Saturday 17 January 2009

KEKALAHAN BN BERPUNCA DARIPADA KESILAPAN BN SENDIRI

Seperti yang saya tulis sebelum ini - BN/UMNO melakukan kesilapan apabila memilih Wan Ahmad Farid Salleh sebagai calon. Inilah punca utama kekalahan BN. Calon ini tidak disukai bukan sahaja oleh orang ramai tetapi oleh ahli UMNO itu sendiri.


Selain itu BN kalah kerana melaksanakan kempen lapuk dan ketinggalan zaman. Ada orang yang marah apabila saya katakan demikian. Tetapi itulah kenyataan yang diterjemahkan oleh para pengundi Kuala Terengganu.

Sogokan pembangunan sudah tidak laku. Ia tidak ubah seperti satu umpan yang dimamah ikan tetapi tidak sehingga menelan pancing (mata kail). BN/UMNO lupa bahawa pelaksanaan projek-projek pembangunan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bukan umpan untuk memenangi pilihan raya kecil. Malangnya, BN/UMNO masih tidak sedar dan tidak mengambil iktibar daripada pengalaman lampau. Rakyat dak naik muak. Dah bosan. Dah meluat!



BN/UMNO turun padang dengan bermacam peruntukan dan sumbangan termasuk berbilion ringgit dalam bentuk wang royalti minyak dan peruntukan pembangunan lain. Sebegitu ramai menteri turun ke Kuala Terengganu untuk bermesra dengan rakyat dan menyalurkan bantuan dan sumbangan pembangunan. Kehadiran mereka tidak lebih daripada menyemarakkan lagi pesta termasuk di Coffee House hotel-hotel yang ada, melawat kawasan sekitar tidak ubah seperti melancong sambil meratah keropok lekor, membeli batik dan songket sebagai buah tangan apabila pulang ke KL dan tempat-tempat lain.



Kehadiran barisan kepimpinan UMNO semua peringkat pada hakikatnya bukan untuk membantu calon BN tetapi berkempen untuk pemilihan parti Mac depan termasuk calon-calon timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua pemuda, ketua wanita, ketua puteri dan ahli majlis tertinggi. Ini jelas daripada wujudnya kem-kem tertentu yang berkempen untuk calon masing-masing bukan untuk calon pilihan raya kecil.


BN/UMNO juga mengamalkan politik yang cuba menakutkan pengundi bukan Islam apabila menjadikan hukum Hudud sebagai salah satu isu kempen. Ia jelas gagal kerana majoriti pengundi keturunan Cina di DUN Bandar menyokong calon PAS. Mereka matang dan bijak dan tidak mudah ditakuti dengan isu berkaitan agama.


Menteri UMNO juga melancarkan serangan peribadi ke atas calon PAS seperti yang dilakukan oleh Menteri Pelancongan Azalina Othman. Ini bukan cara dan budaya orang Terengganu.


Azalina tuduh calon PAS sebagai seorang yang tamak haloba kerana bertanding untuk kerusi Parlimen sedangkan dia (calon PAS) sudahpun menjadi wakil rakyat peringkat negeri. Azalina lupa bahawa dalam BN pun ada orang yang mewakili negeri dan juga pusat seperti dari Sabah dan Sarawak. Azalina juga lupa bahawa bosnya, Pak Lah juga melakukan perkara yang sama apabila dia melantik seorang wakil rakyat peringkat negeri (wanita UMNO) sebagai timbalan menteri melalui pelantikan sebagai Senator (Ahli Dewan Negara). Adakah perbuatan itu menunjukkan satu kegelojohan atau kehalobaan?


Kekalahan BN/UMNO adalah satu tamparan hebat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, panglima perang yang mengetuai pertempuran di Kuala Terengganu. Najib, yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara Mac depan mesti memahami hikmah di sebalik kekalahan BN itu. Ia adalah satu isyarat jelas untuk memulihkan UMNO jika Najib ingin melihat parti itu terus relevan. Perkara pertama dan terpenting yang perlu dilakukan oleh Najib ialah menangani rasuah politik dalam UMNO. Ia adalah pekong yang mampu membunuh UMNO.


Najib juga perlu melaksanakan banyak perubahan dalam UMNO termasuk menggantikan kayu-kayu buruk dan penumpang yang berada dalam Kabinet Pak Lah. Najib juga perlu kaji semula sama ada perlu atau tidak barisan "penasihat" yang dilantik oleh Pak Lah kerana ia dibuat bukan atas dasar satu keperluan tetapi sebagai satu habuan atau ganjaran.


Kuala Terengganu memberi isyarat kepada Najib supaya membawa pembaharuan bukan sahaja dalam UMNO tetapi dalam pentadbiran BN pada keseluruhannya. Najib mesti berani melakukannya. Jangan ulangi kesilapan Pak Lah jika Najib ingin kekal lama selaku pemimpin.


Sanak saudara dan keluarga Najib dan Rosmah Mansor tidak boleh dibenarkan "berkuasa" termasuk memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran dan dalam politik. Kita sedar ada anggota keluarga Najib yang berjaya dalam bidang tertentu tetapi ia bukan kerana faktor Najib tetapi atas kemampuan, kebolehan dan kejayaan sendiri. Apa yang saya maksudkan ialah jangan pula muncul selepas ini anak atau menantu yang tiba-tiba berada di tempat tertentu selepas Najib jadi PM.


UMNO mesti pelajari dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang terus diulangi. Sedarlah bahawa rakyat sudah jauh lebih matang, sudah jauh lebih berpendidikan dan sudah jauh lebih terdedah kepada faktor kesejagatan dunia. Rakyat tidak mudah dipengaruhi dengan soal-soal pembangunan (sogokan pembangunan) terutama golongan muda. UMNO perlu ingat bahawa penyokong-penyokong tegarnya semakin hari semakin kurang atas faktor usia dan ajal maut. Ini bermakna kekuatan UMNO sedang mengharungi penurunan dan UMNO mesti mencari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan golongan muda.


Untuk melakukannya, UMNO mesti berubah dalam erti kata sebenarnya. UMNO mesti kaji dan ambil tahu kenapa ramai anak muda Melayu/Islam yang berpendidikan tinggi menyokong dan memihak kepada PAS.


Najib akan menghadapi banyak ranjau dan rintangan apabila mengambil alih teraju kepimpinan UMNO dan kerajaan. Kita ucapkan selamat kepada Najib.

No comments:

Post a Comment