Thursday, 6 January 2011

Kembar OKU yang tak boleh dipisahkan

Hampir setiap kali saya pulang ke Pulau Pinang, sepasang kembar kelainan upaya, iaitu bisu, akan sama ada ditemui atau dilihat, terutama sekitar mukim Kelawai, George Town.

Mohamed Azman bin Md Sheriff dan Mohamed Azmi bin Md Sheriff, 49 tahun, akan ditemui berjalan sekitar mukim Kelawai untuk ke tempat mereka diambil bekerja, selalunya secara sementara. Mereka tidak mempunyai kerja  tetap.

Akhir bulan lepas, saya menemui mereka di kampung saya di Jalan Burma. Mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah tempat mencuci kereta di Jalan Kelawai untuk bekerja.

Keterangan foto - Mohamed Azman sedang menikmati jamuan sempena satu majlis tahlil di Kampung Syed, Kelawai.  Foto bawah adik kembarnya, Mohamed Azmi

Mohamed Azman dan Mohamed Azmi, sepasang kembar yang sentiasa bersama-sama ke mana sahaja, berasal dari Jelutong dan mereka tidak mengganggu orang lain atau menagih simpati untuk mendapat sesuap nasi bagi menyambung hidup. Mereka lebih suka bekerja, sama ada mencuci kereta atau apa saja kerja yang disuruh orang.

Mereka juga mesra apabila disapa orang dan tidak segan silu untuk 'berkomunikasi' walaupun kedua-duanya bisu. Mereka menggunakan bahasa isyarat yang kadang kala sukar difahami tetapi mereka tidak patah semangat untuk menerangkan sesuatu sehinggalah difahami.

Kedua-dua mereka, Mohamed Azman yang beberapa minit lebih tua daripada Mohamed Azmi,  mendapat bantuan bulanan selaku OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Negeri Pulau Pinang dan mereka juga diberi kad perjalanan percuma ke mana-mana sahaja laluan bas Rapid Penang.

Sebelum Masjid Al-Munawar, Jalan Kelawai diroboh untuk digantikan dengan bangunan baru, mereka pernah menumpang tidur di situ dan sebagai balasan, mereka membersih kawasan masjid. Mereka juga sering menumpang tidur di Masjid Kapitan Keling jika sudah lewat malam dan tiada pengangkutan untuk pulang ke Jelutong.

Mohamed Azman dan Mohamed Azmi tidak boleh berpisah. Ke mana sahaja mereka seiring dan sejalan,  sama-sama bekerja untuk menyara hidup. Mereka tidak mengharapkan simpati atau belas kasihan orang tetapi sanggup membanting tulang untuk diberi upah. Tidak dinafikan banyak pihak yang simpati dan memberi 'sedekah' kepada mereka yang diterima dengan senyuman dan tanda terima kasih secara bahasa isyarat.

Perjalanan hidup Mohamed Azman dan Mohamed Azmi sewajarnya menjadi contoh dan teladan kepada manusia yang sempurna sifat bahawa rezeki ada di mana-mana asalkan sanggup berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya.

Mereka tidak mencuri, merompak atau meragut untuk mendapatkan wang. Mereka tidak menipu dan sama sekali tidak terlibat dalam kegiatan-kegiatan tidak berfaedah. Mereka jauh sekali daripada penyalahgunaan dadah.

Setiap kali melihat mereka, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya mereka ditakdirkan terpisah. Mampukah salah seorang daripadanya meneruskan perjalanan hidup keseorangan sedangkan selama ini mereka tidak pernah dipisahkan.

Sesungguhnya, sepasang kembar OKU ini benar-benar istimewa dan kehadiran mereka di mana sahaja  tidakpun menyusahkan orang lain.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Mohamed Azman dan Mohamed Azmi untuk terus menempuh ranjau-ranjau kehidupan pada masa-masa muka.

.

No comments:

Post a Comment