Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Wednesday, 6 November 2013

PRK Sungai Limau - yang menang adalah penduduk

Dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Kedah yang mengekalkan calon PAS dengan majoriti kurang daripada yang diperolehi pada PRU 13, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencurahkan kira-kira RM16 juta kepada kawasan pilihan raya itu.

Jumlah peruntukan pembangunan, sumbangan dan bantuan itu menghasilkan tambahan undi kepada BN sebanyak 465 sahaja.

Hasil daripada pilihan raya kecil itu sebenarnya memanfaatkan penduduk Sungai Limau, bukan PAS ataupun UMNO. Inilah kelebihan apabila berlaku pilihan raya kecil.

Apa yang menarik perhatian dan julung-julung kali berlaku ialah penganjuran apa yang disebut sebagai Karnival Luar Bandar Rakyat 1Malaysia yang diadakan sehari sebelum hari mengundi di Bukit Besar, kawasan undi yang dikatakan benteng kuat PAS. Tujuannya adalah untuk meraih sokongan pengundi kepada UMNO/BN.

Dalam karnival itu, penduduk Sungai Limau ditawarkan beras,  gula, tepung pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Beras seberat lima kilogram dijual pada harga RM5 berbanding harga pasaran antara RM18 dan RM20, gula pasir dijual pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan tepung gandum pun dijual pada harga RM1. Penawaran harga murah itu memberi faedah kepada penduduk dan inilah satu rahmat pilihan raya kecil kepada mereka.

Selain karnival, kerajaan Persekutuan meluluskan beberapa peruntukan untuk penduduk Sungai Limau, antaranya RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.

Penduduk juga mendapat bantuan perumahan dan cermin mata (kaca mata) bernilai RM2.8 juta, RM2.5 juta untuk tukun tiruan, RM500 ribu untuk jeti perikanan dan RM802,700 untuk program bantuan azam tani MARA, RM300 ribu untuk masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru pra-sekolah agama KAFA dan 33 buah masjid, RM30,000 untuk pinjaman TEKUN dan RM19,700 dalam bentuk zakat AgroBank.

Faedah dan habuan yang diperolehi rakyat apabila berlaku pilihan raya kecil jauh lebih besar dan banyak daripada apa yang mungkin diperolehi semasa pilihan raya umum. Kawasan atau kampung mereka pun menjadi terkenal apabila pemimpin-pemimpin negara dan media berkampung dan memperlihatkan keprihatinan terhadap masalah rakyat. 

Apakah harus berlaku pilihan raya kecil untuk membolehkan rakyat mendapat sebegitu banyak faedah sedangkan sebelum itu boleh dikatakan menteripun tak masuk kampung, apatah pula Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri. Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kampung-kampung nelayan dan petani di Sungai Limau. 

Sekarang seluruh negara tahu dimana letaknya Sungai Limau!      





Monday, 4 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU - TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Sungai Limau walaupun menghadapi serangan dan gempuran jentera raksasa Barisan Nasional (BN). 

Kemenangan PAS sudah diagak walaupun BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS pada PRU 13 lalu sebanyak 1,690.

Calon PAS Ustaz Mohamad Azam Abdul Samad memperolehi 12,069 undi manakala calon UMNO/BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim 10,985 undi untuk memberi majoriti 1,084 kepada PAS. Peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab ialah 85.5 iaitu 23,249 daripada 27,222 pemilih berdaftar.

Seperti yang saya tulis sebelum ini,  PRK Sungai Limau sebenarnya antara PAS dan "Kerajaan BN" kerana jentera kerajaan telah dikerah melalui "acara rasmi" oleh Menteri Kabinet untuk "berkempen". Berjuta ringgit telah dicurahkan dalam bentuk bantuan,  peruntukan dan sumbangan kepada penduduk DUN Sungai Limau. 

Kehebatan dan keraksasaan jentera BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pada saat-saat akhir, iaitu sehari sebelum hari mengundi, khidmat dan pengaruh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikerah ekoran daripada maklumat risikan yang menyatakan BN ketinggalan dibelakang PAS.  Kehadiran Tun Mahathir mungkin telah mempengaruhi beberapa orang pengundi sahaja. 

Laporan berat sebelah oleh media "rasmi"  sedikit sebanyak membantu BN menambah undi, itu sahaja. 

Taktik kotor yang diguna sehari dua sebelum hari mengundi seperti menggantung "kaki palsu" yang dipotong dan ditulis perkataan "ustaz" dan penyebaran SMS "palsu"  daripada balu almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menyeru pemilih supaya mengundi calon BN, juga gagal meraih sokongan (kemenangan) untuk BN.

Seperti biasa, UMNO menggunakan satu lagi muslihat, iaitu kemasukan beramai-ramai "ahli PAS" ke dalam UMNO tetapi kali ini ia "terkantoi" kerana "penipuan" itu terbongkar apabila ada ahli PAS yang tampil memberi penjelasan dan kenyataan sebenar. Nampaknya, UMNO masih belum belajar daripada kesilapan taktik yang sering diguna pakai apabila menghadapi pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Ia adalah satu tamparan hebat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom yang terlibat dalam isu kemasukan ahli PAS itu. Bukankah penipuan dilarang oleh Islam? Sudah tentu mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) itu tahu akan kenyataan ini.

Walaupun sebilangan rakyat berjaya digula-gula dan dipengaruhi melalui janji-janji manis pembangunan dan bantuan, termasuk kepada beberapa buah sekolah agama rakyat,  namun ia masih gagal membawa kemenangan kepada BN. Semuanya ini kerana rakyat, terutama orang kampung seperti petani dan nelayan di Sungai Limau, sudah lama membuka mata dan telinga. Mereka tahu apa yang berlaku dan bijak membuat pilihan. 

Kepada petugas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang "terpaksa" ke Sungai Limau atas "tugas rasmi" kerana "menurut perintah", selamat pulang ke tempat masing-masing dan bersedia untuk  kemuka  tuntutan-tuntutan yang berhak dibuat semasa "bertugas" di Sungai Limau.
   
  

Saturday, 2 November 2013

Sungai Limau: "Kerajaan BN" lawan PAS - siapa pilihan rakyat?

Pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Sungai Limau akan diketahui Isnin ini. Ia bukan antara UMNO yang mewakili Barisan Nasional dan  PAS, rakan Pakatan Rakyat,  tetapi antara "Kerajaan BN" dan PAS.

Kenapa saya kata antara "Kerajaan BN" dan bukan BN atau UMNO? Jawabannya jelas apabila melihat para Menteri Kabinet Persekutuan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri berkampung dan turun padang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para Menteri, boleh dikatakan semuanya belum pernah ke Sungai Limau kecuali Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom, tiba-tiba masuk kampung atas urusan "rasmi" Kementerian masing-maasing atau Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian berkenaan.

Atas sifat "tugas rasmi" itulah menjadikan pilihan raya kecil ini pertandingan bukan antara UMNO dengan PAS tetapi antara "Kerajaan BN" dengan PAS.

"Tugas rasmi" atau "majlis rasmi" hanyalah "alat" yang diguna pakai untuk berkempen. Apabila berselindung disebalik faktor "rasmi" itu, maka dana kerajaan atau wang pembayar cukai dan hasil negara, boleh digunakan.

Wang tersebut diguna untuk meluluskan projek-projek pembangunan, memberi bantuan kepada nelayan dan petani, memberi peruntukan atau sumbangan kepada sekolah-sekolah termasuk sekolah agama rakyat (sekolah pondok) dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah kebangsaan dan untuk prasarana awam seperti jalan, bekalan letrik, paip air dan pengairan dan saliran.

Atas sifat "rasmi" juga para menteri dan pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan Agensi boleh turun padang dan membuat tuntutan-tuntutan seperti elaun perjalanan, elaun penginapan dan elaun makan. Jika bukan kerana tugas "rasmi", mereka tidak layak mengemukakan apa-apa tuntutan sekalipun.

Oleh itu, kos sebenar pilihan raya kecil Sungai Limau lebih besar daripada apa yang diperuntukkan   kerana ia turut melibatkan segala tuntuan yang akan dibuat oleh para menteri dan kakitangan awam selain peruntukan segera atau sebaliknya yang diperturunkan di Sungai Limau. 

"Tugas rasmi" para menteri tidak lebih daripada satu alasan atau sebab untuk membolehkan mereka berkempen dengan menggunakan kemudahan, tenaga kakitangan awam dan wang rakyat.  Ia tidak lebih dan tidak jua kurang daripada itu. 

Siapa yang akan menjadi pilihan pengundi Sungai Limau? Jika "Kerajaan BN" menang maka berbaloilah kempen yang dijalankan, tetapi jika PAS terus menjadi pilihan, bermakna satu tamparan hebat untuk Muhyiddin dan Mukhriz Tun Mahathir.

Kedua-dua pihak yakin boleh menang. Sepatutnya begitulah. Sebagai seorang pengamat yang bukan penganalisis politik seperti sesetengah pensyarah dan tenaga pengajar menara gading mengaku apabila memberi ulasan, saya hanya berani membuat agakan, iaitu saya kurang yakin BN boleh menang. Saya mungkin silap, sebab itulah saya hanya agak.   

  

Tuesday, 29 October 2013

Muhyiddin dah minta maaf, kes tutup!

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO/Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta ma'af kepada keluarga almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak ekoran kenyataannya yang mengaitkan kenaikan harga gula dan penyakit kencing manis dengan mantan Menteri Besar Kedah itu.

Muhyiddin sedar akan kesilapnnya itu dan adalah diharapkan keluarga almarhum Azizan menerimanya dengan hati yang terbuka dan  dalam semangat persaudaraan Islam.

Muhyiddin sedar bahawa sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada kesilapan dan dengan itu dia memohon ma'af. Syabas dan tahniah diucapkan kerana tidak ramai pemimpin yang sanggup berbuat demikian kerana ego dan sebagainya.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana pilihan raya akan berlaku kata-kata yang menyakiti hati dan perasaan orang lain terutama pihak lawan. Dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, Kedah juga berlaku perkara yang sama, oleh kedua-dua pihak (UMNO dan PAS) yang sedang berusaha mendapat sokongan pengundi.

Mereka mungkin lupa akan Sabda Rasulullah S.A.W. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu yang bermaksud: "Orang Islam sesama Islam yang lain adalah bersaudara, tidak mengkhianati, membohongi dan membiarkan saudaranya." 

Malangnya, perkara sebaliknya sedang berlaku di Sungai Limau. Ia bak melatanya penyakit masyarakat yang turun temurun, iaitu hasad dengki dan benci membenci semata-mata untuk menang.

Mungkin mereka tidak sedar bahawa ada pihak lain yang sedang tertawa melihat apa yang  berlaku di kalangan orang Melayu/Islam  di negara ini,  lebih-lebih lagi apabila menghadapi pilihan raya.
  

Sunday, 27 October 2013

Muhyiddin Yassin mesti henti kaitkan isu subsidi gula dengan almarhum Tan Sri Azizan

Ramai orang yang sedih, kecewa dan marah dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan penarikan balik subsidi gula dan  penyakit kencing manis dengan nama almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak.  Ia amat tidak kena dan tidak menghormati seorang insan yang telahpun meninggal dunia. Ada orang yang menyatakan perbuatan itu sebagai 'biadab".

Apakah Muhyiddin, yang kononnya sedang mendekati dan mendalami ajaran Islam, tidak sedar akan baik buruknya perbuatannya itu? Apakah 'penasihat agamanya' tidak menasihatinya sebelum membuka mulut? 

Amat tidak kena sama sekali bagi  Muhyiddin mengaitkan penarikan balik subsidi gula (yang bermakna gula naik harga) dengan pulangnya ke Rahmatullah almarhum Azizan, yang menghidap  penyakit kencing manis. Muhyidin mesti disedarkan yang gula bukan satu-satunya punca penyakit kencing manis. 

Jika nak menang pilihan raya kecil Sungai Limau sekalipun, usah kaitkan dengan almarhum mantan Menteri Besar Kedah itu. Sebagai seorang Muslim, kita mesti menghormati orang yang terlebih dahulu pulang ke rahmatullah. Itulah antara perkara yang diajari semasa kita mengikuti pengajian atau pembelajaran agama Islam.

Saya tidak berani nak katakan perbuatan itu sebagai munafik, tetapi nampaknya begitulah kerana berikutan kematian almarhum Azizan, semua pemimpin besar negara memuji dan menyanjung tinggi sikap, pendirian dan prinsip hidup yang dipegang oleh almarhum, PM Najib Tun Razak puji, Muhyiddin puji, Mukhriz Mahathir puji dan Tun Mahathir  pun puji.  Semunya menghormati almarhum walaupun semasa hayatnya selaku MB Kedah, mereka jarang memujinya.

Timbul tanda tanya sama ada puji-pujian itu ikhlas atau sebaliknya? Jika ikhlas kenapa nak kaitkan kenaikan harga gula dan kencing manis dengan almarhum? Ini yang tak kena dan tak sepatutnya berlaku.

Inilah politik namanya. Orang politik sanggup buat apa saja untuk menang, untuk kepentingan peribadi dan untuk kesenangan dunia tanpa berfikir panjang kesenangan akhirat.


Rezeki murah di Sungai Limau.... tolong,tolong, limau, limau!

Setiap kali berlakunya pilihan raya kecil, maka banyaklah peruntukan yang turun secara kadar segera. Ia bukan perkara baru. Semuanya kerana nak menang. Itu saja.

Sebelum ini, tidak ramai yang tahu di mana letaknya Sungai Limau, apa yang ada di Sungai Limau dan apakah sumbangan perkampungan petani dan nelayan itu kepada ekonomi Kedah Darul Aman.

Orang sering berkata, apabila berlakunya pilihan raya kecil, maka berduyun-duyunlah wakil media berkampung di sana, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengepalai kempen yang membuatkan Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri turut turun padang. Begitulah hebatnya apabila berlaku pilihan raya kecil.

Setakat ini, berjuta-juta ringgit dalam bentuk peruntukan telah diluluskan. Ada pemimpin yang mendakwa ia bukan kerana pilihan raya kecil tetapi sudah ada dalam perancangan. Bohong besar namanya!

RTM pula membuka 'studio mini' di Sungai Limau untuk memberi laporan sama ada secara langsung atau rakaman awal. Apa yang pasti, laporan itu lebih condong kepada 'kempen' untuk parti pemerintah. BERNAMA pula dah pun tulis artikel mengenai kehebatan calon BN. Sungguh menakjubkan!

Mereka mungkin lupa bahawa pilihan raya kecil ini bukan antara 'kerajaan' dengan pihak lain, tetapi antara dua pertubuhan politik. Jadi tidak seharusnya berlaku laporan yang memihak kepada kerajaan. Itulah etika kewartawanan yang seharusnya dipegang dan diamalkan.

Walau apapun, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan pengundi Sungai Limau, yang didakwa oleh pemimpin BN dan media rasmi sebagai 'kubu kuat PAS', jika ianya benar sebagai sebuah kubu. Saya kurang setuju kerana kekebalan kubu pada zaman serba canggih ini sudah tidak berkaitan. Dalam muslihat peperanganpun, kubu tidak lagi menjadi benteng pertahanan kerana ada senjata yang mampu menembusi dan memusnahkan kubu.

Yang pasti, pengundi bukan lagi 'pak turut' dan mudah digula-gulakan dengan taburan wang ringgit atau projek-projek pembangunan. Mereka pandai menilai dan berani membuat keputusan sendiri.

Teringat pula saya akan cerita jenaka yang saya dengar beberapa dekad lalu dimana seorang peniaga Cina memasuki kampung sambil melaungkan "tolong, tolong, limau, limau....". Ia membuatkan orang kampung ketakutan kerana menyangka si pelaung meminta tolong kerana ada rimau (harimau). Walaupun takut, mereka memberanikan diri untuk keluar dengan bersenjatakan parang dan cangkul untuk memberi bantuan. Apa yang mereka dapati ialah seorang peniaga Cina yang menjual buah limau dan terong. Oleh kerana 'kepeletan' sebutannya maka ia berbunyi seolah-olah dia meminta pertolongan kerana ada rimau.

 Semoga penduduk Sungai Limau tidak akan keliru atau salah dengar dengan apa yang disuarakan oleh mereka yang berkempen untuk meraih undi. Dengar dengan jelas dan pastikan kebenaran sebelum membuat keputusan untuk menyokong atau mengundi calon dan parti yang bertanding.

Selamat Mengundi tetapi jangan sama sekali "membuang undi"...... jika dibuang maka rugilah jawabnya. 



  






Sunday, 21 April 2013

Mat Tyson sah anggotai PAS

Mantan Menteri Besar Selangor, Naib Presiden UMNO dan Ketua Penerangan UMNO/BN, Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib, hari ini sah menganggotai PAS.

Beliau yang diberi jolokan "Mat Tyson" itu menyerah borang keahlian kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Mat Taib berkata beliau menyertai PAS bukan kerana nak jadi calon atau rebut jawatan. Kerana  itulah beliau menyerah borang permohonan menjadi ahli selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau akan berkempen membantu calon Pakatan Rakyat (PR) di Selangor untuk meneruskan amanah selaku pentadbir negeri. Beliau juga memberi sokongan penuh kepada semua calon PR yang bertanding memenangi kerusi Parlimen di Selangor.  

Sunday, 7 October 2012

Bila gajah dengan gajah bertelagah....

Malam tadi pendakwah terkenal Dr Zakir Abdul Karim Naik mula diwawancara oleh TV Al-Hijrah yang mencakupi banyak isu dan perkara yang bersangkut-paut dengan umat dan dunia Islam.

Beliau menyentuh dan menjawab semua pertanyaan dengan tegas dan berani tanpa mengaitkan soal politik kepartian tetapi yang berkaitan kepimpinan Islam. Dr Zakir beberapa kali menegaskan yang dia bukan orang politik tetapi seorang pendakwah yang bebas daripada pengaruh politik. 

Dalam hubungan yang bersangkutan Malaysia, Dr Zakir hanya menyebut nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pertama kali ditemuinya pada satu majlis di Abu Dhabi. Dr Zakir berkata beliau tidak tahu 'siapa' selepas Dr Mahathir, seorang pemimpin Islam yang disifatkannya sebagai bijak, berwawasan dan berpandangan jauh.
 
Beliau berharap pemimpin Islam selepas Dr Mahathir akan meneruskan apa yang dimulakan oleh mantan PM itu tetapi menambah bahawa beliau secara jujurnya tidak mengenali pemimpin Malaysia selepas Dr Mahathir.

Menjawab pertanyaan mengenai negara majmuk yang majoriti penduduknya beragama Islam, umpamanya 60 peratus Muslim dan selebihnya bukan Islam, Dr Zakir berkata umat Islam mesti bersatu kerana perpecahan hanya akan merugikan mereka.

Sebagai contoh, jika wujud dua 'puak' yang berlawanan pendirian politik, katakan puak "A" dan puak "B" dalam negara berkenaan, maka pihak yang akan menentukan kemenangan mana-mana puak itu ialah 'puak' minoriti yang bukan beragama Islam. Oleh itu, kedua-dua puak Muslim yang bertelagah itu akan berusaha penuh untuk mendapat sokongan puak minoriti dan mereka  akan sebolehnya tunaikan apa yang diminta semata-mata untuk meraih sokongan.

Dalam keadaan sebegitu, majoriti rakyat yang beragama Islam pada hakikatnya bergantung kepada sokongan minoriti untuk berkuasa semata-mata kerana umat Islam tidak bersatu. Inilah realiti yang dinyatakan oleh Dr Zakir Naik.

Kenyataan beliau itu, walaupun tidak merujuk kepada mana-mana negara tertentu, jelas membayangkan keadaan di Malaysia. Ia adalah satu kenyataan yang melibatkan dua buah pertubuhan politik Islam terbesar - UMNO dan PAS - yang masing-masing bergantung kepada sokongan puak minoriti untuk menang.

 

Tuesday, 7 August 2012

Kekuatan dan kuasa politik perlu untuk laksana undang-undang Islam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agama Islam tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak di negara ini. Saya sokong kenyataannya itu dan percaya bahawa ia ditujukan kepada semua pihak, termasuk kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional, khususnya UMNO.

Saya katakan demikian kerana jika kita bercakap mengenai Islam dipolitikkan, maka sering kali tuduhan dilempar kepada PAS sedangkan perkara sama berlaku dikalangan pemimpin dan ahli UMNO. Oleh itu, kenyataan Najib semestinya dituju kepada semua pihak, bukan khusus kepada satu pihak tertentu.

Najib juga berkata agama Islam seharusnya diletak ditempat yang paling tinggi, sekaligus banyak permasalahan yang membelenggu umat Islam pada masa kini dapat diatasi. Tepat sekali jika ianya dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan negara Islam.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sentiasa mengutamakan Islam dalam mentadbir urus negara dan mengikut landasan serta tuntutan syiar Islam. BN memajukan pentadbiran negara berdasarkan syariah.

Kenyataan ini boleh diperdebatkan kerana Malaysia tidak melaksanakan undang-undang Islam. Sejak Merdeka malahan sebelum itu lagi, negara ini melaksanakan undang-undang yang bersandarkan English Common Law.

Di mana letaknya kenyataan Najib yang menyebut bahawa Malaysia memajukan pentadbiran berdasarkan syariah? Kita mungkin boleh menerima kenyataan beliau bahawa BN mengutamakan Islam dalam mentadbir urus negara tetapi sejauh mana ia berdasarkan syariah boleh dipertikaikan.

Undang-undang Islam adalah SYARIAT ALLAH. Ia mesti dijadikan punca sumber dan prinsip hukum bagi setiap negara yang mengaku sebagai negara Islam. Malaysia dikatakan sebuah negara Islam tetapi kita tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Kita sedar bahawa untuk melaksanakan undang-undang Islam, Perlembagaan perlu dipinda dan ia memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Suka atau tidak, inilah halangan paling besar bagi BN mahupun Pakatan Rakyat, jika ia berjaya menawan Putrajaya pada PRU-13 ini. 

Kita yakin jika UMNO ingin mengusulkan pindaan Perlembagaan untuk melaksana undang-undang Islam yang termasuk dalamnya undang-undang jenayah tegar atau hukum hudud, ia tidak akan mendapat sokongan parti-parti komponen lain terutama MCA, Gerakan dan MIC. Begitu juga jika PAS nak laksana hukum hudud, ia pasti ditentang oleh DAP dan PKR (andai kata Pakatan kuasai Putrajaya).

Oleh itu, undang-undang syariah khususnya hukum hudud sukar dilaksanakan jika pindaan Perlembagaan tidak dapat dibuat.Malaysia akan kekal dengan undang-undang lazim seperti yang diamalkan sekarang, iaitu undang-undang yang diambil contohnya daripada Common Law.

Kita tidak yakin sama ada UMNO ataupun PAS dapat menguasai dua-pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk membolehkan Perlembagaan dipinda bertujuan melaksana undang-undang Islam. UMNO masih memerlukan sokongan parti-parti komponen begitu juga PAS, bayang-bayang DAP masih mengekori mereka.

Kekuatan dan kuasa politik penting bukan sahaja untuk kelangsungan urus tadbir negara tetapi untuk mempertahan dan meletakkan Syariat Allah ditempat paling atas dalam pentadbiran negara.  Inilah yang seharusnya dijadikan matlamat oleh mana-mana parti politik yang ingin melaksana undang-undang Islam.

 

Tuesday, 22 May 2012

Perang bendera dan sepanduk di Terengganu

Saya berada di Terengganu, negeri yang beriman selama seminggu dan sedikit sebanyak berpeluang melihat 'perang bendera dan sepanduk atau kain pemidang' politik bermula dari Kemaman hinggalah ke Kuala Terengganu. 

Saya tidak meneruskan tinjauan ke utara Kuala Terengganu tetapi yakin keadaan yang sama sehinggalah ke sempadan negeri Kelantan. Perang bendera 'hijau putih' dan 'merah putih' dari yang bersaiz kecil hinggalah yang bergelar 'bendera gergasi' berkibar megah di merata tempat yang menjadi kubu kuat parti masing-masing. 

Begitu juga dengan sepanduk atau kain pemidang yang direntang dengan tertulis kata-kata yang membakar semangat, yang mengutarakan kejayaan dan tidak kurang pula dengan kata-kata sinis terhadap parti lawan. Antara beberapa sepanduk yang sempat diperhatikan, saya tertarik dengan sepanduk di bawah ini yang direntangkan di Kerteh. Kata-kata yang tertulis mungkin melucukan tetapi ada juga kebenarannya. "Terima Kasih PAKATAN RAKYAT! Kamu kuat, Duit kami dapat ......"
Saya bukan menyokong parti tertentu tetapi jika difikirkan, kata-kata itu mempunyai asas. Jika parti atau pakatan tiga buah parti politik itu lemah dan tidak memberi ancaman atau cabaran kuat kepada parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan, mungkin habuan dan bantuan yang begitu 'murah hati' seperti BR1M RM500, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan rendah serta baucer buku RM200 kepada pelajar IPT/Maktab tidak diadakan. 

Walaupun  sering kali dinafikan oleh pemimpin kerjaan, kita tahu bahawa semua bantuan dan 'habuan' itu ada kaitan dengan pilihan raya umum yang bakal diadakan sama ada sebelum Ramadhan atau selepas Syawal ini.

Walau apapun, rakyat sudah tentu menyambut baik 'hadiah' daripada kerajaan kerana siapa yang tidak mahu wang dan bantuan yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan hidup. Untuk itu, suka atau tidak, mereka yang mendapat faedah kenalah menghargainya tetapi tidak semestinya dalam bentuk sokongan atau undi untuk parti politik tertentu pada PRU-13 nanti. Undi adalah hak mutlak rakyat yang layak mengundi. Terpulanglah kepada mereka untuk 'memangkah' parti atau calon parti yang mereka fikir layak atau wajar disokong. 

Semasa di Terengganu, saya tidak dapat mengagak parti mana yang akan mendapat sokongan majoriti rakyat pada PRU-13 kerana politik negeri yang pada satu ketika dahulu disebut sebagai "Kuwait Malaysia" itu agak unik. Kedua-dua parti utama Melayu, iaitu UMNO dan PAS saling bertukar tempat selaku pentadbir negeri. Mungkinkah kali ini rakyat Terengganu Darul Iman akan melakukan satu lagi penukaran atau akan kekalkan pentadbiran sedia ada? Sukar diramalkan!


Monday, 20 February 2012

Debat MCA-DAP bangkitkan persoalan hukum Hudud

Debat antara presiden MCA, parti gabungan Barisan Nasional, dan setiausaha-agung DAP, parti perkongsian Pakatan Rakyat, tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh selain membangkitkan isu-isu yang merupakan perbalahan politik di kalangan masyarakat Cina. 

Debat yang dilangsungkan dalam bahasa Mandarin itu tidak mampu diikuti secara langsung atau sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham sama sekali bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan Republik Rakyat China dan bukan bahasa 'rasmi' di Malaysia.

Mungkin menyedari bahawa perdebatan mereka tidak mendapat liputan seluas-luasnya, maka SU Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta diadakan debat kedua sama ada dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan Malaysia atau bahasa Inggeris.

Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek yang terkenal dengan rakaman 'CD' tertentu, harus sedar bahawa selaku pemimpin politik peringkat kebangsaan, mereka sepatut dan semestinya mengutamakan bahasa kebangsaan. 

Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hanya mampu mengikuti laporan media berkaitan perdebatan yang dikatakan tidak menepati tajuk sepenuhnya itu. Oleh itu, ulasan yang mampu saya lakukan juga terbatas kepada topik tertentu. Saya memilih topik hukum Hudud yang dibangkitkan oleh Soi Lek.

Apabila memperkatakan hukum Hudud, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak tahu atau samar-samar mengenainya tetapi sejumlah besar umat Islam pun keliru. Oleh kerana itu, apabila disebut hukum Hudud maka timbul  bantahan dan tentangan termasuk oleh pemimpin-pemimpin politik, sama ada yang membentuk kerajaan peringkat negeri mahupun pusat atau yang bergelar pembangkang.

Soi Lek menjadikan hukum Hudud peluru hidupnya untuk memusnahkan hujah Guan Eng. Sedikit sebanyak dia berjaya kerana Guan Eng gagal menyahut cabaran tersebut. Mungkin Guan Eng terbayang akan wajah pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata "langkah mayat saya  dahulu" jika  hendak melaksanakan hukum Hudud. Kita tidak tahu selama mana  hayat Karpal Singh untuk membolehkan mayatnya dilangkahi.

Perlu diingatkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu, pelaksanaan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi Kerajaan Persekutuan tidak memberi kebenaran.  Inilah kenyataan yang mesti diketahui. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata perbezaan pandangan antara PAS dengan DAP dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Namun begitu, sehingga sekarang Kerajaan Negeri Kelantan tidak dapat melaksana hukum Hudud.

Saya ingin merujuk kepada Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Walaupun Malaysia mengamalkan dwi-sistem kehakiman,   iaitu undang-undang lazim dan undang-undang Syariah,  tafsiran dibuat bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, ia hanya meliputi atau berkuatkuasa  ke atas umat Islam. Pada hakikatnya, ia meliputi persoalan undang-undang keluarga seperti pernikahan, pewarisan harta dan isu murtad. Walaupun ada negeri yang memperuntukkan kesalahan jenayah Syariah, ia  terbatas  kepada hukuman denda yang tidak melebihi RM5,000.00 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kita sedar bahawa mencuri, merompak, membunuh, berzina, rogol dan  sumbang mahram, sebagai contoh, adalah antara kesalahan mengikut undang-undang Islam,  tetapi,  semuanya jelas berada di bawah kuasa undang-undang lazim (kuasa Kerajaan Persekutun). Oleh itu, ia tidak boleh dilaksana diperingkat negeri melalui undang-undang yang berlawanan.

Ini kerana semuanya termasuk dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code, iaitu undang-undang kesalahan jenayah utama yang mengandungi tidak kurang daripada 511 seksyen  meliputi banyak kesalahan jenayah yang boleh dijatuh hukum oleh mahkamah. 

Selain Kanun Keseksaan, terdapat undang-undang khusus dan tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Senjata Api (hukuman lebih berat) 1971,  untuk memperluas kawalan dan penguatkuasaan ke atas kes-kes jenayah tertentu.

Oleh itu, hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam senarai kesalahan jenayah Syariah di bawah hukum Hudud, sudahpun berada dalam senarai di bawah Kanun Keseksaan. Ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri dan  ia hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan suara majoriti dua-pertiga ahli Dewan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat berhasrat untuk melaksanakan hukum Hudud, ia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya dengan majoriti melebihi dua-pertiga. 

Persoalan yang harus difikirkan oleh PAS terutamanya, mahukah DAP ataupun PKR  menyokong pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat jika Pakatan menguasai Parlimen? Tanpa sokongan DAP dan PKR, sudah tentu sukar bagi PAS untuk melaksana hukum Hudud. 

Saya tidak yakin DAP mahupun PKR akan menyokong PAS dalam isu hukum Hudud. 

       

  

Tuesday, 14 February 2012

Anwar Ibrahim dan isu Yahudi

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini tersepit dengan isu sokongan terhadap rejim Yahudi Zionis dilaporkan akan menghadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan kontoversinya itu.

Anwar terpaksa berbuat demikian setelah Nik Aziz mengeluarkan kenyataan menggesa ketua pembangkang itu menarik balik kenyataannya seperti yang dilporkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bulan lepas atau mengambil tindakan saman. 

Anwar tidak boleh membisu dan membiarkan isu tersebut terumbang-ambing kerana ia bukan satu persoalan remeh tetapi satu isu besar di kalangan negara-negara Islam.

Nik Aziz berkata sekiranya laporan WSJ itu salah atau membawa maksud yang berbeza, maka Anwar mesti  ambil tindakan undang-undang. Tetapi, setahu saya, hingga sekarang Anwar tidak pun membantah atau menafikan kesahehan laporan WSJ itu. Ini bermakna apa yang dilaporkan itu adalah benar belaka.

Kenyataan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mendapat sokongan penuh ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali berkata kenyataan Nik Aziz membuktikan bahawa  PAS tetap menyuarakan pandangannya dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak apabila membicarakan tentang isu-isu prinsip Islam. 

Walaupun Dr Khairuddin tidak menyebut secara terang-terangan siapa yang dimaksudknnya, tetapi kata-kata "tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak" difahami merujuk kepada kenyataan ketua pembangkang yang juga ketua sebenar Parti KeAdilan Rakyat (PKR).

Umum mengetahui bahawa PAS tidak mengiktiraf negara haram Israel dan parti itu juga menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Kenyataan Anwar yang menyokong "semua usaha untuk melindungi/mempertahan keselamatan Israel" bukan sahaja dibantah oleh majoriti rakyat Malaysia tetapi tidak disenangi di kalangan pemimpin dan rakyat Palestin, beberapa buah negara Arab dan Turki.

Sementara itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dalam blognya bahawa pentadbiran Amerika Syarikat dan Israel sedang berpakat untuk membolehkan pertukaran rejim di Malaysia melalui penubuhan sebuah kerajaan boneka diketuai  Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata Washington berharap kepimpinan baru dibawah ketua pembangkang itu akan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri daripada perjuangan rakyat Palestin.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran atau kebolehpercayaan kenyataan Dr Mahathir tetapi apa yang pasti kenyataan Anwar Ibrahim tidak boleh diterima sama sekali. Kita tidak boleh bertolak ansur atau beralah atau tunduk kepada sebarang tekanan kuasa-kuasa besar apabila membicarakan soal  Palestin.

Tindak tanduk Anwar Ibrahim kebelakangan ini tidak memberi faedah atau sebarang saham kepada perjuangan Pakatan Rakyat.  Saya percaya barisan kepimpinan PAS sedar akan kedudukan itu dan mereka kenalah lakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.... sebelum terlambat. 




  


Sunday, 12 February 2012

HARI VALENTINE - BUKAN ISLAM JANGAN PERSOAL URUSAN UMAT ISLAM

Seluruh dunia dilaporkan bersiap sedia untuk merai atau menyambut "Valentine's Day" atau Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih seolah-olah pada hari dan tarikh 14 Februari sahajalah mereka boleh berkasih-kasihan, bermesra-mesraan dan bersayang-sayangan, hari-hari lain boleh dilupakan sahaja.

Asal usul hari tersebut dikaitkan dengan seorang paderi Kristian bernama Saint Valentine. Ia sudah cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada kita, umat Islam khususnya, mengenai punca sambutan hari tersebut.

Majoriti tokoh agama Islam menyatakan bahawa menyambut atau meraikan  sambutan Hari Valentine adalah bertentangan dengan Syarak. 

Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Ruh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Amat jelas sekali bahawa umat Islam dilarang daripada  menyertai mereka yang bukan beragama Islam untuk menyambut atau merayakan Hari Valentine. Ia adalah soal agama, bukan soal masyarakat atau sosial dan jauh sekali isu politik.

Oleh itu, apakah jadahnya golongan bukan Islam di Malaysia termasuk media seperti The Star dan The New Straits Times membidas PAS kerana parti itu menasihati umat Islam agar tidak menyambut atau meraikan Hari Valentine?

Kenapa mereka menjadikan PAS sasaran kutukan sedangkan ia bukan isu politik tetapi soal aqidah umat Islam?

Sebagai sebuah parti mewakili umat Islam, sudah tentu PAS memainkan peranannya untuk memastikan umat Islam di Malaysia tidak turut terpedaya dan terpengaruh oleh banjiran promosi dan kempen bersifat komersil untuk sama-sama menyambut Hari Valentine. Salahkah PAS berbuat demikian? 

Apakah jadahnya The Sunday Star menulis dalam ruangan editorialnya dibawah tajuk "Those opposing Valenine's Day should just grow up"  Adakah pihak The Star cuba mencabar kewibawaan JAKIM dan umat Islam di Malaysia? Kenapa The Star mengkritik tindakan PAS mengenai isu Hari Valentine sedangkan ia adalah soal aqidah umat Islam, bukan soal politik?

Kenapa pemberita The New Straits Times bernama Sean Augustin begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian parti itu mengenai Hari Valentine?  Sebagai seorang pemberita dia sudah tentu tahu dan sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik? Jika dia tidak tahu, maka dia gagal  sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 

Pembetulan: Sean Augustin tidak menyebut PAS dalam laporannya yang berbentuk umum. Saya merujuk kepada berita di muka surat yang sama bertajuk "No love lost in Pas, DAP Valentine's row". Ayat di peranggan tersebut tidak tepat dan pembetulan adalah seperti berikut;


Kenapa The New Straits Times begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian mengenai Hari Valentine? Pemberita mesti sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik! Jika pemberita tidak tahu, maka dia gagal sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 


Ketidakpekaan pemimpin politik turut menjalar kepada Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang turut mempersoal pendirian PAS.

Cho Ha dalam kenyataannya meminta PAS jangan tuduh sambutan itu sebagai sesuatu yang tidak bermoral dan jangan menghina orang Malaysia yang nak sambut Hari Valentine. PAS, terutama Pemuda PAS, dijadikan sasaran kutukan semata-mata atas kepentingan politik yang amat sempit dan bodoh! Isu Hari Valentine bukan isu politik, ini yang tidak difahami oleh orang seperti Cho Ha. 

Karpal Singh pula menuduh pendirian PAS sebagai sesuatu yang tidak betul, silap dan berlawanan dengan hak asasi dan kebebasan. Seperti Cho Ha, Karpal Singah pun janggal dalam pemikiran dan tidak sedar bahawa ia bukan isu politik atau soal hak asasi dan kebebasan, ia soal agama, soal aqidah umat Islam.   

Akhbar The Star, The New Straits Times, Cho Ha dan Karpal Singh hentam PAS atas pendirian tegas parti itu berkaitan Hari Valentine. Kenapa PAS sahaja? Kenapa tidak hentam JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri  yang lebih awal lagi mengeluarkan kenyataan sama seperti yang disuarakan oleh PAS?

Ini soal aqidah umat  Islam, bukan soal politik atau yang kena-mengena dengan slogan 1Malaysia PM Najib Tun Razak. 

Islam tidak larang penganut agama lain menyambut perayan yang berkaitan agama mereka. Lihat saja kehadiran PM Najib yang sama-sama penganut agama Hindu sempena Thaipusam di Batu Caves.  Islam hanya melarang umat Islam. Kenapa mereka yang bukan beragama Islam melenting tak tentu pasal? Ini sudah melampaui batas dan sempadan yang sepatutnya.

Ingat, jangan campuri urusan umat Islam, ia mungkin membawa padah! 





Saturday, 4 February 2012

Hassan Ali oh Hassan Ali!

Dulu saya hormat  Dr Hassan Ali sebagai salah seorang cerdik pandai Melayu yang boleh diteladani. Dia sering muncul dalam rancangan terbitan RTM mahupun TV3 sebagai ahli panel. Dia bijak berkata-kata dan mampu membuatkan orang khusyuk mendengarnya. 

Kemudian dia tenggelam setelah cergas dalam PAS. Biasalah dengan dunia penyiaran dan surat khabar Malaysia, orang yang mendokong atau menyokong parti politik yang lain daripada UMNO/BN, tiada tempat dalam media arus perdana. 

Dr Hassan Ali kemudian menghadapi sedikit masalah dengan  PAS dan dia dipecat tanpa diminta membela diri. Dalam hubungan ini, saya  bersimpati dengan nasib yang menimpanya. 

Tiba-tiba, Hassan Ali mendapat tempat dalam media elektronik dan cetak yang sama ada dikuasai atau dikawal melalui alat kawalan jauh oleh UMNO. Sekali lagi wajah Hassan Ali muncul dalam sama ada dalam rancangan khas atau segmen berita.  

Hassan Ali timbul  seolah-olah seperti pulangnya  seorang wira dari medan perang. Dia disanjung, dijulang dan diarak ke sana sini untuk menceritakan kepada rakyat jelata akan 'kemenangan' dan 'kepulangan' seorang wira ke pangkuan ibu pertiwiwi. 

Begitulah hebatnya manusia bernama Hassan Ali dan begitu jua hebatnya ranjau perjuangan yang dilaluinya dalam gelanggang politik. 

Kita tidak terperanjat mendengar dan membaca 'pendedahan demi pendedahan' oleh Hassan Ali mengenai PAS setelah dia dipecat.  Dulu lain, sekarang lain, itulah hakikatnya.

Kita hairan kenapa Hassan Ali membisu seribu bahasa semasa dia bersama-sama dengan 70 peratus golongan sekular dalam PAS? Kenapa dia tidak mendedahkan muslihat DAP untuk bergabung dengan PAP dan membentuk sebuah republik?

Dengan mendiamkan diri, Hassan Ali membuktikan bahawa dia bukan seorang pemimpin sejati yang jujur, jika dia boleh disifatkan sebagai pemimpin, semasa dia bersama-sama dengan orang DAP dan PKR yang membentuk pentadbiran Negeri Selangor. Semasa duduk sebumbung dan tidur sebantal dengan rakan-rakan politiknya itu, Hassan Ali akur dan sokong mereka. Kenapa lain pula ceritanya apabila dipecat?

Orang seperti Hassan Ali tidak boleh dipercayai sama sekali. Dia tidak ubah seperti sesumpah atau lalang yang berlenggang-lenggok mengikut arah tiupan angin.

Jika dia benar-benar jujur dan mengaku sebagai seorang yang memperjuangkan Islam, kenapa dia sanggup bersama-sama orang atau kumpulan yang kini dia begitu marah dan melemparkan  bermacam-macam tuduhan?

Siapa  parasit? Siapa munafik? Hassan Ali dah tentu ada jawapannya.

  





Tuesday, 1 November 2011

Politik Melayu terus bercaca-marba

Yang pasti Melayu akan terus berbalah lantaran perbezaan fahaman politik tetapi sukar untuk bersatu atas kepentingan agama. Cina Malaysia pula sukar digoda apatah pula dipecahkan walaupun berlainan amalan politik.

Melayu terbahagi kepada dua golongan besar dari sudut politik, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Partai Islam Se-Malaysia atau PAS. Tetapi, Melayu menubuhkan terlalu banyak badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang sebenarnya berkiblatkan kedua-dua pertubuhan politik berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat serpihan sama ada UMNO ataupun PAS yang membentuk pertubuhan politik masing-masing termasuk PKR dan KITA serta NGO seperti PERKASA.

Masing-masing ada agenda tertentu yang pada akhirnya bermatlamat politik, sama ada menyokong UMNO atau PAS. Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, NGO berkenaan bergerak bagi pihak UMNO dan parti-parti komponen BN manakala di negeri-negeri pentadbiran BN, mereka mewakili kepentingan PKR, DAP ataupun PAS.  Yang nyata, majoriti adalah NGO Melayu.

Jika dilihat dari sudut nisbah Melayu-Bumiputera, kedudukan tidak melebihi 56 peratus daripada keseluruhan penduduk dan jika dibahagikan pula kepada dua golongan besar, iaitu UMNO dan PAS, maka nisbah tersebut turun kepada antara 25 dan 35 peratus.

Kedudukan itu melemahkan politik Melayu-Bumiputera dan sebab itulah kita dapati timbul tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk berani mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan memurtadkan umat Islam.

Kita bersyukur kerana kuasa politik pada masa ini masih berada dalam tangan Melayu tetapi setakat manakah ia mampu bertahan? Apakah Melayu akan terus berkuasa dan mencorakkan politik serta  pentadbiran negara?

Jawapannya ialah tiada jaminan sama sekali selagi Melayu tidak bersatu dalam satu wadah perjuangan   yang benar-benar berjati dirikan Melayu dan Islam yang mampu berdepan dengan nilai-nilai dan kesan-kesan sarwajagat yang cukup hebat melalui kemajuan teknologi dan produk teknologi.

Tetapi, kedudukan dan keberadaan politik Melayu hari ini yang terus bercaca-marba ditambah pula dengan kewujudan bermacam jenis NGO yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu, tidak memperlihatkan sesuatu yang positif. Perjuangan politik Melayu menjelang 2020 dan abad seterusnya tetap menjadi tanda tanya... kerana  ia bergantung kepada azam politik Melayu itu sendiri.

Bersatu teguh, bercerai roboh!



 

 

Saturday, 1 October 2011

Hudud adalah Syariat Islam, iaitu Syariat Allah

Isu hukum Hudud terus menjadi perdebatan dan perbincangan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi yang bukan Islam. Orang politik yang berada dalam pertubuhan siasah bermajoriti bukan Islam seperti  DAP,  MCA, MIC dan Gerakan kelihatan begitu takut dengan Hudud sedangkan mereka tidak faham sepenuhnya apa itu Hudud dan hukum tersebut hanya akan dikenakan ke atas umat Islam.

Hudud adalah Syariat Islam dan oleh itu ia adalah Syariat Allah. Harus diingat bahawa orang Islam yang menentang atau enggan menerima hukum Hudud dengan sendirinya menolak Syariat Allah. Inilah hakikat yang mesti disedari oleh umat Islam. 

Manusia, terutamanya mereka yang bukan beragama Islam, selalunya ditakut-takutkan dengan hukum Hudud seperti memotong tangan kerana mencuri, direjam sampai mati atau disebat 100 kali kerana berzina, atau potong tangan dan kaki secara bersilang kerana merompak. Itu yang sering ditekankan untuk menakut-nakutkan orang terhadap Hudud.

Penentang hukum Hudud tidak pula menyebut bahawa Islam menuntut supaya berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman jenayah. Ia seharusnya dibuat menerusi pencegahan dengan menyatakan hukuman yang berat terhadap sesuatu kesalahan jenayah dan berusaha sedaya upaya untuk mengelak dalam mensabitkan sesuatu kes.

Perkara ini jelas diterangkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah dan dikeluarkan oleh Termidzi yang bermaksud:-

"Elakkan Hudud dijatuhkan ke atas orang-orang Islam sekadar yang kamu upaya. Dan sekiranya seseorang itu mempunyai jalan keluar maka biarkanlah ia pergi mengikut jalannya kerana pemerintah itu, sekiranya tersalah dalam mengampunkan sesuatu perkara, masih perbuatan itu lebih baik daripada menghukum dengan salah".

Ada beberapa contoh yang menunjukkan pentingnya diusahakan supaya dapat dielak daripada dikenakan hukum Hudud disebabkan oleh beberapa keadaan. Antara contoh-contohnya:-

Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh seorang perempuan yang melakukan zina dan diakuinya, lalu dibenarkan supaya dikenakan hukum Hudud ke atasnya.

Sayidina Umar kemudian menyatakan mungkin perempuan itu mempunyai sebab-sebab yang tertentu yang menyebabkan perbuatan zina. Beliau bertanya perempuan tersebut mengenainya dan diberitahu bahawa dia [perempuan itu] mempunyai seorang tanggungan yang memerlukan makanan. Pada masa itu, seorang lelaki yang melakukan zina dengannya, mempunyai seekor unta dan air serta susu, sedangkan unta perempuan itu tidak mempunyai air dan susu.

Ketika itu perempuan berkenaan teramat dahaga dan memerlukan seteguk air daripada lelaki tersebut. Lelaki itu enggan memberi air kecuali jika perempuan itu menyerah diri  kepadanya. Permintaan itu dibuat berulang kali sehingga akhirnya perempuan itu terpaksa beralah dan menyerahkan dirinya kepada lelaki itu.

Sayidina Ali r.a. yang ada bersama ketika itu berkata, yang bermaksud:- "Allah berfirman, maksudnya: Barangsiapa yang terpaksa sedang ia tidak bertujuan sedemikian maka tidaklah ia menanggung dosa". Dalam peristiwa ini, perempuan tersebut dilepaskan.

Hukum mencuri dalam Syariat Islam ialah hukuman yang telah ditetapkan, iaitu dipotong tangan. Perkara ini selalu dijadikan alasan dan hujah mereka yang menentang hukum Hudud termasuk oleh segelintir umat Islam. Mereka harus sedar akan hakikat bahawa ia bukan semudah itu kerana Syariat Islam amat adil dan saksama.

Ini dapat dibuktikan oleh tindakan Sayidina Umar Al-Khattab yang menggugurkan hukuman itu daripada dijatuhkan ke atas pencuri pada tahun kesukaran mendapat makanan. Disebabkan oleh keadaan tersebut, hukuman yang dikenakan oleh Sayidina Umar dipersetujui oleh Ulama Fekah secara ijmak. 

Ini membuktikan bahawa Islam tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum Hudud tanpa memberi pertimbangan terhadap keadaan semasa, perubahan-perubahan cara pelaksanaannya berdasarkan suasana, tempat dan masa.    

Hudud adalah hukuman pembalasan kerana kesalahan jenayah. Jenis-jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman Hudud hanya tujuh, iaitu:- 1. Mencuri, 2. Berzina, 3. Qazaf, iaitu membuat tuduhan terhadap seseorang melakukan zina tanpa saksi bagaimana yang disyaratkan, 4. Minum arak, 5. Merompak, 6. Bughaat atau menderhaka kepada negara, dan 7. Murtad.

Dalam sejarah Islam peristiwa-peristiwa hukum Hudud boleh dikatakan semuanya berasaskan kepada pengakuan bukan kerana penyiasatan atau paksaan untuk membuat pengakuan. (Perkara ini  pernah berlaku dalam penyiasatan sistem sivil dimana orang yang dituduh dipaksa membuat pengakuan).

Kita harus sedar bahawa sebarang pelaksanaan hukum yang berbeza dengan sesuatu pelaksanaan yang dibuat pada masa lain di tempat lain bukan bermakna ia telah mengubah Nas hukuman. Sesuatu Nas yang terdapat dalam Al-Quran atau sunnah tetap suci dan tidak boleh diubah sama sekali. Tetapi apa yang berlaku semasa zaman Sayidina Umar adalah perubahan tentang pelaksanaan hukum berdasarkan kepada suasana yang memerlukan ia diubah. Ia menjamin kedudukan Islam sebagai agama yang sesuai dengan perubahan masa, tempat dan zaman.

Oleh yang demikian, persoalan Hudud memerlukan maklumat yang mendalam mengenai sistem pelaksanaannya kerana ia melibat 'hakim' yang hendak menjatuhkan hukuman. Pengetahun 'hakim' berkenaan amat penting untuk menentukan kesahihan keputusan yang dibuat. Selain itu, suasana masyarakat yang menjalankan pelaksanaannya, sistem pemerintahan negara dan keutamaan dalam menghayati Syariat Islam.

Tanpa perkara-perkara tersebut, sudah tentu persoalan Hudud akan terus menjadi bahan kajian akademik serta perbalahan masyarakat dan politik yang pada akhirnya boleh merosak imej Islam dan seterusnya melemahkan masyarakat Islam itu sendiri.

Persoalan Hudud akan terus timbul dan tenggelam sebagai bahan atau alat dalam kumpulan tertentu untuk meraih simpati rakyat termasuk mereka yang menentangnya dengan harapan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Di Malaysia, yang paling utama ialah Perlembagaan dan dalam Perlembagaan, Islam disebut sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi negara. Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukan negara Islam.

Perlembagaan juga menetapkan bahawa hukuman berkaitan kesalahan jenayah terletak dalam undang-undang sivil iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bukan diletak di bawah Mahkamah Syariah.  Inilah hakikat yang mesti difahami.

''Negara Islam [Darul Islam] ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam makna kekuatan dan pertahanannya berada di tangan Islam''. [Sheikh Muhammad Abu Zuhrah]

''Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya''. [Imam al-Fahastani, seorang ulama mazhab Hanafi]

Hukum Hudud adalah Syariat Islam dan jika sesebuah negara itu mengaku sebagai negara Islam, maka negara tersebut seharusnya mematuhi dan mengamalkan Syariat Islam.

 




Friday, 27 May 2011

Pemilihan timbalan presiden PAS

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden PAS kali ini bakal memperlihatkan hala tuju parti itu sekurang-kurang untuk satu tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dicabar oleh Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pusat Mat Sabu. Ketiga-tiga mereka memiliki latar belakang yang berlainan.

Mampukah Nasharudin mempertahankan kedudukannya pada pemilihan kali ini?

Persoalan ini menarik kerana dia dicabar oleh dua orang tokoh PAS yang boleh dikatakan antara langit dengan bumi. Tuan Ibrahim seorang ulama manakala Mat Sabu lebih dikenali sebagai seorang yang bijak berpidato dan diminati ramai di peringkat akar umbi.

Tuan Ibrahim mendapat sokongan golongan ulama dan veteran parti dan dilihat sebagai pencabar utama kepada Nasharudin. Namun demikian, kekuatan Mat Sabu tidak boleh diketepikan kerana dia juga mempunyai sokongan di kalangan ahli PAS.

Tuan Ibrahim, mantan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi yang satu ketika dahulu sering muncul dalam rancangan Forum Perdana RTM bersama-sama Prof. Haron Din dan Dr Hassan Ali, tidak kurang hebatnya sebagai seorang pemidato yang mampu memukau khalayak. Sama seperti Haron Din dan Hassan Ali, dia tidak muncul dalam rancangan terbitan RTM itu apabila aktif dalam PAS. 

Mat Sabu pula dikatakan dapat membantu presiden parti, Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku 'panglima jihad' berbanding dengan Nasharudin yang bersikap sederhana dan tidak agresif dalam menghadapi musuh politik terutama Umno. Nasharudin dilihat sebagai searang yang  condong kepada perpaduan 'ummah' termasuk sanggup bekerjasama dengan Umno.

Kesederhanaan Nasharudin yang mudah mesra dengan pemimpin-pemimpin Umno atas semangat persaudaraan Islam tidak begitu disenangi oleh mereka yang serik dan rasa telah dipermainkan oleh Umno. Mat Sabu dilihat sebagai tokoh yang mampu mengembalikan semangat juang PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Namun demikian kehadiran Tuan Ibrahim mampu menggugat harapan Mat Sabu dan ini mungkin membolehkan  Nasharudin mempertahankan jawatannya. 

Monday, 24 January 2011

PRK Tenang - isu berjabat tangan menikam balik BN

Isu calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang, Puan Normala Sudirman yang dikatakan berjabat tangan dengan pengundi, terutama kaum lelaki, dengan memakai sarung tangan yang dijadikan bahan kempen oleh BN, telah menikam balik parti itu sendiri.

Isu itu dibangkitkan oleh MCA pimpinan Chua Soi Lek, yang satu ketika dahulu terlibat dalam satu skandal seks, jelas memperlihatkan kebodohan dan kejahilan di kalangan MCA.

Oleh kerana isu itu telah menikam balik BN dan tidak pula menjadi satu masalah kepada pengundi Cina di Tenang, maka panglima perang BN Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa 'memperbetulkan' keadaan dengan meminta jentera BN jangan membangkitkan isu itu lagi.

Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata ia adalah soal peribadi calon PAS dan lebih banyak isu yang jauh lebih penting untuk dibangkitkan, bukan isu berjabat tangan dengan memakai sarung tangan.

Benar sangat. Malangnya, Muhyiddin tidak berani nak sebut sebab sebenar kenapa Puan Normala berbuat demikian. Mungkin Muhyiddin masih kabur dengan hukum-hakam Islam itu sendiri. Apa salahnya jika Muhyiddin bertanya kepada tokoh agama UMNO dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir mengenainya.

Muhyiddin sedar bahawa isu itu tidak memihak walau sedikitpun kepada BN dan tinjauan yang dibuat oleh Malaysiakini juga menunjukkan bahawa ia bukan satu masalah kepada pengundi Cina. Pengundi Cina juga tidak bimbang ataupun takut dengan isu negara Islam yang turut dibangkitkan oleh MCA.

Banyak lagi isu yang sepatutnya dihuraikan kepada rakyat terutama soal rasuah dan salahguna kuasa, soal keadilan mahkamah, soal kenaikan harga barang keperluan seharian dan soal keadilan sosial. Isu-isu inilah yang menjadi bualan dan percakapan di mana-mana, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh MCA.

Kita harap kedua-dua pihak akan berkempen dengan tenang dan berwibawa tanpa membangkitkan isu yang tidak sepatutnya, yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dan marah di kalangan pengundi berbilang kaum dan agama di Tenang.

Monday, 9 November 2009

Isu royalti/wang ihsan ke mahkamah?

Sama ada ia dirujuk sebagai royalti minyak, wang ihsan ataupun sedekah (seperti yang didakwa oleh ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa), ia sekali lagi menjadi satu persoalan yang dipertikaikan antara sebuah kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Jika pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui PAS menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan berkaitan isu yang sama, kini Kerajaan Negeri Kelantan berkemungkinan besar akan mengambil tindakan yang sama.

Walau bagaimanapun, kes saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, jika tidak silap saya, telah ditarik balik oleh Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional yang ada sekarang.

Saya percaya sekiranya kes itu tidak ditarik balik dan pihak Mahkamah membuat penghakiman, mungkin ia boleh dijadikan rujukan dan episod mana-mana kerajaan negeri nak saman Petronas ataupun Kerajaan Persekutuan mungkin tidak berulang.

Setahu saya, perkataan "royalti" minyak tidak terdapat dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri. Begitu juga dengan perkataan "wang ihsan" yang diguna pakai apabila Kerajaan Persekutuan "membeku" pemberian wang berkenaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu selepas PAS berkuasa.

Mengikut Petroleum Development Act, 1974 (Akta Kemajuan Petroleum, 1974) bayaran kepada mana-mana kerajaan negeri disebut sebagai "cash payment" atau bayaran tunai, bukan royalti, wang ihsan atau seperti yang disebut oleh Husam Musa, sedekah.

Bayaran itu sepatutnya dibuat jika sumber minyak diperolehi di dalam (daratan) atau berhampiran pantai sesebuah negeri dan bukan di luar pantai atau pelantar benua negara. Minyak yang diperolehi di Laut China Selatan adalah di luar kawasan perairan Terengganu.

Dalam kes Kelantan, kedudukan yang serupa iaitu sumber minyak diperolehi dalam kawasan pelantar benua negara dan di luar kawasan perairan negeri.

Akta Kemajuan Petroleum dengan jelas menyebut bahawa bayaran tunai akan dibuat sekiranya minyak diperolehi di daratan atau di kawasan perairan negeri, iaitu tidak melebihi tiga batu nautika dari pantai.

Oleh itu, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, Kerajaan Terengganu tidak berhak mendapat bayaran tunai kerana minyak yang diperolehi adalah di luar kawasan perairan negeri. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Kelantan kerana sumber minyak diperolehi di luar perairan negeri itu.

Tetapi, atas sesuatu pertimbangan, Kerajaan Persekutuan membayar wang tunai (yang disebut secara meluas sebagai royalti minyak) kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan BN. Dalam tempoh 1978 hingga Mac 2000, Petronas membayar sejumlah RM7,129,413,373.00 kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan PAS mengambil alih pemerintahan Negeri Terengganu, Kementerian Kewangan mengeluarkan satu kenyataan media, iaitu pada 5 September 2000, berkaitan cadangan pemberian "wang ihsan" dan ia disusuli dengan sepucuk surat bertarikh 7 September 2000 yang memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Terengganu bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengagihkan "wang ihsan" kepada negeri itu.

Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib, Kerajaan Persekutuan akan membayar "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat negeri itu setelah berunding dengan Kerajaan Negeri. Ini bermakna Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan menerima apa-apa bayaran tunai secara langsung tetapi seperti yang di laung-laungkan oleh pentadbiran Najib, rakyat di dahulukan.

Pengumuman PM itu mendapat reaksi yang berbeza termasuk ungkapan "sedekah" oleh Husam Musa dan rasa kurang senang di satu pihak dan gembira di pihak yang lain. Walau apa pun, kita tidak ingin melihat pengagihan "wang ihsan" itu di seleweng, disalahguna untuk tujuan politik atau dijadikan "habuan" atau "ganjaran" kepada mana-mana pihak yang menyokong mana-mana parti politik dalam bentuk pemberian kontrak, lesen atau hak tertentu.

Saya percaya isu "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan tidak akan selesai begitu mudah tetapi akan berlarutan ke Mahkamah kerana ia membabitkan takrif undang-undang berkaitan perairan negeri dan ungkapan "luar pesisir".

Thursday, 10 September 2009

Umno Adalah Parti Islam, Kata Najib


PM Datuk Seri Mohamad Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa UMNO adalah parti Islam walaupun ia tidak menggunakan perkataan Islam untuk parti itu.

Ma'af Datuk Seri, saya berbeza pendapat.

Hanya manusia yang menganuti agama, bukan benda yang tidak bernyawa seperti pertubuhan atau persatuan dan parti politik.

Yang lebih tepat UMNO adalah sebuah parti yang dianggotai oleh umat Islam. Ahli UMNO adalah orang Islam, bukan UMNO itu sendiri.

PAS pun bukan parti Islam tetapi sebuah pertubuhan politik yang dianggotai oleh orang Islam.

PAS pernah mendakwa bahawa ia adalah PARTI ALLAH atau HIZBULLAH. Inipun tidak tepat. Yang nyata ialah PAS sebuah parti HIZBUL MUSLIMIN, sama seperti UMNO walaupun kedua-dua parti dah pun buka pintu kepada bukan Islam.

Kedua-dua parti - UMNO dan PAS - mewakili umat Islam dan memandangkan majoriti ahlinya orang Melayu, maka kedua-duanya adalah parti orang Melayu.

Hak mewakili orang Melayu mahupun umat Islam bukan hak ekslusif mana-mana parti tetapi hak setiap parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu dan umat Islam.

Yang paling penting ialah umat Islam itu bersaudara. Orang UMNO dan orang PAS adalah bersaudara dalam agama tetapi bermusuhan dalam perjuangan siasah. Itu tidak mengapa asalkan permusuhan itu tidak menjejas tali persaudaraan dalam Islam.

Klik di bawah untuk membaca laporan Bernama.

BERNAMA - Umno Adalah Parti Islam, Kata Najib

Shared via AddThis