Setelah lama berehat, saya kembali menulis dan topik pertama yang menjadi pilihan ialah isu pemilikan Menara UMNO Pulau Pinang.
Banyak orang termasuk media memperkatakan mengenai tragedi yang menimpa dua orang akibat runtuhnya penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister, George Town. Akibat tragedi itu, ramai yang terperanjat mengetahui bahawa Menara UMNO bukan milik UMNO dan parti itu hanya menyewa dua lantai atau tingkat di menara 21 tingkat itu.
Bagi saya, bangunan UMNO asal meninggal banyak kenangan dan pengalaman terutama berkaitan sukan badminton. Di dalam Dewan UMNOlah terdapat satu-satunya gelanggang tertutup badminton milik Melayu yang menjadi "tuan rumah" bukan sahaja kepada Persatuan Badminton Melayu tetapi beberapa pasukan badminton untuk berlatih dan menganjur kejohanan.
Di situ juga terdapat sebuah kedai "borong" milik Pernas Edar yang bertujuan membantu peniaga atau peruncit Melayu mendapat bekalan selain menempatkan dewan mesyuarat dan pejabat UMNO. Kali terakhir saya bermain badminton di Dewan UMNO sekitar tahun 60-an apabila menyertai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Melayu (kategori bawah umur 18 tahun).
Bangunan asal telah diroboh dan digantikan dengan Menara UMNO. Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa pemilikan Menara UMNO bukan milik parti itu sedangkan bangunan asal yang dikenali sebagai Rumah UMNO atau Dewan UMNO adalah milik parti Melayu itu 100 peratus. Apa yang berlaku sehingga parti itu "hilang" pemilikan ke atas Menara UMNO?
Sesungguhnya berita mengenai bencana itu menimbulkan pertanyaan mengenai bangunan setinggi 21 tingkat itu.
Siapa sebenarnya pemilik bangunan yang dibina atas tanah wakaf yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku pentadbir. Apa hubungan antara pemilik bangunan dengan tanah wakaf dan sama ada pembinaan bangunan itu mengikut syarat dan hukum-hakam yang berkaitan dengan harta wakaf umat Islam.
Pewakif yang mewakafkan tanah seluas setengah ekar itu tentu mempunyai niat tertentu apabila mewakafkan tanahnya itu. Pusara atau kubur pewakif dan beberapa kubur lain yang dipercayai keluarganya, masih terdapat di situ.
Apa peranan atau tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang apabila membenarkan pembinan di atas tanah wakaf itu? Persoalan ini pun memerlukan jawaban.
UMNO Perhubungan Negeri Pulau Pinang pula mesti memberi penjelasan kenapa bangunan asal milik parti itu diroboh dan digantikan dengan bangunan 21 tingkat yang akhirnya tidak menjadi milik UMNO.
Setahu saya, bangunan asal UMNO itu dibangunkan hasil kutipan derma dan usaha sebuah jawatankuasa UMNO Bahagian Pulau Pinang. Jawatankuasa Pungutan Derma untuk membina Rumah UMNO dipengerusikan oleh Kapten (VF) Mohamed Noor dengan Tan Sri Syed Abbas Alhabshee selaku setiausaha dan Tan Sri Ismail Hashim selaku bendahari (kemudian diganti oleh Osman Ismail). Jawatankuasa itu ditubuhkan tidak lama selepas Merdeka.
Antara usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa itu ialah penjualan tiket cabutan bertuah khusus untuk mengumpul dana selain menyertai penganjuran "pesta" di "New World Park" yang mirip Pesta Pulau Pinang sekarang. Penjualan tiket berkenaan mendapat sambutan ekoran daripada tarikan hadiah utamanya, iaitu sebuah kereta Austin A-40 selain hadiah motosikal dan barangan kemas.
Pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa berkenaan tidak kenal penat dan lelah untuk turun padang dengan mengunjungi setiap cawangan di bahagian Pulau Pinang untuk menjual tiket cabutan bertuah. Begitulah usaha mereka untuk mendapat dana bagi membina bangunan UMNO.
Jawatankuasa itu berjaya memperolehi keuntungan sebanyak RM38,000.00 dan wang itulah yang dijadikan modal membina bangunan UMNO di Jalan Macalister. Bangunan itu adalah milik UMNO sepenuhnya.
Saya kurang pasti bagaimana UMNO Bahagian Pulau Pinang boleh mendirikan bangunan di atas tanah wakaf seluas setengah ekar itu. Pihak Lembaga Wakaf, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, yang turut menyewa ruang pejabat di Menara UMNO, perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini.
Menara UMNO yang ada sekarang direka bentuk oleh firma arkitek TR Hamzah and Yeang dan mula dibina pada tahun 1995 dan siap pada bulan Mac 1998. Pemaju dan pemilik bangunan itu ialah South East Asia Development Corporation Berhad. (Apakah TR Hamzah merujuk kepada seorang tokoh veteran UMNO?)
Saya tidak tahu sama ada UMNO menjual bangunan asal kepada syarikat berkenaan atau tidak kerana syarikat itu menjadi pemaju dan pemilik Menara UMNO. Jika berlaku sebarang urusan jual-beli, sudah tentu ada rekod dan buktinya. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat persoalan ini.
Pemilikan Menara UMNO kemudian berpindah milik kepada Amanah Capital Malaysia dan kemudian kepada JKP Sdn. Bhd.
Apa yang menarik perhatian saya ialah pengerusi JKP Sdn Bhd sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ialah Datuk Zainal Abidin Osman, iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang. Zainal meletak jawatan pada 15 April untuk bertanding selaku calon BN pada PRU-13 tetapi kalah, buat kali kedua selepas kalah pada PRU-12.
Apa kaitan antara JKP Sdn Bhd dan UMNO? Ini yang menjadi tanda tanya.
Tragedi Menara UMNO sebenarnya membuka mata mengenai beberapa persoalan termasuk pemilikannya, apa terjadi kepada harta UMNO Bahagian Pulau Pinang yang membina bangunan asal dan kedudukan tanah wakaf yang diatasnya terdiri bangunan 21 tingkat itu.
No comments:
Post a Comment