Malaysia ataupun Malaya tidak pernah dijajah, kata Prof Zainal Keling. Ini bermakna pelajaran sejarah yang rakyat Malaysia pelajari di sekolah selama ini adalah salah dan satu penipuan besar.
Itulah yang dapat dikatakan.
Jika Malaysia atau Malaya tidak pernah dijajah, kenapa pemimpin-pemimpin negara perlu ke London untuk berunding dengan pihak berkuasa United Kingdom untuk mendapatkan kemerdekaan?
Kenapa kita perlu menurunkan bendera Union Jack dalam satu upacara gilang gemilang di Dataran Merdeka [Padang Kelab Selangor] dan dinaikkan pula Jalur Gemilang sebagai menandakan tamatnya pentadbiran Inggeris dan digantikan oleh pentadbiran atau sebuah kerajaan merdeka?
Jika negara ini tidak pernah dijajah, siapa yang memerintah Melaka apabila Portugis merampas tampuk pemerintahan Kesultanan Melaka pada 1511? Selepas itu diambil alih oleh Belanda, kemudian Inggeris, selepas itu Jepun dan akhirnya Inggeris sebelum Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Itulah sejarah yang diajar dan dipelajari di sekolah dan kepimpinan kita sebelum dan selepas Merdeka merujuk kepada Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sebagai penjajah. Adakah mereka salah?
Kita ingin tahu apakah tujuan sebenar Prof Zainal Keling menyatakan bahawa negara ini tidak pernah dijajah? Adakah dia menafikan sejarah?
Atau ia tidak lebih daripada nak mengampu pihak tertentu.