Dalam usahanya "merakyatkan" ekonomi Selangor, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), iaitu salah satu skim yang dimuatkan dalam "Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor" (MES).
TAWAS diperkenal dengan menjanjikan setiap anak kelahiran Selangor akan mendapat pelaburan RM100 daripada Kerajaan Negeri yang dilabur menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Apabila genap usia 18 tahun, anak berkenaan akan dibayar RM1,500.
TAWAS membuka kaunter pendaftaran sementara di kilang-kilang dan pasar raya untuk membolehkan kelahiran bayi didaftarkan untuk mendapat faedah daripada program itu.
TAWAS cuba membuka kaunter pendaftaran di hospital kerajaan (Kementerian Kesihatan) tetapi telah dihalang daripada berbuat demikian. Kita tidak faham kenapa suatu usaha yang baik dan memanfaatkan rakyat tidak mendapat sokongan Kementerian Kesihatan. Adakah kementerian bermain politik murahan untuk menghalang usaha atau agenda Kerajaan Negeri Selangor itu?
Meskipun tidak mendapat kerjasama daripada pengurusan hospital awam, namun halangan Kementerian Kesihatan itu tidak membantut usaha Kerajaan Negeri Selangor menyalur bantuan terus kepada rakyat yang berhak.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Puan Rodziah Ismail, TAWAS akan terus disalurkan melalui kempen bertemu rakyat secara langsung, melalui wakil-wakil masyarakat dan sokongan daripada syarikat-syarikat swasta.
"Kami guna pelbagai cara untuk mendekati rakyat, " kata Rodziah seperti yang dipetik oleh "Selangor Kini" terbitan Kerajaan Negeri Selangor.
Rodziah tetap melahirkan rasa dukacitanya kerana pengurusan hospital dihalang daripada bekerjasama dengan TAWAS, lebih-lebih lagi apabila program itu direka khusus untuk membantu keluarga yang memerlukan.
Sehingga 25 Oktober 2013, status pendaftaran TAWAS adalah seperti berikut:
Jumlah permohonan yang berdaftar - 138,046; lulus dan layak 117,234; gagal 8,931 dan pendaftaran dalam talian 26,840.
Sebanyak 62 peratus yang mendaftar adalah orang Melayu, 22 peratus Cina, 14 peratus India dan dua peratus kaum lain.
Mereka yang berminat boleh membuat permohonan menerusi borang pendaftaran TAWAS di semua jabatan atau agensi Kerajaan Negeri, termasuk semua Pejabat Daerah dan Tanah serta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
Selain itu, TAWAS turut menyediakan pendaftaran secara "On-line" bagi mempercepat serta mempertingkat usaha pemberian yang bermanfaat kepada rakyat. Antara dokumen permohonan yang diperlukan - Mykad ibu dan bapa, MyKid atau sijil lahir anak, Mykad penjaga (jika perlu) dan surat pengakuan anak angkat (jika perlu).
Menurut Penolong Pengurus TAWAS, Kee Abidin Hairum, sambutan orang ramai amat memberangsangkan.
Adalah diharapkan pihak Kementerian Kesihatan akan bertindak pro-aktif dengan membenarkan TAWAS membuka Kaunter Pendaftaran di semua hospital awam di negeri Selangor. Program ini memberi faedah kepada rakyat dan tidak seharusnya dijadikan satu isu politik semata-mata kerana ia dilaksana oleh sebuah pentadbiran yang lain daripada yang mentadbir di Putrajaya.
No comments:
Post a Comment