Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek awal-awal lagi dah beri amaran nak tutup BERNAMA TV jika stesen berita 24 jam itu tidak memperbaiki mutu perkhidmatannya. Saya tidak begitu faham apa yang dimaksudkan Pak Menteri kerana amarannya itu kurang jelas.
Saya setuju mutu perkhidmtan BERNAMA TV perlu dipertingkatkan tetapi ia memerlukan modal dan sokongan. Bukan sahaja BERNAMA TV yang perlu berbuat demikian tetapi hampir semua stesen TV di negara ini.
BERNAMA TV yang kini kembali ke pangkuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ekoran arahan mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr Rais Yatim, perlu mempelajari selok-belok sebuah stesen berita bukan mencontohi stesen-stesen umum seperti RTM mahupun yang dikuasai Media Prima. Ini yang sedang berlaku.
BERNAMA TV melalui banyak ranjau dan onak semasa stesen badan berkanun itu dipimpin oleh orang seperti Anuar Zaini, Syed Jamil dan Azman Ujang. Bak kata orang, lain padang lain belalang.
Semasa Anuar Zaini 'berkuasa', BERNAMA TV terpaksa membuat liputan secara langsung istiadat penganugerahan darjah bintang kebesaran dan pingat peringkat negeri, sesuatu yang stesen 'gergasi' seperti RTM dan TV3 tidak lakukan. Saya tidak nampak nilai berita dalam membuat siaran langsung seperti itu sebaliknya ia menelan belanja yang besar. Kenapa BERNAMA TV diarah berbuat demikian, hanya orang yang mengarahkannya ada jawabannya. Mungkin wujud kepentingan tertentu.
Selain itu, BERNAMA TV tidak terlepas daripada menerima arahan demi arahan pihak tertentu termasuk yang berkepentingan politik sehingga khalayak melihat stesen berita itu tidak ubah sebagai sebuah lagi alat propaganda kerajaan.
Ahmad Shabery, politikus yang menimba pengalaman dan ilmu politik daripada mantan 'bosnya' Tengku Razaleigh Hamzah, sepatutnya bersikap lebih rasional dan saksama terhadap BERNAMA TV bukan memberi amaran yang memeranjatkan sebilangan besar hampir 200 petugas stesen berita itu.
Beliau tidak boleh melihat perjalanan atau penyiaran berita oleh BERNAMA TV sama seperti yang dihidangkan oleh RTM mahupun TV3 dan stesen-stesen 'saudaranya" di bawah Media Prima.
BERNAMA TV sepatutnya mencontohi stesen-stesen berita tv yang jauh lebih ke hadapan termasuk CNA Singapura, bukan cuba bersaing dengan stesen-stesen tempatan, tetapi mendahului mereka dari sudut liputan berita yang seimbang, tepat dan adil dengan tidak terlampau memihak kepada kerajaan seperti yang berlaku sekarang. Biarkan peranan tersebut dimain oleh RTM dan Media Prima.
Sejak penubuhannya, BERANMA TV gagal muncul sebagai stesen berita serantu dan jauh sekali bertaraf benua. Dalam hubungan ini CNA Singapura lebih dahulu muncul sebagai sebuah stesen berita tv bertaraf antarabangsa.
Untuk menuju ke arah serantau, buat permulaan peringkat ASEAN, BERNAMA TV mesti meningkat dan memperbaiki mutu siaran berita dalam bahasa Inggeris. Ini yang mesti dilakukan.
BERNAMA TV juga mesti menambah rancangan bercorak majalah dalam bahasa Inggeris yang boleh meningkatkan pengetahun khalayak mengenai Malaysia dari sudut budaya, warisan sejarah, tarikan pelancongan dan adat resam rakyat berbilang kaum.
Inilah yang sepatutnya menjadi perhatian dan tumpuan Ahmad Shabery Cheek untuk meningkatkan pencapaian BERNAMA TV, bukan memberi amaran untuk menutup stesen itu. Mungkin itu hanya satu 'sergahan' untuk membangkitkan kepimpinan BERNAMA TV daripada ruang selesa dan bukan amaran yang serius. Walau apapun, Ahmad Shabery mesti bersikap pro-aktif terhadap BERNAMA TV agar stesen itu muncul sebagai stesen berita tv hebat bukan sahaja dalam negara tetapi menjangkaui sempadan serantau.
Satu perkara lagi yang mesti diambil kira oleh pengurusan Bernama ialah memastikan pengendali rancangan atau hos kena pada tempatnya. Saya dapati ia agak lemah dan perlu diatasi.
Satu perkara lagi yang mesti diambil kira oleh pengurusan Bernama ialah memastikan pengendali rancangan atau hos kena pada tempatnya. Saya dapati ia agak lemah dan perlu diatasi.