Showing posts with label Pentadbiran. Show all posts
Showing posts with label Pentadbiran. Show all posts

Wednesday, 1 January 2014

Peguam Negara: Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail ada cerita disebaliknya

Isu menarik dalam tahun 2013  yang membabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak memeranjatkan saya. Ia hanya menunggu masa untuk 'meletup' dan ia sudahpun bermula.  

Lima orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah membuat laporan polis berhubung pendedahan mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim. Kita masih tidak dimaklumkan sama ada pihak polis telah memula atau membuka kertas siasatan. Kita tahu bahawa setiap laporan yang dibuat mesti disiasat. Dalam kes ini, ia membabitkan Peguam Negara dan laporan polis oleh Ahli Parlimen berdasarkan maklumat mantan pegawai kanan polis.

Kita ingin tahu sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Hadi Ho Abdullah, yang akan bersara tidak lama lagi, telah mengarah siasatan dilakukan atau hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan. Maklumlah ia membabitkan Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya.

Jika siasatan tidak dilakukan, maka rakyat boleh menyatakan bahawa wujud dwi-standard dalam siasatan. Tanggapan atau andaian sedemikian mesti dibuktikan tidak betul oleh pihak polis. Setakat ini, siasatan nampaknya belum dijalankan.

Saya masih ingat 'peristiwa' yang membawa kepada pelantikan Gani Patail selaku Peguam Negara kerana pada waktu itu saya bertugas di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab keatas hal ehwal undang-undang. Jabatan Peguam Negara terletak dibawah seliaan atau tanggungjawab Menteri berkenaan.

Pelantikan Gani selaku Peguam Negara (AG) turut membabitkan latar belakang yang menarik dan seolah-olah  satu babak drama tv yang penuh dengan dendam kesumat, iri hati dan ampu-mengampu. Ia bukan satu kebetulan. 

Gani Patail adalah AG kelapan selepas Datuk Seri (kemudian Tan Sri) Ainum Mohamad Sa'aid, Tan Sri Mohtar Abdullah, Tan Sri Abu Talib Othman, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Tan Sri Cecil M. Sheridan  dan Thomas Vernor Alexander Brodie.

Datuk Seri Ainum merupakan wanita pertama dilantik AG dan penyandang jawatan paling singkat dalam sejarah tanah air, iaitu selama setahun sahaja. Kenapa dan mengapa ianya berlaku boleh diibaratkan sebagai sebabak drama yang skripnya ditulis selari dengan perancangan. Saya kata ia boleh diibaratkan bukan babak drama sebenar. Harap pembaca faham akan maksudnya.  

Saya maklum  bahawa mantan AG Tan Sri Mohtar Abdullah, allahyarham,  telah memperakukan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, iaitu Gani Patail, dilantik menggantikannya. Sebaliknya,  Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)  memperakukan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong supaya melantik Datuk Seri Ainum Mohamad Sa'aid. 

Pelantikan Ainum dibuat selaras dengan Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Yang diPertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara Bagi Persekutuan."

Rupa-rupanya pelantikan Ainum kurang disenangi oleh segelintir pihak terutama yang berkhidmat dalam Jabatan Peguam Negara. Mereka mula berusaha untuk 'memaksa' Ainum 'keluar' dan bermulalah babak-babak  yang halus dan terancang rapi.

Datuk Seri Dr Rais Yatim (sekarang Tan Sri) selaku menteri bertanggungjawab, memilih untuk mencari calon paling sesuai bagi menggantikan Tan Sri Mohtar. Ini dilihat penting kerana beliau berpendapat bahawa Jabatan Peguam Negara memerlukan seorang ketua yang tegas dan pantas buat kerja. Umum mengetahui bahawa institusi udang-undang dan kehakiman ketika itu masih memperkatakan mengenai isu percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusof Chin dan Tan Sri Mohtar yang turut membabitkan seorang peguam yang dilihat sebagai 'berpengaruh'.  Oleh itu, Dr Rais ingin membawa pembaharuan ke dalam Jabatan Peguam Negara. Tindakan Dr Rais rupa-rupanya tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu termasuk mereka yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

Nama Ainum muncul setelah Dr Rais mengadakan rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak termasuk dari institusi kehakiman dan beberapa orang peguam kanan. Dr Rais tidak membuat keputusan bersendirian untuk mencadangkan nama Ainum kepada  Dr Mahathir Mohamad. Itu cara dia buat kerja, berunding sebelum membuat keputusan.

Ainum ketika itu memegang jawatan timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti  dan sebelum itu, antara lain,  pengarah eksekutif Pengkalan Holdings Berhad, dan pengarah bukan eksekutif Sime UEP Properties Bhd.

Pelantikan Ainum sebagai Peguam Negara mengakibatkan beliau berhadapan dengan banyak aral serta rintangan. Beberapa pihak dalam Jabatan itu sendiri yang tidak senang dengan kemaraan beliau. Ini kerana Ainum, dalam jangka masa yang begitu singkat, memperlihatkan yang dia adalah seorang ketua yang penuh integriti dan kewibawaan. Tidak dinafikan ada pihak yang menaruh dendam dan marah terhadapnya.

Ada pegawai dalam Jabatan Peguam Negara tidak selesa dengan taktik serta pentadbiran Ainum yang tegas.

Pejabat Menteri sedar bahawa ada pegawai dari Bahagian Pendakwaan yang menyampaikan berbagai-bagai laporan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman dan ada yang terus kepada Dr Mahathir. Mereka membelakangi Dr Rais selaku Menteri yang bertanggunggjawab atas hal ehwal undang-undang.

Ada pegawai yang terus berjumpa Dr Mahathir untuk melaporkan apa yang berlaku dari hari ke hari di Jabatan Peguam Negara. Dr Mahathir berjaya dipengaruhi untuk melantik pengganti Ainum.

Dalam tempoh setahun perkhidmatannya selaku Peguam Negara, kami di Pejabat Menteri dapat lihat perubahan pada wajah Ainum, dia jelas kelihatan letih seolah-olah mengalami gangguan kesihatan sedangkan pada awalnya dia begitu cergas dan bersemangat setiap kali ke Pejabat Menteri atas urusan tugas. Perubahan ini membuatkan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Ainum menjadi mangsa ilmu hitam. Saya tidak berani menyatakan sama ada ianya benar atau tidak walaupun ilmu hitam dan amalan-amalan yang dipengaruhi syaitan itu wujud.

Akhirnya, Ainum 'terpaksa mengalah' dan dia 'meletak jawatan' atas sebab kesihatan. Sama ada ianya sesuatu yang benar atau sebaliknya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi yang jelas, kedudukan kesihatan Ainum sihat dan dia tetap cergas dan bertugas hingga sekarang.

Peletakan jawatan Ainum diganti oleh Gani Patail, secara efektif mulai 1 Januari 2002 dan apa yang saya tahu ia adalah kehendak Dr Mahathir sendiri.

Pelantikan Gani menimbulkan banyak kontroversi, terutama dari sektor guaman. Peranan beliau dalam kes  Dato' Seri Anwar Ibrahim dipertikai oleh Majlis Peguam dan beberapa parti pembangkang.  Tetapi, semuanya tidak memberi kesan kerana Gani telahpun dilantik atas perkenan Yang diPertuan Agong.

Sebagai seorang yang amat rapat dengan KSN ketika itu, Gani, dalam kebanyakan hal telah melangkaui Dr Rais yang sepatutnya dirundingi terlebih dahulu. Beliau lebih kerap berinteraksi dengan KSN. Ini jelas memperlihatkan kedudukan 'hubungan' antara Peguam Negara dan Menteri.

Dr Rais pernah menyatakan bahawa antara Gani dan Ainum macam bumi dengan langit. Ainum berdiplomasi tetapi tegas. Apa yang dijanjikan lantas dilaksanakan. Gani pula sentiasa menggambarkan autoriti dan diplomasi bukan satu sifat utama beliau.

Dr Rais menyifatkan Ainum sebagai seorang pegawai perundangan yang tegas dan dedikasi.  

Apakah benar Ainum menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa meletak jawatan? Saya kurang yakin dan sukar untuk mempercayainya.

Jika benar dia sakit, masakan dia dilantik sejurus selepas itu sebagai Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Corus Hotels Group United Kingdom dan kemudian menyertai Laura Ashley United Kingdom sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bersama?

Ainum juga dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Sime UEP Properties Berhad, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pelaburan Hartanah Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad.

Sudah pasti syarikat-syarikat gergasi dan bertaraf antarabangsa itu tidak akan melantik seorang yang menghadapi masalah kesihatan jika dia benar-benar sakit. Itulah jawaban saya kepada pertanyaan sama ada saya yakin dan percaya dengan alasan yang diberi untuk dijadikan alasan kenapa Ainum meletak jawatan sebagai Peguam Negara.

Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail selaku Peguam Negara ada cerita disebaliknya dan apa yang sedang dihadapinya sekarangpun ada cerita, jika pihak polis 'berani' menyiasat laporan polis yang dibuat terhadapnya.


    

Saturday, 9 November 2013

Halangan tidak jejas program bantuan Kerajaan Negeri Selangor

Dalam usahanya "merakyatkan" ekonomi Selangor, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), iaitu salah satu skim yang dimuatkan dalam "Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor" (MES). 

TAWAS diperkenal dengan menjanjikan setiap anak kelahiran Selangor akan mendapat pelaburan RM100 daripada Kerajaan Negeri yang dilabur menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Apabila genap usia 18 tahun, anak berkenaan akan dibayar RM1,500.

TAWAS membuka kaunter pendaftaran sementara di kilang-kilang dan pasar raya untuk membolehkan kelahiran bayi didaftarkan untuk mendapat faedah daripada program itu. 

TAWAS cuba membuka kaunter pendaftaran di hospital kerajaan (Kementerian Kesihatan) tetapi telah dihalang daripada berbuat demikian.  Kita tidak faham kenapa suatu usaha yang baik dan memanfaatkan rakyat tidak mendapat sokongan Kementerian Kesihatan. Adakah kementerian bermain politik murahan untuk menghalang usaha atau agenda Kerajaan Negeri Selangor itu?

Meskipun tidak mendapat kerjasama daripada pengurusan hospital awam, namun halangan Kementerian Kesihatan itu tidak membantut usaha Kerajaan Negeri Selangor menyalur bantuan terus kepada rakyat yang berhak.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Puan Rodziah Ismail, TAWAS akan terus disalurkan melalui kempen bertemu rakyat secara langsung, melalui wakil-wakil masyarakat dan sokongan daripada syarikat-syarikat swasta.

"Kami guna pelbagai cara untuk mendekati rakyat, " kata Rodziah seperti yang dipetik oleh "Selangor Kini" terbitan Kerajaan Negeri Selangor. 

Rodziah tetap melahirkan rasa dukacitanya kerana pengurusan hospital dihalang daripada bekerjasama dengan TAWAS, lebih-lebih lagi apabila program itu direka khusus untuk membantu keluarga yang memerlukan.

Sehingga 25 Oktober 2013, status pendaftaran TAWAS adalah seperti berikut:

Jumlah permohonan yang berdaftar  -  138,046;  lulus dan layak 117,234;  gagal 8,931 dan pendaftaran dalam talian 26,840.

Sebanyak 62 peratus yang mendaftar adalah orang Melayu,  22 peratus Cina,  14 peratus India dan  dua peratus kaum lain.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan menerusi borang pendaftaran TAWAS di semua jabatan atau agensi Kerajaan Negeri, termasuk semua Pejabat Daerah dan Tanah serta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Selain itu, TAWAS turut menyediakan pendaftaran secara "On-line" bagi mempercepat serta mempertingkat usaha pemberian yang bermanfaat kepada rakyat. Antara dokumen permohonan yang diperlukan - Mykad ibu dan bapa, MyKid atau sijil lahir anak, Mykad penjaga (jika perlu) dan surat pengakuan anak angkat (jika perlu).

Menurut Penolong Pengurus TAWAS, Kee Abidin Hairum, sambutan orang ramai amat memberangsangkan.

Adalah diharapkan pihak Kementerian Kesihatan akan bertindak pro-aktif dengan membenarkan TAWAS membuka  Kaunter Pendaftaran di semua hospital awam di negeri Selangor. Program ini memberi faedah kepada rakyat dan tidak seharusnya dijadikan satu isu politik semata-mata kerana ia dilaksana oleh sebuah pentadbiran yang lain daripada yang mentadbir di Putrajaya.   

    

Friday, 25 October 2013

Tragedi pembunuhan pegawai bank membuka mata rakyat

Tragedi pembunuhan seorang pegawai bank di Subang Jaya oleh seorang pengawal keselamatan membuka mata rakyat mengenai kelemahan pengawasan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang di negara ini. Walaupun kenyataan ini pahit bak hempedu tetapi terpaksa ditelan jua.  

Ia membuka mata berkaitan pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, kewujudan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu dan kealpaan pihak berkuasa dalam melulus lesen kepada syarikat kawalan keselamatan.

Ekoran daripada perkara tersebut, nyawa seorang pegawai operasi sebuah bank yang juga seorang ibu dan isteri, telah menjadi korban. Wanita yang tidak berdosa itu dibunuh dengan kejam oleh pengawal keselamatan yang memiliki kad pengenalan palsu dan  tiada lesen atau kebenaran mengguna senjata api.

Sekiranya pihak berkuasa yang diberi amanah untuk mengeluar lesen dan kebenaran mengguna senjata api telah menjalankan tugas secara cekap dan penuh amanah, perkara sedemikian mungkin tidak berlaku. Namun, nasi sudah menjadi bubur, nyawa seorang rakyat sudahpun melayang.

Apa gunanya pihak berkenaan menggantung atau membatal lesen syarikat keselamatan terbabit itu setelah satu nyawa menjadi korban?

Ramai orang yang sudah tahu bahawa syarikat keselamatan berkenaan dimiliki oleh seorang "orang kuat" UMNO yang juga besan seorang pemimpin negara. Oleh itu, banyak persoalan yang boleh dibangkitkan termasuk soal "kroni" dan  pilih kasih  dalam pemberian lesen dan kontrak atau tawaran kerja kepada syarikat berkenaan.

Rakyat menantikan apakah tindakan selanjutnya ke atas syarikat dan pemiliknya yang bukan sahaja menggaji seorang yang memiliki kad pengenalan palsu, seorang warga negara asing dan membiarkannya mengguna senjata api. 

Antara masalah besar yang dihadapi negara ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan ada ketikanya tiada sama sekali. Ini dapat dilihat dalam beberapa insiden yang berlaku termasuk memandu sambil mengguna telefon selular tanpa alat bebas pegang, pelanggaran ordinan lalulintas, pengambilan pekerja asing tanpa permit, warga asing memandu teksi tanpa permit, perbuatan membuang sampah merata-rata tempat dan banyak lagi.

Warga Singapura yang begitu patuh (takut) kepada undang-undang di negara mereka, cukup berani melanggarinya sebaik sahaja memasuki Malaysia. Kenapa? Jawabannya soal penguatkuasaan. Inilah yang sering berlaku di negara ini.
     

Wednesday, 21 August 2013

Lagi pelantikan "kitar semula" oleh DS Najib

Setelah pelantikan Jemaah Menteri yang termasuk beberapa kes "kitar semula",  Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak nampaknya terus melaksanakan pelantikan "kitar semula" apabila dilaporakan sebagai telah atau akan melantik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku "penasihatnya"  berkaitan "isu wanita".

Saya tidak nampak apa-apa kelebihan dalam pelantikan Shahrizat,  mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Apakah pelantikan itu semata-mata untuk memenuhi kehendak Wanita UMNO yang dipimpin oleh Shahrizat atau "membalas budi dan sokongan" mantan Ahli Dewan Negara yang ditumbangkan oleh naib presiden PKR Nurul Izah Anwar pada PRU-12 di Lembah Pantai itu? 

Apakah kerana Shahrizat mengetuai Wanita UMNO maka dia mesti diberi jawatan walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya ataupun dilantik melalui pintu Dewan Negara?

Atau apakah Shahrizat begitu hebat dan  dia tidak boleh diketepikan oleh Najib sehingga  dilihat sebagai membelakangi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim? 

Rohani, tokoh wanita dari Sarawak, nampaknya kurang senang dengan pelantikan itu apabila dia dikutip media sebagai berkata "Beliau (Shahrizat) bukan penasihat dikementerian saya". Jelas sekali Rohani tidak memerlukan seorang penasihat untuk menjalankan tugas. Kementerian berkenaan mempunyai pegawai dan pakar yang mencukupi untuk "menasihati" menteri, jika perlu, berkaitan isu wanita. 

Sesiapapun yang mengetaui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti akan rasa tersinggung mengenai pelantikan seorang "penasihat" berkaitan isu wanita sedangkan sudah wujud sebuah kementerian khusus untuk itu.

Najib mesti sedar bahawa dia tidak boleh "menggembirakan" semua orang dan harus peka akan hakikat tersebut. Mungkin Najib sendiri "dinasihati" oleh seorang wanita tertentu untuk melantik Shahrizat dan dia terpaksa akur dengan "nasihat" itu.

Saya setuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, bahawa pelantikan Shahrizat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dalam isu wanita sebagai  satu "produk kitar semula" menggunakan wang pembayar cukai. Katanya, Shahrizat tidak membawa sebarang  "tambah nilai" terutamanya dalam isu-isu wanita. 

Selain pelantikan Shahrizat, saya difahami bahawa seorang ahli politik yang  tiga kali "melompat parti" dari UMNO kepada PKR dan kembali berpaut kepada UMNO,  akan dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Indonesia. Ini pun satu pelantikan "kitar semula" untuk membalas "sokongan" tokoh berkenaan kepada Najib dan UMNO sebelum PRU-13.

Nampaknya, Najib sedang menguji kesabaran ahli UMNO yang mulai kurang senang dengan beberapa tindakan dan keputusan yang dibuatnya.

   

Monday, 19 August 2013

NAZRI AZIZ - pelantikan anaknya bangkit bantahan dan tuduhan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Muhammad Nazri  Abdul Aziz, sekali lagi terbabit dalam perbalahan mengenai pelantikan anaknya selaku 'Pegawai Khas' seperti yang tercatat dalam senarai petugas di Pejabat Menteri Kementerian berkenaan. 

Jika dilihat dari sudut tertentu, sudah pasti pelantikan itu membangkitkan beberapa persoalan termasuk pilih kasih dan amalan kronisme, tetapi bagi sesetengah pihak ia tidak menjadi masalah atau melanggar peraturan. 

 Sebagai orang yang pernah berkhidmat di pejabat menteri, saya tahu bahawa pelantikan anggota keluarga tidak menjadi satu kesalahan kecuali beberapa jawatan tertentu seperti Setiausaha Akhbar, Setiausaha Sulit Kanan ataupun Setiausaha Sulit. 

 Larangan itu jelas termaktub dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1982 dan Bil. 10 Tahun 1983 yang masih berkuatkuasa sehingga sekarang. 

 Malah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingati Menteri dan Timbalan Menteri mengenai pekeliling itu apabila beliau mendapat tahu berlaku pelanggaran pekeliling  semasa beliau menerajui pentadbiran negara. (Lihat salinan surat berkenaan di bawah ini). 

 Jelas sekali Nazri tidak melakukan kesalahan tetapi yang menjadi tanda tanya dan perdebatan ialah apa yang dikatakannya setelah pelantikan anaknya itu heboh diperkatakan terutama dalam media sosial. Ini yang dipersoalkan, bukan pelantikan yang dibuat.
Nazri seharusnys bijak menangani persoalan itu, tetapi ia tidak dilakukannya. Sekiranya beliau lebih berhati-hati sudah tentu perkara ini tidak menjadi lebih heboh dan panas.

Jawaban dan tangkisan oleh Nazri bukan mendinginkan  keadaan tetapi bak kata orang 'mencurah minyak' yang membuatkan api lebih marak. Inilah kesilapan Nazri, walaupun dia sering menyatakan yang dia seorang yang bijak dan terpelajar. 

Satu perkara lagi yang tidak seharusnya dilakukan oleh Nazri ialah meletakkan atau menyenaraikan nama anaknya itu dalam senarai pegawai pejabat menteri. Ini tidak betul kerana anak Nazri, seperti yang didakwa olehnya, bukan kakitangan kerajaan atau dibayar gaji oleh kerajaan. Oleh itu, nama anaknya tidak boleh disenaraikan sebagai kakitangan pejabat menteri.  Oleh itu, tidak salah bagi  orang ramai  mempersoalkannya.  Nazri tidak boleh melenting kerana di situ dia melakukan kesilapan.







Wednesday, 27 March 2013

Kuasa "caretaker government" sepanjang tempoh pembubaran Palimen


Dewan Undangan Negeri Sembilan sudahpun terbubar berikutan cukup tempoh lima tahun kewujudannya. Tempoh lima tahun dikira bermula dari tarikh Dewan mengadakan mesyuarat pertamanya bukan dari tarikh pilihan raya diadakan.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  menamatkan khidmat selaku Wakil Rakyat atau Yang Berhormat (YB) kecuali Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang terus  bertugas atas sifat "caretaker government" atau "memegang kuasa buat sementara" sehinggalah sebuah pentadbiran baru dibentuk.

Namun begitu, "kerajaan sementara" tidak boleh membuat apa-apa dasar atau rancangan baru tetapi sekadar memastikan perjalanan pentadbiran harian berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Mereka boleh meneruskan apa jua rancangan atau dasar yang telah dilulus oleh pentadbiran sebelum pembubaran Dewan.

Pembubaran DUN N9 akan disusuli oleh pembubaran DUN lain jika Parlimen atau DUN tidak dibubar serentak. Sama-samalah kita tunggu pengumuman oleh sama ada Perdana Menteri atau Jabatan Perdana Menteri.

Selepas Parlimen dibubarkan, mungkin kita ingin tahu bolehkah Jemaah Menteri atau Kabinet mnjalankan peranannya; bolehkah Menteri terus memegang jawatannya dan seterusnya menjalankan tugasnya; bolehkah Menteri merasmikan mana-mana majlis; dan bolehkah Menteri berhubung dengan penjawat awam. 

Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan secara tersirat membenarkan seseorang Menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen. 

Oleh itu, tidak ada salahnya sekiranya seseorang Menteri merasmikan apa-apa majlis termasuklah majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya. Tetapi, dia tidak boleh dianggap sebagai menjalankan tugasnya jika dia merasmikan majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya.

Namun demikian, majlis yang dihadiri tidak melibatkan pemberian berupa sumbangan seperti komputer, basikal, enjin sangkut atau wang ringgit kerana ia boleh dianggap sebagai satu sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Ini kerana pemberian berkenaan boleh dilihat sebagai mendorong seseorang pegundi atau pemilih untuk mengundi atau memancing undi.

Harus diingati bahawa apa jua pemberian di sesuatu majlis yang dibuat dengan niat atau tujuan untuk memancing undi adalah satu perbuatan rasuah.

Oleh yang demikian, "kerajaan sementara" atau "caretaker government" yang wujud selepas pembubaran Parlimen berdasarkan konvensyen perlembagaan atau "constitutional convention" hanya bertindak selaku "pihak yang memegang kuasa buat sementara" bagi memastikan perjalanan hari ke hari pentadbiran berjalan lancar.  

Selaku "kerajaan sementara" hubungan dengan penjawat awam  tidak dapat dielakkan bagi maksud tugas harian  dimana penjawat awam terlibat secara langsung.
     


Monday, 4 March 2013

PR ajak rakyat teguh mendokong pasukan keselamatan

Gabungan parti politik alternatif kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR), hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, sama ada dari pihak polis atau tentera.

Dalam kenyataan media yang turut dihantar kepada penulis,  ketua umum KEADILAN Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden  PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang, berkata PR turut berdoa moga mereka (pasukan keselamatan)  kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman pencerooh.

Ketiga-tiga pemimpin itu turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka yang terkorban dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.

Kenyataan ketiga-tiga pemimpin PR itu  nampaknya untuk cuba meredakan kemarahan rakyat atas kenyataan biadab salah seorang naib presiden KEADILAN yang juga ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang dengan angkuhnya menyatakan bahawa apa yang berlaku di Lahad Datu itu adalah satu sandiwara yang didalangi UMNO.

Kebiadaban Tian Chua tidak boleh dima'afkan walaupun kepimpinan PR mengeluarkan kenyataan media berkenaan.

Namun demikian kita menghormati hak PR untuk bersuara kerana apa yang berlaku di Lahad Datu, Semporna dan Kunak membabitkan  pengganas  Sulu yang mencerobohi wilayah Malaysia di Sabah dan membunuh lapan orang pegawai dan anggota polis kita, bukan soal politik tetapi keselamatan negara.

"Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan," kata mereka dalam kenyataan itu.

Ketiga-tiga pemimpin PR itu juga menyatakan dengan jelasnya keyakinan mereka terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campur tangan politik. (Saya tidak pasti sama ada wujud campur tangan politik seperti yang didakwa itu)

Mereka seterusnya meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka menyatakan bahawa pimpinan negara gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum. (Dalam hubungan ini, ada kebenarannya kerana penceroboh boleh berada di bumi Sabah sebegitu lama dan mereka dengan mudah memasuki wilayah Malaysia dengan membawa senjata api)

"Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini," tambah kenyataan itu. (Saya setuju persidangan khas Parlimen dipanggil segera untuk membincangkan isu ini kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar. Persidangan meja bulat tidak perlu sekiranya persidangan Parlimen diadakan).
   


Thursday, 5 April 2012

Nazri tak perlu balun SPRM

Saya 'bercuti' daripada menulis agak lama sedikit dan menerima beberapa pertanyaan kenapa 'senyap' dan sebagainya. Kepada yang bertanya saya rakamkan ucapan terima kasih kerana sudi mengambil tahu. 

Saya sihat-sihat sahaja dan tiada masalah untuk terus menulis.

Kali ini saya nak ulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Nazri menang terkenal sebagai 'tukang  balun' bukan sahaja dalam Dewan Rakyat tetapi di mana-mana sahaja.    

Pihak terkini yang 'kena balun' ialah Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohamad Shukri Abdul.

Nazri marah kerana Shukri 'merungut' atau bersungut mengenai kes-kes rasuah yang disiasat oleh SPRM tetapi tidak diambil tindakan oleh Pejabat Peguam Negara. 

(Shukri mengeluarkan isi hatinya itu di sebuah  forum bahawa SPRM menyiasat semua tuduhan rasuah yang diserahkan kepadanya, tetapi Pejabat Peguam Negara yang enggan atau tidak memfailkan kes-kes tersebut di mahkamah atas alasan bukti tidak mencukupi) 

Harian bahasa Mandarin "Sin Chew Daily" dikutip oleh portal berita dalam talian 'Malaysiakini' sebagai melaporkan bahawa Nazri menyifatkan Shukri mempunyai watak yang lemah dan tidak sepatutnya merungut secara terbuka. (Nampaknya Nazri jadikan dirinya sebagai ahli atau pakar perwatakan apabila dia menuduh Shukri mempunyai watak yang lemah)

Lebih hebat daripada itu, Nazri berkata Shukri tidak perlu membuat atau mengeluarkan sebarang penjelasan kepada umum kerana ia (tindakan pendakwaan) merupakan tugas Pejabat Peguam Negara. SPRM hanya ditugaskan untuk menyiasat, itulah maksudnya.  

Shukri di"arah" supaya berhenti daripada membuat kenyataan sedemikian pada masa depan.

Saya simpati dengan Shukri dan SPRM kerana orang selalunya mempersalahkan mereka apabila sesuatu kes yang dilaporkan tidak diambil tindakan atau didakwa di mahkamah. 

Selain keengganan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa atas beberapa sebab terutamanya  kurang bukti, terdapat juga 'arahan' pihak lebih atas supaya fail siasatan kes tertentu  ditutup atau tidak diambil tindakan selanjutnya. 

Saya tahu akan keadaan sedemikian kerana pernah berinteraksi dengan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ia ditukar kepada SPRM.  Pada masa itu, seliaan ke atas BPR diletak di bawah Menteri di JPM yang bertanggungjawab mengenai  hal ehwal undang-undang dan saya bertugas di pejabat menteri berkenaan.

Saya cukup mengenali Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Ahmad Zaki Hussein dan timbalannya yang kemudian Pesuruhjaya SPRM pertama, Datuk Ahmad Said Hamdan. Kedua-dua mereka adalah pegawai yang amat dihormati atas ketegasan menjalankan tugas. Malangnya, Datuk Ahmad Zaki telah ditukar hanya selepas dua tahun berkhidmat kerana dia tidak memilih 'bulu' untuk menyiasat dan sebab  itulah dia kurang disenangi oleh pihak yang lebih atas. Dia telah diganti, buat pertama kalinya, oleh seorang pegawai kanan Polis yang agak 'kontroversial' sehinggalah dia bersara. 

SPRM pun diletak dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan kebetulan pula Nazri menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.  Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah seliaan tidak bermakna menteri 'berkuasa' ke atas SPRM atau SPRM mesti lapor tugasan mereka kepadanya. Tugas menteri tidak lebih daripada yang berkaitan keperluan logistik termasuk  kakitangan dan peruntukan belanjawan serta urusan di Parlimen seperti menjawab pertanyaan ahli Dewan atau membentang apa-apa pindaan rang undang-undang berkaitan.

Oleh itu, Nazri tidak sepatutnya menegur dan mengkritik Shukri semata-mata kerana pegawai berkenaan meluahkan perkara sebenar. Nazri tidak perlu 'balun' Shukri secara terbuka dan melemahkan semangat para pegawai SPRM. Saya sokong penuh apa yang diluahkan oleh Shukri kerana itulah kenyataan dan itulah kebenaran.

Saya  tahu bahawa ada pegawai BPR (semasa saya bertugas di JPM) yang kecewa dan patah semangat kerana ada  kes yang disiasat tidak diambil tindakan sewajarnya. Mereka hampa kerana setelah bertungkus lumus menyiasat kes-kes tertentu, kertas siasatan atau fail siasatan ditutup atau tidak didakwa di mahkamah. 

Jadi, apa yang dibangkitkan oleh Shukri bukan sesuatu yang baru dan saya yakin masalah ini berterusan sejak zaman BPR mengakibatkan para pegawai SPRM lemah semangat. Ia melibatkan soal maruah dan keyakinan terhadap sistem yang ada.

Nazri sepatutnya memberi sokongan moral kepada SPRM bukan membalun semata-mata untuk menunjukkan 'kuasa' dan 'siapa bos?"

Perkara sedemikianlah yang membuatkan rakyat mendesak supaya SPRM diletak di bawah Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada JPM atau Kabinet.


    

   

    

Monday, 12 March 2012

Pegawai Awam dan politik

Kebelakangan ini timbul semula tindakan pihak ketua jabatan tertentu untuk 'menyungkil' kecenderongan politik pegawai awam atau kakitangan kerajaan, terutamanya para pendidik atau guru. 

Kita masih ingat apa yang dilakukan oleh pegawai atasan Jabatan Pelajaran Johor semasa satu pilihan raya kecil di negeri itu tidak berapa lama dahulu. Tekanan telah dikenakan terhadap calon bukan UMNO dan suaminya kerana bertanding menentang calon Barisan Nasional sedangkan wanita berkenaan sudah pun meletak jawatan.

Tekanan dan tindakan yang tidak lebih daripada mengampu oleh segelintir ketua jabatan bukan perkara baru. Ia sering berlaku terutamanya apabila menjelang pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Mereka inilah yang paling layak digelar "Little Napolean" atau kata orang PAS "Firaun Kecil". 

Semua kakitangan awam sedar akan adanya Perintah Am Bab 'D" yang mengupas mengenai peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib).  Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk cuba mencungkil mengenai pendirian politik pegawai bawahan kerana itu adalah hak mereka. Yang dilarang adalah perkara-perkara tertentu dan khusus, bukan hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik di luar waktu pejabat. Yang penting mereka menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan penuh bertanggungjawab.

Peraturan 21 dalam Perintah Am Bab 'D' menyentuh mengenai kegiatan politik.

Pegawai Kumpulan Pengurusan Tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik khususnya tidak boleh:-

1)  Membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik;
2)  Menerbit/mengedar buku/artikel/risalah mengenai politik;
3)  Merayu undi;
4)  Agen pilihan raya tempat mengundi;
5)  Bertanding apa-apa jawatan; dan
6)  Memegang apa-apa jawatan.

Peraturan tersebut cukup jelas dan ditujukan kepada pegawai-pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam. Ini bermakna kakitangan awam yang bukan tergolong dalam dua kategori yang disebut dalam Peraturan 21 itu tidak terikat dengan larangan berkenaan. 

Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk memandai-mandai mendapatkan maklumat mengenai pendirian atau kecenderongan politik kakitangan bawahan yang tidak tergolong dalam kategori berkenaan. 

Bahkan pegawai tinggi termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berhak dan bebas menyokong mana-mana parti politik kerana mereka hanya dilarang melakukan atau terlibat dalam enam perkara yang disebut dalam Peraturan 21 itu. Cuma, mereka tidak boleh menyuarakan secara terbuka pendirian peribadi masing-masing. Ianya sama seperti hak atau kebebasan mereka untuk mengundi, mereka bebas memngkah mana-mana prti politik yang disukai, tidak semestinya parti yang membentuk kerajaan.

Semasa berkhidmat di JPM, saya sedar dan tahu sebilangan  kakitangan awam tidak menyokong parti yang memerintah dan ia bukanlah satu rahsia. Yang penting, mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan secara jujur dan amanah. 

Pendirian dan sokongan politik adalah hak masing-masing dan tidak boleh dipaksakan oleh sesiapapun.

        

Wednesday, 15 February 2012

Hassan Marican diketepikan di Malaysia, amat berharga bagi Singapura

Tan Sri Hassan Marican, anak Melayu yang begitu sinonim dengan industri petrolium bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia, semakin mendapat tempat dalam industri berkaitan di Singapura.

Anak Melayu kelahiran Kedah Darul Aman yang menerajui Petronas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dari 1995 hingga 2010, akan dilantik Pengerusi Singapore Power Ltd. (SP), menggantikan Ng Kee Choe yang akan bersara pada 12 Jun.

Hassan adalah anak Melayu pertama dilantik ke jawatan tersebut walaupun dia bukan warga negara Singapura bahkan tiada anak Melayu Singapura yang begitu dihargai oleh republik tersebut.

Selepas bersara dari Petronas, Hassan dilantik oleh beberapa buah syarikat gergasi berkaitan kerajaan Singapura untuk menduduki lembaga pengarah. Antara GLC berkenaan adalah SembCorp Industries Ltd., SembCorp Marine Ltd dan SP sendiri.

Selain syarikat gergasi Singapura, kepakaran dan pengalaman luas Hassan dalam industri petrolium turut dihargai oleh gergasi minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips, yang melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah dan oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang melantik beliau menduduki kerusi lembaga pengarah Sarawak Energy Bhd.

Kepakaran dan pengalaman insan bernama Hassan Marican dilihat, dihargai dan digunapakai oleh Kerajaan Singapura dan syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat. Bukan senang bagi pentadbiran Singapura untuk melantik seorang anak Melayu seperti yang dilakukan ke atas Hassan Marican, lebih-lebih lagi dia adalah rakyat Malaysia.  Tetapi, oleh kerana Singapura melihat kepada merit seseorang itu dan sedar  betapa pentingnya dia kepada industri tertentu, maka mereka terus melantiknya.

Singapura nampak kelebihan yang dimiliki oleh Hassan Marican. Malaysia tidak, kenapa?

Saya mempunyai jawapan yang mungkin tidak tepat tetapi boleh dikatakan itulah kenyataan. Jawapan saya mudah, iaitu Kerajaan Malaysia mengutamakan pelantikan politik daripada profesional. Lihat saja GLC yang ada di Malaysia, siapa pengerusinya dan siapa pula yang dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah?

Gergasi ekonomi Malaysia dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby, Felda, Felcra, Risda dan banyak lagi dipengerusikan oleh orang politik, selalunya yang dah bersara, kalah pilihan raya atau Yang Berhormat yang tidak dapat jawatan sedangkan mereka boleh dikatakan bukan golongan profesional yang ada kaitan dengan GLC yang dipengerusikan itu.

Oleh kerana Hassan Marican bukan orang politik tetapi seorang profesional, maka dia tidak mendapat tempat di Malaysia walaupun sebagai Pengerusi Petronas atau Penasihat Ekonomi (berkaitan industri minyak dan gas) kepada Perdana Menteri.

Singapura mengutip permata yang digilap di Malaysia kerana ia masih bersinar dan bergemerlapan sedangkan Malaysia melihatnya sebagai permata yang mulai pudar. 

Singapura sedar bahawa Hassan Marican memiliki begitu banyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan industri minyak dan gas bukan sahaja di Malaysia bahkan menjangkaui batas serantau. Apa yang dimiliki oleh Hassan Marican sudah tentu diterokai  oleh Singapura kerana republik itu tidak perlu untuk "mencari gali" sesuatu yang sudah jelas wujud. 

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mesti keluar daripada amalan melantik orang politik menerajui GLC atau sebagai ahli lembaga pengarah. Bidang tersebut seharusnya diberi kepada golongan profesional yang ahli  atau mahir dalam industri berkenaan. 

Kita tidak ingin melihat lagi orang seperti Hassan Marican diambil oleh negara lain semata-mata kerana negara sendiri mengamalkan pelantikan berkepentingan politik murahan.

    



  

Sunday, 22 January 2012

Kematian dua kanak-kanak membuka mata mengenai soal penguatkuasaan

Kematian dua orang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata, Ulu Klang, Selangor  adalah satu tragedi yang membuka mata terhadap soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta kepekaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kita sedih dan dukacita atas kematian Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, yang punca pulangnya kedua-dua mereka ke Rahmatullah belum dipastikan oleh pihak berkuasa kesihatan. Bedah siasat telah dilakukan dan menunggu laporan forensik/patologi untuk mengetahui puncanya.

Kepada ibu bapa dan keluarga kedua-dua kanak-kanak ahli syurga itu kita doakan agar mereka bersabar menerima dugaan Allah dan tabah menghadapinya kerana semuanya itu adalah ketentuan Ilahi.

Namun demikian, yang menjadi tanda tanya ialah sikap pegawai  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja salah tetapi seolah-olah mempersalahkan pihak tertentu.

Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, JKM,  Zaitol Salleh seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh Sabtu 21 Januari iaitu pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan beroperasi tanpa lesen atau sebarang pendaftaran.

"Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan. Buat masa ini, ia diarahkan tutup sehingga siasatan lebih lanjut selesai dilakukan," kata Zaitol.

Kenapa Zaitol berkata demikian setelah pusat itu beroperasi sejak 22 tahun lalu? Apakah selama tempoh itu JKM tidak sedar dan tidak tahu sama sekali akan kewujudan pusat jagaan kanak-kanak itu?

Saya tidak tahu sama ada Zaitol telah melawat pusat jagaan kanak-kanak berkenaan atau sedar akan kedudukan sebenar sebelum dia mengeluarkan kenyataan tersebut atau dia memberi ulasan  hanya dengan berada di pejabat tanpa turun  padang? 

Saya berkata demikian kerana setelah melungsuri  laman sesawang JKM dan menyemak senarai Pusat Jagaan Berdaftar, JKM Selangor, saya dapati pusat jagaan berkenaan di Taman Permata berdaftar dengan JKM dan pendaftaran telah diperbaharui pada 30 Disember 2011 dan akan tamat tempoh pada 29 Disember 2016.

Bagaimana seorang pegawai kanan JKM boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak betul iaitu pusat penjagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa berdaftar? Atau wartawan Utusan Malaysia yang membuat kesilapan dalam laporannya itu?

Sementara itu, dalam laporan pada hari yang sama, akhbar The New Straits Times memetik jurucakap JKM (yang namanya tidak disiarkan) sebagai berkata pusat itu berdaftar dengan JKM, tetapi tiada lesen untuk kendali sebagai 'nursery' atau pusat jagaan kanak-kanak bawah umur empat tahun.

Kenyataan yang bercanggah oleh pegawai JKM memperlihatkan kelemahan di pihak mereka yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan pusat jagaan kanak-kanak. Ia menimbulkan tanda tanya akan keberkesanan dan kecekapan para pegawai JKM itu sendiri.

Apakah setelah berlaku sesuatu tragedi  barulah pihak berkenaan sedar dan tiba-tiba pro-aktif sedangkan sebelum ini mereka mungkin tidak turun padang menyiasat sama ada pusat-pusat jagaan kanak-kanak di daerah atau negeri masing-masing berdaftar atau tidak? Atau sama ada pusat-pusat berkenaan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JKM?  

Umum mengetahui bahawa di Malaysia ada undang-undang yang ketat dan teratur tetapi yang sering menjadi masalah ialah soal penguatkuasaan yang kadang-kala amat kurang,  lemah dan mungkin tiada sama sekali. Saya tidak merujuk kepada kes ini tetapi secara umumnya begitulah keadaannya.

Banyak tragedi  berlaku berpunca daripada tiada atau kurangnya penguatkuasaan undang-undang termasuk di jalan raya, lereng bukit dan bidang perniagaan. Sebagai contoh, pemandu di larang mengguna telefon bimbit semasa memandu melainkan secara "hands free",  tetapi oleh kerana soal  penguatkuasaan, kita boleh lihat pelanggaran undang-undang tersebut setiap hari.

Berbalik kepada soal penjagaan kanak-kanak,  semua pihak mempunyai tanggungjawab sama ada dari segi moral  atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas kanak-kanak dibawah jagaan mereka.

Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan  dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya diperkemaskan dalam Akta 611, iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak.

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia wujud seawal 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Akta 611 menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. 

Pendek kata Akta 611 adalah undang-undang yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Ia boleh dikatakan satu undang-undang yang lengkap. 

Apa yang pasti ialah antara tujuan utama peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta berkenaan adalah   supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

Kita sedar bahawa pada zaman serba moden sekarang,  ibu dan bapa terpaksa bekerja untuk menampung kos hidup yang semakain melambung dan jalan keluar bagi mereka adalah menghantar anak ke pusat-pusat jagaan kanak-kanak. Oleh itu, kita tidak boleh mempersalahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbuat demikian demi  memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.

Oleh itu, beban tangungjawab ke atas kanak-kanak yang dihantar ke pusat-pusat penjagaan dipikul oleh pihak pusat berkenaan.

Semua pengusaha dan pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA dan Pusat Jagaan diwajibkan berdaftar dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang berhampiran.

Kelulusan pendaftaran bergantung kepada kelulusan teknikal terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),  Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.

Oleh itu, bukan mudah untuk sesiapapun  membuka sama ada TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Persoalannya, apa yang berlaku selepas itu? Adakah pihak-pihak berkenaan mengadakan lawatan pemantauan ke atas TASKA dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang didaftar itu?   

Inilah yang selalunya menjadi tanda tanya dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan oleh pihak-pihak berkenaan.

Kita tidak mahu dengar lagi kata-kata seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu "Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan". 

Kenapa tiada tindakan jika benar apa yang didakwa oleh Zaitol Salleh? Apakah selama 22 tahun pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata itu wujud, pegawai JKM tidak memantau, menyelia atau memeriksanya?

Ia adalah  soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang merupakan satu masalah besar di Malaysia.

  

Monday, 16 January 2012

Isu NFC - rakyat dah meluat

Isu National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan suami dan tiga orang anak menteri kabinet lantikan melalui Dewan Negara, Shahrizat Abdul Jalil, terus diperkatakan dengan lebiah banyak pendedahan oleh Parti KeAdilan Rakyat atau PKR.  

Projek yang diberi jolokan 'lembah daging' di Gemas, Negeri Sembilan itu  diurus oleh NFC, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dengan membabitkan kepentingan kerajaan (yang sudah pasti memegang amanah bagi pihak rakyat).

Ia mula mendapat perhatian media apabila diberi teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan disusuli oleh pendedahan demi pendedahan apa yang dikatakan sebagai 'salahguna' dan 'penyelewengan' oleh PKR.

NFC dikatakan telah 'mengguna' kira-kira RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman mudah yang diberi oleh kerajaan untuk projek 'lembah daging' itu. Ia termasuk penggunaan dana  kira-kira RM27 juta untuk membeli tanah dan hartanah. 

Sejauh mana kebenaran mengenai semua pendedahan itu akan diketahui jika  Jabatan Peguam Negara berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendedahan terbaru oleh Pengarah Strategi PKR, Mohamad Rafizi Ramli memeranjatkan - iaitu suami Sharizat yang juga pengerusi eksekutid NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga orang anak mereka yang  menduduki kerusi lembaga pengarah NFC,  menggunakan dana NFC untuk membayar bil kad kredit mereka berjumlah RM600,000 pada 2009.

Menurut Rafizi, purata NFC membayar RM10,000 sebulan. Banyak tu! 

Mengikut maklumat yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, YB Lim Kit Siang, NFC membayar gaji lumayan kepada Dr Mohamad Salleh dan tiga orang anaknya dan berdasarkan habuan bulanan yang mereka perolehi itu, kita hairan kenapa NFC perlu membayar bil kad kredit sebegitu banyak untuk mereka? 

Kit Siang berkata gaji bulanan Dr Mohamad Salleh ialah RM100,000,  gaji anaknya Wan Shahinur Izmir, 31 tahun,  selaku pengarah eksekutif NFC ialah RM45,000 sebulan,  gaji seorang lagi anaknya Wan Shahinur Izran, 27 tahun, RM35,000  sebulan dan seorang lagi anak mereka, Wan Izzanah Fatimah, 25 tahun, RM35,000 sebulan. Jumlah keseluruhan gaji yang dibayar oleh NFC kepada suami dan tiga orang anak Shahrizat ialah RM215,000 sebulan.

Oleh itu, Kit Siang berkata pembekuan aset NFC seperti yang diumumkan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cukup dan tidak memberi kesan selagi gaji bulanan keempat-empat mereka tidak dipotong daripada sejumlah RM215,000 sebulan kepada RM70,000 sebulan.

Apa yang sedang berlaku membuatkan rakyat semakin meluat dan membenci kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Shahrizat sendiri dengan angkuhnya mempertahankan jawatan kabinet dan kerusi Wanita Umno seolah-olah itu bukan urusannya. Bukan masalahnya.

Adalah sesuatu yang pelik jika seorang isteri berkata apa  yang berlaku membabitkan keluarganya bukan urusannya. Mustahil dia tidak tahu apa yang berlaku, mustahil dia tidak tahu kemewahan hidup yang dinikmati datangnya dari mana? Rakyat tidak bodoh, rakyat tahu dan rakyat pandai membuat perhitungan apabila tiba masanya kelak. 

Projek NFC membabitkan wang rakyat dan ia bukan untuk memberi kemewahan hidup kepada satu-satu keluarga tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat. Adakah kepentingan rakyat diambil kira jika dilihat dari segi dana itu dibelanjakan? Sudah tentu tidak!

Bayangkan berapa banyak rumah untuk rakyat daif boleh didirikan dengan peruntukan RM250 juta; berapa banyak bantuan boleh disalurkan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan untuk mendapatkan sesuap nasi bagi menyambung hidup? 

Di mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dalam mengagih-agihkan wang rakyat sebesar itu? Apakah kerajaan ingin lihat rakyat miskin tegar kelaparan atau hidup bergelendangan? Pasti tidak!

Benar, kerajaan mula mengagih-agihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 sekali bayaran,  tetapi adakah ia sama dengan dana RM250 juta untuk satu keluarga membelanjakannya? Membeli kondo mewah bernilai RM10 juta di Singapura, dua buah kondo mewah di Bangsar, sebuah kereta Mercedes Benz bernilai setengah juta ringgit dan hartanah lain?  Membayar bil kad kredit RM600,000. 

Rakyat dah bosan. Wanita UMNO pun bosan kerana pergerakan itu dikaitkan oleh Shahrizat sedangkan ia tiada kaitan sama sekali. Ia adalah masalah peribadi atau isu keluarga Shahrizat, bukan masalah Wanita UMNO. 

Rakyat bertanya di mana keadilan? Di mana ketegasan PM Najib? 

Shahrizat mesti letak semua jawatan  termasuk menyerah pucuk pimpinan Wanita UMNO kepada Dato' Hajah Kamilia Dato' Ibrahim.  Itupun jika Shahrizat sayangkan parti yang begitu banyak berjasa kepadanya daripada dia sayangkan pangkat dan jawatan.  Jika itupun Shahrizat tidak faham, tak tahulah apa nak dikata.
  
   


Friday, 18 November 2011

NFC dan kondo mewah, antara lembu dan manusia

Isu ladang ternakan negara yang dikatakan bakal memberi sumbangan besar kepada industri makanan, National Feedlot Corporation [NFC] yang diketuai oleh suami Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memasuki fasa siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan [CCID].

Isu NFC bangkit ekoran laporan Ketua Audit Negara yang kurang berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaiannya yang disifatkan oleh Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai kurang tepat.

Yang menarik perhatian seperti yang dibangkitkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS ialah pembelian dua buah unit kondo lampau mewah di Bangsar, yang diberi nama One Menerung, pada harga RM6.9 juta seunit [PKR kata RM9.8 juta].

NFC yang diberi pinjaman mudah RM250 juta oleh Kerajaan Persekutuan semasa ditadbir oleh Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian, untuk membangun dan memajukan industri ladang ternakan lembu, sebenarnya tiada kepakaran untuk mengusahakannya.

Dr Salleh mungkin berjaya dalam membangun dan memajukan Taman Teknologi Malaysia atau TPM yang diterajuinya selama 18 tahun, tetapi tiada kepakaran dalam industri ternakan atau perladangan ternakan. Itu yang jelas. Oleh itu, banyak yang hairan bagaimana seorang yang tiada kepakaran atau pengalaman boleh diberi kepercayaan untuk mengusahakan sebuah ladang ternakan seluas 607 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.

Tetapi, apa yang menarik perhatian umum ialah pembelian dua buah kondo lampau mewah di Bangsar yang disifat oleh Dr Salleh sebagai satu pelaburan yang baik untuk NFC walaupun ia melibatkan pelaburan RM13.8 juta daripada wang pinjaman RM250 juta yang diamanahkan oleh kerajaan.

Dr Salleh berkata pembelian dua buah kondo itu akan memberi pulangan lebih baik berbanding dengan jika wang tersebut disimpan dalam akaun simpanan tetap.

Beliau berhujah andai kata RM13.8 juta dimasuk dalam deposit tetap atau simpanan tetap bank pada kadar faedah 2.7 peratus setahun, NFC akan mendapat pulangan RM379,000 manakala pulangan daripada sewaan dua unit kondo mewah itu  sebanyak RM360,000 setahun. Media melaporkan Dr Salleh sebagai berkata sewaan bulanan yang diperolehi adalah  RM30,000 sebulan. 

Tetapi, apabila penilai/pentaksir harta profesional menolak nilai sewaan yang disebut itu kerana menurut mereka, nilai paling tinggi yang boleh dicapai tidak melebihi RM24,000 dan mustahil untuk mencapai RM30,000 sebulan, Dr Salleh lantas menyatakan yang dia disalah petik oleh sesetengah media. Katanya, sewaan yang diterima ialah RM18,000 dan RM17,000 sebulan untuk dua unit kondo berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kondo berkenaan dibeli dengan mendapat diskaun 20 peratus dan pembelian tersebut adalah satu urus niaga yang baik untuk NFC.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang meneliti isu NFC mendapati ia tiada kaitan dengan undang-undang di bawah SPRM tetapi ada kaitan dengan Kanun Keseksaan dan oleh itu menyerah kes tersebut kepada PDRM. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan PDRM sedang menyiasat dan kita tunggu apa keputusannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dan Pak Lah, menolak desakan pembangkang dan beberapa NGO supaya Shahrizat, suami Dr Salleh melepaskan jawatan Kabinetnya. Mereka berkata Shahrizat tiada kaitan dengan pemberian pinjaman RM250 juta kepada NFC yang dikuasai oleh suami dan keluarganya.  

Itu kata mereka.


 

Monday, 24 October 2011

Hear out the rakyat's complaints, civil servants told

Malaysians are no longer passive and they monitor and judge every move made by civil servants, said Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin.

He told senior civil servants attending the 16th Civil Servants' Conference  at the National Institute of Public Administration or INTAN last Thursday (Oct 20) that "people want a better quality of life. They want the government to provide them with better infrastructure, education, health and to guarantee them long-term peace."

Muhyiddin's advice should also be directed to the executive and the wakil rakyat or members of Parliament and State Legislative Assemblies. 

When talking about the rakyat or citizens, you are referring at the root, that is the electorate.  They select or elect the legislature and charging it with the duty of making laws in accordance with their wishes, at least that should be the case.

The Cabinet, that is the Executive, draw up policies for the government. Administering the policies, the actual work of putting them into effect, is the task of the Civil Service. Ideally, the Civil Service must be   responsible to Parliament.   

Under the British system  adopted by Malaysia, the role of the Civil Service is to be a non-party element in party government; to give loyal service and support to the Government of the day, irrespective of that Government's political colour. The higher Civil Servant is free from political interference and unlike his Minister, he cannot be removed from office at the will of the electorate and must refrain from political interference himself. He must, in fact, take no part in political activity.

Civil Servants are the servants of the public, not its masters. The Civil Servant is expected, in his dealings with the people, whether personally or by letter, to show friendliness and strive for understanding. 

As Muhyiddin stressed, the government wanted civil servants to be the message of hope to the people. He advised them to hear out people's complaints and find ways to solve them immediately. 

The Civil Servant must refrain from personal political activity. He must faithfully carry out the policies of his political chief, whether he agrees with them or not. He must never use his official position to further his own interests. However high he may rise in the Service, his attitude to the public must always be that of a servant, never that of a master.

  

Wednesday, 6 April 2011

SPRM - kematian kedua dari bangunannya

Dalam kesibukan rakyat mengikuti penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak dan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja atas kematian Teoh Beng Hock, satu lagi kematian akibat daripada 'terjatuh dari bangunan' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM berlaku hari ini.

Penolong Pengarah Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia cawangan Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56,  yang sedang disiasat SPRM berhubung kes tertentu, mati setelah dikatakan 'jatuh' dari tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Ahmad Sarbani dilaporkan pergi ke bangunan SPRM itu untuk menemui pegawai tertentu berkaitan siasatan kes yang membabitkan sebilangan besar pegawai Jabatan Kastam.

Saya tidak berani nak membuat sebarang andaian atau agakan mengenai kematian Ahmad Sarbani, seorang Muslim yang sudahpun mendekati persaraan wajib. Amat jarang sekali seorang Muslim membunuh diri,  itu saja yang dapat dikatakan.

Walaupun demikian, tragedi kedua yang berlaku mengakibatkan kematian dari bangunan SPRM semestinya dipandang serius dan siasatan rapi mesti dibuat dalam kadar segera. 

Suka atau tidak, imej SPRM tercalar.

 


Monday, 24 January 2011

DUN Selangor tolak usul pinda perlembagaan negeri

Seperti yang dijangka ramai, Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Selangor untuk meminda Perlembagaan Negeri ditolak dengan undi 34-20, iaitu kurang empat undi untuk keputusan dua pertiga.

Keputusan itu dijangka kerana berasaskan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia yang menggunakan sistem 'whip', iaitu ahli parti mesti patuhi atau ikut arahan. Mereka tidak boleh undi ikut pendirian peribadi seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

Kerajaann Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat memerlukan undi 38 anggota DUN untuk membolehkan usul pindaan Perlembagaan itu diluluskan.

Apakah yang akan berlaku selepas ini? Bagaimana pula kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri yang perlantikannya mencetuskan masalah berbangkit sehingga membuatkan Kerajaan Negeri mengusul pindaan Perlembagaan?

Berlandaskan semangat demokrasi dan sistem yang diguna pakai di negara ini, Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menerima kenyataan bahawa isu perlantikan SUK telah selesai. Kerajaan Negeri kena terima perlantikan SUK dan tidak boleh lagi melihatnya sebagai satu perlantikan yang terus dipertikai.

MB Tan Sri Khalid Ibrahim kena terima hakikat kerana beliau telahpun mengguna saluran DUN dan keputusan telah dibuat. Masalah kecil yang hanya tidak mengikut konvensyen tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menerima dan mengakui perlantikan SUK.

Sebagai seorang kakitangan awam yang ta'at setianya adalah kepada kerajaan sedia ada, iaitu Kerajaan Negeri pimpinan PR di Selangor, kita seharusnya yakin akan kemampuannya untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat dan mematuhi segala dasar dan arahan pentadbiran negeri.

Oleh itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Tan Sri Khalid, mesti terima perlantikan SUK dan teruskan agenda pentadbiran seperti yang dijanjikan. Soal perlantikan SUK tidak boleh dijadikan satu polimik politik.

Teruskan kerja untuk negeri dan rakyat.


Wednesday, 19 January 2011

Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan

Soal kedudukan dan kuasa Raja Berperlembagaan dan kedudukan serta kuasa eksekutif iaitu pentadbir, sekali lagi menjadi isu  hangat di kalangan rakyat dan pentadbir, sama ada yang 'mentadbir' atau yang bertaraf 'pembangkang'. 

Kedudukannya semakin menarik berikutan wujudnya pentadbiran berlainan fahaman atau pakatan/gabungan  politik di peringkat persekutuan dengan empat buah negeri - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan  Kuasa pentadbiran di sebuah negeri, iaitu Perak yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, telah berpindah kepada BN  berikutan perbuatan keluar/lompat parti oleh tiga orang wakil rakyat dan proses Mahkamah.

Krisis terbaru timbul ekoran daripada perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang tidak secara lazimnya melalui pentadbir negeri. Kuasa perlantikan pula dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam/ Jabatan Perkhidmatan Awam melalui  Ketua Setiausaha Negara.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR)  memohon Speaker Dewan Undangan Negeri memanggil persidangan khas untuk meminda Perlembagaan Negeri Selangor bertujuan memulangkan kuasa perlantikan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang kepada Raja/Sultan dan Kerajaan Negeri. Permohonan itu diperkenan oleh Sultan Selangor.

Elok juga saya huraikan sedikit sebanyak latar belakang yang membabitkan pindaan Perlembagaan yang berhubung kait dengan kedudukan Raja-Raja. Ini penting kerana apa yang sedang berlaku di Selangor berkait rapat dengan apa yang telah berlaku pada tahun 1983 dan 1992.

Pada 1hb Ogos 1983, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengusulkan dalam Parlimen  "Constitutional (Amendment) Bill" atau Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan untuk meminda Perkara 66 yang antara lain menyebut sekiranya atas apa-apa sebab sekalipun satu rang undang-undang tidak diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong dalam tempoh 15 hari setelah ia dipersembahkan, akan  menjadi undang-undang. ("If for any reason whatsoever a bill is not assented by the king within 15 days of its presentation the bill shall become law".)

Mengikut lazimnya, Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen akan jadi undang-undang hanya sesudah ditanda-tangani oleh Yang Di Pertuan Agong. Kerajaan pimpinan Dr Mahathir tidak senang hati dengan peraturan ini kerana kadang-kadang ia mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan tanda tangan yang diperlukan itu. Ini menimbulkan masalah dalam urusan pentadbiran.

Walaupun rang undang-undang yang dibentangkan oleh Dr Mahathir itu dilulus oleh Parlimen, ia ditolak oleh Majlis Raja-Raja yang bersidang di Kota Kinabalu. Majlis Raja-Raja menggunakan kuasa Perlembagaan, iaitu  Perkara 38 ( 4) 2  yang menyebut bahawa sebarang pindaan mengenai kedudukan Raja-Raja mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Negara menghadapi krisis Perlembagaan yang agak serius dan jika tidak ditangani akan menggugat kedudukan Raja-Raja itu sendiri. Majoriti rakyat  menyokong pendirian kerajaan. Ketika itu tidak wujud badan-badan bukan kerajaan yang berarak dengan membawa sepanduk mempertahankan Raja-Raja Melayu, seperti yang kerap berlaku sekarang atas kepentingan politik.  

Majlis Tertinggi UMNO melantik almarhum Encik Abdul Ghafar Baba (kemudian Tun) mengetuai sebuah jawatankuasa terdiri daripada  Dato' Harun Idris (almarhum/mantan Menteri Besar Selangor), Marina Yusof (peguam/mantan Ketua Wanita UMNO), Kamaruddin Mat Isa  (almarhum/mantan Menteri Besar Perak) dan Dato' Mustafa Jabar (almarhum/mantan Setiausaha Agung UMNO) untuk menemui Raja-Raja bagi menjelaskan kenapa pindaan itu perlu dan kenapa mereka mesti menerimanya.

Perjumpaan antara wakil-wakil UMNO dengan semua Raja-Raja berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Perjumpaan itu tidak menghasilkan apa-apa keputusan.

Sementara itu, rakyat mengadakan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara menyokong kerajaan. Tidak tahu pula saya sama ada pihak polis mengeluarkan permit untuk mereka berbuat demikian atau polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata atau bom air berkimia terhadap penunjuk-penunjuk perasaan itu, seperti yang berlaku sekarang apabila membabitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan keadaan semakin bertambah buruk dan kedudukan Raja-Raja seakan-akan telur di  hujung tanduk, akhirnya krisis itu selesai dengan kedua-dua pihak bertolak ansur. Dalam tempoh 60 hari selepas sesuatu rang undang-undang diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, bukan 15 hari seperti yang dipinda,  maka ia secara automatik  menjadi undang-undang walaupun tidak ditanda-tangani. Dalam tempoh itu, Agong boleh mengembalikan rang undang-undang itu ke Parlimen untuk dibahaskan bagi kali kedua dan keputusan kali kedua adalah muktamad.

Pada 15 Disember 1983, Raja-Raja membuat keputusan setuju dengan pindaan itu. Berakhirlah  krisis Perlembagaan membabitkan Raja-Raja.

Ada pihak yang mendakwa kononnya pindaan Perkara 66 itu telah menghakis kuasa Raja-Raja. Jawapan yang diberi oleh Tun Ghafar Baba amat menarik, iaitu: "Di mana dalam Perlembagaan ada menyebutkan bahawa Raja-Raja ada kuasa menolak keputusan Parlimen?" 

Tun Ghafar seterusnya dipetik sebagai berkata  jika Raja boleh menolak keputusan Parlimen bererti demokrasi di Malaysia adalah 'mockery' atau sesuatu yang akan ditertawakan.  Katanya kebesaran seseorang Raja itu terletak dalam hati rakyat. Jika rakyat sukakan Raja maka kekallah Raja itu di atas takhtanya. (rujuk: "Penitianku - Sebuah  catatan peribadi Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba)

Pindaan Perlembagaan membabitkan kedudukan Raja-Raja kali kedua dibuat pada 10 Disember 1992 yang menghapus  kekalisan atau kekebalan Raja-Raja yang sebelum itu ditakrifkan sebagai "berada di atas undang-undang" atau "is above the law"; iaitu Raja-Raja tidak boleh diheret ke Mahkamah walau apapun kesalahan yang dilakukannya termasuk membunuh. 

Pindaan tersebut dibuat oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ekoran daripada tindakan almarhum Sultan Johor mencederakan seorang rakyat (guru sekolah) Maktab Sultan Abu Bakar bernama Douglas Gomez pada 30 November 1992.

Pentadbiran Dr Mahathir terpaksa bertindak untuk melindungi rakyat dan hanya satu cara yang boleh dibuat, iaitu melalui pindaan Perlembagaan dengan menghapuskan kekalisan Raja-Raja. Ini bermakna mana-mana Raja yang melakukan apa jua kesalahan boleh didakwa di Mahkamah, iaitu mahkamah khas. 

Usul tergempar meminda Perlembagaan itu  dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba. Beliau memulakan pembentangan dengan menyatakan bahawa dia memikul tanggungjawab yang sangat berat kerana ia melibatkan kedudukan Raja-Raja. Tetapi oleh kerana kepentingan negara mengatasi segala-galanya, maka dia (Tun Ghafar) terpaksa berdiri untuk membentangkan usul tersebut.

Almarhum Tun Ghafar juga mengingatkan bahawa  beberapa  peristiwa di negara-negara lain  di mana rakyat telah hilang kesabaran dan mengambil tindakan di luar Perlembagaan dan undang-undang untuk menghapuskan Raja-Raja mereka, mesti dijadikan iktibar dan teladan. 

Adalah tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia dan sebab itulah kerajaan sentiasa berwaspada dan membuat perhitungan dan bertindak dengan apa saja cara yang difikirkan baik supaya institusi beraja dapat dikekalkan sekalipun tindakan kerajaan itu merupakan sesuatu yang sangat pahit untuk diterima oleh Raja-Raja. 

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kuasa pentadbiran atau pemerintahan terletak di tangan rakyat kerana rakyatlah yang memilih pentadbir atau kerajaan. Kewujudan Parlimen dan institusi beraja juga adalah dengan kehendak rakyat. Oleh itu yang dikatakan berdaulat itu ialah rakyat.

Pendek kata pemerintahan sesebuah negeri itu pada umumnya terletak dengan sepenuhnya di tangan kerajaan yang dipilih rakyat, bukan di tangan Raja-Raja.

Dalam ususlnya itu, almarhum Tun Ghafar menjelaskan bahawa "perkataan dalam Perlembagaan yang menyatakan 'Raja memerintah bagi sesebuah negeri itu hanya merupakan satu istilah untuk menghormati kedudukan Raja-Raja itu sahaja" kerana yantg sebenarnya memerintah adalah kerajaan yang dipilih rakyat.

Kedudukan seseorang Raja Berperlembagaan  dikawal oleh Perlembagaan. Raja-Raja tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik, sama ada secara langsung ataupun tidak; Raja-Raja tidak boleh campur tangan dalam pemerintahan negeri melainkan setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Raja Berperlembagaan tidak terlepas daripada keluhuran Perlembagaan.

 


Wednesday, 12 January 2011

Isu perlantikan SUK perlu ikut konvensyen

Isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang tidak disenangi oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, perlu dihalusi agar ianya tidak berulang di negeri-negeri lain. Masalah yang timbul bukan kerana soal politik atau tekanan mana-mana pihak tetapi sekadar ianya tidak mengikut konvensyen atau amalan yang lazim dilakukan selama ini.

Ketua Setiausaha Negara tidak boleh dipersalahkan kerana dia telah mengikuti saluran perkhidmatn awam yang betul, iaitu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN, selaku ketua perkhidmatan awam negara, bertindak betul dengan tidak melalui Menteri Besar. Itu adalah tugas atau peranan Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN juga tidak tahu sama ada SUK melaporkan perkembangan mengenai perlantikan SUK baru kepada MB dan apabila melalui saluran SUK, sudah tentu KSN anggap MB dimaklumi.

Jika benar laporan yang menyebut bahawa SUK yang bakal bersara itu tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai perlantikan penggantinya kepada MB ataupun pentadbiran negeri, maka  disitulah letaknya punca kemelut  yang sedang melanda. SUK tidak mengikut konvensyen, iaitu memaklumkan MB mengenai calon yang bakal diperakukan sebagai SUK.

Kewujudan sektor awam dan urusan perlantikan, pertukaran dan kenaikan pangkat agak unik kerana terdapat lebih daripada satu badan atau pihak yang bertanggungjawab. Semuanya berpunca daripada apa yang negara warisi daripada penjajah.   
  
Tiap-tiap negeri ada perkhidmatan awamnya sendiri dan lantikan kepada perkhidmatan-perkhidmatan ini dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri kecuali bagi Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis. Inilah kedudukan selepas Merdeka.

Di Melaka dan Pulau Pinang, ada diperuntukkan dalam Perlembagaan bahawa lantikan ke jawatan-jawatan  Negeri hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan yang diberi kuasa oleh undang-undang negeri untuk membuat lantikan kepada Perkhidmatan Awam Negeri. 

Jawatan-jawatan dalam negeri-negeri adalah diisi oleh pegawai negeri, kecuali ada tempat-tempatnya jawatan itu diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu. 

Di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Johor dan Terengganu, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah disisi oleh pegawai negeri. 

Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu, iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu. Begitu juga dengan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jawatan-jawatan ini adalah jawatan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik atau PTD. Ketua bagi Perkhidmatan Awam Negeri di tiap-tiap negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.


Isu perlantikan SUK bagi negeri Kedah, umpamanya, tidak menimbulkan masalah kerana ia dibuat dari kalangan KCS atau Perkhidmatan Awam Kedah, bukan oleh SPA atau pihak Persekutuan. Jika semua negeri mengamalkan sistem yang sama, maka tidak akan timbul masalah seperti yang berlaku di Selangor.

Setiap perkhidmatn awam negeri seharusnya memiliki kuasa atau autonomi dalam perlantikan pegawai-pegawai utama peringkat negeri. Sekiranya negeri berkenaan memerlukan pegawai yang bukan dari kalangan pegawai negeri, maka bolehlah memohon kepada SPA untuk meminjamkan pegawai PTD. 

Kerjasama antara Negeri dan Persekutuan

Kerjasama antara Persekutuan dengan Negeri-negeri dijamin dan telah berjalan tanpa banyak masalah. walaupun berlaku perbezaan fahaman politik. Yang membangkitkan masalah, itupun sesekali, apabila politik dicampur-aduk dengan pentadbiran. 

Contoh, wujudnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung lantikan pentadbiran negeri dan JKKK Persekutuan lantikan kerajaan Perskutuan. Kewujudan dua JKKK dalam sesebuah kampung sebenarnya memecah-belahkan penuduk kepada yang menyokong kerajaan Negeri dan yang memihak kepada kerajaan Persekutuan. 

Jika mengikuti konvensyen, maka mana-mana parti politik yang memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan  negeri, parti itulah yang berhak melantik JKKK atau apa-apa institusi yang perlantikannya dibuat berdasarkan politik. JKKK dan KEMAS, sebagai contoh, adalah antara institusi berdasarkan politik. Oleh itu, perlantikan JKKK di negeri-negeri yang diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional, semestinya dilantik oleh kerajan negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya melantik satu lagi JKKK dengan menambah  perkataan Persekutuan semata-mata untuk membezakan antara kedua-duanya. Kerajaan Persekutuan mesti menghormati hak kerajaan Negeri yang bukan sekutunya. Jika ditakdirkan rakyat memilih BN pada pilihan raya akan datang, maka gunalah hak itu untuk melantik JKKK sendiri.   

Dari sudut pentadbiran awam, penyelarasan antara  Kerajaan-kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan diperbuat dalam beberapa peringkat. Pada peringkat Kementerian ada Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan. Sebarang masalah berbangkit dapat diselesaikan melalui kerjasama tersebut.

Walaupun setiap Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangannya sendiri, ianya  tidak mencukupi untuk perbelanjaan sesebuah negeri itu. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan memberi pemberian kepada negeri tanpa mengira sama ada ianya diperintah oleh parti lawan atau tidak.  Ia bukan ihsan.

Perlembagaan Persekutuan juga memberi tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan untuk  memberi kepada tiap-tiap Kerajaan Negeri pemberian bilangan orang atau 'capitation grant'. Kerajaan Persekutuan juga mesti memberi Kerajaan Negeri suatu pemberian untuk menyelenggara jalan raya dalam negeri.

Semuanya akan berjalan lancar jika aturan, peraturan, Perlembagaan dan konvensyen dipatuhi.


Sunday, 7 March 2010

Pilihan raya kerajaan tempatan


Keterangan gambar: Lambang atau Perisai City Council of George Town (CCGT), pihak berkuasa kerajaan tempatan pertama di Malaysia yang dikekalkan hingga sekarang.


Seperti yang dijangka, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan semula pilihan raya untuk melantik ahli menduduki majlis kerajaan tempatan.

Pendirian Najib mudah difahami walaupun dia memberi alasan bahawa pilihan raya peringkat kerajaan tempatan hanya akan menambah orang berpolitik atau politiking. Ia ada kebenarannya kerana di Malaysia berpolitik berlebih-lebihan menjadi lumrah kerana hampir semua urusan dikaitkan dengan politik, umpamanya perlantikan untuk lembaga dan badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pemberian tawaran kerja atau tender dan pemberian kontrak.

Saya kurang setuju dengan alasan Najib berasaskan kenyataan dan sejarah pilihan raya kerajaan tempatan.

Bayangkan parti mana yang akan menguasai kerajaan-kerajaan tempatan di Pulau Pinang, Ipoh, dan Kuala Lumpur sekiranya pilihan raya diadakan?

Lihat saja keputusan saban pilihan raya umum yang membabitkan kawasan-kawasan undi dalam bandar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, khususnya. Di KL hampir 100 peratus dikuasai oleh bukan parti Barisan Nasional, terutama DAP. Begitu juga di Pulau Pinang (bahagian pulau).

Oleh itu, jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan untuk memilih ahli majlis Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau Majlis Perbandaran Pulau Pinang, saudah pasti akan dikuasai oleh parti bukan BN. Datuk Bandar akan dipilih dari kalangan pemimpin DAP atau PKR dan bukan dilantik dari kalangan penjawat awam seperti sekarang. Sudah tentu Najib ataupun kepimpinan UMNO tidak dapat menerimanya.

Sejarah pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis kerajaan tempatan di Pulau Pinang membuktikan kenyataan tersebut.

Saya perturunkan sejarah penubuhan kerajaan tempatan di Pulau Pinang yang menyaksikan pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis pentadbiran dibuat buat pertama kalinya di Malaysia.

Pihak pentadbiran penjajah Inggeris telah menubuhkan "Municipal Council of George Town" pada tahun 1857, iaitu pihak berkuasa tempatan atau kerajaan tempatan yang pertama ditubuh di Tanah Melayu.

Keterangan gambar: Rumah Allahyarham Syed Mohamad Al-Attas, salah seorang pemimpin/pedagang keturunan Arab yang kini dijadikan Muzium Islam Pulau Pinang. Kewujudan rumah ini dan beberapa harta lain milik orang Islam dalam kawasan bandar raya membuktikan peranan dan sumbangan mereka kepada pembangunan George Town.


Pada bulan Disember 1956, pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis Perbandaran George Town, iaitu buat pertama kali di Malaya. Majlis yang dipilih sepenuhnya oleh rakyat itu kemudian bersidang pada 2 Januari, 1957 dan memilih seorang peguam mewakili MCA/Perikatan, G.H.Goh selaku Presiden mengalahkan D.S. Ramanathan dari Parti Buruh (Labour Party). Pemilihan itu dibuat bsehari selepas Ratu Elizabeth II menganugerah taraf bandar raya kepada George Town, bandar pertama di Timur Jauh yang diberi pengiktirafan itu.

Berikutan taraf George Town dinaikkan sebagai sebuah bandar raya, maka ahli-ahli majlis yang dipilih rakyat yang majoritinya terdiri daripada Parti Buruh telah memilih Ramanathan sebagai Datuk Bandar pertama.

Pilihan raya majlis kerajaan tempatan George Town diadakan mengikut jadual dan ia dikuasai oleh gabungan dua buah parti berhaluan kiri dan pro-komunis, iaitu Parti Buruh dan Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) yang membentuk Barisan Sosialis atau Socialist Front.

Barisan Sosialis menguasai pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town walaupun pentadbiran negeri dikuasai oleh Parti Perikatan yang diterajui oleh MCA di Pulau Pinang. Kawasan di luar pentadbiran Majlis Bandar Raya ditadbir oleh Majlis Daerah Luar Bandar (MDLB) yang ahlinya tidak dipilih oleh rakyat tetapi dilantik.

Berikutan tercetusnya Konfrontasi Indonesia dan atas alasan keselamatan, Kerajaan Persekutuan telah menggantung pilihan raya kerajaan tempatan, iaitu pada tahun 1965 dan setahun kemudian peranan atau tugas Majlis Bandar Raya George Town dipindahkan ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada tahun 1974, sebuah Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan atau Local Government Management Board diwujudkan untuk mentadbir sebuah majlis perbandaran yang meliputi keseluruhan pulau. Setahun kemudian MDLB dibubar untuk diletakkan di bawah sebuah majlis kerajaan tempatan yang baru, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Anehnya, taraf George Town sebagai sebuah bandar raya masih kekal tetapi tanpa sebuah majlis pentadbiran yang sepatutnya.

Kedudukan George Town sebagai sebuah bandar raya tunggal di Malaysia kekal dari 1957 hingga 1972 apabila Kuala Lumpur dimasyurkan sebagai sebuah bandar raya, iaitu yang kedua selepas George Town.

Sekiranya kita mendukung amalan demokrasi secara menyeluruh dan betul, maka pilihan raya untuk memilih ahli-ahli majlis kerajaan tempatan seharusnya diadakan. Rakyat atau pengundi seharusnya diberi hak untuk memilih wakil mereka dan bukan dibuat secara lantikan seperti sekarang.

Kita sedar sekiranya pilihan raya diadakan untuk kerajaan tempatan, amat sukar bagi BN untuk menguasainya di Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur tetapi itulah sesuatu yang seharusnya dihadapi dan diterima oleh sebuah gabungan parti-parti politik yang dikatakan juara rakyat.

Pilihan raya kerajaan tempatan juga dapat menguji dan memberi jawapan sebenar sejauh mana rakyat menerima konsep atau semangat juang 1 Malaysia.