Saturday, 17 January 2009

Sogokan wang kepada pemberita cukup mengaibkan



Perbuatan menyogok wang kepada petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan undi Kuala Terengganu amat mengaibkan. Ia lebih dahsyat apabila dikatakan berlaku di Pusat Media yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.

Dua orang pemberita akhbar berbahasa Mandarin yang disogok telahpun membuat laporan polis. Kita tunggu dan lihat sejauh mana pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak.

Beberapa orang petugas media dalam talian, Malaysiakini.com, yang turut menerima wang tersebut yang diisi dalam satu sampul surat telah memulangkannya kepada pihak berkenaan. Mereka seharusnya membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil.

Tidak tahu pula saya siapa yang memberi sogokan itu tetapi menurut Malaysiakini.com, petugas media diminta oleh pihak berkenaan di Pusat Media untuk menulis nama dan nama pertubuhan media yang diwakili. Setiap petugas media yang berbuat demikian akan diberi sampul surat berisi wang tunai RM300.

Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan menafikan perbuatan itu dilakukan oleh pihak kementerian tetapi yang menjadi kenyataan, ia berlaku dan dilakukan pula di Pusat Media kendalian Jabatan Penerangan.

Pak Lah (Datuk Abdullah Murad - Ketua Pengarah Jabatan Penerangan) perlu memberi penjelasan bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku di Pusat Media yang dikendalikan oleh jabatannya. Nama baik dan kewibawaan Jabatan Penerangan jelas terjejas dek perbuatan terkutuk itu.

Saya tidak sangka budaya sampul surat untuk petugas media yang cukup terkenal di sebuah negara jiran kini berlaku di negara ini dan ianya dilakukan dalam Pusat Media rasmi kendalian sebuah jabatan kerajaan.

Rakyat dah naik muak dan jelek dengan liputan berat sebelah media arus perdana terutama yang dimiliki dan yang berkaitan kerajaan pada setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, ini ditambah pula sogokan wang tunai. Apa nak jadi dengan integriti yang begitu hangat dilaung-laungkan oleh kerajaan?



No comments:

Post a Comment