Friday, 30 January 2009

Mesyuarat Agung Khas Kariah masjidpun hangat

Hari ini saya menghadiri Mesyuarat Agung Khas (MAK) bagi memilih pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang untuk penggal bermula 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2012.

Saya sangka MAK itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, maklumlah ia berkaitan urusan masjid, Rumah Allah, bukan urusan politik atau pertubuhan-pertubuhan lain. Rupa-rupanya jangkaan saya salah.



Mesyuarat yang bermula pukul 10.24 pagi itu, lewat 24 minit daripada jadual, panas dan agak kecoh sedikit. Saya tertanya-tanya adakah ini mesyuarat sebuah parti politik yang menghadapi perebutan kuasa atau apa?

(YB Khasim mententeramkan keadaan. Di sebelah beliau Jen. (B) Tan Sri Abdul Rahman)

Kekecohan timbul akibat rasa kurang puas hati di kalangan beberapa orang anak kariah berkaitan cara pengundian yang hendak dijalankan dan soal perlantikan para pegawai masjid terutama imam.

Mesyuarat ini adalah yang pertama kali diadakan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pendaftaran semua anak kariah dibuat sebelum 31 Disember 2008 dan hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh menghadiri mesyuarat. Ini bukan masalah bahkan sesuatu yang baik dan berperaturan serta bersistematik. Tahniah kepada JAIS dan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.


Semua anak kariah yang hadir, lelaki dan wanita, hanya diberi kertas undi setelah menyemak nama mereka dalam senarai (macam daftar pemilih) yang disediakan oleh pihak berwajib. Amalan ini amat baik kerana mereka yang berkenaan sahaja boleh hadir dan mengambil bahagian dan ia tiada kaitan dengan parti-parti politik.

Anak kariah yang berminat untuk menganggotai AJK atau memohon jawatan lain seperti imam, bilal dan siak, perlu menawar diri dan pengundian akan dibuat untuk jawatan-jawatan berkenaan. Untuk jawatan imam, tiga nama akan diundi dan dihantar kepada pihak pentadbir agama membuat keputusan setelah calon melalui proses temuduga.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Nazir yang akan tamat tempoh pada 30 Jun depan, Jen. (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Lembah Jaya, Haji Khasim Abdul Aziz, mewakili Exco Agama Selangor Datuk Dr Hassan Ali. Kehadiran YB Khasim sedikit sebanyak telah mententeramkan suasana yang panas berikutan pertikaman lidah antara beberapa orang anak kariah dengan teraju AJK kariah. Soal pokok yang dipertikaikan adalah perlantikan pegawai-pegawai masjid, terutama imam, memandangkan ia adalah jawatan bergaji dan ada pula skim perkhidmatan. Oleh itu, imam tidak seharusnya dilantik melalui proses undi tetapi dibuat melalui saluran sah, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor.

Untuk jawatan lain (bukan pegawai masjid), pengundian dibuat secara sulit dan keputusan akan diumumkan oleh pihak berkuasa agama daerah.

Ustaz Mohamad Fuad Kamaluddin Al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang juga AJK Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang kini menetap dan mengajar di Taman Tun Abdul Razak, merupakan calon popular untuk jawatan Nazir menggantikan Jen (B) Tan Sri Abdul Rahman, mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

No comments:

Post a Comment