Sunday, 30 September 2012

Jual aset: PAS Perak tuntut penjelasan Zambry


Berita ini menarik perhatian saya kerana ia membuatkan saya terkenang akan pertemuan dengan almarhum Sultan Idris Shah dan isteri baginda, Sharifah Salmah di rumah berkenaan.

Pada ketika itu, saya berkhidmat di pejabat biro Bernama, Lebuh Light, Pulau Pinang dan  mendapat panggilan telefon untuk ke 'Rumah Perak' kerana almarhum ingin membuat kenyataan media. Itulah kali pertama dalam kerjaya saya menerima panggilan daripada seorang sultan yang ingin membuat kenyataan media atau kenyataan akhbar.

Kenyataan media itu ada kaitan dengan 'masalah perhubungan' antara baginda dengan menteri besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi (allahyarham).

Saya dan rakan wartawan dari Berita Harian yang hadir di Rumah Perak 'terpegun' seketika melihat baginda yang menerima kehadiran kami dengan hanya berpakain kain pelikat dan singlet. Baginda meminta kami menunggu sebentar kerana sedang menaip sendiri kenyataan media berkenaan. Satu lagi 'kejutan' kepada kami.

Saya masih ingat hampir keseluruhan kenyataan baginda tidak dapat disiarkan oleh Bernama pada waktu itu kerana terlalu 'sensitif' dan membabitkan pentadbiran negeri dan 'kepimpinan politik.'

Rumah Perak meninggalkan kenangan dan jika benar ia telah atau hendak dijual oleh kerajaan negeri Perak seperti yang dilaporkan, maka ia sesuatu yang amat malang. Saya harap ia tidak benar.



Jual aset: PAS Perak tuntut penjelasan Zambry