Rakyat Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum tidak berapa lama lagi dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian serius ialah amalan rasuah, tidak amanah dan salahguna kuasa, iaitu satu penyakit yang cukup bahaya dan boleh memufliskan negara.
Penyakit ini bukanlah wabak baru tetapi sejenis pekung atau kanser yang belum dapat diubati atau dihapuskan kerana sifat manusia yang tamak kekayaan dan kuasa. Ia berlaku hampir di semua negara dan Malaysia tidak terkecuali, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan-Kerajaan Negeri, termasuk yang ditadbir oleh parti yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.
Kita kerap dihidangkan dengan cerita dan berita mengenai penyakit berkenaan dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya termasuk yang melibatkan pembelian aset pertahanan dan keselamatan negara.
Kita juga diberitakan mengenai pemimpin-pemimpin dari kedua-dua pihak yang memiliki kekayaan yang tidak setimpal dengan pendapatan dan ada yang memiliki berpuluh akaun bank di dalam dan luar negara sehingga ada yang berjumlah berbilion ringgit.
Cerita mengenai pemimpin yang mengutamakan kroni dan yang mengamalkan pilih kasih juga bukan perkara baru selain pelantikan 'penyokong' untuk menduduki kerusi lembaga pengarah atau mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan walaupun mereka tidak layak dan tidak sepatutnya dilantik.
Skandal demi skandal membabitkan puluhan juta dan bilion ringgit didedahkan dan ada diantaranya yang telah dan sedang dibicarakan di mahkamah.
Penyakit ini menjadi pemandangan yang kita lihat hampir setiap hari, ia menjadi wabak yang menjangkiti dan menyerang sendi-sendi kehidupan masyarakat. Ia bukan sekadar penyakit di kalangan orang perseorangan atau kumpulan tertentu, tetapi seolah-olah menjadi satu wabak yang tiada penawar.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewarisi bidang tugas tanpa kuasa pendakwaan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) nampaknya 'tidak menang tangan' untuk cuba mengubati dan menghapuskan penyakit tersebut. Ia bukan satu amanah yang mudah dan boleh dilaksanakan dengan cepat. Ia adalah satu penyakit yang sukar diubati tanpa kesungguhan dan sikap serta sifat amanah dan takut akan balasan hukuman sama ada di dunia ataupun di akhirat oleh mereka yang dijangkiti penyakit itu.
Bagi umat Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat terutama oleh mereka yang diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir, sama ada orang politik atau penjawat awam.
" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui." (al-Baqarah, ayat 188)
Apa yang dimaksudkan memakan harta benda dengan cara yang batil selain mencuri termasuk melalui perbuatan rasuah dan tidak amanah.
" Barangsiapa menzalimi (mengambil) tanah orang satu jengkal, maka pada hari kiamat Allah akan menimpakan kepadanya tujuh kali ganda dari tanah yang diambilnya." (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Perbuatan rasuah disebut juga sebagai perbuatan zalim kerana mereka yang melakukannya telah meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya, umapamnya sesuatu yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat, diguna untuk diri sendiri atau keluarga dan golongan tertentu termasuk kroni dan penyokong politik.
Rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan pilih kasih sebenarnya satu perbuatan khianat, orang yang melakukannya telah menyelewengkan amanah. Orang yang tidak amanah tidak layak dipilih sebagai pemimpin atau untuk mewakili kita sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan-Dewan Undangan Negeri.