Soal kedudukan dan kuasa Raja Berperlembagaan dan kedudukan serta kuasa eksekutif iaitu pentadbir, sekali lagi menjadi isu hangat di kalangan rakyat dan pentadbir, sama ada yang 'mentadbir' atau yang bertaraf 'pembangkang'.
Kedudukannya semakin menarik berikutan wujudnya pentadbiran berlainan fahaman atau pakatan/gabungan politik di peringkat persekutuan dengan empat buah negeri - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan Kuasa pentadbiran di sebuah negeri, iaitu Perak yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, telah berpindah kepada BN berikutan perbuatan keluar/lompat parti oleh tiga orang wakil rakyat dan proses Mahkamah.
Krisis terbaru timbul ekoran daripada perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang tidak secara lazimnya melalui pentadbir negeri. Kuasa perlantikan pula dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam/ Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Ketua Setiausaha Negara.
Berikutan itu, Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) memohon Speaker Dewan Undangan Negeri memanggil persidangan khas untuk meminda Perlembagaan Negeri Selangor bertujuan memulangkan kuasa perlantikan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang kepada Raja/Sultan dan Kerajaan Negeri. Permohonan itu diperkenan oleh Sultan Selangor.
Elok juga saya huraikan sedikit sebanyak latar belakang yang membabitkan pindaan Perlembagaan yang berhubung kait dengan kedudukan Raja-Raja. Ini penting kerana apa yang sedang berlaku di Selangor berkait rapat dengan apa yang telah berlaku pada tahun 1983 dan 1992.
Pada 1hb Ogos 1983, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengusulkan dalam Parlimen "Constitutional (Amendment) Bill" atau Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan untuk meminda Perkara 66 yang antara lain menyebut sekiranya atas apa-apa sebab sekalipun satu rang undang-undang tidak diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong dalam tempoh 15 hari setelah ia dipersembahkan, akan menjadi undang-undang. ("If for any reason whatsoever a bill is not assented by the king within 15 days of its presentation the bill shall become law".)
Mengikut lazimnya, Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen akan jadi undang-undang hanya sesudah ditanda-tangani oleh Yang Di Pertuan Agong. Kerajaan pimpinan Dr Mahathir tidak senang hati dengan peraturan ini kerana kadang-kadang ia mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan tanda tangan yang diperlukan itu. Ini menimbulkan masalah dalam urusan pentadbiran.
Walaupun rang undang-undang yang dibentangkan oleh Dr Mahathir itu dilulus oleh Parlimen, ia ditolak oleh Majlis Raja-Raja yang bersidang di Kota Kinabalu. Majlis Raja-Raja menggunakan kuasa Perlembagaan, iaitu Perkara 38 ( 4) 2 yang menyebut bahawa sebarang pindaan mengenai kedudukan Raja-Raja mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
Negara menghadapi krisis Perlembagaan yang agak serius dan jika tidak ditangani akan menggugat kedudukan Raja-Raja itu sendiri. Majoriti rakyat menyokong pendirian kerajaan. Ketika itu tidak wujud badan-badan bukan kerajaan yang berarak dengan membawa sepanduk mempertahankan Raja-Raja Melayu, seperti yang kerap berlaku sekarang atas kepentingan politik.
Majlis Tertinggi UMNO melantik almarhum Encik Abdul Ghafar Baba (kemudian Tun) mengetuai sebuah jawatankuasa terdiri daripada Dato' Harun Idris (almarhum/mantan Menteri Besar Selangor), Marina Yusof (peguam/mantan Ketua Wanita UMNO), Kamaruddin Mat Isa (almarhum/mantan Menteri Besar Perak) dan Dato' Mustafa Jabar (almarhum/mantan Setiausaha Agung UMNO) untuk menemui Raja-Raja bagi menjelaskan kenapa pindaan itu perlu dan kenapa mereka mesti menerimanya.
Perjumpaan antara wakil-wakil UMNO dengan semua Raja-Raja berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Perjumpaan itu tidak menghasilkan apa-apa keputusan.
Sementara itu, rakyat mengadakan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara menyokong kerajaan. Tidak tahu pula saya sama ada pihak polis mengeluarkan permit untuk mereka berbuat demikian atau polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata atau bom air berkimia terhadap penunjuk-penunjuk perasaan itu, seperti yang berlaku sekarang apabila membabitkan pihak-pihak tertentu.
Berikutan keadaan semakin bertambah buruk dan kedudukan Raja-Raja seakan-akan telur di hujung tanduk, akhirnya krisis itu selesai dengan kedua-dua pihak bertolak ansur. Dalam tempoh 60 hari selepas sesuatu rang undang-undang diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, bukan 15 hari seperti yang dipinda, maka ia secara automatik menjadi undang-undang walaupun tidak ditanda-tangani. Dalam tempoh itu, Agong boleh mengembalikan rang undang-undang itu ke Parlimen untuk dibahaskan bagi kali kedua dan keputusan kali kedua adalah muktamad.
Pada 15 Disember 1983, Raja-Raja membuat keputusan setuju dengan pindaan itu. Berakhirlah krisis Perlembagaan membabitkan Raja-Raja.
Ada pihak yang mendakwa kononnya pindaan Perkara 66 itu telah menghakis kuasa Raja-Raja. Jawapan yang diberi oleh Tun Ghafar Baba amat menarik, iaitu: "Di mana dalam Perlembagaan ada menyebutkan bahawa Raja-Raja ada kuasa menolak keputusan Parlimen?"
Tun Ghafar seterusnya dipetik sebagai berkata jika Raja boleh menolak keputusan Parlimen bererti demokrasi di Malaysia adalah 'mockery' atau sesuatu yang akan ditertawakan. Katanya kebesaran seseorang Raja itu terletak dalam hati rakyat. Jika rakyat sukakan Raja maka kekallah Raja itu di atas takhtanya. (rujuk: "Penitianku - Sebuah catatan peribadi Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba)
Pindaan Perlembagaan membabitkan kedudukan Raja-Raja kali kedua dibuat pada 10 Disember 1992 yang menghapus kekalisan atau kekebalan Raja-Raja yang sebelum itu ditakrifkan sebagai "berada di atas undang-undang" atau "is above the law"; iaitu Raja-Raja tidak boleh diheret ke Mahkamah walau apapun kesalahan yang dilakukannya termasuk membunuh.
Pindaan tersebut dibuat oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ekoran daripada tindakan almarhum Sultan Johor mencederakan seorang rakyat (guru sekolah) Maktab Sultan Abu Bakar bernama Douglas Gomez pada 30 November 1992.
Pentadbiran Dr Mahathir terpaksa bertindak untuk melindungi rakyat dan hanya satu cara yang boleh dibuat, iaitu melalui pindaan Perlembagaan dengan menghapuskan kekalisan Raja-Raja. Ini bermakna mana-mana Raja yang melakukan apa jua kesalahan boleh didakwa di Mahkamah, iaitu mahkamah khas.
Usul tergempar meminda Perlembagaan itu dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba. Beliau memulakan pembentangan dengan menyatakan bahawa dia memikul tanggungjawab yang sangat berat kerana ia melibatkan kedudukan Raja-Raja. Tetapi oleh kerana kepentingan negara mengatasi segala-galanya, maka dia (Tun Ghafar) terpaksa berdiri untuk membentangkan usul tersebut.
Almarhum Tun Ghafar juga mengingatkan bahawa beberapa peristiwa di negara-negara lain di mana rakyat telah hilang kesabaran dan mengambil tindakan di luar Perlembagaan dan undang-undang untuk menghapuskan Raja-Raja mereka, mesti dijadikan iktibar dan teladan.
Adalah tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia dan sebab itulah kerajaan sentiasa berwaspada dan membuat perhitungan dan bertindak dengan apa saja cara yang difikirkan baik supaya institusi beraja dapat dikekalkan sekalipun tindakan kerajaan itu merupakan sesuatu yang sangat pahit untuk diterima oleh Raja-Raja.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kuasa pentadbiran atau pemerintahan terletak di tangan rakyat kerana rakyatlah yang memilih pentadbir atau kerajaan. Kewujudan Parlimen dan institusi beraja juga adalah dengan kehendak rakyat. Oleh itu yang dikatakan berdaulat itu ialah rakyat.
Pendek kata pemerintahan sesebuah negeri itu pada umumnya terletak dengan sepenuhnya di tangan kerajaan yang dipilih rakyat, bukan di tangan Raja-Raja.
Dalam ususlnya itu, almarhum Tun Ghafar menjelaskan bahawa "perkataan dalam Perlembagaan yang menyatakan 'Raja memerintah bagi sesebuah negeri itu hanya merupakan satu istilah untuk menghormati kedudukan Raja-Raja itu sahaja" kerana yantg sebenarnya memerintah adalah kerajaan yang dipilih rakyat.
Kedudukan seseorang Raja Berperlembagaan dikawal oleh Perlembagaan. Raja-Raja tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik, sama ada secara langsung ataupun tidak; Raja-Raja tidak boleh campur tangan dalam pemerintahan negeri melainkan setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.
Raja Berperlembagaan tidak terlepas daripada keluhuran Perlembagaan.
No comments:
Post a Comment