Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Tiap-tiap warga negara adalah berhak bebas bercakap dan mengemukakan fikiran; semua warga negara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata; dan semua warga negara adalah berhak menubuhkan persatuan.
Kenyataan di atas adalah antara fasal yang terkandung dalam Perlembagaan yang menjamin hak warga negara Malaysia.
Tetapi ia bukan hak bebas mutlak kerana tertakluk kepada fasal-fasal lain termasuk yang berkaitan kedudukan agama bagi Persekutuan, iaitu Islam.
Selain itu, ada pula sekatan dan batasan tertentu yang menjadikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidak seperti sepatutnya. Ini kerana ada undang-undang lain seperti Akta Polis yang diguna pakai untuk membatasi hak rakyat untuk berhimpun.
Walaupun Perlembagaan memberi hak kepada warga negara untuk berhimpun secara aman, namun ia tidak boleh sama sekali mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Kita tahu akan perancangan untuk mengadakan perhimpunan pada hari Isnin yang digelar 901 oleh penyokong mantan TPM dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isnin 9 Januari dipilih kerana pada hari itu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumum penghakiman berkaitan kes tuduhan jenayah liwat oleh DSAI.
Walau pun hakim belum memutuskan sama ada DSAI bersalah atau tidak, umum telahpun membuat andaian bahawa pemimpin pembangkang di Parlimen itu akan dijatuhi hukum bersalah. Andaian sedemikian turut dibuat oleh pihak asing termasuk media Barat. Mereka menuduh kes DSAI ini adalah satu perancangan halus untuk membunuh kerjaya politik DSAI. Itu kata mereka yang bersimpati dan menyokong DSAI.
Risalah mengenai perhimpunan 901 turut diedarkan di beberapa buah masjid sekitar Lembah Klang semasa umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Pihak penganjur perhimpunan 901 telah menemui Ketua Polis Kuala Lumpur membincangkannya dan kita dimaklumkan bahawa pihak polis membenar penyokong DSAI berhimpun di tempat letak kereta dekat kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Kita pasti polis akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan secara berhemah dan akan cuba elak kekerasan. Ianya bergantung kepada sama ada perhimpunan itu diadakan secara aman atau tidak dan kita tidak ingin melihat ia bertukar menjadi satu rusuhan yang bakal ditonton seluruh dunia melalui siaran berita tv antarabangsa.
Kita pasti polis akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan secara berhemah dan akan cuba elak kekerasan. Ianya bergantung kepada sama ada perhimpunan itu diadakan secara aman atau tidak dan kita tidak ingin melihat ia bertukar menjadi satu rusuhan yang bakal ditonton seluruh dunia melalui siaran berita tv antarabangsa.
Warga negara mempunyai hak untuk berhimpun dan polis pula ada tugas yang diamanahkan untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. Jika kedua-dua pihak akur akan hak dan tugas masing-masing, kita percaya perhimpunan 901 akan berjalan secara aman.
Namun demikian, kita kurang yakin ianya akan diadakan secara aman kerana di kalangan penyokong DSAI, tidak kurang banyaknya yang terlalu taksub dan sanggup melakukan apa saja untuk orang yang mereka sanjung tinggi itu. Inilah masalahnya.
Kita tidak ingin melihat keadaan bertukar menjadi huru-hara. Itulah harapan majoriti rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment