Showing posts with label Umno. Show all posts
Showing posts with label Umno. Show all posts

Thursday, 16 April 2015

Anak Lebai Sudin celah masuk�..

Tengkarah antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan PM Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendapat perhatian dan diperbahaskan bukan sahaja dalam negeri tetapi seantero dunia. Begitulah hebatnya sesuatu isu apabila orang yang bersuara ialah Tun Mahathir.

Pihak media yang sama ada dikawal atau dimiliki pihak yang berkepentingan telah diarah untuk tidak melaporkan apa-apa yang boleh menjejas sokongan kepada Najib. Umpamanya sokongan terbuka Datuk Siti Nurhaliza dan pelakon cantik gebu, Che Ta atau Rozita Che Wan kepada Tun Mahathir.

Stesen TV terutama TV3 yang dikuasai Media Prima (UMNO lah tu) terus menemu bual pemimpin UMNO dan NGO tertentu untuk kononnya menyokong penuh Najib dan sekali gus menghentam Tun Mahathir.

Dalam pada itu, ada pula pihak yang cuba melaga-lagakan anak Tun Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah, Mukhriz, dengan Najib. Mereka cuba memaksa Mukhriz untuk sokong Najib dan secara langsung menentang bapanya sendiri. Itu belum cukup, timbul pula seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Bukit Lada), Ahmad Lebai Sudin yang mendesak Mukhriz letak jawatan jika tidak sokong Najib.

Ahmad Lebai Sudin yang dikatakan sudah bernyawa ikan dalam sepak terajang politik UMNO Kedah, cuba mencelah masuk untuk mendapat penawar bagi memulihkan kerjaya politiknya, dan siapa tahu dengan menyokong Najib, mungkin boleh duduk kerusi MB. Dalam politik apa saja boleh berlaku dan Ahmad Lebai Sudin, yang pernah berkhidmat dibawah Ibrahim Saad di Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada zaman BN mentadbir negeri itu, bijak bermain politik.    


(Foto hiasan semasa Dr Mahathir pulang ke Kedah selepas dilantik PM. Terus terang saya katakan saya sokong Tun Mahathir dalam perdebatan berkaitan kedudukan Najib sebagai PM)

Bak kata orang, sepandai manapun tupai melompat, satu hari akan jatuh ke tanah jua. Ahmad Lebai Sudin tak sempatpun nak melompat, dah tersungkur apabila kenyataannya itu tidak mendapat sokongan bukan sahaja di kalangan barisan kepimpinan UMNO Kedah tetapi dari luar negeri jelapang padi itu.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar ikut sama meminta supaya jangan memberi tekanan atau desakan kepada Mukhriz. Tiga pemimpin cabang UMNO Kedah, Wanita, Pemuda dan Putri juga tidak mahu Mukhriz menyatakan sokongan kepada Najib secara terbuka. Mereka faham akan kedudukan dan dilema yang dihadapi Mukhriz tetapi Ahmad Lebai Sudin tidak. Itulah bezanya.

Kepada Ahmad Lebai Sudin�hayatilah pantun lama pusaka bangsa ini.

Anak kumbang merayap-rayap
Mati ditangkap anak merpati,
Hendak terbang tidak bersayap
Hendak hinggap tidak berkaki.

Jika tidak faham akan maksudnya, tanyalah kepada orang yang lebih arif.


Sunday, 5 January 2014

Masuk UMNO kejar pangkat?

Saya terpanggil untuk mengulas sedikit mengenai sikap segelintir pemimpin UMNO, itupun jika mereka layak digelar pemimpin yang menyertai parti itu semata-mata untuk mengejar kemewahan dan pangkat.

Mereka sanggup berbelanja besar untuk dipilih ketua bahagian kerana itulah batu loncatan untuk mendapat lebih, sama ada kontrak atau projek, kedudukan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau perbadanan-perbadanan dan badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Ini menjadi lumrah 'perjuangan' mereka.

Kali ini, saya dapati seorang 'pemimpin' dari Pulau Pinang bergelar 'datuk' yang menghubungi seorang pemimpin parti yang berpengaruh di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pangkat untuk isterinya.

Dia melobi agar isterinya yang juga salah seorang 'pemimpin' Wanita UMNO di Pulau Pinang, diberi anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran "datuk'. Saya tidak pasti sama ada dia melobi sempena sambutan Hari Wilayah, Hari Keputeraan rasmi Yang diPertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Apakah ini semangat perjuangan UMNO? Apakah mengejar gelaran dan pangkat jauh lebih penting dan utama berbanding dengan memperjuangkan untung nasib rakyat?

Isteri pemimpin berkenaan sudahpun bergelar 'datin' ekoran dia sendiri bergelar 'datuk'. Apakah ini belum cukup? Nampaknya begitulah.  Sifat tamak haloba dan tidak berpuas hati dan seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang ada bukanlah sifat seorang pemimpin yang baik.

Ingat neraca pertimbangan di akhirat kelak bukan pangkat, jawatan, kedudukan dan kekayaan. Insaflah.

Wednesday, 6 November 2013

PRK Sungai Limau - yang menang adalah penduduk

Dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Kedah yang mengekalkan calon PAS dengan majoriti kurang daripada yang diperolehi pada PRU 13, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencurahkan kira-kira RM16 juta kepada kawasan pilihan raya itu.

Jumlah peruntukan pembangunan, sumbangan dan bantuan itu menghasilkan tambahan undi kepada BN sebanyak 465 sahaja.

Hasil daripada pilihan raya kecil itu sebenarnya memanfaatkan penduduk Sungai Limau, bukan PAS ataupun UMNO. Inilah kelebihan apabila berlaku pilihan raya kecil.

Apa yang menarik perhatian dan julung-julung kali berlaku ialah penganjuran apa yang disebut sebagai Karnival Luar Bandar Rakyat 1Malaysia yang diadakan sehari sebelum hari mengundi di Bukit Besar, kawasan undi yang dikatakan benteng kuat PAS. Tujuannya adalah untuk meraih sokongan pengundi kepada UMNO/BN.

Dalam karnival itu, penduduk Sungai Limau ditawarkan beras,  gula, tepung pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Beras seberat lima kilogram dijual pada harga RM5 berbanding harga pasaran antara RM18 dan RM20, gula pasir dijual pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan tepung gandum pun dijual pada harga RM1. Penawaran harga murah itu memberi faedah kepada penduduk dan inilah satu rahmat pilihan raya kecil kepada mereka.

Selain karnival, kerajaan Persekutuan meluluskan beberapa peruntukan untuk penduduk Sungai Limau, antaranya RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.

Penduduk juga mendapat bantuan perumahan dan cermin mata (kaca mata) bernilai RM2.8 juta, RM2.5 juta untuk tukun tiruan, RM500 ribu untuk jeti perikanan dan RM802,700 untuk program bantuan azam tani MARA, RM300 ribu untuk masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru pra-sekolah agama KAFA dan 33 buah masjid, RM30,000 untuk pinjaman TEKUN dan RM19,700 dalam bentuk zakat AgroBank.

Faedah dan habuan yang diperolehi rakyat apabila berlaku pilihan raya kecil jauh lebih besar dan banyak daripada apa yang mungkin diperolehi semasa pilihan raya umum. Kawasan atau kampung mereka pun menjadi terkenal apabila pemimpin-pemimpin negara dan media berkampung dan memperlihatkan keprihatinan terhadap masalah rakyat. 

Apakah harus berlaku pilihan raya kecil untuk membolehkan rakyat mendapat sebegitu banyak faedah sedangkan sebelum itu boleh dikatakan menteripun tak masuk kampung, apatah pula Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri. Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kampung-kampung nelayan dan petani di Sungai Limau. 

Sekarang seluruh negara tahu dimana letaknya Sungai Limau!      





Monday, 4 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU - TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Sungai Limau walaupun menghadapi serangan dan gempuran jentera raksasa Barisan Nasional (BN). 

Kemenangan PAS sudah diagak walaupun BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS pada PRU 13 lalu sebanyak 1,690.

Calon PAS Ustaz Mohamad Azam Abdul Samad memperolehi 12,069 undi manakala calon UMNO/BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim 10,985 undi untuk memberi majoriti 1,084 kepada PAS. Peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab ialah 85.5 iaitu 23,249 daripada 27,222 pemilih berdaftar.

Seperti yang saya tulis sebelum ini,  PRK Sungai Limau sebenarnya antara PAS dan "Kerajaan BN" kerana jentera kerajaan telah dikerah melalui "acara rasmi" oleh Menteri Kabinet untuk "berkempen". Berjuta ringgit telah dicurahkan dalam bentuk bantuan,  peruntukan dan sumbangan kepada penduduk DUN Sungai Limau. 

Kehebatan dan keraksasaan jentera BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pada saat-saat akhir, iaitu sehari sebelum hari mengundi, khidmat dan pengaruh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikerah ekoran daripada maklumat risikan yang menyatakan BN ketinggalan dibelakang PAS.  Kehadiran Tun Mahathir mungkin telah mempengaruhi beberapa orang pengundi sahaja. 

Laporan berat sebelah oleh media "rasmi"  sedikit sebanyak membantu BN menambah undi, itu sahaja. 

Taktik kotor yang diguna sehari dua sebelum hari mengundi seperti menggantung "kaki palsu" yang dipotong dan ditulis perkataan "ustaz" dan penyebaran SMS "palsu"  daripada balu almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menyeru pemilih supaya mengundi calon BN, juga gagal meraih sokongan (kemenangan) untuk BN.

Seperti biasa, UMNO menggunakan satu lagi muslihat, iaitu kemasukan beramai-ramai "ahli PAS" ke dalam UMNO tetapi kali ini ia "terkantoi" kerana "penipuan" itu terbongkar apabila ada ahli PAS yang tampil memberi penjelasan dan kenyataan sebenar. Nampaknya, UMNO masih belum belajar daripada kesilapan taktik yang sering diguna pakai apabila menghadapi pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Ia adalah satu tamparan hebat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom yang terlibat dalam isu kemasukan ahli PAS itu. Bukankah penipuan dilarang oleh Islam? Sudah tentu mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) itu tahu akan kenyataan ini.

Walaupun sebilangan rakyat berjaya digula-gula dan dipengaruhi melalui janji-janji manis pembangunan dan bantuan, termasuk kepada beberapa buah sekolah agama rakyat,  namun ia masih gagal membawa kemenangan kepada BN. Semuanya ini kerana rakyat, terutama orang kampung seperti petani dan nelayan di Sungai Limau, sudah lama membuka mata dan telinga. Mereka tahu apa yang berlaku dan bijak membuat pilihan. 

Kepada petugas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang "terpaksa" ke Sungai Limau atas "tugas rasmi" kerana "menurut perintah", selamat pulang ke tempat masing-masing dan bersedia untuk  kemuka  tuntutan-tuntutan yang berhak dibuat semasa "bertugas" di Sungai Limau.
   
  

Saturday, 2 November 2013

Sungai Limau: "Kerajaan BN" lawan PAS - siapa pilihan rakyat?

Pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Sungai Limau akan diketahui Isnin ini. Ia bukan antara UMNO yang mewakili Barisan Nasional dan  PAS, rakan Pakatan Rakyat,  tetapi antara "Kerajaan BN" dan PAS.

Kenapa saya kata antara "Kerajaan BN" dan bukan BN atau UMNO? Jawabannya jelas apabila melihat para Menteri Kabinet Persekutuan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri berkampung dan turun padang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para Menteri, boleh dikatakan semuanya belum pernah ke Sungai Limau kecuali Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom, tiba-tiba masuk kampung atas urusan "rasmi" Kementerian masing-maasing atau Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian berkenaan.

Atas sifat "tugas rasmi" itulah menjadikan pilihan raya kecil ini pertandingan bukan antara UMNO dengan PAS tetapi antara "Kerajaan BN" dengan PAS.

"Tugas rasmi" atau "majlis rasmi" hanyalah "alat" yang diguna pakai untuk berkempen. Apabila berselindung disebalik faktor "rasmi" itu, maka dana kerajaan atau wang pembayar cukai dan hasil negara, boleh digunakan.

Wang tersebut diguna untuk meluluskan projek-projek pembangunan, memberi bantuan kepada nelayan dan petani, memberi peruntukan atau sumbangan kepada sekolah-sekolah termasuk sekolah agama rakyat (sekolah pondok) dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah kebangsaan dan untuk prasarana awam seperti jalan, bekalan letrik, paip air dan pengairan dan saliran.

Atas sifat "rasmi" juga para menteri dan pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan Agensi boleh turun padang dan membuat tuntutan-tuntutan seperti elaun perjalanan, elaun penginapan dan elaun makan. Jika bukan kerana tugas "rasmi", mereka tidak layak mengemukakan apa-apa tuntutan sekalipun.

Oleh itu, kos sebenar pilihan raya kecil Sungai Limau lebih besar daripada apa yang diperuntukkan   kerana ia turut melibatkan segala tuntuan yang akan dibuat oleh para menteri dan kakitangan awam selain peruntukan segera atau sebaliknya yang diperturunkan di Sungai Limau. 

"Tugas rasmi" para menteri tidak lebih daripada satu alasan atau sebab untuk membolehkan mereka berkempen dengan menggunakan kemudahan, tenaga kakitangan awam dan wang rakyat.  Ia tidak lebih dan tidak jua kurang daripada itu. 

Siapa yang akan menjadi pilihan pengundi Sungai Limau? Jika "Kerajaan BN" menang maka berbaloilah kempen yang dijalankan, tetapi jika PAS terus menjadi pilihan, bermakna satu tamparan hebat untuk Muhyiddin dan Mukhriz Tun Mahathir.

Kedua-dua pihak yakin boleh menang. Sepatutnya begitulah. Sebagai seorang pengamat yang bukan penganalisis politik seperti sesetengah pensyarah dan tenaga pengajar menara gading mengaku apabila memberi ulasan, saya hanya berani membuat agakan, iaitu saya kurang yakin BN boleh menang. Saya mungkin silap, sebab itulah saya hanya agak.   

  

Tuesday, 29 October 2013

Muhyiddin dah minta maaf, kes tutup!

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO/Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta ma'af kepada keluarga almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak ekoran kenyataannya yang mengaitkan kenaikan harga gula dan penyakit kencing manis dengan mantan Menteri Besar Kedah itu.

Muhyiddin sedar akan kesilapnnya itu dan adalah diharapkan keluarga almarhum Azizan menerimanya dengan hati yang terbuka dan  dalam semangat persaudaraan Islam.

Muhyiddin sedar bahawa sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada kesilapan dan dengan itu dia memohon ma'af. Syabas dan tahniah diucapkan kerana tidak ramai pemimpin yang sanggup berbuat demikian kerana ego dan sebagainya.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana pilihan raya akan berlaku kata-kata yang menyakiti hati dan perasaan orang lain terutama pihak lawan. Dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, Kedah juga berlaku perkara yang sama, oleh kedua-dua pihak (UMNO dan PAS) yang sedang berusaha mendapat sokongan pengundi.

Mereka mungkin lupa akan Sabda Rasulullah S.A.W. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu yang bermaksud: "Orang Islam sesama Islam yang lain adalah bersaudara, tidak mengkhianati, membohongi dan membiarkan saudaranya." 

Malangnya, perkara sebaliknya sedang berlaku di Sungai Limau. Ia bak melatanya penyakit masyarakat yang turun temurun, iaitu hasad dengki dan benci membenci semata-mata untuk menang.

Mungkin mereka tidak sedar bahawa ada pihak lain yang sedang tertawa melihat apa yang  berlaku di kalangan orang Melayu/Islam  di negara ini,  lebih-lebih lagi apabila menghadapi pilihan raya.
  

Sunday, 27 October 2013

Muhyiddin Yassin mesti henti kaitkan isu subsidi gula dengan almarhum Tan Sri Azizan

Ramai orang yang sedih, kecewa dan marah dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan penarikan balik subsidi gula dan  penyakit kencing manis dengan nama almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak.  Ia amat tidak kena dan tidak menghormati seorang insan yang telahpun meninggal dunia. Ada orang yang menyatakan perbuatan itu sebagai 'biadab".

Apakah Muhyiddin, yang kononnya sedang mendekati dan mendalami ajaran Islam, tidak sedar akan baik buruknya perbuatannya itu? Apakah 'penasihat agamanya' tidak menasihatinya sebelum membuka mulut? 

Amat tidak kena sama sekali bagi  Muhyiddin mengaitkan penarikan balik subsidi gula (yang bermakna gula naik harga) dengan pulangnya ke Rahmatullah almarhum Azizan, yang menghidap  penyakit kencing manis. Muhyidin mesti disedarkan yang gula bukan satu-satunya punca penyakit kencing manis. 

Jika nak menang pilihan raya kecil Sungai Limau sekalipun, usah kaitkan dengan almarhum mantan Menteri Besar Kedah itu. Sebagai seorang Muslim, kita mesti menghormati orang yang terlebih dahulu pulang ke rahmatullah. Itulah antara perkara yang diajari semasa kita mengikuti pengajian atau pembelajaran agama Islam.

Saya tidak berani nak katakan perbuatan itu sebagai munafik, tetapi nampaknya begitulah kerana berikutan kematian almarhum Azizan, semua pemimpin besar negara memuji dan menyanjung tinggi sikap, pendirian dan prinsip hidup yang dipegang oleh almarhum, PM Najib Tun Razak puji, Muhyiddin puji, Mukhriz Mahathir puji dan Tun Mahathir  pun puji.  Semunya menghormati almarhum walaupun semasa hayatnya selaku MB Kedah, mereka jarang memujinya.

Timbul tanda tanya sama ada puji-pujian itu ikhlas atau sebaliknya? Jika ikhlas kenapa nak kaitkan kenaikan harga gula dan kencing manis dengan almarhum? Ini yang tak kena dan tak sepatutnya berlaku.

Inilah politik namanya. Orang politik sanggup buat apa saja untuk menang, untuk kepentingan peribadi dan untuk kesenangan dunia tanpa berfikir panjang kesenangan akhirat.


Sunday, 13 October 2013

"Pilihan Raya" UMNO peringkat sayap tak jejas "penerbangan".

Selesai sudah pemilihan "kaedah baru" untuk ketiga-tiga sayap parti UMNO. Ia tidak boleh dikatakan "lancar" kerana buat pertama kali dijalankan serentak di semua bahagian parti. Cara perwakilan mengundipun lain daripada lazim yang dilakukan. 

Setiap yang baru tidak akan terlepas daripada masalah dan kekurangan. Itulah hakikatnya.

Laporan media cetak mengenai perjalanan pemilihan ketua-ketua Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan induk jelas menunjukkan ada  sedikit sebanyak masalah. Ia boleh diterima dan kita pasti akan diperbaiki.

Kepada ketiga-tiga pemimpin sayap yang menang, sekalung tahniah. 

Tumpuan kini beralih kepada pemilihan pemimpin peringkat bahagian dan Majlis  Tertinggi pada 19 Oktober dan yang menjadi tumpuan utama ialah bagi peringkat naib presiden. Mampukah Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal mempertahankan jawatan? Saya percaya salah seorang daripada mereka, besar kemungkinan Hishamuddin, akan tumbang. Kedudukan Zahid dikatakan kukuh manakala Shafie kuat dibantu oleh kekuatan UMNO Sabah.

Persoalannya, siapa yang bakal dipilih?  Adakah Isa Samad, Ali Rustam atau Mukhriz Mahathir? Saya percaya, bukan yakin, Mukhriz akan dipilih. 

Wednesday, 9 October 2013

Antara "running dogs" dan anjing yang sedang berlari

Terlebih dahulu saya mohon ma'af kepada para pembaca dan pengikut blog ini kerana agak lama tidak mengemas kini. Saya terima banyak pertanyaan daripada kawan-kawan dan pengikut yang ingin tahu kenapa dan mengapa. Sebenarnya saya sengaja tidak berbuat demikian walaupun banyak isu dan persoalan yang boleh dihurai atau diulas.

Namun begitu, saya terpanggil untuk mengulas mengenai isu "running dogs" yang disebut oleh ketua publisiti Partai Tindakan Demokratik (DAP), YB Tony Pua.  Walaupun "running dogs" hanyalah satu peribahasa atau perumpamaan dalam bahasa Inggeris, banyak pihak yang kurang arif membuat andaian dan tanggapan salah. Tidak kurang juga yang membuat laporan polis dan ini mengheret timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Bakri Zinin  membuat ulasan untuk menyiasat mengikut undang-undang tertentu. 

Saya bukan menyokong tuduhan Tony Pua yang menyatakan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan adalah "running dogs of UMNO" tetapi cuba membetulkan andaian dan tanggapan yang salah. Kita tidak seharusnya menterjemah perkataan atau ayat dalam bahasa Inggeris secara langsung kerana maksud dan pengertiannya tidak semestinya sama. Sebagai contoh, "fire" boleh bermaksud api,  tembak dan pecat, oleh itu ia tidak boleh diterjemah tanpa memahami maksud dalam sesuatu ayat itu. Begitu juga dengan peribahasa atau perumpamaan yang membabitkan binatang atau benda-benda lain yang tidak bernyawa. 

Banyak pihak yang kurang arif telah secara langsung menuduh Tony Pua sebagai menyifatkan ROS dan Utusan sebagai "anjing UMNO" sedangkan ia  tidak tepat.

Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa itu membawa maksud mengikuti atau patuh kepada  satu sistem politik  atau sanggup berkhidmat dan menjaga hati dan perasaan  pihak lain. Ia bukan merujuk kepada pihak yang dituduh itu sebagai anjing tetapi sebagai satu kiasan. Banyak peribahasa dalam semua bahasa yang menjadikan binatang sebagai kiasan dan ini diterima oleh masyarakat.

Dalam bahasa Melayu pun banyak peribahasa, perumpamaan dan simpulan bahasa yang menggunakan binatang sebagai kiasan, umpamanya, anak anjing takkan jadi anak musang jebat, kera sumbang, rusa masuk kampung, anjing menyalak bukit, memberi bunga kepada kera,  kalau anjing biasa makan tahi, tak makan hidu ada juga dan banyak lagi. Ia tidak merujuk kepada manusia sebagai binatang tetapi menjadikan binatang sebagai perumpamaan atau bidalan.

Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa kiasan dan peribahasa yang menggunakan binatang, umpamanya "throw someone to the lions;  live like fighting-cocks;  drive one's pigs to market;   get a pig in a poke;  go to pigs and whistles;  make a pig of oneself;  donkey work;  as poor as a church mouse" dan banyak lagi.

Saya tidak dapat bayangkan reaksi pihak berkenaan sekiranya Tony Pua guna salah satu peribahasa yang mengandungi perkataan "pig" atau "church",  tentu lebih hebat bantahan dan lebih banyak laporan polis dibuat.

Apa yang dimaksudkan oleh Tony Pua apabila merujuk kepada ROS dan Utusan sebagai "running dogs" bukan bermakna dia menyifatkan kedua-duanya sebagai "anjing UMNO".  Maksud peribahasa itu dalam  bahasa Inggeris  adalah: "a servile follower, especially of a political system.  One who is willing to serve or please others." Jika kita faham maksud peribahasa itu, maka tidak timbul tanggapan atau andaian yang tidak betul.





Wednesday, 21 August 2013

Lagi pelantikan "kitar semula" oleh DS Najib

Setelah pelantikan Jemaah Menteri yang termasuk beberapa kes "kitar semula",  Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak nampaknya terus melaksanakan pelantikan "kitar semula" apabila dilaporakan sebagai telah atau akan melantik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku "penasihatnya"  berkaitan "isu wanita".

Saya tidak nampak apa-apa kelebihan dalam pelantikan Shahrizat,  mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Apakah pelantikan itu semata-mata untuk memenuhi kehendak Wanita UMNO yang dipimpin oleh Shahrizat atau "membalas budi dan sokongan" mantan Ahli Dewan Negara yang ditumbangkan oleh naib presiden PKR Nurul Izah Anwar pada PRU-12 di Lembah Pantai itu? 

Apakah kerana Shahrizat mengetuai Wanita UMNO maka dia mesti diberi jawatan walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya ataupun dilantik melalui pintu Dewan Negara?

Atau apakah Shahrizat begitu hebat dan  dia tidak boleh diketepikan oleh Najib sehingga  dilihat sebagai membelakangi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim? 

Rohani, tokoh wanita dari Sarawak, nampaknya kurang senang dengan pelantikan itu apabila dia dikutip media sebagai berkata "Beliau (Shahrizat) bukan penasihat dikementerian saya". Jelas sekali Rohani tidak memerlukan seorang penasihat untuk menjalankan tugas. Kementerian berkenaan mempunyai pegawai dan pakar yang mencukupi untuk "menasihati" menteri, jika perlu, berkaitan isu wanita. 

Sesiapapun yang mengetaui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti akan rasa tersinggung mengenai pelantikan seorang "penasihat" berkaitan isu wanita sedangkan sudah wujud sebuah kementerian khusus untuk itu.

Najib mesti sedar bahawa dia tidak boleh "menggembirakan" semua orang dan harus peka akan hakikat tersebut. Mungkin Najib sendiri "dinasihati" oleh seorang wanita tertentu untuk melantik Shahrizat dan dia terpaksa akur dengan "nasihat" itu.

Saya setuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, bahawa pelantikan Shahrizat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dalam isu wanita sebagai  satu "produk kitar semula" menggunakan wang pembayar cukai. Katanya, Shahrizat tidak membawa sebarang  "tambah nilai" terutamanya dalam isu-isu wanita. 

Selain pelantikan Shahrizat, saya difahami bahawa seorang ahli politik yang  tiga kali "melompat parti" dari UMNO kepada PKR dan kembali berpaut kepada UMNO,  akan dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Indonesia. Ini pun satu pelantikan "kitar semula" untuk membalas "sokongan" tokoh berkenaan kepada Najib dan UMNO sebelum PRU-13.

Nampaknya, Najib sedang menguji kesabaran ahli UMNO yang mulai kurang senang dengan beberapa tindakan dan keputusan yang dibuatnya.

   

Monday, 8 July 2013

MENARA UMNO PULAU PINANG - MENIMBULKAN BANYAK TANDA TANYA



Setelah lama berehat, saya kembali menulis dan topik pertama yang menjadi pilihan ialah isu pemilikan Menara UMNO Pulau Pinang.

Banyak orang termasuk media memperkatakan mengenai tragedi yang menimpa dua orang akibat runtuhnya penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister, George Town. Akibat tragedi itu, ramai yang terperanjat mengetahui bahawa Menara UMNO bukan milik UMNO dan parti itu hanya menyewa dua lantai atau tingkat di menara 21 tingkat itu.

Bagi saya, bangunan UMNO asal  meninggal banyak kenangan dan pengalaman terutama berkaitan sukan badminton. Di dalam Dewan UMNOlah terdapat satu-satunya gelanggang tertutup badminton milik Melayu yang menjadi "tuan rumah" bukan sahaja kepada Persatuan Badminton Melayu tetapi beberapa pasukan badminton untuk berlatih dan menganjur kejohanan.

Di situ juga terdapat sebuah kedai "borong" milik Pernas Edar yang bertujuan membantu peniaga atau peruncit Melayu mendapat bekalan selain menempatkan dewan mesyuarat dan pejabat UMNO. Kali terakhir saya bermain badminton di Dewan UMNO sekitar tahun 60-an apabila menyertai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Melayu (kategori bawah umur 18 tahun).

Bangunan asal telah diroboh dan digantikan dengan Menara UMNO. Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa pemilikan Menara UMNO bukan milik parti itu sedangkan bangunan asal yang dikenali sebagai Rumah UMNO atau Dewan UMNO adalah milik parti Melayu itu 100 peratus. Apa yang berlaku sehingga parti itu "hilang" pemilikan ke atas Menara UMNO?

Sesungguhnya berita mengenai bencana itu menimbulkan pertanyaan mengenai bangunan setinggi 21 tingkat itu.

Siapa sebenarnya pemilik bangunan yang dibina atas tanah wakaf yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku pentadbir. Apa hubungan antara pemilik bangunan dengan tanah wakaf dan sama ada pembinaan bangunan itu mengikut syarat dan hukum-hakam yang berkaitan dengan harta  wakaf umat Islam.

Pewakif yang mewakafkan tanah seluas setengah ekar itu tentu mempunyai niat tertentu apabila mewakafkan tanahnya itu. Pusara atau kubur pewakif dan beberapa kubur lain yang dipercayai keluarganya, masih terdapat di situ. 

Apa peranan atau tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang apabila membenarkan pembinan di atas tanah wakaf itu? Persoalan ini pun memerlukan jawaban.

UMNO Perhubungan Negeri Pulau Pinang pula mesti memberi penjelasan kenapa bangunan asal milik parti itu  diroboh dan digantikan dengan bangunan 21 tingkat yang akhirnya tidak menjadi milik UMNO.

Setahu saya, bangunan asal UMNO itu dibangunkan hasil kutipan derma dan usaha sebuah jawatankuasa UMNO Bahagian Pulau Pinang. Jawatankuasa Pungutan Derma untuk membina Rumah UMNO dipengerusikan oleh Kapten (VF) Mohamed Noor dengan  Tan Sri Syed Abbas Alhabshee selaku setiausaha dan Tan Sri Ismail Hashim selaku bendahari (kemudian diganti oleh Osman Ismail). Jawatankuasa itu ditubuhkan tidak lama selepas Merdeka.

Antara usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa itu ialah penjualan tiket cabutan bertuah  khusus untuk mengumpul dana selain menyertai penganjuran "pesta" di "New World Park" yang mirip Pesta Pulau Pinang sekarang.  Penjualan tiket berkenaan  mendapat sambutan ekoran daripada tarikan hadiah utamanya, iaitu sebuah kereta Austin A-40 selain hadiah motosikal dan barangan kemas. 

Pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa berkenaan tidak kenal penat dan lelah untuk turun padang dengan mengunjungi setiap cawangan di bahagian Pulau Pinang untuk menjual tiket cabutan bertuah. Begitulah usaha mereka untuk mendapat dana bagi membina bangunan UMNO.

Jawatankuasa itu berjaya memperolehi keuntungan sebanyak RM38,000.00 dan wang itulah yang dijadikan modal membina bangunan UMNO di Jalan Macalister. Bangunan itu adalah milik UMNO sepenuhnya.

Saya kurang pasti bagaimana UMNO Bahagian Pulau Pinang boleh mendirikan bangunan di atas tanah wakaf seluas setengah ekar itu.  Pihak Lembaga Wakaf, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, yang turut menyewa ruang pejabat di Menara UMNO,  perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini. 

Menara UMNO yang ada sekarang direka bentuk oleh firma arkitek TR Hamzah and Yeang dan mula dibina pada tahun 1995 dan siap pada bulan Mac 1998. Pemaju dan pemilik  bangunan itu ialah South East Asia Development Corporation Berhad. (Apakah TR Hamzah merujuk kepada seorang tokoh veteran UMNO?) 

Saya tidak tahu sama ada UMNO menjual bangunan asal kepada syarikat berkenaan atau tidak kerana syarikat itu menjadi pemaju dan pemilik Menara UMNO. Jika berlaku sebarang urusan jual-beli, sudah tentu ada rekod dan buktinya. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat persoalan ini.  

Pemilikan Menara UMNO kemudian berpindah milik kepada Amanah Capital Malaysia dan kemudian kepada JKP Sdn. Bhd.

Apa yang menarik perhatian saya ialah pengerusi JKP Sdn Bhd sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ialah Datuk Zainal Abidin Osman, iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang. Zainal meletak jawatan pada 15 April untuk bertanding selaku calon BN pada PRU-13 tetapi kalah, buat kali kedua selepas kalah pada PRU-12. 

Apa kaitan antara JKP Sdn  Bhd  dan UMNO? Ini yang menjadi tanda tanya.

Tragedi Menara UMNO sebenarnya membuka mata mengenai beberapa persoalan termasuk pemilikannya, apa terjadi kepada harta UMNO Bahagian Pulau Pinang yang membina bangunan asal dan kedudukan tanah wakaf yang diatasnya terdiri bangunan 21 tingkat itu.





Sunday, 12 May 2013

MB TERENGGANU PERLU BERSIKAP RASIONAL DALAM SOAL PEMBANGUNAN

Menteri Besar Terengganu yang dilantik semula Datuk Seri Ahmad Said memperlihatkan kemarahannya apabila menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinannya tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Ahmad Said berkata walaupun pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang BN kalah.

Saya lihat pendirian Ahmad Said itu sebagai sesuatu yang kurang bijak dan tidak lebih daripada melepas geram yang tidak kena pada tempatnya. Ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk kezaliman kerana bukan semua rakyat di kawasan berkenaan menolak BN.

Ahmad Said perlu ingat bahawa sejumlah besar pengundi menyokong BN dan kemenangan calon PAS di 14 kawasan DUN dan satu oleh PKR bukan semuanya dengan majoriti besar. Ramai yang menyokong BN dan  mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa tindakan negatif semata-mata kerana BN kalah di kawasan DUN berkenaan.

Kita dapat lihat sokongan kepada BN di beberapa kawasan DUN yang dimenangi  PAS agak besar dan BN kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi. Kawasan-kawasan DUN yang dimaksudkan ialah Teluk Pasu (kalah dengan 109 undi), Tepuh (kalah  229 undi), Bukit Tunggal (652 undi), dan Ladang (924 undi).

Jumlah undi yang diperolehi calon BN yang kalah tidak boleh dilihat sebagai penolakan rakyat terhadap parti itu. Oleh itu, Ahmad Said tidak seharusnya menghukum mereka semata-mata kerana BN kalah. Ini tidak betul dan tidak demokratik.

Tindakan yang bakal diambil oleh Ahmad Said boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat menawan semula sokongan rakyat kepada BN. Ahmad Said dan pasukannya sepatutnya mendekati rakyat dan terus membantu dalam usaha untuk memenangi sokongan mereka, bukan melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan.

Ahmad Said perlu bersikap rasional dan realistik seperti yang ditunjuk oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad yang berkata BN tidak akan meminggir negeri mahupun kawasan pilihan raya Parlimen yang tidak menyokong parti itu. Itu bukan dasar BN, kata Tok Pa. Tetapi, lain pula pendirian Ahmad Said, yang bersikap kebudak-budakan.     


Monday, 18 March 2013

Hubungan "Sultan Sulu" dengan politik Malaysia

Hubungan tokoh-tokoh politik Malaysia dengan "Sultan Sulu" bukan perkara baru. Ada juga "Sultan Sulu" yang pernah menjadi ahli UMNO di Sabah.

Gambar di atas menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama "Sultan Esmail Kiram II" manakala sekeping lagi menunjukkan Tun Abdullah Ahmad dengan "Sultan Sulu" yang sama. "Sultan Esmail Kiram II" adalah saudara "Sultan Jamalul Kiram III" yang bertanggungjawab menghantar "tentera dirajanya" menceroboh Sabah.

Kita tidak tahu sejauh mana hubungan kepimpinan UMNO dengan "Sultan Sulu" dan kita tidak mahu pula melempar tuduhan atau fitnah hanya dengan memaparkan foto sedemikian rupa termasuk yang dikaitkan dengan Nur Misuari atau pemimpin Moro yang lain.

Kita melihat hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan silatur-rahim antara saudara seagama. Kita sedar di kalangan keluarga terdekatpun berlaku perbalahan inikan pula antara sahabat yang berlainan negara. Hari ini berkawan dan esok lusa boleh berlawan.

Oleh itu, rakaman foto masa lalu tidak boleh dijadikan alat atau alasan untuk melempar tuduhan kepada sesiapapun kerana pada waktu itu mereka bersahabat dan tidak bermusuhan. Permusuhan hanya berlaku apabila sahabat bertindak menceroboh dan membunuh. 

Benar, Datuk Seri Najib dan Pak Lah bersahabat dengan "Sultan Sulu" tetapi kita tidak boleh mengaitkan mereka dengan apa yang berlaku di Sabah sekarang. Begitu juga dengan tokoh politik lain yang bersahabat dengan pihak yang sama. 

Kita juga tahu bahawa seorang lagi "Sultan Sulu" pernah menjadi ahli UMNO di Sabah. Datu Mohamad Akjan bin Datu Ali Muhammad pernah mendakwa yang dia adalah "Sultan Sulu ke-33" iaitu keturunan langsung "Sultan Sulu" yang terakhir, Paduka Mahasari Maulana Almarhum Shariful Hashim I.

Datu Mohamad Akjan adalah warga negara Malaysia yang dilahirkan di Kudat, Sabah. Selepas "pelantikannya" sebagai "Sultan Sulu ke-33" dia melepaskan keahliannya dalam UMNO atas sebab-sebab tertentu.

Hubungan antara "Kesultanan Sulu" dengan kepimpinan politik Malaysia bukan sesuatu yang baru dan tidak boleh dinafikan yang Malaysia memberi bantuan tertentu kepada mereka termasuk menerima mereka bekerja dan menetap di Sabah. Ramai yang diberi kerakyatan dan kad pengenalan (sekarang MyKad). 

Malangnya, segelintir mereka tidak menghargai dan berpaling tadah dengan menceroboh wilayah Malaysia di Sabah atas alasan negeri di bawah bayu itu milik mereka.  

Kerajaan Malaysia telah memberi banyak peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka tetap berkeras kepala dan bertindak kejam dan ganas dengan membunuh anggota pasukan keselamatan kita. Mereka adalah pengganas dan oleh itu, mesti ditentang dan dihapuskan. 

Pemimpin mereka yang mendakwa sebagai "Sultan Sulu" telah mengkhianati persahabatan kita, pertolongan dan bantuan yang negara berikan kepada mereka. Pengkhianatan mereka mesti ditamatkan.

Rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kepada Pasukan Keselamatan - ATM dan PDRM - yang sedang mempertahan dan membebaskan bumi di perairan timur Sabah daripada ancaman musuh.

SELAMAT BERJUANG. 



Sunday, 7 October 2012

Bila gajah dengan gajah bertelagah....

Malam tadi pendakwah terkenal Dr Zakir Abdul Karim Naik mula diwawancara oleh TV Al-Hijrah yang mencakupi banyak isu dan perkara yang bersangkut-paut dengan umat dan dunia Islam.

Beliau menyentuh dan menjawab semua pertanyaan dengan tegas dan berani tanpa mengaitkan soal politik kepartian tetapi yang berkaitan kepimpinan Islam. Dr Zakir beberapa kali menegaskan yang dia bukan orang politik tetapi seorang pendakwah yang bebas daripada pengaruh politik. 

Dalam hubungan yang bersangkutan Malaysia, Dr Zakir hanya menyebut nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pertama kali ditemuinya pada satu majlis di Abu Dhabi. Dr Zakir berkata beliau tidak tahu 'siapa' selepas Dr Mahathir, seorang pemimpin Islam yang disifatkannya sebagai bijak, berwawasan dan berpandangan jauh.
 
Beliau berharap pemimpin Islam selepas Dr Mahathir akan meneruskan apa yang dimulakan oleh mantan PM itu tetapi menambah bahawa beliau secara jujurnya tidak mengenali pemimpin Malaysia selepas Dr Mahathir.

Menjawab pertanyaan mengenai negara majmuk yang majoriti penduduknya beragama Islam, umpamanya 60 peratus Muslim dan selebihnya bukan Islam, Dr Zakir berkata umat Islam mesti bersatu kerana perpecahan hanya akan merugikan mereka.

Sebagai contoh, jika wujud dua 'puak' yang berlawanan pendirian politik, katakan puak "A" dan puak "B" dalam negara berkenaan, maka pihak yang akan menentukan kemenangan mana-mana puak itu ialah 'puak' minoriti yang bukan beragama Islam. Oleh itu, kedua-dua puak Muslim yang bertelagah itu akan berusaha penuh untuk mendapat sokongan puak minoriti dan mereka  akan sebolehnya tunaikan apa yang diminta semata-mata untuk meraih sokongan.

Dalam keadaan sebegitu, majoriti rakyat yang beragama Islam pada hakikatnya bergantung kepada sokongan minoriti untuk berkuasa semata-mata kerana umat Islam tidak bersatu. Inilah realiti yang dinyatakan oleh Dr Zakir Naik.

Kenyataan beliau itu, walaupun tidak merujuk kepada mana-mana negara tertentu, jelas membayangkan keadaan di Malaysia. Ia adalah satu kenyataan yang melibatkan dua buah pertubuhan politik Islam terbesar - UMNO dan PAS - yang masing-masing bergantung kepada sokongan puak minoriti untuk menang.

 

Wednesday, 25 July 2012

Pemimpin UMNO jadi broker jual tanah milik Melayu?

Saya tidak terperanjat membaca laporan yang menyatakan dua orang pemimpin UMNO Pulau Pinang bertindak selaku 'broker' dalam urusan jual beli tanah milik Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau. Ia bukan sesuatu yang baru dan yang menghairankan.

Balik Pulau merupakan satu-satunya daerah di bahagian pulau yang majoriti penduduknya orang Melayu dan Ahli Parlimen juga Melayu. Jika kampung demi kampung milik Melayu dipindah milik ke tangan bukan Melayu, khususnya syarikat-syarikat pemaju hartanah, maka akan terhakislah 'wajah' perkampungan Melayu Pulau Pinang.

Siapa yang harus dipersalahkan? 

Selama ini, lebih tegas lagi selepas BN kalah di Pulau Pinang, pemimpin UMNO begitu kuat bersuara kononnya mempertahankan kepentingan Melayu terutama tanah milik Melayu. 

Siapa pula yang menjadi 'broker' untuk membeli dan menjual tanah milik 31 keluarga Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau? Bukankah ini perbuatan mereka yang tergolong dalam kategori munafik? Atau kata rakyat biasa "cakap tak serupa bikin" dan mementingkan diri sendiri daripada kepentingan orang Melayu secara amnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng secara terang-terangan menyebut nama dua orang pemimpin UMNO berkenaan, iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pengarah Pilihan Raya BN Negeri yang juga anak saudara Musa, iaitu Omar Faudzar.

Menurut Guan Eng, kedua-dua Musa dan Omar meraih keuntungan 57 peratus atau RM5 juta melalui syarikat milik mereka, Maison Heights Sdn. Bhd. dalam tempoh tiga setengah bulan sahaja.

Tanah milik 31 penduduk kampung berkenaan dipindah milik kepada Maison Heights pada 31 Januari lalu dengan jumlah harga RM8.6 juta untuk kemudian dijual kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada 16 Mei  dengan harga RM13.5 juta.

Saya percaya apabila Kay Pride atau syarikat lain yang bakal memajukan tanah tersebut dengan sama ada kondo mewah atau pembinaan hartanah lain, maka akan adalah NGO yang menyokong parti politik tertentu membuat bising dengan alasan mempertahankan kepentingan Melayu, dan yang akan dipersalahkan ialah pentadbiran negeri Pulau Pinang atau "kerajaan DAP". Wal hal, yang menjadi 'broker' dan meraih keuntungan atas angin sebanyak RM5 juta adalah  pemimpin UMNO.

UMNO atau mana-mana NGO "Melayu" Pulau Pinang tidak boleh mempersalahkan orang lain jika pemimpin mereka sendiri yang terlibat dalam penjualan tanah milik Melayu. Usahlah bersandiwara jalanan kerana rakyat tidak buta dan tuli untuk melihat dan mendengar apa yang berlaku.

Oh ya, jika ingin melihat 'perjuangan' pemimpin Melayu Pulau Pinang khususnya UMNO, lihat saja kediaman dan kereta mewah milik mereka. Baru-baru ini, ada seorang daripada mereka yang membeli sebuah kondo mewah di Persiaran Gurney (Paragon Gurney) bernilai lebih RM1 juta. Hebatkan pemimpin Melayu Pulau Pinang! 

Kita ingin membaca laporan Utusan Melayu mengenai perkara ini. Atau mungkin pengarangnya dah dapat arahan (perintah) untuk tidak menyiarkannya kerana ia tidak memberi 'kelebihan dan keuntungan' kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan selepas umat Islam berhari raya. Mungkin itu agaknya. 






 

Friday, 8 June 2012

BN sukar pertahan Kepala Batas tanpa Pak Lah

Barisan Nasional, khususnya UMNO, akan mendapati bukan senang untuk pertahan kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang jika penyandangnya, Tun Abdullah Ahmad tidak bertanding.

Pak Lah yang mula dipilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 menggantikan allahyarham Datuk Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim adalah sinonim dengan Kepala Batas. Tanpa Pak Lah, Kepala Batas berkemungkinan besar jatuh ke tangan PAS, parti yang dijangka akan mewakili Pakatan Rakyat.

PAS perlu meletakkan calon yang boleh diterima rakyat, yang bukan sahaja kelihatan bersih daripada rasuah dan sebarang salahlaku jenayah seperti salahguna kuasa dan sebagainya tetapi benar-benar bersih dan boleh dipercayai, jika ingin menawan kerusi Kepala Batas 

Bagi pihak UMNO, parti itu hanya akan menggali kubur sendiri sekiranya meletak salah orang sebagai calon menggantikan Pak Lah.

Dua nama disebut-sebut sebagai bakal calon, iaitu ketua pemuda UMNO Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican dan mantan timbalan ketua menteri dan timbalan menteri Persekutuan, Dr Ibrahim Saad. Jika benar mereka adalah bakal calon UMNO, maka parti itu kenalah siap siaga untuk mengadakan majlis talkin dan tahlil. Kedua-duanya bukan calon yang terbaik dan popular di kalangan pengundi. Inilah hakikat yang mesti diterima oleh UMNO.

Yang pasti, pilihan raya kali ini bagi kawasan Kepala Batas akan menjadi antara yang diamati ramai kerana ia akan memperlihatkan sokongan sebenar pengundi, iaitu kepada calon  dan bukan kepada parti. BN dapat mempertahan kerusi Kepala Batas pada pilihan raya 2008 yang menyaksikan tsunami politik bukan atas kekuatan UMNO tetapi atas kekuatan dan penerimaan rakyat terhadap Pak Lah.

Tanpa Pak Lah, sukar bagi UMNO untuk pertahan keruai Kepala Batas.


Tuesday, 22 May 2012

Perang bendera dan sepanduk di Terengganu

Saya berada di Terengganu, negeri yang beriman selama seminggu dan sedikit sebanyak berpeluang melihat 'perang bendera dan sepanduk atau kain pemidang' politik bermula dari Kemaman hinggalah ke Kuala Terengganu. 

Saya tidak meneruskan tinjauan ke utara Kuala Terengganu tetapi yakin keadaan yang sama sehinggalah ke sempadan negeri Kelantan. Perang bendera 'hijau putih' dan 'merah putih' dari yang bersaiz kecil hinggalah yang bergelar 'bendera gergasi' berkibar megah di merata tempat yang menjadi kubu kuat parti masing-masing. 

Begitu juga dengan sepanduk atau kain pemidang yang direntang dengan tertulis kata-kata yang membakar semangat, yang mengutarakan kejayaan dan tidak kurang pula dengan kata-kata sinis terhadap parti lawan. Antara beberapa sepanduk yang sempat diperhatikan, saya tertarik dengan sepanduk di bawah ini yang direntangkan di Kerteh. Kata-kata yang tertulis mungkin melucukan tetapi ada juga kebenarannya. "Terima Kasih PAKATAN RAKYAT! Kamu kuat, Duit kami dapat ......"
Saya bukan menyokong parti tertentu tetapi jika difikirkan, kata-kata itu mempunyai asas. Jika parti atau pakatan tiga buah parti politik itu lemah dan tidak memberi ancaman atau cabaran kuat kepada parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan, mungkin habuan dan bantuan yang begitu 'murah hati' seperti BR1M RM500, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan rendah serta baucer buku RM200 kepada pelajar IPT/Maktab tidak diadakan. 

Walaupun  sering kali dinafikan oleh pemimpin kerjaan, kita tahu bahawa semua bantuan dan 'habuan' itu ada kaitan dengan pilihan raya umum yang bakal diadakan sama ada sebelum Ramadhan atau selepas Syawal ini.

Walau apapun, rakyat sudah tentu menyambut baik 'hadiah' daripada kerajaan kerana siapa yang tidak mahu wang dan bantuan yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan hidup. Untuk itu, suka atau tidak, mereka yang mendapat faedah kenalah menghargainya tetapi tidak semestinya dalam bentuk sokongan atau undi untuk parti politik tertentu pada PRU-13 nanti. Undi adalah hak mutlak rakyat yang layak mengundi. Terpulanglah kepada mereka untuk 'memangkah' parti atau calon parti yang mereka fikir layak atau wajar disokong. 

Semasa di Terengganu, saya tidak dapat mengagak parti mana yang akan mendapat sokongan majoriti rakyat pada PRU-13 kerana politik negeri yang pada satu ketika dahulu disebut sebagai "Kuwait Malaysia" itu agak unik. Kedua-dua parti utama Melayu, iaitu UMNO dan PAS saling bertukar tempat selaku pentadbir negeri. Mungkinkah kali ini rakyat Terengganu Darul Iman akan melakukan satu lagi penukaran atau akan kekalkan pentadbiran sedia ada? Sukar diramalkan!


Monday, 26 March 2012

Allahyarham Tun Ghafar pernah berkata kuasa memberi nilai ekonomi kepada UMNO

Apa yang sedang, telah dan akan terus berlaku di kalangan "orang UMNO"  sebenarnya telah dinyatakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan timbalan presiden UMNO, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
 
Semangat UMNO sejati sudah semakin pudar. Perebutan jawatan dengan menggunakan wang ringgit atau politik wang dan berbagai tipu helah tidak pernah belaku semasa golongan guru menjadi tulang belakang UMNO. 

Tun Ghafar, yang pulang ke Rahmatullah pada 23  April 2006,  berkata bahawa UMNO telah jauh berubah daripada UMNO dalam tahun 50-an. Kenyataan itu bukan sahaja satu kebenaran tetapi jauh lebih terserlah sekarang. 

Semasa golongan guru menjadi 'tiang seri' UMNO, perebutan untuk memegang jawatan boleh dikatakan tidak ada. Ramai yang menolak apabila dicalonkan untuk memegang jawatan termasuk menjadi wakil rakyat. Sekarang, mereka berebut, membentuk puak atau klik dan mengeluarkan belanja besar untuk merebut jawatan. Jawatan dalam parti adalah batu loncatan untuk mendapat jawatan atau kedudukan yang lebih tinggi dan berbaloi. 

Seperti yang Tun Ghafar pernah katakan, UMNO telah berkuasa dan  sudah ada nilai ekonominya. Ada orang yang sanggup mencurah  wang untuk mendapatkan jawatan kerana jawatan dalam parti membawa nilai ekonomi yang tinggi kepada mereka yang tahu mendapatkannya.

Saya ingin tambah dan sudah tentu akan dinafikan oleh orang UMNO, iaitu bukan sahaja wang digunakan untuk mendapat jawatan tinggi dalam parti, bahkan mereka sanggup mengguna khidmat pawang dan bomoh. Pendek kata, mereka yang terlalu ghairah untuk memegang jawatan tinggi, sanggup melakukan apa sahaja yang mampu untuk cuba mendapatkannya.

Benarlah apa yang pernah diingatkan oleh Tun Ghafar iaitu rasuah yang paling besar sekali ialah membeli undi untuk mendapatkan kuasa dalam parti kerana sudah tentu ada tujuan untuk faedah diri. 

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi melalui kenyataan mantan Menterii Kabinet  dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadzir, yang kini keluar daripada menjadi ahli parti. Kader sudah tentu tahu apa yang berlaku setelah sebegitu lama berada dalam UMNO dan memegang beberapa jawatan bermula sebagai Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat, Tun Fatimah Hashim. Kenyataan Kader sudah tentu dinafi oleh kepimpinan UMNO sekarang. Oh ya, Kader dan keluarganya pun dapat faedah semasa cergas dalam UMNO.

Segelintir golongan muda dan korporat yang berjawatan dalam UMNO berkata zaman guru Melayu menguasai UMNO sudah luput, sudah lupus hayatnya. Sekarang zaman korporat menguasai politik kerana orang politik yang bertukar wajah menjadi orang korporat.

Kemasukan golongan korporat yang memandu kereta mewah dan dengan nama mereka didahului oleh gelaran tertentu membawa 'budaya' baru dalam UMNO. Mereka pada asalnya bukan tokoh korporat, tetapi bergelar demikian melalui pintu masuk UMNO. Ada yang semata-mata menjadi proksi kepada tokoh tertentu dan ada yang tidak lebih daripada "Ali Baba".

Golongan ini menyumbang dana kepada parti kerana mereka sebenarnya 'bekerja' bagi pihak parti termasuk mengepalai syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat yang dikuasai sama ada secara langsung atau secara proksi oleh parti. Mereka dan parti saling perlu dan memerlukan.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Ghafar iaitu UMNO mempunyai nilai ekonomi.

Saya akhiri catatan ini dengan memperturunkan nasihat Tun Ghafar iaitu "jika politik wang dan tujuan masuk UMNO semata-mata untuk mendapatkan faedah diri tidak dibendung, maka UMNO akan hancur."


Sunday, 25 March 2012

Blogger dakwa Umno akan beli agen PKR

Blogger Tulang Besi dedah taktik UMNO/BN nak beli ejen (bukan agen) PKR pada pilihan raya akan datang. Bagi saya, ia bukan  perkara baru dalam sepak terajang politik dan pilihan raya di Malaysia.

Saya angkat topi kepada Tulang Besi. teruskan dengan penulisan yang mendedahkan kepincangan.

Sila klik di bawah ini.
Blogger dakwa Umno akan beli agen PKR

Saturday, 17 March 2012

Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan


Saya terima kad ucapan Selamat Tahun Baru 2012 melalui pos semalam. Ia adalah dari Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia yang ditandatangani oleh Presidennya, Tan Sri Aseh Che Mat, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Nama saya mungkin diperolehi daripada jabatan berkenaan di Jabatan Perdana Menteri.

Saya bukan ahli Kelab tersebut tetapi adalah seorang pesara, jika boleh dilabelkan sebagai Pesara Kanan Kerajaan, maka sebab itulah saya menerima kad ucapan itu, walaupun kini kita berada pertengahan bulan Mac dalam tahun baru 2012, masih belum lewat untuk menyampaikan ucapan tersebut.

Saya menghargai usaha Aseh Che Mat mengingati pesara kerajaan seperti saya. Terima kasih.

Walau pun demikian, saya tidak ingin menjadi ahli Kelab berkenaan kerana saya  tidak menganggotai mana-mana pertubuhan atau parti politik. Saya ingin terus berpendirian bebas dan berkecuali. Saya amat menghargai kebebasan tanpa menjadi ahli atau penyokong mana-mana parti politik.

Sebagai seorang yang bebas, saya tidak terikat dengan mana-mana parti politik termasuk kelab-kelab atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didokong, disokong dan dibiayai oleh parti-parti politik.

Kepada Aseh Che Mat, sekali lagi saya sampaikan ucapan terima kasih.