Parti Barisan Nasional terutama sekali UMNO nampaknya belum dan tidak menyedari bahawa rakyat sudah bosan dengan taktik yang selalu digunakan apabila menghadapi pilihan raya umum apatah lagi pilihan raya kecil. Isyarat yang diberikan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan sebelum itu pilihan raya umum ke-12 tidak dijadikan iktibar.
Bagi pilihan raya kecil Parlimen untuk mengisi kekosongan kerusi Kuala Terengganu, UMNO telah siang-siang lagi mencaturkan "politik sogokan pembanunan" untuk memikat atau menagih undi rakyat.
Para pemimpin UMNO yang berjawatan Menteri terutamanya, bergegas ke Kuala Terengganu untuk mengumumkan "peruntukan pembangunan" yang kononnya telah diluluskan dalam rancangan pembangunan yang disediakan sama ada melalui Belanjawan mahupun Rancangan Pembangunan Lima Tahun.
Awal-awal lagi masyarakat Cina Kuala Terengganu mendapat peruntukan lebih RM6 juta untuk pembangunan dua buah dewan selain beberapa janji peruntukan lain.
Timbalan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sudahpun berkampung di Kuala Terengganu telahpun menyerah cek bernilai besar sebagai "royalti minyak" dan merasmikan sebuah hotel milik Felda. Beliau juga menjanjikan jawatan timbalan menteri akan diberikan semula kepada calon BN sekiranya dia menang.
Janji-janji dan sogokan pembangunan adalah taktik lapuk tetapi nampaknya UMNO dan BN masih ketinggalan zaman. Rakyat sekarang tidak mudah dipengaruhi dengan janji-janji manis dan projek pembangunan semata-mata untuk mendapat sokongan.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak lebih daripada "nak tunjuk muka" berduyun-duyun ke Kuala Terengganu kononnya nak bantu calon BN tetapi pada hakikatnya kehadiran mereka tidak dapat membantu bahkan "menyemakkan" suasana.
Media yang menyokong kerajaan pula terus menghidangkan laporan berat sebelah dan yang mengagung-agungkan pemimpin. Tidakkah mereka sedar bahawa rakyat dah naik jijik dan jelek dengan laporan sedemikian?
Cara dan kaedah yang digunakan oleh UMNO/BN dan media bukan sahaja tidak betul tetapi boleh menikam diri sendiri.
Zaman telah berubah, pusaka akan bergilir, tetapi kenapa penggiliran tidak dilaksanakan mengikut perubahan zaman? Inilah pengajaran yang masih belum dihayati oleh UMNO.
Saya kira keputusan pilihan raya kecil ini tidak akan memihak kepada BN jika dilihat dari sudut calon kerana saya berpendapat UMNO telah memilih calon yang kurang tepat. Sekiranya pengundi membuat pilihan berasaskan calon, maka kemenangan akan memihak kepada calon PAS. Jika pemilihan dibuat berasaskan parti, kemenangan boleh memihak kepada BN, saya katakan boleh memihak kerana kekuatan agak sama rata.
No comments:
Post a Comment