Thursday 20 October 2011

Sampai bila nak kempen bulan bahasa?

Sejak Malaya atau Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, kita dihidangkan kempen demi kempen dan salah satu daripadanya ialah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Kita masih ingat kata-kata semangat yang terkandung dalam lagu berkenaan... Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai...

Setelah Tanah Melayu, khususnya, merdeka 54 tahun, kita masih mengadakan kempen tersebut. Kenapa? Adakah kita gagal dalam pelaksanaan dan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, dalam bukan sahaja urusan pentadbiran tetapi dalam pengucapan dan penggunaan harian?

Kita harus sedar bahawa dalam rangka pembinaan sesebuah negara, bahasa kebangsaan menjadi perkara penting selain ekonomi, undang-undang, kebudayaan dan politik. Oleh itu, dari sudut politik, negara telah mewujudkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Dalam kerangka DBK, amat jelas cakupannya iaitu dari sudut perancangan bahasa, pelajaran atau pendidikan, undang-undang dan ekonomi. Dasar itu ditetapkan melalui proses undang-undang dan kita ada Akta Bahasa Kebangsaan selain termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam Akta Bahasa Kebangsaan, amat jelas ditegaskan iaitu bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia,  hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Di sinilah letaknya kelemahan kerana sering kali diabaikan termasuk oleh barisan kepimpinan negara yang lebih selesa berbahasa Inggeris. Jika pemimpin tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada majlis rasmi,  termasuk merasmi persidangan atau mesyuarat agung parti-parti politik,  jangan salahkan rakyat jika mereka pun keberatan mengguna bahasa kebangsaan. Bak kata orang tua-tua, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ada pihak yang menuding jari kepada Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) atas apa yang berlaku kerana DBP adalah agensi perancangan bahasa yang utama dan bertangungjawab melaksanakan matlamat tertentu dalam Akta Bahasa Kebangsaan. 

Beranikah ketua pengarah DBP, umpamanya, menegur Perdana Menteri kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada sesuatu majlis rasmi?  Sudah tentu tidak. Inilah masalahnya.

Mari kita lihat tugas dan tanggungjawab DBP:-

* untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;

* untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

* untuk mencetak atau menerbit atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

*untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya bahasa itu akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Kita harus akui bahawa DBP telah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan baik dan  ia tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku. DBP telah melakukan segala-gala yang mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi ia tidak boleh berbuat apa-apa jika pemimpin atau pentadbir negara sendiri memilih untuk tidak mengguna bahasa kebangsaan.

Selain pemimpin, media penyiaran turut berperanan penting dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Media penyiaran seharusnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan bahasa Melayu yang betul yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris seperti yang berlaku hampir setiap hari sekarang,  mesti diutamakan bukan sahaja oleh stesen penyiaran milik kerajaan dan agensinya seperti Bernama TV,  tetapi oleh semua stesen yang dikendalikan oleh Astro, Media Prima dan Al-Hijrah.

Bahasa adalah alat perhubungan utama dalam dunia penyiaran dan jika ia tidak diguna dengan betul, maka ia akan menjadi ikutan terutama oleh golongan muda. 

Petugas-petugas media elektronik mesti sedar betapa pentingnya peranan mereka untuk menyebar penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan oleh itu, jauhilah daripada mengguna perkataan-perkataan asing seperti 'happening',  'syiok gila', 'live'  dan sebagainya.

BAHASA JIWA BANGSA


   

No comments:

Post a Comment