Sunday 22 January 2012

Kematian dua kanak-kanak membuka mata mengenai soal penguatkuasaan

Kematian dua orang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata, Ulu Klang, Selangor  adalah satu tragedi yang membuka mata terhadap soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta kepekaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kita sedih dan dukacita atas kematian Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, yang punca pulangnya kedua-dua mereka ke Rahmatullah belum dipastikan oleh pihak berkuasa kesihatan. Bedah siasat telah dilakukan dan menunggu laporan forensik/patologi untuk mengetahui puncanya.

Kepada ibu bapa dan keluarga kedua-dua kanak-kanak ahli syurga itu kita doakan agar mereka bersabar menerima dugaan Allah dan tabah menghadapinya kerana semuanya itu adalah ketentuan Ilahi.

Namun demikian, yang menjadi tanda tanya ialah sikap pegawai  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja salah tetapi seolah-olah mempersalahkan pihak tertentu.

Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, JKM,  Zaitol Salleh seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh Sabtu 21 Januari iaitu pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan beroperasi tanpa lesen atau sebarang pendaftaran.

"Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan. Buat masa ini, ia diarahkan tutup sehingga siasatan lebih lanjut selesai dilakukan," kata Zaitol.

Kenapa Zaitol berkata demikian setelah pusat itu beroperasi sejak 22 tahun lalu? Apakah selama tempoh itu JKM tidak sedar dan tidak tahu sama sekali akan kewujudan pusat jagaan kanak-kanak itu?

Saya tidak tahu sama ada Zaitol telah melawat pusat jagaan kanak-kanak berkenaan atau sedar akan kedudukan sebenar sebelum dia mengeluarkan kenyataan tersebut atau dia memberi ulasan  hanya dengan berada di pejabat tanpa turun  padang? 

Saya berkata demikian kerana setelah melungsuri  laman sesawang JKM dan menyemak senarai Pusat Jagaan Berdaftar, JKM Selangor, saya dapati pusat jagaan berkenaan di Taman Permata berdaftar dengan JKM dan pendaftaran telah diperbaharui pada 30 Disember 2011 dan akan tamat tempoh pada 29 Disember 2016.

Bagaimana seorang pegawai kanan JKM boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak betul iaitu pusat penjagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa berdaftar? Atau wartawan Utusan Malaysia yang membuat kesilapan dalam laporannya itu?

Sementara itu, dalam laporan pada hari yang sama, akhbar The New Straits Times memetik jurucakap JKM (yang namanya tidak disiarkan) sebagai berkata pusat itu berdaftar dengan JKM, tetapi tiada lesen untuk kendali sebagai 'nursery' atau pusat jagaan kanak-kanak bawah umur empat tahun.

Kenyataan yang bercanggah oleh pegawai JKM memperlihatkan kelemahan di pihak mereka yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan pusat jagaan kanak-kanak. Ia menimbulkan tanda tanya akan keberkesanan dan kecekapan para pegawai JKM itu sendiri.

Apakah setelah berlaku sesuatu tragedi  barulah pihak berkenaan sedar dan tiba-tiba pro-aktif sedangkan sebelum ini mereka mungkin tidak turun padang menyiasat sama ada pusat-pusat jagaan kanak-kanak di daerah atau negeri masing-masing berdaftar atau tidak? Atau sama ada pusat-pusat berkenaan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JKM?  

Umum mengetahui bahawa di Malaysia ada undang-undang yang ketat dan teratur tetapi yang sering menjadi masalah ialah soal penguatkuasaan yang kadang-kala amat kurang,  lemah dan mungkin tiada sama sekali. Saya tidak merujuk kepada kes ini tetapi secara umumnya begitulah keadaannya.

Banyak tragedi  berlaku berpunca daripada tiada atau kurangnya penguatkuasaan undang-undang termasuk di jalan raya, lereng bukit dan bidang perniagaan. Sebagai contoh, pemandu di larang mengguna telefon bimbit semasa memandu melainkan secara "hands free",  tetapi oleh kerana soal  penguatkuasaan, kita boleh lihat pelanggaran undang-undang tersebut setiap hari.

Berbalik kepada soal penjagaan kanak-kanak,  semua pihak mempunyai tanggungjawab sama ada dari segi moral  atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas kanak-kanak dibawah jagaan mereka.

Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan  dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya diperkemaskan dalam Akta 611, iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak.

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia wujud seawal 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Akta 611 menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. 

Pendek kata Akta 611 adalah undang-undang yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Ia boleh dikatakan satu undang-undang yang lengkap. 

Apa yang pasti ialah antara tujuan utama peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta berkenaan adalah   supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

Kita sedar bahawa pada zaman serba moden sekarang,  ibu dan bapa terpaksa bekerja untuk menampung kos hidup yang semakain melambung dan jalan keluar bagi mereka adalah menghantar anak ke pusat-pusat jagaan kanak-kanak. Oleh itu, kita tidak boleh mempersalahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbuat demikian demi  memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.

Oleh itu, beban tangungjawab ke atas kanak-kanak yang dihantar ke pusat-pusat penjagaan dipikul oleh pihak pusat berkenaan.

Semua pengusaha dan pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA dan Pusat Jagaan diwajibkan berdaftar dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang berhampiran.

Kelulusan pendaftaran bergantung kepada kelulusan teknikal terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),  Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.

Oleh itu, bukan mudah untuk sesiapapun  membuka sama ada TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Persoalannya, apa yang berlaku selepas itu? Adakah pihak-pihak berkenaan mengadakan lawatan pemantauan ke atas TASKA dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang didaftar itu?   

Inilah yang selalunya menjadi tanda tanya dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan oleh pihak-pihak berkenaan.

Kita tidak mahu dengar lagi kata-kata seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu "Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan". 

Kenapa tiada tindakan jika benar apa yang didakwa oleh Zaitol Salleh? Apakah selama 22 tahun pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata itu wujud, pegawai JKM tidak memantau, menyelia atau memeriksanya?

Ia adalah  soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang merupakan satu masalah besar di Malaysia.

  

No comments:

Post a Comment