Saya dan majoriti rakyat Malaysia seharusnya membantah dan mengutuk sebarang perbuatan biadab yang keluar daripada lunas-lunas kewarasan manusia yang berakal. Kami tidak dapat menerima perbuatan biadab seperti melontar atau membaling najis ke dalam kawasan Kedutaan di mana-mana sahaja.
Kita juga tidak dapat menerima kutukan kurang ajar ke atas negara yang dicintai seperti menuduh Malaysia adalah negara pencuri atau maling dalam loghat Jawa termasuk mempersenda nama negara kita "Malingsia" dan membakar bendera kebangsaan (Jalur Gemilang), iaitu lambang sesebuah negara yang mesti dihormati.
Sebagai negara yang didiami rakyat yang waras dan sedia bertolak ansur untuk mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah dua hala, kita memilih jalan rundingan, bukan persengketaan dan ugutan untuk 'mengganyang' dan 'berperang'. Itu bukan cara kita.
Kita akui bahawa perbuatan biadab yang berlaku dan mungkin akan terus berlaku di negara jiran yang dikatakan 'serumpun' itu, tidak mencerminkan pendirian pemerintah dan majoriti rakyat Indonesia, hati kita tetap terguris dan tercalar.
Pemimpin-pemimpin politik, sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang, semestinya mempertahankan kedaulatan negara di mana saja, ia bukan soal politik kepartian tetapi soal negara. Kepentingan negara semestinya diutamakan daripada kepentingan-kepentingan lain.
Kita bersyukur kerana hampir semua pemimpin politik yang mewakili semua bangsa dan suku kaum mengutuk perbuatan biadab itu tetapi malangnya, orang yang bergelar 'ketua pembangkang', seorang yang kononnya pejuang Islam dan bermacam lagi, telah mempersalahkan negaranya sendiri semasa berada di negara jiran berkenaan.
Apabila mendengar mengenai perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman, saya terus meneliti laporan-laporan akhbar (koran) Indonesia untuk mencari kebenaran. Saya nak pastikan apa yang disebut oleh Anifah Aman bukan satu retorik politik tetapi satu kenyataan yang benar.
Saya sedih apabila membaca laporan dalam akhbar Indonesia. Memang benar, Anwar mempersalahkan sistem yang wujud di negaranya sendiri dan mempersalahkan media Malaysia yang dituduhnya mempunyai kecenderungan membuat tanggapan negatif terhadap Indonesia, media kita membuat laporan atau liputan negatif mengenai apa yang berlaku di Indonesia atau yang membabitkan rakyat Indonesia.
Media Malaysia dan UMNO dipersalahkannya kerana telah berperanan 'mengapi-apikan' keadaan sehingga mengakibat ketegangan dalam hubungan antara dua negara berjiran itu. Saya tidak mahu mengulas mengenai UMNO kerana tidak pasti akan kiebenarannya tetapi apabila menuduh media Malaysia, itu tidak benar. Ia satu pembohongan.
Anwar juga menuduh 'permainan politik' oleh pemimpin-pemimpin elit di Malaysia yang menyebabkan memuncaknya ketegangan dalam hubungan Indonesia-Malaysia. Saya tidak nampak di mana kebenaran berkaitan kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar mencuri peluang untuk memuji dirinya sendiri apabila dia menyatakan kononnya liputan negatif oleh media Malaysia sebagai antara sebab kenapa 'persefahaman dan kemesraan' antara dua negara berjiran itu tidak sekukuh berbanding semasa dia pemimpin pemuda.
Anwar juga mempersalahkan 'politik dalam negeri' di Malaysia sebagai telah mengapi-apikan keadaan sedangkan ia bukan satu kenyataan yang benar.
Anwar Ibrahim, yang merupakan antara masalah dalam 'keretakan' yang sedang berlaku dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pimpinan isteriya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sepetutnya menumpu perhatian dan tenaganya kepada urusan parti, walaupun dia bukanlah pemimpin yang dipilih oleh ahli-ahli parti.
Anwar juga semestinya menumpu kepada perbicaraan berkaitan tuduhan kes jenayah yang sedang dihadapinya kerana ia jauh lebih penting daripada perkara-perkara lain.
Kalaupun nak raih sokongan negara luar, jangan sampai sanggup mempersalahkan negara sendiri atas alasan-alasan yang tidak betul dan benar.
Jikapun sistem atau apa jua yang berkaitan pentadbiran negara yang tidak disukainya, Anwar diberi peluang melalui sistem yang dikritiknya itu untuk mengubahnya, itupun jika dia mendapat sokongan rakyat. Selepas pilihan raya 2008, Anwar belum mendapat sokongan majoriti rakyat untuk memimpin negara dan dia kena terima hakikat itu. Anwar juga harus sedar bahawa pakatan parti-parti alternatif yang diketuainya semakin rapuh dan sedang berpecah. Tumpukan perhatian kepada masalah ini.
Anwar juga mesti terima hakikat bahawa PKR semakin bercelaru sedangkan PAS semakin kuat. Serahkan saja kepimpinan Pakatan Rakyat kepada PAS kerana Anwar sudah hilang taring dan kuku dalam perjuangan politik yang menghampiri garis penamat.
No comments:
Post a Comment