Wednesday 20 November 2013

Harga 'pajakan' Pulau Pinang terlalu murah.....

Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mahu harga 'pajakan' yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikaji semula berdasarkan pasaran semasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata 'pajakan' yang berlaku semasa pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah dan  Syarikat Hindia Timur (EIC) yang diwakili Francis Light itu terlalu murah dan perlu dikaji semula.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membayar RM10,000 setahun kepada Sultan Kedah.

Perjanjian 'pajakan' itu dikatakan sah laku selagi ada bulan dan matahari, iaitu yang bermaksud untuk selama-lamanya.

Sepatutnya, apabila Tanah Melayu atau Malaya Merdeka pada 31 Ogos, 1957, Kerajaan Persekutuan  menghapuskan atau menamatkan 'pajakan' yang dibuat berat sebelah oleh pihak penjajah. Malangnya, ia tidak dilakukan dan 'pajakan' itu diteruskan. Apa erti kemerdekaan?  Persoalan ini yang harus diteliti dan diperbetulkan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.

Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada wilayah negeri Kedah dan dipajak oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada EIC untuk mendapat perlindungan ketenteraan daripada serangan Siam dan Burma yang mengancam Kedah.

Pada tahun 1790, apabila pihak Inggeris (EIC) belot dan tidak menunaikan janji untuk mempertahan Kedah daripada ancaman Siam ataupun Burma, maka Sultan Kedah melancar serangan untuk mengambil balik Pulau Pinang tetapi gagal.

Kegagalan itu memaksa Sultan Kedah 'menyerah'  Pulau Pinang kepada Inggeris dan baginda dibayar 'honorarium' sebanyak 6,000 "Spanish dollars" (matawang yang diguna atau sah laku hampir di seluruh dunia ketika itu). 

Pada tahun 1800, pihak Inggeris 'merampas' Seberang Perai daripada Kedah, atas alasan keselamatan, dan menamanya sebagai "Province Wellesley" (sempena nama Arthur Wellesley yang kemudian dikenali sebagai Duke of Wellington).

Inggeris 'menambah' bayaran saguhati kepada Sultan Kedah daripada 6,000 kepada 10,000 "Spanish dollars" dan bayaran 'pajakan' itulah yang diteruskan hingga sekarang. Tetapi nilainya tidak sama dan tidak boleh diterjemahkan kepada ringgit dan kupang. 

Untuk makluman, "Spanish dollar" dalam bentuk syiling emas dan syiling perak, dikeluarkan oleh Empayar Sepanyol selepas reformasi matawangnya pada tahun 1497. Matawang ini diguna atau dijadikan matawang dunia sama seperti matawang Amerika Syarikat (US dollar) sekarang.

"Spanish dollar" juga sah laku di Amerika, Utara dan Selatan,  di Eropah dan Timur Jauh terutama di Asia Tenggara yang dijadikan matawang utama sehingga kurun ke-19. 

Jika mengikut nilaian sebenar, 10,000 "Spanish dollars" tidak sama dengan RM10,000 seperti yang dilaksana sekarang apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang melunaskan bayaran 'pajakan' kepada Sultan Kedah.

Persoalannya ialah kenapa perlu membayar pajakan yang jelas tidak adil dan lebih merupakan satu penipuan oleh penjajah ke atas Sultan Kedah? Kenapa tidak pulangkan wilayah jajahan itu kepada Kedah?

Seharusnya pentadbiran Pulau Pinang diserah kembali kepada Kedah dan 'perjanjian pajakan' itu dimansuhkan. 

Benar, bayaran 'pajakan' yang dibuat sekarang jauh lebih rendah (terlalu amat murah) daripada harga sepatutnya. Benar juga apa yang dikata oleh Mukhriz iaitu harga tanah di bandar Alor Star lebih mahal daripada harga 'pajakan' Pulau Pinang.

Oleh itu, usah persoal harga 'pajakan' tetapi berusahalah untuk memansuhkan 'perjanjian' itu dan pulangkan hak Kedah ke atas Pulau Pinang. 

Saya ingin lihat Sultan Kedah bersemayam di Istana Anak Bukit, Alor Star  dan Raja Muda Kedah atau Tengku Bendahara Kedah bersemayam di Istana Kedah, Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang untuk menandakan yang Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Negeri Kedah Darul Aman.

    


No comments:

Post a Comment