Thursday, 29 January 2009

Cadangan Ku Din ibarat mencurah air ke daun keladi

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen (Ku Din) jelas dah bosan dengan gejala rasuah politik atau politik wang dalam UMNO. Apa tidaknya, pihaknya berdepan dengan satu masalah yang amat serius dan beliau tahu apa yang diperkatakannya.

Bubar saja Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO jika ia dapat mengubati penyakit tersebut. Itulah luahan rasa yang terbit dari hati kecil Ku Din. Dia ikhlas dan sudah memikir semasak-masaknya sebelum mengeluarkan kata-kata itu.

Apakah reaksi atau kenyataan balas daripada para pemimpin UMNO? Ya, seperti yang dijangkakan mereka terus menempelak saranan Ku Din itu dengan bermacam alasan.

Sudah tentu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tidak setuju. Saya tidak menyebut Putera UMNO kerana ia sekadar sebuah Biro di bawah Pemuda UMNO sama seperti Biro Sukan atau Biro Kebajikan. Jadi ia tidak penting.

Kenapa mereka tidak setuju? Saya tidak salahkan mereka kerana siapa mahu kehilangan lubuk yang begitu berharga? Sudah tentu tidak.

Selain membuka peluang kepada mereka untuk memegang jawatan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, mereka juga berpeluang mendapat pangkat (Datuk dan sebagainya) dan berpeluang menjadi wakil rakyat (MP mahupun ADUN) atau dilantik sebagai Senator dan berpeluang menjadi sama ada Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri ataupun Menteri.

Andai kata Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dimansuhkan, maka dengan sendirinya peluang untuk mereka menjadi pemimpin, mendapat pangkat dan memegang jawatan dalam pentadbiran negara mahupun negeri agak tipis malahan amat sukar.

Oleh itu, siang-siang lagi mereka menentang cadangan Ku Din yang disifatkan oleh Wanita UMNO sebagai perbuatan membakar kelambu.

Inilah budaya yang masih tebal di kalangan mereka yang memimpin UMNO sama ada di peringkat induk, mahupun Wanita, Pemuda ataupun Puteri.

Mereka harus memikirkan kelangsungan hidup UMNO dan bukan kepentingan-kepentingan lain terutama peribadi. Mereka harus sedar bahawa sokongan terhadap UMNO semakin hari semakin pudar bukan semakin kukuh. Lihat saja perkembangan di Perak yang pada satu ketika kubu kuat UMNO yang kedua selepas Johor dan sebelum kemasukan Sabah.

Dunia sudah berubah tetapi UMNO masih dok tang tu!

No comments:

Post a Comment