Mantan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), dilaporkan menerima tawaran untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang ditetapkan pada 4 November depan.
Jika laporan itu benar dan kita yakin ia adalah benar, maka pilihan raya kecil itu bukan sahaja akan menguji kekuatan atau sokongan rakyat kepada Umno tetapi yang lebih jelas kepada Ku Li.
Kepimpinan Umno sedar bahawa keputusan pilihan raya kecil itu akan memberi kesan besar kepada parti itu jika calon mereka menang dan orang yang diyakini mampu membawa kemenangan tidak lain daripada Ku Li.
Harapan besar Umno kepada putera raja yang berpengaruh itu begitu nyata apabila Ku Li dilantik pengarah pilihan raya kecil Galas dan dicadangkan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cadangan Muhyiddin mendapat sokongan meluas daripada ahli-ahli Umno semua peringikat terutama di Kelantan.
Yang jelas ialah pilihan raya kecil Galas tiba-tiba 'memulihkan' kepercayaan kepimpinan Umno peringkat tertinggi terhadap Ku Li yang mereka lihat sebagai 'duri dalam daging' terutama membabitkan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Jika sebelum ini kepulangan Ku Li dari luar negeri tidak mendapat sambutan mahupun liputan media tetapi apabila tokoh veteran Umno itu pulang dari Eropah tiga hari lepas, beliau disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta penyokong masing-masing.
Jarang sekali seorang Anggota Kabinet pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan seorang ketua bahagian parti yang tiada jawatan apapun dalam pentadbiran. Dalam politik apa saja boleh berlaku.
Begitulah hebatnya Ku Li dan begitu tingginya harapan Umno kepadanya untuk memenangi semula kerusi DUN Galas yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu.
No comments:
Post a Comment