Kebelakangan ini timbul semula tindakan pihak ketua jabatan tertentu untuk 'menyungkil' kecenderongan politik pegawai awam atau kakitangan kerajaan, terutamanya para pendidik atau guru.
Kita masih ingat apa yang dilakukan oleh pegawai atasan Jabatan Pelajaran Johor semasa satu pilihan raya kecil di negeri itu tidak berapa lama dahulu. Tekanan telah dikenakan terhadap calon bukan UMNO dan suaminya kerana bertanding menentang calon Barisan Nasional sedangkan wanita berkenaan sudah pun meletak jawatan.
Tekanan dan tindakan yang tidak lebih daripada mengampu oleh segelintir ketua jabatan bukan perkara baru. Ia sering berlaku terutamanya apabila menjelang pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Mereka inilah yang paling layak digelar "Little Napolean" atau kata orang PAS "Firaun Kecil".
Semua kakitangan awam sedar akan adanya Perintah Am Bab 'D" yang mengupas mengenai peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib). Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk cuba mencungkil mengenai pendirian politik pegawai bawahan kerana itu adalah hak mereka. Yang dilarang adalah perkara-perkara tertentu dan khusus, bukan hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik di luar waktu pejabat. Yang penting mereka menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan penuh bertanggungjawab.
Peraturan 21 dalam Perintah Am Bab 'D' menyentuh mengenai kegiatan politik.
Pegawai Kumpulan Pengurusan Tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik khususnya tidak boleh:-
1) Membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik;
2) Menerbit/mengedar buku/artikel/risalah mengenai politik;
3) Merayu undi;
4) Agen pilihan raya tempat mengundi;
5) Bertanding apa-apa jawatan; dan
6) Memegang apa-apa jawatan.
Peraturan tersebut cukup jelas dan ditujukan kepada pegawai-pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam. Ini bermakna kakitangan awam yang bukan tergolong dalam dua kategori yang disebut dalam Peraturan 21 itu tidak terikat dengan larangan berkenaan.
Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk memandai-mandai mendapatkan maklumat mengenai pendirian atau kecenderongan politik kakitangan bawahan yang tidak tergolong dalam kategori berkenaan.
Bahkan pegawai tinggi termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berhak dan bebas menyokong mana-mana parti politik kerana mereka hanya dilarang melakukan atau terlibat dalam enam perkara yang disebut dalam Peraturan 21 itu. Cuma, mereka tidak boleh menyuarakan secara terbuka pendirian peribadi masing-masing. Ianya sama seperti hak atau kebebasan mereka untuk mengundi, mereka bebas memngkah mana-mana prti politik yang disukai, tidak semestinya parti yang membentuk kerajaan.
Semasa berkhidmat di JPM, saya sedar dan tahu sebilangan kakitangan awam tidak menyokong parti yang memerintah dan ia bukanlah satu rahsia. Yang penting, mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan secara jujur dan amanah.
Pendirian dan sokongan politik adalah hak masing-masing dan tidak boleh dipaksakan oleh sesiapapun.
No comments:
Post a Comment