Tuesday, 3 March 2009

Kemelut politik Perak

Saya tidak tahu apa lagi yang nak diulas mengenai kemelut di Perak. Yang pasti, apa yang telah, sedang dan pasti akan berlaku menjadikan negara kita bahan ketawa dunia. Ini dapat dilihat daripada laporan dan ulasan media di luar Malaysia.

Apa sudah jadi dengan amalan pengasingan kuasa antara tiga cabang berkaitan - cabang Perundangan (Parlimen/Dewan Undangan Negeri) iaitu cabang yang menggubal undang-undang (dalam konteks negara kita Parlimen walaupun DUN ada peranannya berkaitan undang-undang negeri), cabang Eksekutif iaitu cabang yang melaksanakan undang-undang (Kabinet/Pentadbiran Negeri) dan cabang Kehakiman (mahkamah) yang memastikan agar undang-undang dipatuhi.

Dalam hubungan Malaysia pihak Eksekutif juga menganggotai cabang Perundangan (terutamanya melalui Dewan Rakyat atau DUN) dan sistem ini digelar sebagai pentabiran yang bertangungjawab atau "responsible government".

Apa yang berlaku di Perak nampaknya telah mencelarukan keadaan termasuk dengan campur tangan pihak polis, pentadbiran awam negeri (pegawai kerajaan seperti setiausaha kerajaan negeri dan setiausaha DUN).

Soal siapa yang betul dan siapa yang melanggar undang-undang kini berada di Mahkamah (cabang Kehakiman) dan rakyat, terutama di negeri Perak, sudah tentu tidak sabar menunggu keputusan agar pentadbiran negeri dapat dikendalikan dengan sempurna, penuh bertanggungjawab dan aman damai.

Atau, sekiranya kemelut tidak juga berkesudahan, ada dua pilihan yang boleh diambil untuk menyelesaikannya - bubar DUN atau isytihar darurat sama seperti yang dilakukan semasa konflik politik di Kelantan dahulu.

No comments:

Post a Comment