksud dalam sesuatu ayat itu. Begitu juga dengan peribahasa atau perumpamaan yang membabitkan binatang atau benda-benda lain yang tidak bernyawa. 

Banyak pihak yang kurang arif telah secara langsung menuduh Tony Pua sebagai menyifatkan ROS dan Utusan sebagai "anjing UMNO" sedangkan ia  tidak tepat.

Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa itu membawa maksud mengikuti atau patuh kepada  satu sistem politik  atau sanggup berkhidmat dan menjaga hati dan perasaan  pihak lain. Ia bukan merujuk kepada pihak yang dituduh itu sebagai anjing tetapi sebagai satu kiasan. Banyak peribahasa dalam semua bahasa yang menjadikan binatang sebagai kiasan dan ini diterima oleh masyarakat.

Dalam bahasa Melayu pun banyak peribahasa, perumpamaan dan simpulan bahasa yang menggunakan binatang sebagai kiasan, umpamanya, anak anjing takkan jadi anak musang jebat, kera sumbang, rusa masuk kampung, anjing menyalak bukit, memberi bunga kepada kera,  kalau anjing biasa makan tahi, tak makan hidu ada juga dan banyak lagi. Ia tidak merujuk kepada manusia sebagai binatang tetapi menjadikan binatang sebagai perumpamaan atau bidalan.

Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa kiasan dan peribahasa yang menggunakan binatang, umpamanya "throw someone to the lions;  live like fighting-cocks;  drive one's pigs to market;   get a pig in a poke;  go to pigs and whistles;  make a pig of oneself;  donkey work;  as poor as a church mouse" dan banyak lagi.

Saya tidak dapat bayangkan reaksi pihak berkenaan sekiranya Tony Pua guna salah satu peribahasa yang mengandungi perkataan "pig" atau "church",  tentu lebih hebat bantahan dan lebih banyak laporan polis dibuat.

Apa yang dimaksudkan oleh Tony Pua apabila merujuk kepada ROS dan Utusan sebagai "running dogs" bukan bermakna dia menyifatkan kedua-duanya sebagai "anjing UMNO".  Maksud peribahasa itu dalam  bahasa Inggeris  adalah: "a servile follower, especially of a political system.  One who is willing to serve or please others." Jika kita faham maksud peribahasa itu, maka tidak timbul tanggapan atau andaian yang tidak betul.





Sunday, 21 April 2013

"Kerajaan Sementara" yang tidak sementara

Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan secara tersirat membenarkan seseorang Menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen. Peruntukan tersebut membenarkan pelantikan seseorang Menteri dibuat ketika Parlimen terbubar.

Oleh kerana Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen, maka berdasarkan konvensyen perlembagaan Kabinet atau Jemaah Menteri (tidak termasuk Timbalan Menteri kerana mereka bukan anggota Kabinet) akan terus wujud sebagai Kerajaan 'caretaker' atau lebih mudah dirujuk sebagai "kerajaan sementara". Di Malaysia, timbalan menteri terus memegang jawatan walaupun bukan anggota Kabinet.  Ia adalah pelanggaran semangat "kerajaan sementara".

Kita terima kenyataan bahawa tidak ada salahnya sekiranya seseorang Menteri itu merasmikan apa-apa majlis termasuk yang bukan di bawah tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000 semasa Parlimen terbubar.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa jika seseorang Menteri itu merasmikan majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya, Menteri tersebut tidak boleh dianggap sebagai menjalankan tugasnya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000. Perkara ini banyak berlaku.

Sejak Parlimen dibubarkan, Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) bertindak selaku "kerajaan sementara",  bukan kerajaan BN. Perkara ini yang ramai tidak sedar dan tidak tahu. Apabila Parlimen terbubar, maka Dewan Rakyat mengalami kekosongan kerusi, iaitu tiada wakil rakyat yang mewakili parti-parti politik. Hanya Jemaah Menteri atau Kabinet yang dibenarkan menerajui perjalanan seharian kerajaan atas sifat "sementara" sehingga terbentuk sebuah kerajaan baru.

Oleh itu, tidak wujud "pembangkang" kerana tidak wujud "kerajaan yang dipilih rakyat". Kerajaan sebenar hanya akan wujud selepas pilihan raya atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang berlaku, setiap hari kita mendengar ungkapan "pembangkang" dalam laporan media khususnya semua media elektronik apabila merujuk kepada parti-parti politik yang bukan dari kelompok Barisan Nasional. Ini yang tidak betul dan tidak kena sama sekali. BN bukan lagi kerajaan tetapi antara parti politik yang sedang menagih sokongan rakyat untuk membentuk kerajaan. 

Sekali lagi diulangi bahawa yang ada sekarang hanyalah "kerajaan sementara" bukan kerajaan BN ataupun kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Keadaan mungkin berubah, sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri-Negeri,  selepas 5 Mei, 2013.


Wednesday, 13 March 2013

RTM tak hormat MB Kelantan?

Seperti biasa, saya menonton berita  yang disiarkan oleh RTM melalui TV1 pada pukul 1.00 tengah hari dan 5.00 petang hari ini untuk mengikuti perkembangan terkini pencerobohan pengganas "Kiram" di Sabah. Saya keberatan menggunakan perkataan "Sulu" kerana bukan semua orang Sulu menyokong tindakan bodoh pengikut "Kiram" yang mendakwa sebagai "sultan" Sulu.

Saya berbuat demikian sekadar ingin tahu bentuk laporan stesen tv milik kerajaan kerana berita terkini lebih cepat diperolehi melalui sumber Internet. 

Antara berita yang menarik perhatian saya ialah ketibaan jenazah dua orang wira negara dari Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang gugur di Lahad Datu, seorang dalam pertempuran dengan musuh manakala seorang lagi akibat kemalangan  jalan raya ketika dalam perjalanan membawa bekalan makanan kepada pasukan keselamatan.

Beribu-ribu orang dilaporkan membanjiri Lapangan Terbang Sultan Ismail,  Kota Bharu untuk turut sama menerima atau menyambut ketibaan jenazah allahyarham Kpl. Ahmad Hurairah Ismail dan allahyarham Kpl. Ahmad Farhan Roslan, dua orang anak Kelantan yang mati syahid.

Dalam laporannya, RTM menyebut antara pembesar yang berada di lapangan terbang ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek, kedua-dua dari Kelantan.

Apa yang memeranjatkan saya ialah RTM tidak sebut langsung akan kehadiran Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedangkan dia adalah ketua Kerajaan Negeri dan yang terkorban adalah dua orang rakyat Kelantan.

Apakah RTM tidak mengiktiraf atau tidak menghormati Datuk Nik Abdul Aziz sebagai Ketua Kerajaan Kelantan dan sebab itulah kehadirannya tidak disebut? 

Ada orang yang mungkin akan berkata ini satu perkara remeh tetapi ia tidak seharusnya berlaku dan dilakukan oleh media rasmi kerajaan yang menyebut kehadiran seorang menteri dan timbalan menteri Kerajaan Persekutuan tetapi tidak Menteri Besar sedangkan dari segi protokol, Menteri Besar mendahului menteri persekutuan. Jika nak sebut kehadiran orang kenamaan, kenalah ikut protokol.

Mungkin pemberita dan editor berkenaan tidak tahu kedudukan protokol tetapi ia bukan satu alasan untuk tidak menyebut kehadiran seorang ketua kerajaan negeri pada satu majlis yang membabitkan rakyat negeri berkenaan dan yang berlaku dalam negeri berkenaan. 

Sama ada kita suka atau tidak akan Datuk Nik Abdul Aziz kita kena hormat jawatannya selaku Menteri Besar, iaitu selaku ketua Kerajaan Negeri Kelantan yang dipilih rakyat sama juga jika kita suka atau tidak akan Datuk Seri Najib Tun Razak, kita kena hormat jawatannya sebagai Perdana Menteri atau ketua Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Pegamal media seharusnya tahu yang ketua kerajaan negeri mendahului semua Menteri Kabinet kecuali Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari segi protokol. Sebab itulah Menteri Besar atau Ketua Menteri diberi gelaran rasmi  Yang Amat Berhormat sedangkan Menteri hanya Yang Berhormat. Gelaran itu sudah cukup untuk menunjukkan siapa yang mesti didahulukan - YAB atau YB.

Kerajaan meminta isu pencerobohan di Lahad Datu tidak dipolitikkan, tetapi media rasmi kerajaan sendiri yang nampaknya bermain politik.

   





Friday, 8 March 2013

Kes liwat II - bapa Saiful Bukhari minta ma'af kerana ia fitnah

Lambat laun kebenaran akan muncul dan adakah ini satu kebenaran? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Apa yang dimaksudkan ialah pengakuan bapa Saiful Bukhari yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya dalam kes yang heboh diperkatakan sebagai - kes liwat II.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohamad Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.

Untuk berita sepenuhnya, sila lungsuri laman sesawang malaysiakini.com atau themalaysiainsider.com

Terkini: Dalam satu sidang berita kemudian, Saiful tetap dengan dakwaannya itu dan bertegas yang tidak akan menarik baliknya. Dia tidak tahu kenapa bapanya berpendirian sebaliknya. 

Persoalannya sekarang - siapa yang boleh dipercayai? Bapa atau anak? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
  
Azlan, 60, memohon maaf kepada Anwar Ibrahim sambil berkata anaknya telah diperguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memfitnah mantan timbalan perdana menteri itu dalam kes liwat II.

Dia juga mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya (Saiful Bukhari) dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan oleh pegawai berkenaan dan seorang peguam.

Azlan berkata mereka adalah dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Anwar, dalam kes yang melibatkan anaknya, Saiful Bukhari.

Kata orang politik itu kotor, sebenarnya politik bersih, yang kotor dan menjadi najis ialah manusia yang menjadikan politik satu permainan yang amat kotor, lebih kotor daripada najis khinzir.   


Thursday, 28 February 2013

MB Selangor pula minta BERNAMA perbetul fakta isu air

Belumpun reda isu mencedok berita, timbul pula berita yang menyebut bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta BERNAMA memperbetulkan berita 'yang mengelirukan' mengenai isu air di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa berita atau artikel yang dikeluarkan oleh BERNAMA bertajuk "Air Selangor Dalam Keadaan Kucar-kacir"  yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar pada 26 Februari lalu, adalah 'mengelirukan'.

Berita itu juga mengandungi kesalahan fakta berhubung usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan air yang lebih baik dan cekap pada kadar tarif munasabah.

Tan Sri Khalid mengutus surat kepada Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong, dengan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor meletakkan tanggungjawab membetulkan laporan itu atas bahu BERNAMA yang cuai di dalam memilih pendapat 'pakar' yang meragukan.

Menurut Abdul Khalid seperti yang dilaporkan oleh "Selangor Kini" terbitan Kerajaan Negeri (edisi 1- 8 Mac 2013),   kenyataan seorang ahli akademik Dr Zaharuddin Ahmad Sabri  yang mendakwa kononnya dirinya seorang pakar air, lantas BERNAMA merumuskan bahawa pengurusan dan prasarana air di Selangor dalam keadaan kucar-kacir.

"Agak sukar untuk mengiktiraf beliau (Dr Zaharuddin) sebagai pakar air kerana dari semakan yang dilakukan, tiada satu makalah pun sama ada terbitan buku mahu pun artikel pendek yang pernah beliau hasilkan khusus dalam pengurusan industri air," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata kenyataan Dr Zaharuddin yang mempersoalkan  kemampuan kewangan Kerajaan Negeri membiayai tawaran RM9.65 bilion bagi membeli empat syarikat konsesi air dipertikaikan.

"Nampak jelas beliau sebenarnya tidak mengkaji Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menerangkan secara terperinci penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

"Selaras dengan Akta 655, aset air negeri dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang ditetapkan.

"Oleh itu, pemerolehan aset air akan dibiayai oleh PAAB, sementara Kerajaan Negeri akan membiayai pemerolehan nilai ekuiti konsesi," katanya seperti yang dipetik oleh Selangor Kini. 

Kita harap KP BERNAMA, Datuk Yong, akan segera memberi jawapan kepada Kerajaan Negeri Selangor seperti yang pernah dilakukannya apabila begitu cepat mengutus surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lama selepas pilihan raya umum lalu  yang mendapat pujian kepimpinan DAP.

Yong bertanggungjawab mempertahan kewibawaan BERNAMA dan jika berlaku kesilapan atau salah fakta, segera perbetulkannya. 


Tuesday, 1 May 2012

Pendirian dan gesaan NUJ tepat dan berasas

Sebagai mantan orang media, saya kesal dan sedih membaca laporan mengenai tidak kurang daripada 10 pengamal media yang cedera atau dikasari semasa bertugas membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu di ibu negara.

Berdasarkan laporan, pihak yang mengasari petugas media adalah anggota Polis, kecuali satu kes yang melibatkan jurukamera TV Alhijrah, sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Seperti anggota Polis, petugas media juga ke kawasan sekitar Dataran Merdeka kerana amanah yang dipikul selaku pelapor,  tidak kiralah untuk majikan mana atau pertubuhan media yang sama ada memihak kepada kerajaan atau pembangkang. Tugas tetap tugas. Sudah tentu mereka tidak akan ke sana jika bukan kerana tugas, sama seperti anggota Polis.

Saya sedar dan akur akan tekanan yang dihadapi oleh anggota Polis yang panas telinga mendengar kata-kata kesat seperti 'anjing' yang dilemparkan oleh segelintir manusia biadab yang menyertai perhimpunan itu, dan dengan itu tidak dapat menahan marah lalu bertindak kasar, tetapi tidak seharusnya keatas wartawan atas apa alasan sekalipun. 

Anggota Polis dilatih dan disemai dengan semangat jati diri dan disiplin yang tinggi dan tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bukan menurut arahan atau perintah. Perkara inilah yang perlu ditangani kerana jika anggota Polis tidak berdisiplin, maka huru-haralah jadinya.

Walaupun anggota Polis yang bertindak kasar itu amat kecil jumlahnya, ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak atasan pasukan di Bukit Aman dan saya menyanjung tinggi pendirian tegas Ketua Polis Negara yang berjanji untuk menyiasat dn mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hubungan ini, saya menyambut baik gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang mahu sebuah jawatankuasa bebas dan bukan pasukan Polis menyiasat dakwaan serangan Polis terhadap wartawan dan jurufoto media.

Presiden NUJ, Chin Sung Chew dalam kenyataannya berkata siasatan harus dijalankan oleh badan bebas  kerana tuduhan itu serius yang melibatkan tindakan Polis melakukan keganasan ke atas petugas media.

NUJ mencadangkan jawatankuasa bebas itu dianggotai sekurang-kurangnya oleh seorang mantan hakim mahkamah tinggi, mantan presiden Majlis Peguam dan seorang ahli akademik yang ahli dalam jurusan undang-undang kewartawanan. 

Saya menyokong penuh saranan NUJ itu kerana perkara yang hendak disiasat  bukan sahaja serius tetapi  ada kaitan rapat dengan amalan demokrasi dan kebebasan media seperti yang diamalkan di Malaysia. Saya yakin sebuah jawatankuasa bebas, bukan satu pasukan yang ditubuh oleh Bukit Aman, dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama kepada kedua-dua pihak, iaitu Polis dan Media.

Sementara itu, Malaysiakini.com melaporkan bahawa kerajaan dilihat cuba memulihkan hubungan dengan pertubuhan media melalui   pertemuan dengan kepimpinan media di Bukit Aman hari ini.

Walau apapun berlaku, kita tidak ingin melihat hubungan baik yang dijalinkan selama ini antara Media dan Polis 'terjejas'  dek "kerbau yang membawa lumpur".

Polis ada peranan dan tugas, begitu juga pihak Media. Polis dan Media adalah   seperti aur dengan tebing. 

  
     

Sunday, 12 February 2012

HARI VALENTINE - BUKAN ISLAM JANGAN PERSOAL URUSAN UMAT ISLAM

Seluruh dunia dilaporkan bersiap sedia untuk merai atau menyambut "Valentine's Day" atau Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih seolah-olah pada hari dan tarikh 14 Februari sahajalah mereka boleh berkasih-kasihan, bermesra-mesraan dan bersayang-sayangan, hari-hari lain boleh dilupakan sahaja.

Asal usul hari tersebut dikaitkan dengan seorang paderi Kristian bernama Saint Valentine. Ia sudah cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada kita, umat Islam khususnya, mengenai punca sambutan hari tersebut.

Majoriti tokoh agama Islam menyatakan bahawa menyambut atau meraikan  sambutan Hari Valentine adalah bertentangan dengan Syarak. 

Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Ruh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Amat jelas sekali bahawa umat Islam dilarang daripada  menyertai mereka yang bukan beragama Islam untuk menyambut atau merayakan Hari Valentine. Ia adalah soal agama, bukan soal masyarakat atau sosial dan jauh sekali isu politik.

Oleh itu, apakah jadahnya golongan bukan Islam di Malaysia termasuk media seperti The Star dan The New Straits Times membidas PAS kerana parti itu menasihati umat Islam agar tidak menyambut atau meraikan Hari Valentine?

Kenapa mereka menjadikan PAS sasaran kutukan sedangkan ia bukan isu politik tetapi soal aqidah umat Islam?

Sebagai sebuah parti mewakili umat Islam, sudah tentu PAS memainkan peranannya untuk memastikan umat Islam di Malaysia tidak turut terpedaya dan terpengaruh oleh banjiran promosi dan kempen bersifat komersil untuk sama-sama menyambut Hari Valentine. Salahkah PAS berbuat demikian? 

Apakah jadahnya The Sunday Star menulis dalam ruangan editorialnya dibawah tajuk "Those opposing Valenine's Day should just grow up"  Adakah pihak The Star cuba mencabar kewibawaan JAKIM dan umat Islam di Malaysia? Kenapa The Star mengkritik tindakan PAS mengenai isu Hari Valentine sedangkan ia adalah soal aqidah umat Islam, bukan soal politik?

Kenapa pemberita The New Straits Times bernama Sean Augustin begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian parti itu mengenai Hari Valentine?  Sebagai seorang pemberita dia sudah tentu tahu dan sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik? Jika dia tidak tahu, maka dia gagal  sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 

Pembetulan: Sean Augustin tidak menyebut PAS dalam laporannya yang berbentuk umum. Saya merujuk kepada berita di muka surat yang sama bertajuk "No love lost in Pas, DAP Valentine's row". Ayat di peranggan tersebut tidak tepat dan pembetulan adalah seperti berikut;


Kenapa The New Straits Times begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian mengenai Hari Valentine? Pemberita mesti sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik! Jika pemberita tidak tahu, maka dia gagal sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 


Ketidakpekaan pemimpin politik turut menjalar kepada Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang turut mempersoal pendirian PAS.

Cho Ha dalam kenyataannya meminta PAS jangan tuduh sambutan itu sebagai sesuatu yang tidak bermoral dan jangan menghina orang Malaysia yang nak sambut Hari Valentine. PAS, terutama Pemuda PAS, dijadikan sasaran kutukan semata-mata atas kepentingan politik yang amat sempit dan bodoh! Isu Hari Valentine bukan isu politik, ini yang tidak difahami oleh orang seperti Cho Ha. 

Karpal Singh pula menuduh pendirian PAS sebagai sesuatu yang tidak betul, silap dan berlawanan dengan hak asasi dan kebebasan. Seperti Cho Ha, Karpal Singah pun janggal dalam pemikiran dan tidak sedar bahawa ia bukan isu politik atau soal hak asasi dan kebebasan, ia soal agama, soal aqidah umat Islam.   

Akhbar The Star, The New Straits Times, Cho Ha dan Karpal Singh hentam PAS atas pendirian tegas parti itu berkaitan Hari Valentine. Kenapa PAS sahaja? Kenapa tidak hentam JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri  yang lebih awal lagi mengeluarkan kenyataan sama seperti yang disuarakan oleh PAS?

Ini soal aqidah umat  Islam, bukan soal politik atau yang kena-mengena dengan slogan 1Malaysia PM Najib Tun Razak. 

Islam tidak larang penganut agama lain menyambut perayan yang berkaitan agama mereka. Lihat saja kehadiran PM Najib yang sama-sama penganut agama Hindu sempena Thaipusam di Batu Caves.  Islam hanya melarang umat Islam. Kenapa mereka yang bukan beragama Islam melenting tak tentu pasal? Ini sudah melampaui batas dan sempadan yang sepatutnya.

Ingat, jangan campuri urusan umat Islam, ia mungkin membawa padah! 





Tuesday, 3 January 2012

Tahun baru, azampun bermacam-macam

Setiap akhir tahun dan sebelum memasuki tahun baru, maka media  pun sibuk merakam apa yang disebut sebagai  azam tahun baru. Bermacam-macam azam disuarakan oleh sama ada mereka yang bergelar artis, ahli sukan, orang politik dan kakitangan sektor awam mahupun swasta.

Luahan atau lontaran azam itu sebenarnya tidak lebih daripada kata-kata yang menyedapkan telinga kerana hampir semuanya dilupakan dan tinggal azam semata-mata. Itulah hakikatnya apabila sesuatu itu diucap atau disuarakan tanpa niat dan usaha untuk mencapainya.

Kita akui bukan semua orang yang melafazkan azam tersebut tidak cuba mencapainya tetapi kebanyakannya hanya meluahkannya apabila ditanya oleh pihak media. Ia hanyalah satu reaksi atau tindak balas yang mahu tidak mahu mesti disuarakan, tidak kira sama ada ia benar-benar azam yang tulen atau sekadar halwa telinga. 

Saya membangkitkan soal azam kerana ia adalah sama dengan apa yang berlaku dan sedang berlaku apabila kita menghampiri pilihan raya, atau menghampiri kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh masa terdekat.

Apa yang saya maksudkan ialah laporan atau berita yang saban hari mengisi dada-dada akhbar dan berkemundang  melalui radio dan televisyen, iaitu,  sekumpulan orang yang dikatakan penyokong atau ahli parti politik keluar parti untuk menyokong dan menganggotai parti lain. Lazimnya dari parti-parti lawan ke parti pendokong pemerintahan.        

Bukan sesuatu yang aneh atau pelik apabila berita berkenaan hanya muncul menjelang pilihan raya dan mendapat tempat dalam media arus perdana. Ia seolah-olah sesuatu yang wajib dilaporkan dan satu berita yang bernilai tinggi sedangkan ianya sandiwara politik teramat murah.

Berita mengenai penyokong dan ahli parti yang mendokong pemerintahan bertindak keluar parti untuk memihak kepada parti lawan tidak pula mendapat tempat dalam media arus perdana. Amat jelas media arus perdana tidak mengamalkan kesaksamaan dalam laporan berita walaupun ia bukan satu perkara baru.

Ada pihak yang akan berhujah bahawa media baru dan buletin parti-parti politik pun melaporkan perkara yang sama,  oleh itu apa yang dilakukan oleh media arus perdana tidak boleh dipersoalkan. Jika itulah hujahnya, maka media arus perdana tidak layak sama sekali untuk dirujuk sebagai 'arus perdana' atau 'main stream media.' Media arus perdana seharusnya bersifat 'arus perdana' dengan membuat liputan adil dan saksama tanpa memihak. Media arus perdana tidak boleh disamakan dengan alat 'propaganda' pembangkang yang merupakan 'media politik' yang berkepentingan politik.

Selain laporan keluar parti, media arus perdana dengan tiba-tiba mendapat peluang untuk menemubual penulis blog dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin atau RPK. Tiba-tiba RPK menjadi sumber berita penting walaupun dia dikenali sebagai penyokong kuat dan pengkritik kerajaan nombor satu sehingga dia melarikan diri daripada tindakan undang-undang negara. 

RPK jelas telah berpusing bulatan seluas-luasnya dan ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan manusia yang menjadi buruan pihak berkuasa atau yang melarikan diri daripada tindakan undang-undang. RPK digelar oleh media arus perdana sebagai 'self-exiled' atau orang yang atas pilihan sendiri menjadi orang yang hidup dalam buangan. 

Kehadiran RPK di Singapura dan 'kebenaran' untuk dua pertubuhan media arus perdana menemu bualnya sudah tentu diatur oleh pihak tertentu dengan tujuan dan agenda yang memihak kepada kerajaan.

Saya pasti pertemuan itu tidak akan berlaku tanpa mendapat lampu hijau pihak tertentu dan ia sudah tentu tidak akan mendapat liputan seluas yang kita saksikan jika RPK bercakap sebaliknya, iaitu memburuk-burukkan kerajaan atau PM Najib dan isteri Rosmah Mansor. 

RPK mungkin amat rindu akan kampung halamannya atau dia mungkin menghadapi sesuatu masalah termasuk berkaitan kesihatan yang membuatkannya berpusing sebegitu ligat. Kita tidak tahu apa sebab RPK berbuat demikian tetapi yang jelas ianya dilakukan menjelang pilihan raya. Analisis, jika ia boleh dikatakan sedemikian, RPK mengenai isu semasa termasuk yang berkaitan Anwar Ibrahim sudah tentu dijadikan modal politik Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya. Itu pasti.

Bukan satu kebetulan apabila media arus perdana menemubual RPK pada waktu dan ketika negara menghadapi pilihan raya 'mengejut' dan bukan luar biasa media melaporkan penyokong parti lawan di merata kampung dan tempat yang keluar parti untuk menyokong Umno. 

Laporan sedemikian mungkin diterima dan dipercayai oleh sebilangan kecil rakyat yang melewati usia 50 tahun tetapi susah dan tidak dapat diterima oleh golongan muda yang mempunyai nafsu dan selera berlainan. Inilah yang harus difahami oleh 'panglima  perang' Umno dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya. Bukan mengulang guna strategi lapuk yang hanya akan membawa kemusnahan, bukan kemenangan.

Umno dan BN akan menghadapi ujian sukar pada pilihan raya akan datang jika strategi yang sama dan ketinggalan zaman terus digunakan. Ingat, apa yang 'kerajaan' beri rakyat akan terima, tetapi ia tidak bermakna rakyat menyokong kerajaan. Kalau beri wang sudah tentu orang terima, beri bantuan motosikal roda tiga tentu orang terima, beri bantuan tanam semula tentu orang terima dan berilah apa sahaja orang akan terima. Persoalannya sama ada semua pemberian itu boleh diterjemahkan kepada undi untuk Umno dan BN? 

Rakyat tidak mudah digula-gulakan. Itu yang mesti disedari dan dihalusi.       

    



Thursday, 20 October 2011

Muammar Gaddafi - di sebalik propaganda Barat

Allahyarham Muammar Gaddafi yang menerajui Libya selama 42 tahun akhirnya menemui ajal ekoran pemberontakan yang disokong Barat selama lapan bulan. Walau apapun yang dikatakan oleh Barat melalui media yang dikuasai mereka, sebagai seorang Muslim, saya mendoakan semoga Allah merahmati ruhnya, mengampuni  dosa-dosanya dan menerima semua amal ibadahnya.

Kematian, atau lebih tepat mati syahidnya, menjadi tanda tanya sama ada ditangan pemberontak atau akibat serangan jet pejuang NATO. Pihak pemberontak mendakwa Muammar mati setelah cedera akibat serangan pasukan mereka tetapi yang jelas pemimpin Libya itu mati akibat serangan NATO.

Kematian Muammar Gaddafi menambah bilangan pemimpin dan pejuang beragama Islam di tangan kuasa Barat yang dikepalai  Amerika Syarikat dan disokong oleh Zionis Yahudi.  Satu demi satu negara Islam, terutama yang kaya dengan hasil maksul bumi seperti minyak dan gas, dikuasai oleh golongan yang dicucuk hidung oleh Barat.

Kita hairan kenapa kebangkitan rakyat di Bahrain tidak disokong oleh Barat sedangkan mereka (Barat)  begitu cepat mencampuri dan memberi sokongan kepada kebangkitan di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan  Suria atau Syria?

Pemimpin Bahrain yang benar-benar zalim sehingga sanggup memenjara dan menghukum para doktor dan petugas hospital semata-mata kerana memberi rawatan kepada rakyat yang bangkit menentang kezaliman itu terus di sokong Barat dan tali barut utamanya, Arab Saudi.

Apa yang berlaku di Bahrain dilihat oleh Barat sebagai satu peperangan proksi antara pengaruh Iran (Syiah) dengan Arab Saudi (Suni/Wahabi) dan memandangkan Iran menjadi musuh utama Amerika Syarikat dan Barat, maka Bahrain tidak diganggu gugat walaupun ia menzalimi rakyatnya sendiri.

Lain pula ceritanya dengan Libya atau Muammar Gaddafi.  Barat, terutama Itali, Perancis dan United Kingdom dengan bantuan logistik Amerika Syarikat, melancar serangan bom dan peluru berpandu ke atas negara tersebut sedangkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanyalah menguatkuasa zon larangan terbang, bukan menyerang bertubi-tubi. 

Dunia saban hari dihidangkan berita yang memberi gambaran bahawa Muammar Gaddafi adalah seorang pemimpin atau diktator yang zalim. Dia mesti diguling atau dihapuskan atas nama 'demokrasi' yang diterima Barat. Yang peliknya, kenapa 'demokrasi' yang sama tidak dikenakan ke atas Bahrain? 

Oleh kerana begitu hebatnya propaganda media Barat mengenai 'keburukan' Muammar Gaddafi, maka dunia mempercayainya, termasuk kita di Malaysia. Media Malaysia menerima bulat-bulat apa yang disaji oleh media Barat.

Kita tidak menafikan bahawa sebagai seorang manusia biasa, Muammar Gaddafi tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi,  kita tidak boleh lupa jasa dan sumbangannya kepada rakyat dan negara Libya yang tidak dilaporkan oleh media Barat. 

Ramai daripada kita yang tidak tahu bahawa di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, rakyat Libya mendapat bekalan letrik secara percuma, bank-bank milik kerajaan tidak mengenakan faedah atas pinjaman (sifar riba), pelajaran/pendidikan dan rawatan perubatan adalah percuma, kerajaan memberi subsidi 50 peratus untuk pembelian kereta, dan kadar celik huruf mencapai 83 peratus.

Libya juga tidak menanggung beban hutang luar negeri dan jumlah rizabnya mencecah 150 bilion dolar Amerika atau RM470 bilion.

Muammar Gaddafi juga membina projek pengairan terbesar di dunia bukan untuk bermegah tetapi  memastikan rakyatnya mendapat bekalan air untuk keperluan hidup. Kebajikan rakyat menjadi keutamaannya termasuk memberi 'gaji setara' kepada para graduan yang menganggur sehinggalah mereka mendapat pekerjaan.

Jika benar Muammar Gaddafi seorang diktator yang zalim seperti yang disebar fitnah oleh Barat,  sudah tentu dia tidak akan melaksanakan semuanya itu. 

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan untuk melihat musibah yang menimpa Iraq akan turut dirasai oleh Libya.  Hasil maksul bumi Iraq kini dikuasai oleh Amerika Syarikat dan perkara yang sama akan berlaku ke atas Libya.  Barat melakukannya atas nama 'demokrasi' dan hak asasi manusia mengikut acuan mereka sendiri. 

Dunia Arab dan dunia Islam hanya mampu melihat.       

      

Sampai bila nak kempen bulan bahasa?

Sejak Malaya atau Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, kita dihidangkan kempen demi kempen dan salah satu daripadanya ialah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Kita masih ingat kata-kata semangat yang terkandung dalam lagu berkenaan... Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai...

Setelah Tanah Melayu, khususnya, merdeka 54 tahun, kita masih mengadakan kempen tersebut. Kenapa? Adakah kita gagal dalam pelaksanaan dan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, dalam bukan sahaja urusan pentadbiran tetapi dalam pengucapan dan penggunaan harian?

Kita harus sedar bahawa dalam rangka pembinaan sesebuah negara, bahasa kebangsaan menjadi perkara penting selain ekonomi, undang-undang, kebudayaan dan politik. Oleh itu, dari sudut politik, negara telah mewujudkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Dalam kerangka DBK, amat jelas cakupannya iaitu dari sudut perancangan bahasa, pelajaran atau pendidikan, undang-undang dan ekonomi. Dasar itu ditetapkan melalui proses undang-undang dan kita ada Akta Bahasa Kebangsaan selain termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam Akta Bahasa Kebangsaan, amat jelas ditegaskan iaitu bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia,  hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Di sinilah letaknya kelemahan kerana sering kali diabaikan termasuk oleh barisan kepimpinan negara yang lebih selesa berbahasa Inggeris. Jika pemimpin tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada majlis rasmi,  termasuk merasmi persidangan atau mesyuarat agung parti-parti politik,  jangan salahkan rakyat jika mereka pun keberatan mengguna bahasa kebangsaan. Bak kata orang tua-tua, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ada pihak yang menuding jari kepada Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) atas apa yang berlaku kerana DBP adalah agensi perancangan bahasa yang utama dan bertangungjawab melaksanakan matlamat tertentu dalam Akta Bahasa Kebangsaan. 

Beranikah ketua pengarah DBP, umpamanya, menegur Perdana Menteri kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada sesuatu majlis rasmi?  Sudah tentu tidak. Inilah masalahnya.

Mari kita lihat tugas dan tanggungjawab DBP:-

* untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;

* untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

* untuk mencetak atau menerbit atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

*untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya bahasa itu akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Kita harus akui bahawa DBP telah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan baik dan  ia tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku. DBP telah melakukan segala-gala yang mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi ia tidak boleh berbuat apa-apa jika pemimpin atau pentadbir negara sendiri memilih untuk tidak mengguna bahasa kebangsaan.

Selain pemimpin, media penyiaran turut berperanan penting dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Media penyiaran seharusnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan bahasa Melayu yang betul yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris seperti yang berlaku hampir setiap hari sekarang,  mesti diutamakan bukan sahaja oleh stesen penyiaran milik kerajaan dan agensinya seperti Bernama TV,  tetapi oleh semua stesen yang dikendalikan oleh Astro, Media Prima dan Al-Hijrah.

Bahasa adalah alat perhubungan utama dalam dunia penyiaran dan jika ia tidak diguna dengan betul, maka ia akan menjadi ikutan terutama oleh golongan muda. 

Petugas-petugas media elektronik mesti sedar betapa pentingnya peranan mereka untuk menyebar penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan oleh itu, jauhilah daripada mengguna perkataan-perkataan asing seperti 'happening',  'syiok gila', 'live'  dan sebagainya.

BAHASA JIWA BANGSA


   

Thursday, 14 July 2011

UMNO, PMO, MEDIA DAN BERSIH 2.0

Seorang pemimpin UMNO kurang senang kerana saya menyiarkan foto pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blog ini yang berkaitan bantahan jalanan oleh Bersih 2.0 pada 9 Julai. Saya tidak hairan dan terperanjat dengan sikapnya itu kerana itulah pemikiran mereka yang selalunya berada dalam kotak.

Adalah menjadi hak mutlak saya sebagai seorang pengamat bebas yang menulis secara bebas tanpa menerima petunjuk ataupun arahan daripada mana-mana pihak jauh sekali menerima upah atau bayaran. Kepada saya, foto itu cukup berharga, tidak kiralah sama ada ia satu lakonan Anwar, seperti yang dikata oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau ia benar-benar berlaku.

Saya sedar bahawa foto itu tidak akan mendapat tempat dalam mana-mana akhbar arus perdana ataupun stesen-stesen tv yang sama ada dikuasai, dikawal atupun dimiliki oleh parti-parti politik pendokong pemerintah atau syarikat-syarikat yang dimiliki mereka.

Foto itu disebar ke seluruh dunia oleh agensi berita Reuters kerana ia mempunyai nilai berita.

Apabila saya menyiarkan foto itu bersama-sama foto lain yang dikutip daripada laman-laman sesawang akhbar The Star dan Malaysiakini, saya memberi peluang kepada pembaca blog untuk mengamati mengenai apa yang berlaku.

Seperti yang saya katakan awal lagi, saya adalah seorang penulis bebas, saya tidak bekerja untuk mana-mana pihak dan jauh sekali menerima arahan sama ada secara lisan atau bertulis daripada Pejabat Perdana Menteri atau PMO seperti yang berlaku ke atas akhbar dan media arus perdana. Oleh itu, apa yang saya tulis mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, saya tidak kisah kerana itu hak mereka. 

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan agensi berita kebangsaan Bernama selama 27 tahun dan hampir lima tahun sebagai setiausaha akhbar kepada menteri di JPM, saya cukup masak dan sedar akan 'arahan' yang sering diterima oleh media daripada PMO, tetapi ia tidaklah sehebat apa yang berlaku sebelum bantahan jalanan oleh bersih 2.0.

Seperti yang disiar oleh media dalam talian Malaysia Today pada 11 Julai, media arus perdana dan hampir semua media pro-pemerintah menerima petunjuk dan pesanan daripada PMO berkaitan isu Bersih, untuk perhatian dan tindakan, di mana perlu.

Petunjuk dan pesanan itu, yang lebih merupakan 'arahan' berpunca daripada apa yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO, iaitu  biro paling berpengauh dan 'berkuasa' dalam UMNO. Apa yang diputuskan oleh biro yang dipengerusi oleh Najib itu lazimnya menjadi 'dasar' atau 'hala tuju' pemerintah.

Petunjuk dan pesanan  bertulis itu yang disebut sebagai 'nota' diedarkan kepada media oleh ketua pasukan komunikasi kebangsaan di PMO, Abdul Jalil Hamid, mantan wartawan. Nota itu menggarisi panduan dasar dan apa yang harus dibuat dan dielak oleh media dalam menangani isu Bersih 2.0.

Antara 'nasihat' yang disampaikan kepada media termasuklah memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan dan pemimpin-pemimpin penting Bersih, mengulang sebut bahawa ia adalah perhimpunan haram dan mereka yang mendokong Bersih adalah pengacau dan cuba mencabar Perlembagaan dan undang-undang untuk mendapat pulangan politik.

Media juga diminta membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Bersih bekerja untuk kepentingan anasir-anasir luar negara yang cuba menggugat kestabilan negara. Bersih sebenarnya tidak bersih kerana ia adalah perkumpulan haram yang hanya ingin menimbulkan kacau bilau.

Kementerian Dalam Negeri perlu tegas dengan kuasanya ke atas media agar mereka tidak tersasar dari landasan manakala polis akan bertindak ke atas penganjur Bersih berlandaskan ratusan laporan yang dibuat di seluruh negara.

Media juga diminta mengutamakan berita yang berkisar kepada bagaimana perniagaan, peniaga-peniaga kecil, pelancongan dan orang ramai yang akan terjejas akibat rancangan Bersih dan mempersoalkan dari mana Bersih mendapat dana untuk mengadakan tunjuk perasaan itu.

Tiga tokoh utama akan dijadikan 'mangsa' sasaran iaitu Anwar, timbalan presiden PAS Mat Sabu yang dilabel sebagai budak suruhan Anwar dan tali barut DAP dan pengerusi Bersih S. Ambiga. Media diminta guna foto Ambiga bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Media juga diminta mengurangkan penggunaan 'muka-muka yang sama' iaitu Zulkifli Nordin, Zahrain Hashim dan Ibrahim Ali selaku 'alat serangan' tetapi cuba cari muka-muka baru di kalangan Pemuda BN dan NGO tertentu. Stesen-stesen tv akan terus menyiarkan imej demonstrasi-demonstrasi ganas yang berlaku di luar negara.

Sekarang pembaca sudah pasti tahu kenapa stesen-stesen tv selalunya mewawancara Zulkifli dan Zahrain, dua orang mantan wakil rakyat PR yang kini bersifat wakil rakyat bebas mesra BN, apabila pihak media ingin menghentam pemimpin pembangkang tertentu. Saya yakin Zulkifli dan Zahrain akan mendapati amat sukar untuk mempertahan kerusi masing-masing pada PRU akan datang, itupun jika mereka dipilih oleh BN untuk bertanding atau bertanding atas tiket bebas.  

Saya tidak mahu mempersalahkan sepenuhnya ketua-ketua pengarang, pengarang bersekutu, pengarang kumpulan mahupun pengarang media arus perdana yang hampir semuanya bergelar datuk dan datuk seri   semata-mata kerana mematuhi apa yang diminta oleh PMO. Mereka semestinya dan seharusnya ingin pertahan kedudukan, jawatan dan habuan bulanan kerana bukan mudah untuk menduduki kerusi masing-masing apatah pula keselesaan dan kemewahan.

Yang perlu diingati ialah kuasa yang ada pada rakyat, bukan kuasa yang ada pada PMO, KDN, PDRM ataupun SPR. Jika rakyat puas hati dengan pencapaian BN, maka mereka akan mengekalkan kuasa pemerintah kepada gabungan itu dan jika mereka memilih PR, maka akan berubahlah segala-galanya termasuk kedudukan para pengarang media arus perdana.


 

Monday, 9 May 2011

Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong

Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.

Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum.

Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan.

Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah.

Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda.

Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dua perkara yang jelas adalah  kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''

Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.

Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau  upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang  bukan beragama Islam.

Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.


Monday, 6 December 2010

RTM oh RTM

Semasa menonton berita 1 tengah hari melalui RTM 1, hari ini, saya tertanya-tanya apa sudah jadi dengan penggunaan bahasa Melayu yang dilaung-laungkan oleh menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Masih segar dalam ingatan betapa RTM khususnya rangkaian televisyennya menyiarkan lagu bersemangat 'Bahasa Jiwa Bangsa' hampir setiap hari sempena satu kempen khusus mengenai penggunaan bahasa kebangsaan, baru-baru ini.

Tetapi, apabila menonton siaran berita berkenaan, saya mendengar sebanyak dua kali sebutan perkataan 'homeless' oleh pelapor dari Dewan Rakyat dan pembaca berita di bilik berita.

Kenapa guna perkatan 'homeless' sedangkan menteri yang bertangungjawab, Datuk Sharizat Abdul Jalil menggunakan perkataan gelandangan, iaitu yang bermaksud orang yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap atau tiada rumah tetap.

Ketua Pengarah Penyiaran yang juga seorang wartawan, Datuk Ibrahim Yahya kenalah peka sikit mengenai penggunaan bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan oleh stesen penyiaran kerajaan. Perkataan bukan berbahasa Melayu hanya boleh diguna apabila tiada perkataan atau istilah dalam bahasa Melayu. Bagi perkataan 'homeless', seperti yang disebut oleh menteri, perkataan dalam bahasa Melayu ada. Jika pihak berkenaan tidak mahu mengguna perkataan gelandangan, apa salahnya jika menggunakan perkataan tiada  tempat tinggal atau tiada rumah, bukan 'homeless'.


Wednesday, 20 October 2010

UMNO SEMESTINYA TELUS DAN TERBUKA KEPADA SEMUA MEDIA

TERKINI -  Akhirnya Ibu Pejabat UMNO, hari ini, memberi dua keping pas kepada wartawan Malaysiakini dan beberapa orang wartawan media Internet yang lain untuk membuat liputan.



Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO selepas perasmian persidangan tiga sayap parti itu malam tadi oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihat ketidaktelusnya parti itu terhadap liputan media, sama ada yang disebut sebagai arus perdana, media rasmi, media tradisional  mahupun media alternatif atau media dalam talian. 

Kepimpinan UMNO sering memperkatakan mengenai sikap terbuka dan telus parti itu dan betapa mereka menghormati dan melaksanakan kebebasan media, walaupun kita terima hakikat tiada kebebasan mutlak, seperti yang selalu ditegaskan oleh Presidennya Datuk Seri Muhamad Najib Tun Razak.

Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman dan telah dan sedang menerajui pentadbiran negara, persidangan UMNO sudah tentu mendapat liputan bukan sahaja oleh media dalam negeri tetapi oleh media serantau dan antarabangsa.

Ini lah peluang terbaik bagi UMNO menghebahkan arah tuju perjuangan dan secara tidak langsung arah tuju pentadbiran negara kepada rakyat dan juga warga dunia. Sebab itulah media serantau dan antarabangsa berminat dan merasakan penting untuk membuat liputan.

Melalui persidangan sedemikian juga UMNO dapat membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media dengan membenarkan semua media yang memohon untuk membuat liputan diberi kebenaran berbuat demikian.

Dengan mengamalkan sikap terbuka dan telus, UMNO membolehkan media membuat liputan sebenar tentang apa yang diperbahaskan dan apa yang berlaku dalam persidangan itu. Pihak media pula tidak perlu mendapatkan sebarang maklumat daripada pihak ketiga kecuali agensi-agensi berita yang membuat liputan.

Oleh itu, tindakan pihak UMNO, yang dilaporkan sebagai pegawai dari pejabat Setiausaha Agung UMNO T. Adnan T. Mansor, melarang dan mengusir para wartawan dari media dalam talian, Malaysiakini, daripada menggunakan kemudahan pusat media dan melarang mereka daripada memasuki semua dewan persidangan, amat dikesali.

Pada 5 Oktober, dalam temubual ekslusif dengan Malaysiakini, T Adnan  memberi jaminan kepada Malaysiakini bahawa wartawan mereka akan diberi pas media untuk membuat liputan. Apa dah jadi dengan janji tersebut menjadi persoalan kerana manusia dipegang pada janjinya.

UMNO tidak boleh mempersalahkan Malaysiakini sekiranya laporan mereka tersimpang dan tersasar kerana mereka tidak diberi peluang sama seperti media lain untuk membuat liputan. Sikap sedemikian juga boleh merenggangkan hubungan antara media berkenaan dengan UMNO.

UMNO tidak boleh memilih bulu apabila ia berhadapan dengan media kerana peranan media, terutamanya media dalam talian seperti Malaysiakini, tidak kurang pentingnya pada zaman sekarang. UMNO juga harus sedar bahawa generasi muda yang ia cuba dekati, lebih gemar menyusuri laman-laman sesawang media alternatif, blog, Facebook dan Twitter daripada membaca akhbar tradisional.

Pejabat Setiausaha Agung UMNO seharusnya peka akan  perkembangan semasa dan mendekati semua bentuk dan jenis media. Ia mesti mesra semua media demi kelangsungan hidup parti itu sendiri.


Thursday, 14 October 2010

Bila rumah dibaling najis, kita juga dipersalahkan, inilah pendirian Anwar Ibrahim

Saya dan majoriti rakyat Malaysia seharusnya membantah dan mengutuk sebarang perbuatan biadab yang keluar daripada lunas-lunas kewarasan manusia yang berakal. Kami tidak dapat menerima perbuatan biadab seperti melontar atau membaling najis ke dalam kawasan Kedutaan di mana-mana sahaja.

Kita juga tidak dapat menerima kutukan kurang ajar ke atas negara yang dicintai seperti menuduh Malaysia adalah negara pencuri atau maling dalam loghat Jawa termasuk mempersenda nama negara kita "Malingsia" dan membakar bendera kebangsaan (Jalur Gemilang), iaitu lambang sesebuah negara yang mesti dihormati.

Sebagai negara yang didiami rakyat yang waras dan sedia bertolak ansur untuk mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah dua hala, kita memilih jalan rundingan, bukan persengketaan dan ugutan untuk 'mengganyang' dan 'berperang'. Itu bukan cara kita.

Kita akui bahawa perbuatan biadab yang berlaku dan mungkin akan terus berlaku di negara jiran yang dikatakan 'serumpun' itu, tidak mencerminkan pendirian pemerintah dan majoriti rakyat Indonesia, hati kita tetap terguris dan tercalar.

Pemimpin-pemimpin politik, sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang, semestinya mempertahankan kedaulatan negara di mana saja, ia bukan soal politik kepartian tetapi soal negara. Kepentingan negara semestinya diutamakan daripada kepentingan-kepentingan lain.

Kita bersyukur kerana hampir semua pemimpin politik yang mewakili semua bangsa dan suku kaum mengutuk perbuatan biadab itu tetapi malangnya, orang yang bergelar 'ketua pembangkang', seorang yang kononnya pejuang Islam dan bermacam lagi, telah mempersalahkan  negaranya sendiri semasa berada di negara jiran berkenaan.

Apabila mendengar mengenai perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman, saya terus meneliti laporan-laporan akhbar (koran) Indonesia untuk mencari kebenaran. Saya nak pastikan apa yang disebut oleh Anifah Aman bukan satu retorik politik tetapi satu kenyataan yang benar.

Saya sedih apabila membaca laporan dalam akhbar Indonesia. Memang benar, Anwar mempersalahkan sistem yang wujud di negaranya sendiri dan mempersalahkan media Malaysia yang dituduhnya mempunyai kecenderungan membuat tanggapan negatif terhadap Indonesia, media kita membuat laporan atau liputan negatif mengenai apa yang berlaku di Indonesia atau yang membabitkan rakyat Indonesia.

Media Malaysia dan UMNO dipersalahkannya kerana telah berperanan 'mengapi-apikan' keadaan sehingga mengakibat ketegangan dalam hubungan antara dua negara berjiran itu. Saya tidak mahu mengulas mengenai UMNO kerana tidak pasti akan kiebenarannya tetapi apabila menuduh media Malaysia, itu tidak benar. Ia satu pembohongan.

Anwar  juga menuduh 'permainan politik' oleh pemimpin-pemimpin elit di Malaysia yang menyebabkan memuncaknya ketegangan dalam hubungan Indonesia-Malaysia. Saya tidak nampak di mana kebenaran berkaitan kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Anwar mencuri peluang untuk memuji dirinya sendiri apabila dia menyatakan kononnya liputan negatif oleh media Malaysia sebagai antara sebab kenapa 'persefahaman dan kemesraan' antara dua negara berjiran itu tidak sekukuh berbanding semasa dia pemimpin pemuda.

Anwar juga mempersalahkan 'politik dalam negeri' di Malaysia sebagai telah mengapi-apikan keadaan sedangkan ia bukan satu kenyataan yang benar.

Anwar Ibrahim, yang merupakan antara masalah dalam 'keretakan' yang sedang berlaku dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pimpinan isteriya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sepetutnya menumpu perhatian dan tenaganya kepada urusan parti, walaupun dia bukanlah pemimpin yang dipilih oleh ahli-ahli parti.

Anwar juga semestinya menumpu kepada perbicaraan berkaitan tuduhan kes jenayah yang sedang dihadapinya kerana ia jauh lebih penting daripada perkara-perkara lain.

Kalaupun nak raih sokongan negara luar,  jangan sampai sanggup mempersalahkan negara sendiri atas alasan-alasan yang tidak betul dan benar.

Jikapun sistem atau apa jua yang berkaitan pentadbiran negara yang tidak disukainya, Anwar diberi peluang melalui sistem yang dikritiknya itu untuk mengubahnya, itupun jika dia mendapat sokongan rakyat. Selepas pilihan raya 2008, Anwar belum mendapat sokongan majoriti rakyat untuk memimpin negara dan dia kena terima hakikat itu. Anwar juga harus sedar bahawa pakatan parti-parti alternatif yang diketuainya semakin rapuh dan sedang berpecah. Tumpukan perhatian kepada masalah ini.

Anwar juga mesti terima hakikat bahawa PKR semakin bercelaru sedangkan PAS semakin kuat. Serahkan saja kepimpinan Pakatan Rakyat kepada PAS kerana Anwar sudah hilang taring dan kuku dalam perjuangan politik yang menghampiri garis penamat.



Sunday, 5 September 2010

Iklan Aidil Fitri - TV3 tak peka

Penyiaran iklan Aidil Fitri oleh TV3 yang nampaknya terlalu taksub dengan slogan politik 1Malaysia, akhirnya ditarik balik ekoran bantahan umat Islam termasuk parti PAS.

Sahabat saya, Datuk Ahmad A Talib kenalah ambil berat dan ambil tahu akan perkara-perkara yang nak disiarkan oleh TV3 kerana jawatan yang dipegangnya, walaupun atas perlantikan politik,  ttidak terlepas daripada soal akidah dan kepekaan terhadap Islam.

Adalah sesuatu yang sangat tidak kena bagi TV3 nak samakan sambutan Aidil Fitri,  yang menandakan kejayaan umat Islam menyempurnakan salah satu rukun Islam, dengan sambutan atau perayaan agama lain.

Janganlah terbawa-bawa dengan slogan atau konsep 1Malaysia kerana ia tidak lebih daripada slogan rekaan manusia sama seperti slogan Islam Hadhari yang kini tenggelam senasib seperti manusia yang mengada-adakan slogan itu.

Aidil Fitri tidak akan tenggelam sehingga akhir zaman kerana ia bukan slogan atau sesuatu yang direka oleh manusia, ia adalah hadiah daripada Allah Yang Maha Berkuasa kepada umat Islam untuk merayakan kejayaan mereka menyempurnakan ibadat puasa pada bulan Ramadhan.

Tahniah kepada Petronas atas penyiaran iklan Aidil Fitri yang bukan sahaja membuatkan penonton tersenyum tetapi membawa maksud yang berhubung kait rapat dengan kenyataan. Mungkin TV3 kena minta nasihat atau mengupah syarikat pengiklanan yang sama pada masa hadapan.


Tuesday, 17 August 2010

RTM dan 'goreng pisang' - sampai bila?

Petang 17 Ogos, saya menonton berita yang dipancarkan oleh  TV1 (RTM). Antara 'berita menarik' yang disiarkan adalah mengenai pasar Ramadhan, kali ini di Pulau Pinang. Nampaknya, cerita mengenai pasar Ramadhan menjadi satu kemestian dalam siaran berita RTM dan stesen-stesen tv swasta.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai cerita seorang Mamak yang menjual 'goreng pisang' istimewa di salah satu pasar Ramadhan di Pulau Pinang. Hebat sungguh juadah yang dijual itu.

Sebagai sebuah stesen penyiaran milik kerajaan, sudah tentunya RTM menggunakan istilah dan perkataan yang betul dalam laporannya. Perkara ini tidak boleh ditolak-ansur kerana RTM berperanan penting dalam penggunaan dan pendaulatan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan

Malangnya, ia tidak sedemikian apabila dalam laporan tersebut, pembaca atau penyampai berita merujuk kepada juadah tersebut sebagai 'goreng pisang'. Semua orang yang faham akan Bahasa Melayu tahu ianya salah. Yang betul ialah pisang goreng, bukan 'goreng pisang.'

Saya ingin bertanya  mana satu yang betul - nasi goreng atau goreng nasi, mi goreng atau goreng mi dan ayam goreng atau goreng ayam?

Saya yakin semua orang akan memberi jawapan yang betul iaitu nasi goreng, mi goreng dan ayam goreng.

Jadi, kenapa kepada pisang disebut goreng pisang?

Apa kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang juga seorang wartawan?
 

 

Friday, 2 April 2010

SELAMAT ULANG TAHUN KE-64 RTM

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyambut ulang tahun kewujudannya yang ke-64 bulan ini. Semuanya bermula dengan penubuhan sebuah stesen wayarles di Pulau Pinang dan perjalanan selama 64 tahun memperlihatkan kemajuan yang begitu hebat bagi stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Tahniah RTM.

Ingatan saya dikebelakangkan kepada awal tahun 50-an di mana semasa kecil dan minda mampu menikmati siaran Radio Malaya, sesuatu yang indah yang masih kekal dalam ingatan. Di Pulau Pinang ketika itu ada tiga buah stesen radio yang boleh diikuti melalui pancaran gelombang pendek dan gelombang sederhana.

Selain Radio Malaya, ada Rediffusion dan Radio Royal Air Force yang dipancarkan dari pangkalan udara Royal Air Force, Butterworth. Melalui gelombang pendek, siaran dari Singapura dan Medan dapat didengar.

Siaran Radio Malaya ke udara dari stesen di Kuala Lumpur kerana pada waktu itu tiada stesen penyiaran di setiap negeri seperti sekarang.

Para penyiar pada waktu itu dikenali sebagai juruhebah dan bukan DJ. Semua juruhebah memiliki suara yang hebat, mantap dan sedap didengar sama seperti kata-kata ia menjadi halwa telinga pendengar.

Saya masih ingat dan sesekali seolah-olah mendengar semula suara-suara keramat juruhebah Radio Malaya, yang hampir semuanya sudah kembali ke Rahmatullah, seperti Haji Abu Bakar Ahmad, Aziz Abu Hassan, Hashim Amer Hamzah, Siti Hawa Zain, Zahrah Za'aba, Murtadza Za'ba, Daud Meah dan Zainal Alam serta kemudiannya Zulkifli Amin, Zulkarnain Hassan dan Ismail Jah.

Dua rancangan yang saya minati ketika itu ialah Kebun Pak Awang dan Mak Iti dengan Anak-anaknya. Sekarang, saya meminati stesen Klasik Nasional.

Para juruhebah Radio Malaya dahulu menggunakan bahasa Melayu yang sempurna, indah dan tidak dinodai dengan campur aduk bahasa Inggeris. Mereka benar-benar mendaulatkan bahasa Melayu dengan sebutan yang betul dan jelas serta mudah difahami pendengar.

Kita tidak nafikan perubahan besar dari segi penggunaan alat penyiaran yang canggih tetapi dari sudut penggunaan bahasa Melayu, saya berpendapat para juruhebah silam jauh lebih baik. Mungkin juruhebah canggih yang kini dikenali sebagai DJ atau "Disc Jockey", tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi bahasa Malaysia, maka penggunaan bahasa Melayu dalam erti kata yang sebenar telah dikurangkan.

Saya juga tidak faham kenapa mesti menggantikan juruhebah dengan DJ sedangkan peranan dan tugas DJ pada hakikatnya tidak kena dengan tugas mereka. Setahu saya, DJ membawa maksud "a person who uses samples of recorded music to make techno or rap music" dan pengertian lain ialah "dinner jacket".

Inilah padahnya apabila bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia, umpamanya maklumat ditukar kepada informasi, siaran langsung menjadi "live", perhubungan diganti dengan komunikasi, kakitangan penerbitan menjadi kru, hasil jadi produk, pengarang lagu jadi komposer dan banyak lagi.

Walau apapun, kita rakamkan ucapan tahniah kepada RTM.

Thursday, 21 January 2010

Antara Twitter, Facebook, RTM dan Dr Rais

Kebelakangan ini saya menerima beberapa SMS bertanyakan sesuatu yang berhubung kait dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Tiga daripada empat merujuk kepada komen yang dilontar oleh Dr Rais terhadap dua kemudahan perhubungan dan talian persahabatan Internet, iaitu Facebook dan Twitter manakala satu berkaitan kekerapan RTM menyiar berita mengenainya.

Saya tidak tahu kenapa mereka bertanyakan perkara berkenaan kepada saya sedangkan saya tiada kaitan lagi dengan Dr Rais. Mungkin mereka yang bertanya itu sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan ulasan. Mungkin begitu agaknya.

Saya tidak ingin mengulas panjang lebar tetapi sekadar memberi pendapat berdasarkan sedikit pengalaman semasa berkhidmat sebagai salah seorang pegawai Dr Rais di Jabatan Perdana Menteri dan seketika di KEKKWA.

Merujuk kepada kenyataan beliau mengenai Facebook dan Twitter, pendirian saya adalah sama dengan hampir semua orang yang memberi ulasan dalam kedua-dua saluran perhubungan itu, iaitu saya tidak setuju dengan pendirian Dr Rais, malahan saya agak terperanjat beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Itu saja ulasan yang dapat saya buat.

Merujuk kepada kekerapan RTM menyiarkan berita dan rakaman video melalui TV1 dan TV2, saya berani menyatakan bahawa itu adalah perkara biasa bagi RTM. Sesiapa sahaja yang dilantik menerajui kementerian yang mengawal selia RTM, maka dia pasti diberi liputan sebanyak mungkin. Ia bukan sesuatu yang baru dan khusus untuk Dr Rais.

Setahu saya ia bukanlah satu arahan tetapi diamalkan oleh mereka yang bertugas di bilik berita, umpamanya editor tugasan atau editor eksekutif, atas sebab-sebab tertentu. Ia tidak semestinya kehendak atau arahan menteri.

Dalam hubungan ini, editor tugasan mahupun editor eksekutif tidak boleh dipersalahkan kerana jika tiada liputan, mereka pula yang akan terima padahnya. Mereka boleh diibaratkan seperti mentimun dengan durian.

Semasa di JPM, Dr Rais sendiri pernah tidak mendapat liputan untuk satu majlis yang agak penting sehingga beliau terpaksa merujuk masalah itu kepada menteri bertanggungjawab ketika itu Tan Sri (kini Tun) Khalil Yaakob. Lain pula ceritanya sekarang apabila Dr Rais menerajui kementerian berkenaan. Inilah hakikatnya.

Pendek kata, sesiapa yang dilantik menerajui kementerian penerangan sudah pasti akan mendapat liputan semaksimum oleh RTM. Jangan salahkan menteri, jangan salahkan editor bertugas ataupun Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran. Mereka hanya melakukan apa yang sudah menjadi satu kelaziman atau budaya kerja yang diwarisi.

Walau bagaimanapun, ianya boleh diperbaiki jika mahu. Sebagai seorang yang menyokong kuat konsep dan slogan 1Malaysia atas sifatnya sebagai KP Jabatan Penyiaran, saya percaya ngauman sang harimau mampu membawa perubahan, itupun jika masih berkuku dan bertaring.


Tuesday, 29 September 2009

Kebebasan media yang disalahgunakan


Beberapa pihak di Indonesia menyifatkan serangan bertubi-tubi yang penuh dengan pembohongan dan pemalsuan berita oleh media mereka sebagai melambangkan kebebasan akhbar yang wujud di sana.

Kita tidak menafikan kebebasan itu tetapi kebebasan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebar berita palsu dan yang sengaja diada-adakan untuk membakar minda dan semangat rakyat membenci Malaysia.

Menteri Luar Anifah Aman juga hairan kenapa media Indonesia masih meneruskan serangan ke atas Malaysia, terutama berkaitan tarian pendet yang popular di kalangan masyarakat Bali beragama Hindu, sedangkan penjelasan telah dibuat oleh pihak Discovery Channel dan penafian oleh pihak berkuasa Malaysia.

Saya percaya tiada seorangpun rakyat Malaysia yang mendakwa bahawa tarian pendet milik kita kerana majoriti warga Malaysia tidak tahu dan tidak pernah melihat tarian itu.

Sebagai seorang berpengalaman 32 tahun dalam industri berkaitan media, saya tidak faham kenapa media Indonesia masih enggan menerima hakikat atau kenyataan. Mereka terus bermain dengan sentimen sempit dan penuh dengan onak semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Nama Malaysia sendiri dipermain-mainkan dengan panggilan "Malingsia" iaitu negara pencuri kerana kita ditubuh mencuri adat dan budaya mereka.

Adat dan budaya adalah milik manusia dan kita hairan kenapa media Indonesia enggan menerima kenyataan bahawa beberapa adat dan budaya yang sama diamalkan di kedua-dua negara kerana sebilangan besar rakyat Malaysia berhijrah dari Indonesia dan membawa bersama-sama mereka adat dan budaya. Mereka juga berhak ke atas adat dan hudaya yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka sama ada di tanah Jawa, bumi Minang, Bugis mahupun Aceh.

Adakah media Indonesia nak menafikan hak rakyat Malaysia keturunan Jawa, Minang, Bugis, Boyan, Banjar atau Aceh daripada mengamal adat dan budaya yang mereka warisi?

Sekarang Indonesia sibuk mendaftar beberapa adat, budaya, seni, makanan dan tanaman sebagai waisan mereka. Mereka telah berjaya menjadikan batik sebagai warisan negara dan yang terkini mereka mahu mendaftarkan temulawak, sejenis herba yang dijadikan ramuan ubatan tradisional, sebagai warisan negara mereka. Apakah semuanya itu perlu?

Kementerian Pelancongan Malaysia juga sedang berusaha untuk mendaftar beberapa jenis makanan sebagai warisan negara dan ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan negara jiran yang turut mempunyai makanan yang sama. Apakah ianya perlu?

Berbalik kepada media Indonesia, masih segar dalam ingatan mengenai "wartawan sampul surat" yang menjadi amalan di sana.

Budaya "sampul surat" boleh mengakibatkan seseorang wartawan lupa akan etika kewartawanan, lupa akan tanggungjawab untuk membuat laporan yang benar dan tidak berat sebelah, lupa untuk mengamalkan kejurujuran dan ketelusan dalam menjalankan tugas.

Di Malaysia, walaupun media dikatakan bebas tetapi ada sekatan dan batasannya. Media yang digelar sebagai "arus perdana" dikuasai atau dikawal oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan pemerintah. Laporan yang dibuat lazimnya memihak kepada pemerintah.