Sudah menjadi lumrah manusia apabila sesuatu tindakan yang diambil memihak kepadanya maka ianya betul tetapi apabila tidak memihak kepadanya maka banyak perkara yang tak kena. Inilah juga yang diperkatakan oleh para penyokong Muhamad Ali Rustam, yang dilarang oleh Lembaga Disiplin UMNO daripada bertanding merebut jawatan timbalan presiden UMNO.
Para penyokong Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang juga naib presiden UMNO, bertindak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin bukan semata-mata atas sifat sentimen kerana kecewa dan marah.
Saya tidak salahkan mereka kerana dalam kes Ali Rustam, pada pendapat saya, ada sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Saya tidak salahkan mereka kerana dalam kes Ali Rustam, pada pendapat saya, ada sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Soalnya, kenapa dua orang yang 'dibicarakan' sama ada dengan kehadiran atau tanpa kehadiran mereka, yang menghadapi pertuduhan di bawah perkara atau fasal yang sama dan yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, dikenakan hukuman yang boleh dikatakan bezanya antara langit dengan bumi.
Ali Rustam didapati bersalah dan dilarang bertanding manakala Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, yang turut didapati bersalah atas kesalahan yang sama hanya diberi amaran. Kenapa?
Pengerusi Lembaga Disiplin Tengku Ahmad Rithauddeen telah memberi alasan dengan mengumpamakannya dengan kes bunuh - sama ada membunuh dengan niat untuk membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh. Hukuman yang dijatuhkan tentulah tidak sama, katanya.
Saya tidak setuju dengan alasan itu kerana pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh adalah tidak sama, iaitu ia tidak terletak mengikut seksyen yang sama dalam Kanun Keseksaan. Dalam kes Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin, mereka dituduh di bawah perkara yang sama, fasal yang sama, oleh itu hukumannyapun semestinya sama.
Kenapa seorang dihukum tidak boleh bertanding dan seorang lagi hanya diberi amaran? Inilah yang dipersoal dan dipertikaikan oleh bukan sahaja para penyokong Ali Rustam tetapi sebilangan besar ahli UMNO dan pengamat/pemerhati/pengulas politik.
LEMBAGA DISIPLIN
Ekoran kes Ali Rustam, ada pihak yang terlalu mengikut sentimen sehingga mempersoalkan kewujudan dan bidang kuasa Lembaga Disiplin. Dalam hubungan ini, mereka tidak boleh mempersalahkan Lembaga Disiplin.
Mereka perlu rujuk Fasal 20 Perlembagaan UMNO sebelum meluahkan sentimen masing-masing.
Fasal 20.1 berbunyi: Majlis Tertinggi berkuasa menubuhkan Lembaga Disiplin dan menentukann peraturan-peraturan, kuasa-kuasanya dan mengenakan hukuman kerana melanggar peruntukan Perlembagaan ini dan kesalahan lain yang disenaraikan di dalam Tataetika Ahli UMNO atau mana-mana peraturan lain.
Jelas, cukup jelas akan bidang kuasa yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Lembaga Disiplin dan apa yang dilakukan oleh Lembaga itu adalah menurut kuasa yang ada padanya. Oleh yang demikian, tidak seorangpun ahli UMNO yang harus mempertikaikan kewujudan mahupun bidang kuasa Lembaga Disiplin.
Perlembagaan UMNO juga menghuraikan dalam Fasal 20.2 bahawa "Ahli-ahli Lembaga Disiplin hendaklah dilantik oleh Majlis Tertinggi yang terdiri dari ahli-ahli yang tidak berjawatan dalam parti dan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilihan".
Perkara ini jelas memperlihatkan ketegasan supaya tidak berlaku soal "ada kepentingan" apabila Lembaga Disiplin membuat sesuatu keputusan. Perkara ini tidak dipersoalkan.
Untuk bersifat adil, Perlembagaan UMNO turut memperuntukkan dalam Fasal 20.6 yang membolehkan rayuan dibuat terhadap sesuatu hukuman oleh Lembaga Disiplin. Perkara itu berbunyi: Seseorang ahli atau pihak yang tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan ke atasnya boleh merayu kepada Majlis Tertinggi.
Ali Rustam bertindak betul apabila dia mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya itu dan dia telah membuat perakuan yang dia akan mematuhi dan menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan.
Apa yang diharapkan ialah agar para penyokong Ali Rustam tidak akan bertindak mencabar undang-undang mahupun Perlembagaan UMNO dan tidak mengikut sentimen. Semuanya berlaku atas ketentuan takdir. Manusia hanya mampu merancang ...
SELAMAT BERSIDANG
Selamat Bersidang kepada semua Perwakilan UMNO dengan seruan Perangi Rasuah dalam UMNO. Jika ahli perwakilan tidak menerima sogokan, sudah tentu rasuah politik dalam UMNO dah lama berkubur. Tepuk dada, tanya selera!
No comments:
Post a Comment